Selasa, 24 Februari 2009

FENOMENA HILANGNYA CINTA KASIH - Siri 4


23 Februari 2009 - KedahFM - Petang Isnin yang cerah sebagaimana rutin, saya ke konti untuk ke udara lagi. Pertemuan ini mungkin tinggal beberapa siri saja lagi memandangkan hampir pasti saya akan berpindah ke Lembah Nil selewat-lewatnya akhir bulan Mac nanti.


Petang ini saya masih mengulas tentang topik yang sama iaitu Fenomena Hilangnya Cinta Kasih untuk siri 4. Saya masih mengulas tentang antara punca yang menjadi penyebab kepada berlakunya tragedi ini.


Antara puncanya ialah "Masalah Tidak Dinyatakan" di mana pasangan yang mendirikan rumah tangga kadang-kadang tanpa sedar "menyimpan dan memendam perasaan yang NEGATIF" terhadap pasangannya atau barangkali masalah kecil lain yang tak dapat diselesaikan sendiri yang akhirnya masalah itu membengkak dalam dada.....menyesakkan dan sangat menyakitkan. Sebenarnya tiap kita memang akan mempunyai masalah2 tersendiri. Kalau masalah dapat ditangani dan diselesaikan tanpa melibatkan pasangan, alangkah baiknya. Tetapi kadang-kadang yang nak "diluahkan" tersangkut-sangkut...akhirnya terbiar dan terendam! masalah yang kecil akhir menjadi besar...menggunung dalam dada! Sekiranya tidak diselesaikan dengan bijak, apalagi andai pasangan sendiri sudah tidak membantu...meredakan, merawat dan menyembuhkan atau menyelesaikan yang "menyesakkan di dada" pasangannya, sebaliknya pasangan yang sangat memerlukan pertolongan itu ditekan dan emosinya yang bercelaru terus dihimpit dan disakiti.....sampai satu keadaan "letusan dan letupan" akan memusnahkan segala impian.


Selain itu, "Mengutamakan Perasaan Sendiri" juga akan hanya menjadikan pasangan lebih menderita dan merana. Luahan rasanya tidak didengari...ia terpaksa bercakap dan mencurahkan perasaan dalam hati....kesakitannya pasti bertambah parah. Emosinya akan terjejas teruk dan bila keadaan menjadi bertambah kusut, semangat dan motivasinya juga akan merudum untuk terus mempertahankan mahligai bahagia yang dibina kerana gara-gara pasangan yang hanya mementingkan perasaan sendiri!


Saya juga menerima panggilan telefon dari Pak Haji Said Sungai Papan salah seorang pendengar setia KedahFM yang bertanya tentang isteri yang bila bertambah usia semakin suka berleter....pot pet...pot pet. lagi teruk prot pret...prot pret , katanya. Bila dia nak kat kita dia tak prot pret, tapi dia macam dah tak mau kat kita sebab tu asyik prot pret..prot pret, tambahnya lagi.


Dalam jawapan ringkas saya, saya menjelaskan tentang kadang-kadang berlaku pada kita yang hanya suka terima kelebihan pasangan kita semata-mata, tidak pada kekurangannya. Sedangkan mana ada kita yang sempurna! Sebenarnya semua kita ada kelebihan-kelebihan dan juga kekurangan-kekurangan tersendiri. Saidina Omar RA yang ketika itu sudah menjadi Khalifah, Amirul Mukminin pernah didatangi seorang sahabat lain yang ingin mendapat nasihat sebab isterinya asyik berleter.Tiba-tiba sahabat itu mendengar suara isteri Saidina Omar sedang mencurahkan perasaannya pada suaminya Khalifah, maka sahabat itu pun beredar kerana mendapati keadaan Khalifah pun sama dengan dirinya. Saidina Omar yang menyedari kehadiran sahabatnya itu segera memanggil lantas setelah jelas maksud kedatangan lelaki itu, saidina Omar pun memberikan nasihatnya " Bersabarlah kerana perkara itu bukanlah lama.."


Bukankah seorang isteri itulah yang menyiapkan segala keperluan kita selama ini..? Isteri masak makanan kita...Isteri siapkan pakaian kita...Isteri layan keperluan batin kita...Bahkan ia mengandung anak kita dengan sabar dan susah anak kita...Dan dialah yang berkorban nyawa melahirkan dan membesarkan anak kita!


Fikir-fikirkan...

Isnin, 23 Februari 2009

Ke Pejabat YAB Menteri Besar Kedah

23 Februari 2009 ahad - Wisma Darul Aman - Kalau hari Khamis yang lalu saya dikehendaki mengadap YB Exco Pendidikan, hari ini saya diarah hadir mengadap YAB Dato' Seri Mneteri Besar Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak sendiri.
Kebetulan ketika saya masuk ke bilik beliau, beberapa orang anggota Exco juga sedang menunggu untuk satu perbincangan dengan beliau. Mereka termasuk YB Dato' Ir. Fakhrulrazi, YB Dato' Taulan Rasul dan YB Ir. Dato' Amiruddin.
Sebagai penjawat awam terasa kecilnya saya di hadapan kepimpinan utama negeri. Apa pun, sebenarnya saya ke sana dengan jawapan yang telah saya tanya kepadaNYA. Saya beberapa kali Solat Istikharah pada Jumaat dan Sabtu. Saya puas alirkan air mata lelaki saya...minta Allah beri taufiq, hidayah dan permudahkan segala urusan saya.....Ya Allah, andai perkara ini baik untuk Agama dan Duniaku Ya Allah, Engkau permudahkanlah Ya Allah! Engkau tunjukkanlah Ya Allah...Dan andai perkara ini sebaliknya Ya Allah, Engkau hindarkanlah Ya Allah...! Alhamdulillah saya rasa lebih tenang dan positif. Dan bila Dato' Seri MB yang jelas sudah agak kecewa dengan saya seperti dimaklumkan YB Excp Pendidikan tempoh hari, bertanya sendiri dengan saya...maka saya tanpa ragu-ragu memberikan jawapan "saya terima dan sedia ke Mesir Dato Seri".
Wajah beliau yang sebelumnya dilihat cukup serius, tiba-tiba menjadi ceria...nada suaranya juga menjadi lebih mesra selepas saya menyatakan kesediaan dan kesanggupan saya ke sana. Dato' Seri memberikan banyak nasihat dan pandangan tentang Mesir dan pelajar-pelajar di sana. Bila ditanya kenapa saya masih tidak segera berangkat ke sana? Saya menjelaskan bahawa keberangkatan ke sana bergantung perkenan DYMM Tuanku Sultan. Bila semua urusan selesai barulah saya akan ke sana....
Saya menerima takdir ini dengan rela dan lapang dada....saya yakin, bahawa pasti ada di sana hikmah yang belum tersingkap kenapa saya terpilih ke sana!

Khamis, 19 Februari 2009

FENOMENA KERINGNYA CINTA KASIH - siri 3

16 Januari 2009 - KedahFM 97.5 - Saya ke udara petang Isnin seperti biasa dan hari ini saya memilih untuk mengulas tentang "FENOMENA KERINGNYA CINTA KASIH ". Buat kali ketiga saya bercakap tentang topik ini. Cuma saya fokuskan pada kuliah petang ini tentang dua perkara yang turut menjadi sebab kepada berlakunya fenomena ini.

Perkara pertama ialah "Meremehkan Pasangan". Terkadangkala tanpa sedar kita yang tahu ini juga ikut "meremehkan pasangan" kita. Ia termasuklah meremeh atau memandang tak kisah pada perasaan pasangan. Tak peduli apa situasi yang sedang ditempuhnya. Sebagai contoh kita sampai hati bergembira waktu pasangan sedang berduka, kita sanggup buat muka tak kisah pada pasangan yang sedang tertekan dan sebagainya. "Meremehkan Pasangan" juga bermaksud "meremehkan masalah pasangan". Setiap kita pasti mempunyai masalah2 yang tertentu. Cuma barangkali saiz masalah sahaja yang berbeza..kecil besarnya. Maka, bila pasangan kita menghadapi masalah apa yang seharusnya kita lakukan adalah bersamanya dalam menghadapi masalah. Malangnya, sebahagian kita bukan sahaja tidak bersama pasangan , bahkan diremeh2kan pula masalah pasangannya!

Perkara kedua adalah "membesar2kan masalah yang remeh". Sepatutnya setiap kita hendaklah mempunyai keupayaan untuk menyerap masalah...mengecilkan masalah dan mengelakkan diri dari menjadi punca bertambah besarnya masalah yang remeh. Bertolak ansur dan memaafkan pasangan adalah resepi yang cukup berkesan untuk mengelak dari terjebak dalam tragedi fenomena keringnya cinta kasih!

Selasa, 10 Februari 2009

PERJUMPAAN BERSAMA YAB. MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

Dato' seri MB diapit Dato' YDP MAIK dan Dato' Pengarah JHEAIK


Antara pegawai dan kakitangan 5 agensi Agama di negeri Kedah yang hadir

Jamuan makan tengah hari


10/02/2009 - Jam 10.00 pagi bertempat di Bilik Gerakan, Blok E Wisma Darul Aman telah diadakan satu perjumpaan khas bersama YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Bin Abdul Razak Menteri Besar Kedah Darul Aman. Perjumpaan tersebut melibatkan pegawai-pegawai pengurusan agensi-agensi Agama Islam Negeri Kedah iaitu MAIK, JHEAIK, Jabatan Mufti Negeri Kedah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah dan Jabtan Zakat Negeri Kedah.
Perjumpaan yang dipengerusikan oleh Tn. syeikh Ismi Anuar Abdul Halim selaku Pengerusi Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Islam Negeri Kedah itu dimulakan dengan ucapan aluan Sohibus Saadah Dato' Syeikh Uzir bin Baharom Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah. Mewakili kesemua agensi-agensi Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman, SS Dato' dalam ucapannya menyatakan komitmen dan sokongan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri untuk berusaha meningkatkan solidariti dalam perkhidmatan serta berjanji untuk merealitikan sistem penyampaian yang berkesan di agensi-agensi Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman demi mencapai matlamat Kedah Sejahtera.
Manakala Dato' Seri MB dalam ucapannya pula menjelaskan bahawa perjumpaan yang agak lambat diadakan adalah disebabkan keyakinan beliau dengan semua agensi-agensi Agama Islam yang diyakini tidak bermasalah. Beliau juga menjelaskan tentang perlaksanaan Hukum Islam termasuk Hukum Hudud yang belum dilaksanakan kerana mengambilkira Siyasah Syar'iyyah dan Fiqh Awwaliyyat tanpa menafikan cita-cita Kerajaan Negeri dalam melaksanakan hukum Allah seperti yang termaktub dalam Al-Quran itu. Panjang lebar beliau menerangkan sinario perlaksanaan Hudud oleh Kerajaan Kelantan dan Terengganu sebelum ini yang jelas tidak dapat diimplimentasikan kerana bertembung dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ustaz Azizan juga mengharapkan semua pihak di agensi-agensi Agama Negeri Kedah melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik dan cermat. Beliau berpesan agar pihak mahkamah sentiasa mempastikan keadilan ditegakkan. Institusi masjid pula hendaklah diuruskan dengan baik dengan melantik mereka yang benar-benar layak sahaja untuk diamanahkan memimpin. Masjid hendaklah dipastikan bersih dan hendaklah benar-benar menjadi pusat perpaduan masyarakat. Berkenaan kekurangan pegawai-pegawai Hal Ehwal Islam, beliau bersetuju agar tindakan diambil untuk pengisian jawatan-jawatan yang kosong sambil menerangkan rakyat Kedah beragama Islam telah mencapai 1.5 juta orang. Dato' Seri MB juga banyak menjelaskan tentang beberapa istilah dalm fiqh dan usul fiqh seperti Saddu Zara'i, Ma La Yudraku Kulluhu La Yutraku Julluhu dan Taghayyurul Ahkam Bi Taghayyuri Zzaman.
Dato' Seri MB juga menjelaskan tentang perkembangan KUIN atau Insaniah di samping mengulas tentang kelemahan pelajar-pelajar Al-Azhar mutaakhhir ini dalam penguasaan Bahasa Arab. Beliau mengarahkan JHEAIK Bahagian Pendidikan mengambil tindakan perlu untuk menyediakan pelajar-pelajar yang berkemampuan dalam Bahasa Arab untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir.
Turut sama dalam perjumpaan ini ialah Pengarah JHEAIK Dato' Khairuddin Zain, Timbalan Pengarah JHEAIK Tn. Hj. Fathullah, Sohibul Fadhilah Tn. Syeikh Mawarzi Dhiauddin Timbalan Mufti Negeri Kedah, Ybhg. Tn Timbalan Setiausaha Zakat Negeri Kedah, Ketua-Ketua Bahagian di MAIK dan JHEAIK, Tuan-Tuan Pegawai Agama Daerah, Yang ariff Hakim-Hakim, Pegawai-Pegawai Suluh, Pegawai-pegawai Zakat Daerah dan lain-lain.

Ahad, 8 Februari 2009

KedahFM 8/2/09 - HUKUM SAMBUT VALENTINES DAY

Seingat saya, saban tahun tiap kali sampainya tarikh 14 Februari, para ulamak , pasti ada yang akan berpesan dan berwasiat tentang perihal "Valentines Day" yang diterjemahkan orang "Hari Kekasih" atau "Hari Berkasih Sayang". Teguran dan wasiat ini adalah dengan harapan masyarakat Islam khususnya pihak berkewajipan seperti pemimpin dan ibu bapa dan lain-lain pihkak dapat mengambil langkah-langkah perlu untuk mencegah mereka yang di bawah tanggungjawab masing-masing dari terjebak dalam perkara maksiat ini.


Sebenarnya sambutan "Valentines day" ini langsung tiada kena mengena dengan ummat Islam. Apa yang malangnya sejak mula dikenali sekitar tahun 80an dulu sambutan "Hari Kekasih" ini begitu mendapat tempat bahkan bertambah popular tahun ke tahun khususnya di kalangan generasi muda Islam. Pelbagai pihak kelihatan seolah-olah turut ikut mengambil kesempatan mempromosikan pesta ini dengan tujuan masing-masing. Kedai-kedai buku dan majalah menjual kad-kad ucapan hari kekasih yang diadun dengan kata-kata yang begitu puitis. Lalu remaja kita pun berpusu-pusu membeli kad-kad ucapan itu untuk pasangan masing-masing. Ada yang siap membeli sejambak bunga ros yang mekar beserta hadiah yang dibungkus dengan pembalut berwarna pink. Mereka akan bertemu pada "hari itu" untuk bertukar kad ucapan cinta dan hadiah, memupuk kasih sayang dan bermadu asmara. Media cetak dan elektronik juga bagai menyambut hari kekasih ini dengan rancangan yang diatur khusus sempenanya...Valentines Special....Drama dan filem yang ditayangkan hanya menjadikan remaja cukup teruja dan tak sabar menanti 14 Februari! Pihak hotel dan pusat-pusat hiburan dan tak ketinggalan gedung-gedung perniagaan yang besar juga ada yang sanggup menukarkan warna tema mereka ke warna pink yang sinonim dengan "Hari Valentines" bila sampai bulan Februari untuk membangkitkan rasa dan aura!. Pelbagai promosi menarik dan potongan harga istimewa disediakan.


Berapa ramai anak remaja kita yang hilang maruahnya pada hari itu.?...Yang jelasnya, mereka yang berharta dan kaya ada tempatnya....untuk melepaskan berahi dan nafsu!...., yang miskin dan susah pula ada lokasinya....walau di tempat yang kotor dan memualkan!.Yang pasti, ada remaja yang menyerahkan tubuh menggadai kehormatan demi cinta dan kasih sayang pada "hari malang" itu!. Yang sanggup membelakangkan harga diri, maruah ibu bapa dan hukum hakam agamanya sekalipun. mereka akan berkenalan dengan dunia keseronokan dan hiburan melampau....minum arak, pesta seks, pergaulan bebas dan sebagainya!


Puas kita nyatakan Valentine itu adalah merujuk kepada seorang paderi Kristian yang dikenang oleh penganut agama itu kerana perjuangannya. Walaupun ada banyak versi berkenaan kisah asal paderi ini sehingga ada pendapat yang menyatakan dia sanggup dipenjarakan kerana cintanya atau dibunuh kerana peranannya mengahwinkan pasangan-pasangan yang dilarang penguasa pada zaman itu dari berkahwin lalu kerana itu dia ditangkap dan dibunuh pada tanggal 14 Februari tahun berkenaan, apa yang nyatanya Valentines ini adalah Paderi Besar Kristian yang sangat dikenang jasanya oleh orang Kristian sepanjang zaman . Walau kemudiannya dikaitkan sambutan itu dengan kasih sayang atau berkasih sayang atau mengajak manusia berkasih sayang, sambutan hari Valentines ini tetap tidak ada kena mengena dengan Islam. Apa lagi, ummat Islam yang menyambut dan meraikannya seolah-olah berterima kasih, bangga dan bertuah kerana perjuangan Valentine yang sanggup berkorban kerana cinta! Kemudian mereka bagai menghalalkan maksiat terlarang antara lelaki dan perempuan, pergaulan bebas dan Zina!..Na'uuzunillahiminzalik!


Justeru menyambut "Hari Valentines" adalah HARAM kepada semua yang mengaku muslim. Bahkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga sebenarnya sudah memfatwakan bahawa hukum ummat Islam menyambut Valentines Day adalah HARAM.

KURSUS PRA-PERKAHWINAN UUM

Tanggal 6hb Februari saya ke Universiti Utara Malaysia (UUM) ditemani isteri memandangkan mungkin ini di antara ceramah akhir saya di sana. Saya dijemput memberikan ceramah dalam kursus Pra-Perkahwinan Islam yang dianjurkan oleh Pusat Islam UUM, membimbing bakal pengantin dalam dua modul iaitu "Komunikasi Suami Isteri" dan "Hubungan Dalam Keluarga". Kali ini peserta yang hampir 150 orang itu dikumpulkan di salah satu dewan ceramah di Pusat Konvensyen berhampiran Bank Islam UUM.
Selepas solat Jumaat di Masjid UUM, saya bergegas ke Pusat Konvensyen kerana ceramah bermula jam 2.30 dan berakhir dua jam kemudian. Sebagaimana biasa peserta yang dominan dan paling ramai adalah dari kalangan kaum hawa. Saya difahamkan memang taburan pelajar di UUM dah lama tidak seimbang. Lelaki memang golongan minoriti di UUM dengan lebih 75% peratus pelajar-pelajarnya adalah terdiri dari kalangan siswi.



Bersama yang setia menemani isteri tersayang



Mungkinkah ini nostalgia akhir di UUM?




Siswi kumpulan teramai di hampir semua IPT





Terkadang "X File yang sulit" terpaksa dijelaskan dalam kursus kahwin


Apa yang diharapkan segala panduan yang telah dicurahkan akan digunakan sebaik mungkin nanti apabila mereka masuk dalam dunia perkahwinan yang sebenar. Hakikatnya, berteori memang cukup mudah tetapi yang bermasalahnya bila nak diterjemahkan teori yang cantik tadi dalam kehidupan yang sebenar. Kita sering bertemu dengan ramai yang terjebak dengan retorik tanpa sedikitpun rasa bersalah kerana yang diucapkan di bibir mulut itu tidak pun diamalkan!

Sabtu, 7 Februari 2009

PERISYTIHARAN POKOK SENA SEBAGAI DAERAH PENUH

KDYMM Tuanku Sultan dan lain-lain kenamaan di pentas utama

Antara jemputan yang hadir

Bersama isteri dan Penolong Kanan SMK Pokok Sena Ustaz Mansor Abdul Latif


Tanggal 5 Februari 2008 KDYMM Tuanku Sultan telah secara Rasmi mengisytiharkan Pokok Sena sebagai daerah ke 12 Negeri Kedah Darul Aman dalam satu majlis gilang gemilang penuh istiadat di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena sekaligus merasmikan kompleks pentadbiran berkenaan.


Saya telah dijemput bersama isteri hadir ke majlis yang turut disertai Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan selain pegawai-pegawai kerajaan negeri, pegawai-pegawai agama negeri, Penghulu-Penghulu, Imam-Imam dan lain-lain jemputan.


Antara kenamaan yang hadir selain KDYMM tuanku Sultan dan Sultanah, termasuklah YAB Menteri Besar dan isteri, YTM Tunku puteri Intan Sofinaz, barisan kepimpinan kerajaan negeri, Speker dan Timbalan Speker, ahli parlimen Pokok Sena dan Ahli Ahli Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Pokok Sena.


Semoga dengan lahirnya sebuah lagi daerah penuh iaitu Pokok Sena yang boleh disebut daerah bongsu di negeri Kedah Darul Aman ini, maka akan bertambah mantaplah pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

Lawatan Ke Maktab Mahmud Pokok Sena


5 hb Februari 2008 - Sekitar jam 8 pagi kurang lebih, saya berkesempatan melawat ke Maktab Mahmud Pokok Sena (MMPS). MMPS terletak dalam Daerah Kota Setar dan dahulunya dikenali sebagai Madrasah Raudhatul Ulum Langgar kira-kira 10 km dari Bandaraya Alor Star. Warga MMPS baru sahaja menerima Pengetua yang dinanti lebih setahun yang lalu dan kini dibantu oleh tiga Penolong Kanan. Pengetuanya Ustazah Nawal Nawawi dalam taklimat ringkasnya pada saya menerangkan bahawa sekolah itu kini mempunyai pelajar seramai lebih 600 orang dengan 44 orang staf termasuk 5 kakitangan sokongan. Sekolah ini menawarkan pendidikan menengah Agama dan Bahasa Arab dari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 6 serta menawarkan peperiksaan berpusat peringkat kebangsaan iaitu PMR, SPM dan STAM selain menawarkan peperiksaan berpusat peringkat Lembaga Maktab Mahmud iaitu Sijil Menengah Rendah Agama Maktab Mahmud (SMRAMM) yang diduduki oleh pelajar-pelajar tingkatan 4 seluruh 12 buah Maktab Mahmud di negeri Kedah Darul Aman.

BERSAMA PENGETUA MMPS USTAZAH NAWAL NAWAWI

Saya juga selain diberi taklimat telah dibawa melawat sekitar sekolah seperti ke kelas-kelas, asrama, surau dan kantin. Satu perbincangan tidak formal juga telah diadakan melibatkan Pengetua dan Penolong-Penolong Kanan telah diadakan di bilik Pengetua dan saya menjanjikan komitmen untuk membantu sekadar termampu selagi saya masih di Bahagian Pendidikan JHEAIK. Semoga MMPS akan berjaya mencapai kecemerlangan dan akan bertambah mantap dari masa ke semasa berkat komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan semua warganya.

Selamat Maju Jaya untuk semua warga MMPS....

Rabu, 4 Februari 2009

MESYUARAT SABK MAIK DAN KPM

Dato' Syeikh Uzir mempengerusikan mesyuarat. Turut kelihatan Dato' Pengarah JHEAIK, Tim. Pengarah JHEAIK, Pengarah Jab. Pendidikan Islam KPM

Dari kanan Pengarah Bah. Pendidikan Islam, Ketua Sektor Pen. Islam JPN Kedah, Penasihat Undang-Undang KPM dan lain-lain pegawai kanan KPM.


Dari kiri Dato' Zakiah Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Pn. Masri, Dato' Syeikh Abdul Razak, TN. Syeikh Ismi Anuar, En Elmi dan lain-lain.

Sahabat dari JPN Kedah. Dari kiri Ustaz Zulkifli dan Ustaz Nazri


3 Februari 2009 - Jam 10.00 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat Utama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah telah diadakan Mesyuarat Perlaksanaan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Di Negeri Kedah Darul Aman antara Majlis Agama Islam Kedah MAIK dan Kementerian Pelajaran Malaysia KPM. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Sohibussaadah Dato' Syeikh Uzir bin Baharom Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah.

Mengetuai pihak KPM ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM Tuan Haji Abdul Rashid Bin Ngah bersama beberapa orang pegawai kanan KPM. Turut bersama beliau dari Putra Jaya termasuk Penasihat Undang-Undang Kementerian Pelajaran Malaysia . Turut menyertai rombongan KPM Putra Jaya juga termasukUstazah Hajjah Zainab Md. Saman Ketua Sektor Pendidikan Islam bersama pegawai-pegawainya kanannya.


Bersama dalam mesyuarat tersebut juga termasuk Dato' Kharuddin Zain Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Tuan Timbalan Pengarah JHEAIK Tn. Haji Fathullah Hj Ismail, Yb. Dato' Zakiah Penasihat Undang-Undang Negeri, En. Elmi in Yusoff Penolong Setiausaha Sulit kepada Kebawah DYMM Sultan Kedah, Tn. Syeikh Zainol Jamal Pegawai Khas Agama YAB Menteri Besar, Tn. Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim Pendaftar Sekolah Agama Negeri Kedah, Puan Masri Azizan Pegawai Undang-Undang Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, En. Abdul Malik bin Shaari Penolong Setiausaha MAIK, Dato' Syeikh Abdul Razak bin Yusoff selaku ahli MAIK selain Timbalan pendaftar Sekolah-Sekolah Agama dan beberapa orang urusetia dari JHEAIK.


Beberapa pindaan yang dicadangkan oleh MAIK telah dibincang secara serius oleh ahl-ahli mesyuarat. Manakala pihak KPM juga telah membuat cadangan balas terhadap pindaan yang dicadangkan MAIK. Kehadiran Penasihat Undang-Undang dari kedua-dua belah pihak dilihat sangat positif kerana masalah berkaitan undang-undang dapat segera diperjelaskan dalam Mou berkenaan. Draf akhir sedang disiapkan dan akan diteliti untuk semakan akhir oleh Penasihat Undang-Undang kedua belah pihak.


Adalah diharapkan agar penantian sekian lama beberapa buah sekolah yang sangat perlukan bantuan untuk menyertai SABK akan segera menjadi kenyataan dengan termeterinya MoU itu nanti. Insyaallah.

Isnin, 2 Februari 2009

FENOMENA KERINGNYA CINTA KASIH - siri 2

KedahFM Isnin 5.30 petang. Saya memilih melanjutkan perbincangan petang Khamis yang lalu berkenaan Fenomena Keringnya Cinta Kasih. Selain sikap tidak menghargai pasangan serta tidak adanya keterusterangan yang telah menjadi sebab kepada berlakunya fenomena ini, hati keras, ego, kejam dan sombong angkuh juga antara penyebab makin terasing dan jauh hatinya pasangan hidup kita!

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad Nabi Muhammad SAW bersabda :-

إن الله يبغض كل جعظري جواظ

maksudnya :" sesungguhnya Allah SWT benci kepada orang yang berhati kasar ( kejam, keras, sombong dan angkuh)".

Sepatutnya bila kita bercakap, kita hendaklah menggunakan perkataan yang baik dan kita sentiasa komited bercakap baik. Kita juga hendaklah menyediakan telinga kita untuk pasangan kita...Mendengar dengan teliti tanpa cepat-cepat menghukum. Kita sentiasa bermanis muka dengan senyum yang diukir penuh keikhlasan dan juga sepasang mata kita yang sentiasa memandang dengan penuh kasih sayang kepada pasangan hidup kita.

Sabda Nabi lagi :-

من أخلاق المؤمن خير الحديث إذا حدث وخير الاستماع إذا حدث وخير البشر إذا لقي

Maksudnya :"Antara akhlak seorang mukmin itu, baik percakapan bila ia berbicara, mendengar dengan baik bila orang lain berbicara dengannya dan ceria (manis) wajahnya bila mereka bertemu muka".
Kepada mereka yang sombong, kejam dan angkuh, andai masih tidak memilih jalan pulang...kembali kepada Allah, bertaubat dan membetulkan kesalahan, mereka pasti bertemu dengan kehinaan! Azab Allah di akhirat lebih pedih menanti di neraka Nya. Andai pasangan terus dihina...kita ego semahunya, tunggulah kekecewaan yang membarah itu pasti akhir membawa musibah! hati yang luluh akan luka berdarah..menanah! Letupan akhir menghancurkan segala ikatan yang awalnya diikat kukuh dalam ijab dan qabul akhirnya terlerai, pasti hanya mengundang penyesalan tidak berkesudahan!

MASIH TEKA-TEKI..

Salam ukhuwwah...

Walaupun saya dilihat seolah-olah hampir pasti ke Mesir sebagai Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah di sana berdasarkan pemergian saya baru-baru ini bagi menerima serahan tugas dari mantan pegawai yang lalu iaitu Ustaz Zakaria, sebenarnya saya masih belum menerima memo /surat tawaran dari Bahagian Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman sehingga ke hari ini.

Maklumat YINK yang terkini diterima Pegawai Baru akan berlepas ke sana pada akhir Februari atau awal Mac. Pihak-pihak yang berkaitan sedang sibuk menyiapkan dokumentasi akhir.......Justeru, teka-teki masih belum berjawab...