Ahad, 26 Julai 2009

KEMBALI KE PENTAS RUMAH MELAYU

Salam rindu dari kejauhan...

Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah, lokasi yang kini menempatkan sejumlah pelajar Malaysia dari seluruh negara yang diuruskan Kedutaan Besar Malaysia di sini, pada satu ketika dahulu dikenali dengan panggilan "Rumah Melayu" . Sewaktu saya belajar di sini sekitar tahun 1987 -92 dahulu, saya pernah menjadi antara penghuninya. Banyak kenangan dan nostalgia saya dan teman-teman di "Rumah Melayu" ini. Dan kerana tinggal dengan ramai rakan-rakan dari negeri yang berbeza, saya banyak bergaul dan belajar dari mereka. Saya juga tak dapat lupakan pekerja rakyat Mesir yang bertugas di asrama seperti 'Ammu Hasan dan "Ammu Sayyid yang banyak mengajar saya bahasa 'Ammi.

Pentas penuh nostalgia

Di "Rumah Melayu" atau hari ini dikenali di kalangan pelajar sebagai ARMA ini, ada sebuah dewan. Dewan itu kini sudah jauh berubah seiring perubahan fizikal bilik-bilik ARMA itu sendiri. Kini dewan ARMA sudah dilengkapi dengan penghawa dingin, lampu limpah warna warni selain LCD dan sistem pembesar suara yang berkualiti. Lantainya yang dulu sekadar simen campuran sudah diganti dengan mozek atau balat yang cantik. Pentasnya telah dihias dengan lanskap kekal yang cantik di samping peralatan seperti sofa vvip, kerusi vip dan kerusi biasa yang mencukupi.

Cenderahati dari Pengarah program

Ada pemeran Isra' Mikraj dan Isu palastin

Teringat sewaktu-waktu dahulu bagaimana dewan ini mengajar saya setelah digelar mahasiswa, melontarkan idea dan berbahas dalam mesyuarat. Teringat di pentas dewan inilah saya menajamkan kemahiran saya dalam pengucapan awam termasuk berpidato, berbahas, bersajak dan berlakon....

Berhujjah penuh semangat!!

Tanggal 25hb. Julai 2009, Allah SWT takdirkan saya kembali ke pentas "Rumah Melayu"ini setelah saya tinggalkannya lebih 17 tahun yang lalu. Saya tak pernah menyangka bahawa saya akan berhujjah lagi di pentas ini...Namun Allah SWT tentukan saya melakar sejarah peribadi kembali ke pentas ini dalam program Forum Isra' Mikraj yang dianjurkan sebuah persatuan mahasiswa di Mesir ini ISMA. Lebih manis, buat kali pertama saya dan isteri sama-sama menjadi panel forum setelah berkahwin lebih 16 tahun.

Demikian sebuah ketetapan...

Jumaat, 24 Julai 2009

PING PONG PERSAHABATAN ANTARA PILIHAN PEGAWAI-PEGAWAI NEGERI

Salam rindu dari kejauhan..


23hb Julai 2009 - Khamis, bermula jam 10.00 pagi bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah, berlangsung sukan ping pong persahabatan antara pilihan pegawai-pegawai kebajikan negeri termasuk pegawai-pegawai di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.

Bersama pegawai-pegawai negeri dan kedutaan yang turut serta

Kebetulan hari tersebut adalah hari cuti umum di Mesir sempena Revolution Day, maka ia telah memungkinkan kehadiran hampir semua pegawai ke kejohanan ini. Pegawai Sabah yang sudah lima tahun berkhidmat di sini, Us. Sabli telah diamanahkan sebagai ketua urusetia. Beliau memang dikenali cukup mahir dalam acara ini dan beliau juga pegawai yang paling lama bertahan sebagai pegawai kebajikan anak negeri di Mesir ini.


Pilihan Kedah Darul Aman

Sukan untuk ukhuwwah tapi buat yang terbaik!

Setelah diundi, pilihan Kedah telah ditakdirkan berada dalam satu kumpulan dengan negeri-negeri "giant killer" dalam acara ini di sini iaitu Sabah dan Terengganu selain Pahang dan Wilayah Persekutuan. Manakala dalam kumpulan B, pasukan-pasukan yang turut serta termasuklah pilihan Kedutaan, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.


Sebelum perlawanan perseorangan dengan Pegawai Pahang

Kalau tidak kerana kalah dengan Pahang dan Sabah, sudah tentu Kedah akan melangkah lebih jauh. Dalam kejohanan sukan ping pong yang bertujuan merapatkan ukhuwwah antara pegawai-pegawai yang sedang bertugas di sini selama hampir sehari suntuk ini, negeri Pahang Darul Makmur telah muncul Johan mengalahkan pilihan pertama kejohanan iaitu Sabah.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, di situ kita buat yang terbaik!!!


Rabu, 22 Julai 2009

SAMBUTAN ISRA' DAN MIKRAJ

Salam rindu dari kejauhan.....


Seluruh dunia Islam menyambut Isra' Mikraj setiap tibanya bulan Rejab yang berlaku ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW lebih 1400 tahun yang lalu. Padanya seribu satu pengajaran dan iktibar bagi mereka yang inginkan pencerahan, panduan dan pedoman dalam kehidupan. Tiap peristiwa yang ditempuhi Nabi dalam perjalanan mengadap kekasih Baginda di Sidratil Muntaha untuk menerima kefardhuan solat, serta gambaran-gambaran yang dipertontonkan kepadanya adalah merupakan barisan jawapan kepada segala permasalahan yang ditempuhi manusia.


Ulama' al-Ummah

Tanggal 21 hb Julai 2009, Dewan at-Tasamuh wal-Ikha' sekali lagi menyaksikan kehadiran para Masyayikh al-Azhar dalam jumlah yang ramai datang secara sekaligus. Kehadiran semua pengkuliah yang terlibat dalam Daurah Ilmiah yang diadakan setiap petang kecuali Khamis dan Jumaat itu sangat bermakna sekali. Sambutan meriah dan cukup ramai dari kalangan mahasiswa dan mahasiswi jelas kelihatan kerana dewan tidak lagi mampu menampung hadirin yang datang. Sebahagian besar siswi terpaksa memada dengan mendengar suara melalui pembesar suara di tingkat atas asrama.


Mereka yang terpilih berada di Taman Syurga

Alhamdulillah dengan informasi lebih tersusun dan siaran iklan yang lebih meluas, ceramah khas sempena sambutan Isra' Mikraj oleh Fadhiltus Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kitani telah mendapat sambutan yang cukup membanggakan. Bahkan, turut hadir meraikan kedatangan Fadhilatul Syeikh termasuklah semua para Masyayikh seperti Fadhilatul Ustaz Doktor Syeikh Jamal Farouk, Dr. Syeikh Mustafa 'Imarah, Dr. Syeikh Abu Bakar 'Iwadh dan Dr. Syeikh Abdus Salam 'Atiq. Barangkali ketidakhadiran Fadhltul Dr. Syeikh Taha Hubaysh adalah disebabkan masalah penglihatan beliau selain tempat tinggal beliau yang jauh. Dr. syeikh Taha adalah Rais Qism atau Ketua Bahagian Falsafah Universiti al-Azhar salah seorang ulama hilang penglihatan yang hebat pada zaman ini.



Turut kelihatan bersama ramai pelajar Malaysia yang memenuhi dewan termasuklah beberapa pelajar dari Pakistan, Indonesia selain beberapa pelajar perempuan dari Singapura. Para siswa yang hadir berebut-rebut untuk bersalaman dengan Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kitani yang di sini dikenali sebagai ulama agung Hadis zaman ini selain bersalaman dengan para Masyayikh al-Azhar yang lain.


Hidangan nasi mandi

Petang yang bersejarah itu, selain Fadhilatul Dr. Syeikh Jamal Farouk yang berucap sebagai pengerusi majlis, turut menyampaikan ucapan termasuklah Fadhilatul Dr. Syeikh Mustafa 'Imarah dan muridnya yang kini sudah menjadi rais qism di Uni. al-Azhar iaitu Fadhilatul Dr. Syeikh Abu Bakar 'Iwadh.
Selepas solat maghrib, para tetamu jemputan seperti biasa diraikan dengan jamuan yang disediakan di kediaman pegawai.


Ahmad ditahnik Fadhilatul Syeikh Muhammad Ibrahim

Saya rasa cukup bertuah kerana kediaman tempat saya keluarga menumpang berteduh ketika ini menjadi tempat singgah para ulama....Paling bertuah anak bongsu saya Ahmad kerana berpeluang ditahnik dan didoakan secara khusus oleh ulama-ulama yang muktabar ini. Terharu sungguh melihat Ahmad yang sebenarnya demam pada ketika itu, diam dan tidak merengek seolah-olah faham bahawa peluang yang terhidang di hadapan mata mungkin tidak berulang lagi!!!!


Syeikh Jamal sedang mentahnik Ahmad

Haza min fadhli Rabbina.... wa Huwa ni'mal maula wa ni'man nashir
!!

Selasa, 21 Julai 2009

MUSLIMAH INTELLIGENT SEMINAR 09 DAN HARI KEBUDAYAAN, KESENIAN & SUKAN 09

Salam rindu dari kejauhan...

Bertemakan " Kredibiliti Mahasiswi Pemangkin Kemantapan Ummah" saya dijemput merasmikan MISK atau Muslimah Intelligent Seminar (Kedah) 09 yang dianjurkan Hal Ehwal Wanita Islam MKKK sessi 08/09 pada 19hb Julai yang diadakan di Dewan at-Tasamuh wal- Ikha' Asrama Darul Iman 3. Setinggi tahniah dan syabas kepada seluruh pimpinan HEWI MKKK serta AJK terlibat di atas kesungguhan dan komitmen tinggi yang telah mereka pamerkan..

Majlis Perasmian

Forum bersama Ustaz Hanif Pegawai Kebajikan Pelajar Johor

Selain siswi negeri Kedah, seminar yang saya lihat penuh dengan pengisian ini ikut dibuka penyertaannya kepada seluruh mahasiswi rakyat Malaysia yang sedang belajar di Lembah Nil ini. Di antara pengisiannya termasuklah beberapa pembentangan kertas kerja, diskusi buku, forum serta talk show. Program yang berlangsung bermula 19hb ini hanya berakhir pada petang 21hb dengan dua hari penuh pengisian ilmiah di mana peserta seminar ini mendapat pendedahan skil penyampaian dari penyampai-penyampai yang berbeza. Sementara hari terakhir peserta-peserta berpeluang pula mengikuti Hari Kebudayaan, Kesenian dan Sukan dengan bertemakan "Budaya ISLAM budaya kita" yang membariskan berbagai acara seperti pertandingan gubahan, sukan ping pong, carom, sahibba, puzzle selain persembahan pentomen, sajak dan juga nasyid.


Turut menjayakan Hari Kebudayaan..

Melihat gubahan para peserta
Peserta pertandingan gubahan memperincikan persembahan

Hakim pertandingan gubahan


Sayangnya, saya masih melihat fenomena yang sama iaitu kurangnya sambutan di kalangan pelajar terhadap usaha murni pihak HEWI ini. Mungkin kerana program ini mengenakan sedikit bayaran iaitu LE 30, ramai yang tidak ikut serta. Sebenarnya, pejabat PKPK telah mengeluarkan peruntukan lebih LE 2 ribu untuk menjayakan program ini. LE 30 seorang yang dikenakan itu adalah untuk menampung sebahagian kos makan minum yang ditanggung sepenuhnya sepanjang program berlangsung. Sedangkan ilmu pengetahuan yang dikutip sepanjang program dan skil atau kemahiran yang diperolehi tidak terhingga nilainya. Saya dan isteri ikut terlibat bersama HEWI MKKK yang bagi saya cukup bersemangat menjayakan program ini.

Talk Show - Fiqhul Mara'h

Kenang-kenangan...tanda ingatan

Dua malam juga saya tidur lewat kerana siapkan bahan untuk pencerahan para peserta program bagi slot Bahasa 'Ammi. Penat juga saya tengok isteri saya merujuk kitab-kitab Fekah untuk slot Fiqhul Mara'h. Selain itu, saya juga telah bersama menjayakan slot forum dengan Pegawai Kebajikan Pelajar Johor Mesir yang sudi ikut menghulurkan bantuan. Selain beliau, Pegawai Kebajikan Pelajar Pahang juga turut turun padang bersama dalam slot Forum terakhir dalam seminar dengan Presiden PMRAM serta YDP HEWI PMRAM yang diundang dalam program ini.


Forum bersama Pegawai Pahang, Presiden dan YDP HEWI PMRAM

Tanda ingatan untuk Ustaz Farid

Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Untuk YDP HEWI PMRAM

Setelah saya mengikuti program ini secara dekat, saya mendapati ianya sangat baik dan bermanfaat untuk para peserta yang hadir. Adalah satu kerugian yang besar bagai mereka yang tidak hadir hanya dengan alasan yuran tinggi!! Sesungguhnya "Hanya permata yang mengenali manikam" ! Buat yang hadir, tahniah kerana anda terpilih untuk menerima bukan sahaja ilmu pengetahuan, tetapi juga pendedahan skil, kemahiran-kemahiran yang sebenarnya tidak diperolehi di bilik-bilik kuliah. Bukankah dalam dalam 2 hari seminar berlangsung , kita dikenalkan, didedahkan dan sebenarnya kita diajar tentang bagaimana seorang pembentang kertas kerja itu membentangkan kertas kerjanya... Bagaimana untuk menjadi seorang "pendiskusi buku" yang baik. Bagaimana pula menjadi seorang "ahli panel forum". Bagaimana menjadi seorang "pengerusi umum" bagi sesuatu majlis, "pengerusi majlis diskusi", "talk show" atau"pengerusi forum"! Itu belum lagi termasuk ilmu-ilmu yang diperolehi serta maklumat semasa yang didedahkan. Bukankah persaudaraan serta ukhuwwah juga jadi bertambah rapat antara satu dengan yang lain....?


Sebagai PKPK yang bertanggungjawab kepada anak-anak Kedah di Lembah Nil ini, saya merakamkan rasa kesal terhadap sebahagian ustazah-ustazah saya terkhususnya yang tinggal di bangunan Asrama Darul Aman 3 tempat seminar ini berlangsung yang memilih untuk menjadi "buta skil dan kemahiran" selain "tiada rasa" perlunya menghargai hasil usaha HEWI persatuan yang pemimpinnya diundi oleh mereka sendiri. Saya juga melihat sindrom "pengsan" ikut menghantui sebahagian siswi di sini..... Sesungguhnya saya sangat dukacita bagi pihak ibu ayah di tanah air yang sentiasa mengharapkan kesungguhan anak-anak sewaktu berjuang menimba ilmu di sini.


Pencerahan Bahasa Arab 'Ammi

Apabila saya menyatakan kesediaan memberikan pendedahan Bahasa Arab 'Ammiah kepada semua peserta yang akan ikut seminar, saya menjangkakan ia akan menjadi satu daya tarikan untuk menarik para siswi di sini untuk ikut serta, kerana memang sudah tidak jadi rahsia lagi di sini, bahawa penguasaan Bahasa Arab sama ada Fusha atau 'Ammi di kalangan pelajar-pelajar Malaysia khususnya di kalangan siswi sangat lemah. Kalau bercakap pun, tanpa kaedah...main hentam , main redah!!! Pada hal 'Ammi sama macam Fusha , ada kaedah...Kita nak bantu sebab memang kat kuliah di sini kebanyakan pensyarah syarah menggunakan 'Ammi. Biarlah kita tahu kaedah supaya bukan sahaja nantinya belajar mudah faham, tetapi juga pertuturan kita lebih baik dan Fusha kita juga akan mudah dikuasai! Tidaklah kita ni jadi bahan ketawa orang lain...


Malangnya, bila dilihat kepada penyertaan, jelas bahawa ramai yang selesa untuk "menyesal kemudian" serta "rasa tak apa kalau tak tahu Bahasa Arab" bila pulang ke Malaysia nanti! Pada hal, menguasai Bahasa Arab adalah sangat-sangat penting sebagai alat untuk memperolehi kejayaan dalam pengajian di sini. Ke kuliah, pensyarah bercakap dan menerangkan isi kitab dalam Bahasa Arab. Pengajian Talaqqi juga dalam Bahasa Arab. Bersiap menghadapi peperiksaan, semua buku kecuali untuk subjek Bahasa Inggeris adalah dalam Bahasa Arab dan menjawab peperiksaan juga mesti dalam Bahasa Arab!


Saya selalu menggalakkan pelajar yang sedang dalam zon bercuti ini mengambil kursus Bahasa Arab di Pusat Bahasa yang lokasinya kebetulan cukup dekat demi melengkapkan diri dengan ilmu alat yang penting ini, tetapi jumlahnya sangat sedikit sekali... Ramai yang memilih "pengsan selepas subuh" dan bangun langsung makan tengahari tanpa perlu sarapan pagi di sini! Rehat dan rehat kerana kita di musim cuti! Walaupun ada yang saya tahu bersungguh-sungguh mencari ilmu, tetapi hakikat bahawa lebih ramai memilih "tidak bersiap untuk pulang berbakti dengan ilmu yang mencukupi" sangat-sangat membimbangkan!


Alangkah malangnya seorang yang belajar di Lembah Nil ini khususnya yang sedang belajar pengajian Islam seperti di Fakulti Usuluddin, Syariah , Dirasat Islamiah, apalagi Fakulti Bahasa Arab, tetapi tidak tahu berbahasa Arab!


Kepada anak-anak Kedah di sini...JOM KITA BERUBAH!!!!

Ahad, 19 Julai 2009

WALIMATUL URUS DI BAIT PULAU MUTIARA

Salam rindu dari kejauhan...

Petang 18hb. Julai, saya bergegas bersama isteri ke Rumah Pulau Pinang yang kebetulan lokasinya juga di Haiyyu Sabiek sama lokasi dengan Rumah Kedah, untuk memenuhi jemputan majlis walimah dua pasang mempelai yang telah menamatkan zaman bujang mereka ketika masih belajar di Lembah Nil ini. Walaupun saya dijemput bersama lain-lain pegawai kedutaan dan pegawai kebajikan pelajar lain sebagai VIP pada jam 1 petang, saya hanya boleh hadir selepas asar kerana punya temujanji lain pada waktu yang hampir sama dengan seorang usahawan Mesir yang sudi membantu menjayakan Daurah Ilmiah yang sedang berlangsung sekarang.


Mereka yang diraikan sebagai raja sehari pada hari itu adalah saudara Mohamad Hafiz Omar dan pasangannya saudari Noor Asyila Abu Bakar serta saudara Mohd Sazali Abdul Rashid dan pasangannya saudari Nurul Zaffan Ayob. Sebenarnya salah seorang dari mereka adalah anak negeri Kedah yang berada di bawah uruselia saya iaitu ustazah Noor Asyila Abu Bakar seorang pelajar yang sedang belajar di Universiti al-Azhar Iskandariah. Manakala yang lain adalah anak-anak negeri Pulau Pinang.


Saya sempat berkenalan dan beramah mesra dengan Ustaz Jaafar Ismail, pegawai dari Jabatan agama Islam Negeri Pulau Pinang yang sedang berkursus di Darul Ifta' Mesir ditemani Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir. Pulau Pinang masih belum menempatkan seorang pegawai kebajikan pelajar di sini.


Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kedua-dua pasangan pengantin yang telah ditakdirkan mendirikan rumahtangga sewaktu sedang belajar ....Saya sempat berpesan agar masing-masing memastikan pasangan masing-masing berjaya dalam pelajaran.

Sabtu, 18 Julai 2009

RABBUNA YUSTUR!!!

Salam rindu dari kejauhan...

Beberapa hari telah berlalu, ketika saya masih di pejabat tanpa dijangka berlaku satu kejadian. Anak perempuan saya yang berusia 4 tahun, Iman tiba-tiba dihempap sebuah kotak berisi kitab yang terjatuh ketika dipindahkan seorang pelajar dari dalam bilik pejabat saya untuk dibawa ke tingkat dua asrama. Kebetulan, Iman yang berada di belakang pelajar yang memakai kain pelikat kerana baru selesai solat asar di surau asrama ketika itu, mungkin telah menarik-narik dari belakang yang menyebabkan pelajar yang baru melangkah mendaki anak tangga itu hilang imbangan. Sejurus itu juga, kotak yang berat itu jatuh dan bergolek di anak tangga dan berhenti di atas kaki anak gadis saya itu.


Letih dan tak bermaya..

Diperiksa Dr. Syazwan

Jeritan dan tangisannya yang kuat segera membawa saya keluar dari pejabat. Kepala Iman terhempas ke lantai. Dia longlai dan mungkin kerana terkejut dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu dia langsung tidak dapat berdiri ketika kotak itu dialihkan seorang pelajar. Saya segera mendukungnya ke rumah dan meletakkan ais ke benjolan yang muncul di kepalanya. Saya menghubungi Dr.Kamal pemilik Polikilinik Dr.Kamal di Alor Setar minta pandangannya. Seorang pelajar perubatan yang hampir tamat belajar di Mesir, bakal doktor saudara Syazwan segera dihubungi dan bergegas ke rumah. "Insyaallah, semua ok kalau tak dak apa-apa berlaku dalam tempoh beberapa jam ini " katanya setelah memeriksa Iman dengan penuh cermat dan bertanggungjawab.


Benjol yang kelihatan akibat hentakan

Kotak penuh berisi kitab

Syukur pada Allah kerana Iman melepasi beberapa jam yang kritikal. Keceriaan dan kepetahannya kembali 100% pada keesokan harinya. Beberapa hari sebelumnya, anak bonsu saya, Ahmad sekali lagi diuji kejantanannya setelah kejadian yang "kena air panas" dulu. Ahmad tak semena-mena terjaga dari tidur ketika orang rumah saya dan lain-lain sedang sibuk melayani syeikh yang diraikan di rumah pada ketika itu. Ahmad terjatuh dari katil tanpa disedari sesiapa sehinggalah suara disengari setelah merangkak hampir ke luar dari bilik tidur saya.


Dahi yang bincut semakin surut

Setelah kejadian itu, Ahmad tidak lagi tidur sendirian di atas katil. Samada tidur ditemani kakak, abang, mamanya ataupun tidur di buaian. Saya bersyukur kerana bengkak di kepala anak-anak kesayangan saya ini sudah sembuh dan mereka telah melepasi tempoh kritikal yang disebut ahli perubatan. Semoga Allah SWT menjauhkan mereka dan kita semua dari sebarang kecelakaan dunia dan akhirat. Aameen.


Terima kasih kepada yang membantu.. saudara Fadhil bekas YDP MKKK, Dr.Syazwan dan lain-lain yang bersimpati dan mendoakan anak-anak saya.

Sabtu, 11 Julai 2009

KEDAH INDOOR GAME 2009

Salam rindu dari kejauhan..


Tanggal 10 hb Julai bertempat di Dewan At-Tasamuh Wal Ikha' telah diadakan temasya sukan dalam dewan atau Kedah Indoor Game 2009 (K.I.G)di mana saya telah mengamanahkan kepada Majlis Kebajikan Keluarga Kedah di bawah Badan Kesenian, Kebudayaan dan Sukannya untuk bertindak sabagai urusetia menjayakan program sukan ukhuwwah ini. Tema " Sukan Rebat Ukuwwah " telah dipilih dan acara-acara sukan yang di pertandingkan termasuklah ping pong, catur, carom dan juga gusti lengan.

Ucapan Aluan oleh YDP MKKK

Ucapan Perasmian

Selaku PKPK saya telah dijemput merasmikan acara sukan yang dicadangkan menjadi acara tahunan ini. Namun, saya melihat masalah kurangnya komitmen pelajar terhadap program yang disusunatur oleh persatuan yang didokong mereka sendiri telah mengganggu kemeriahan program. Walaupun boleh dikatakan agak meriah juga dengan sorakan peserta dan penonton yang boleh dibilang dengan jari, mereka yang memilih untuk tidak ikut serta adalah jauh lebih ramai. Untuk memeriahkan acara yang dipertandingkan, saya sendiri telah ikut serta dalam acara ping pong dan carom bersama pelajar-pelajar yang antaranya sanggup datang dari Tanta untuk bersama dalam K.I.G kali ini. Pejabat Pegawai juga telah menyediakan kemudahan makan pagi percuma pada K.I.G kali ini yang berlangsung selama dua hari.


Setelah diamati, saya dapati ramai pelajar di sini lebih selesa dan suka untuk tidur dan berehat panjang khususnya selepas solat subuh pada musim cuti dari terlibat dengan apa-apa aktiviti. Ramai yang tidur hanya selepas solat subuh kerana malam yang lebih pendek dan cuaca yang agak panas di sebelah awal malam. Masuk waktu subuh di Kaherah jam 4.20 pagi dan ramai yang pengsan semula selepas itu! Walaupun ada juga yang meneruskan perjuangan mereka mencari syeikh untuk tafaqquh selepas subuh, namun bilangan kumpulan ini tidaklah ramai.


Gimik Perasmian

Carom berpasukan - PKPK + YDP MKKK

Walaubagaimanapun selaku PKPK, saya tetap mengucapkan syabas kepada semua yang telah ikut serta khususnya kepada pimpinan MKKK dari YDP serta barisan exco-exconya. Tahniah kepada yang menang dan kepada yang belum menang , boleh cuba lagi pada tahun hadapan. Semoga program-program yang akan datang akan lebih berjaya ...Insyaalah.

Selasa, 7 Julai 2009

SUDAH BODOH SOMBONG PULA!!.

Salam rindu dari kejauhan...

Bicara ini saya lontarkan kerana mengingatkan diri peribadi sendiri serta mereka yang ziarah blog saya ini, samada yang jauh di Malaysia sana maupun yang dekat di Lembah Nil ini khususnya anak-anak negeri Jelapang Padi yang masih setia bersama saya di sini tentang salah satu penyakit umat sejak zaman berzaman iaitu bodoh sombong!!


Baru-baru ini saya mendengar ulasan dari salah seorang ulamak al-Azhar yang bersama dalam Daurah Ilmiyyah yang sedang berlansung di Asrama Darul Aman 3 iaitu Fadhilatus Syeikh Dr. Abdus Salam yang saya kira ada kaitan dengan topik kita kali ini. Beliau menyebut tentang ilmu yang hilang di antara dua perkara iaitu takabbur dan malu.......


Maksudnya....Seseorang itu akan hilang kesempatan memperolehi ilmu dan peluang menambah pengetahuannya bila dia dilanda "rasa takabbur" yang menyebabkan dia merasakan dirinya dah cukup pandai lalu merasa tidak lagi perlu belajar untuk menambah dan mendalami sesuatu disiplin ilmu itu. Atau, sesorang itu juga mungkin sekali dilanda sindrom "malu" dalam menuntut ilmu seperti malu untuk keluar ke majlis ilmu dan malu bertanya bila tidak faham sesuatu yang disampaikan guru. Ini akan menyebabkan diri yang jahil terus berada dalam belenggu kejahilan yang tentunya akan pasti mengundang celaka dalam kehidupan sudahnya.


Bayangkan akibat kejahilan diri, yang nantinya turut menjadi mangsa bukan individu berkenaan itu sahaja, tetapi juga akan ikut melibatkan orang lain termasuklah institusi-institusi penting dalam masyarakat seperti institusi keluarga contohnya; di mana hasil kejahilan seorang suami.... isterinya akan menjadi mangsa...manakala hasil jahilnya ibu dan bapa...anak-anak pula akan menjadi korban! Bayangkan....Andai yang jahil itu adalah pemimpin-pemimpin dalam institusi masyarakat dan negara! Tentulah petaka dan bencana yang menanti akan lebih besar! Na'uuzubillahiminzalik.


Bodoh sombong bermaksud seorang yang jahil tidak berilmu tetapi terasa diri tahu dan berilmu serta enggan belajar dan mencari guru untuk belajar dan bertanya selain dia sering menampilkan dirinya kononnya dia tahu segala.! Walaupun pada hakikatnya dia tidak tahu, dia tidak sekali-kali akan bertanya kerana bimbang kebodohannya diketahui orang! Sesungguhnya bodoh sombong adalah suatu bencana dan musibah bagi semua kita .......

Nabi pernah menjelaskan tentang di antara alamat celaka seorang manusia itu dalam sabda baginda :

إعجاب المرء بنفسه

Yang bermaksud "merasa taajjub sesorang itu dengan dirinya sendiri"....

Sesungguhnya benarlah sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis yang lain :-

الجهل رأس كل خطيئة

Yang bermaksud "bahawa kejahilan itu adalah induk bagi segala kesilapan.."

Berkaitan rasa takabbur pula baginda Nabi SAW pernah memberikan ancaman kepada kita semua agar jangan sekali-kali takabbur dan sombong dalam hadis baginda SAW :-

لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر

Yang bermaksud " Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada perasaan takabbur walau sebesar atom di dalam hatinya"

Justeru, saya mengajak secara khususnya semua anak-anak Kedah dan umumnya semua anak-anak Malaysia yang sedang belajar di bumi Mesir ini supaya menghadirkan diri dalam program-program ilmu yang sedang kita anjurkan di Asrama Darul Aman 3 teristimewanya Daurah Ilmiyyah Mukassafah Saifiyyah yang sudah bermula lebih 2 minggu. Daurah yang rancak berjalan tiap hari kecuali hari Khamis dan Jumaat jam 6 petang waktu Mesir dan jam 11 malam waktu Malaysia ini, disiarkan secara lansung oleh al-Muttaqin Tv akan berakhir pada 18 Ogos depan. Peluang bertemu dan mendengar secara berhadapan dengan ulamak-ulamak al-Azhar yang mu'tabar ini sepatutnya tidak dilepaskan oleh semua pelajar di sini.


Malangnya...saya melihat jumlah penyertaan di kalangan pelajar Malaysia di sini secara amnya masih kecil di dalam Daurah ini sedangkan kita tidak mengenakan sebarang bayaran. Bahkan saya cukup dukacita dengan kehadiran pelajar dari negeri Kedah sendiri yang seperti sudah cukup kenyang dengan ilmu! Tak kurang pula...yang menyerah kalah setelah datang jenguk muka sekali dua tetapi kemudian hilang entah ke mana! Ada juga yang memberi alasan tak faham bahasa Arab 'Ammiyyah (bahasa Arab pasar) sedangkan kuliah disampaikan 90% dalam bahasa Arab Fushah. Pada saya, andai dalam 'Ammiyyah sekalipun, pelajar-pelajar di sini tak sepatutnya melepaskan kesempatan ini, kerana selain mendapat berkat majlis ilmu yang kita hadir dengan syeikh, kita akan membiasakan diri dengan perkataan, rangkai kata, tamsilan, uslub yang semuanya disampaikan dalam bahasa Arab. Melarikan diri dari cuba memahami...serta hilang sabar dalam mempelajari ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Arab adalah sama dengan sengaja menempa kegagalan! Bukankah kita belajar di universiti juga dalam bahasa Arab???


Kalau beginilah warna pelajar yang tidak lagi karan dan tertarik dengan program ilmiah yang dianjurkan khususnya dalam bahasa asal (Bahasa Arab) yang disampaikan syeikh-syeikh yang tidak langsung boleh dipertikaikan sesiapa kerana dihantar sendiri oleh pejabat Timbalan Rektor al-Azhar, maka tidak hairanlah....Ramai anak-anak Malaysia yang belajar di sini gagal naik tahun pengajian! Bahkan lebih ramai mereka yang gagal dari yang berjaya!!!!! Mungkin lebih ramai yang hanya pergi ke kuliah, tapi sebenarnya tak faham pun apa yang diterangkan oleh pensyarah di bilik-bilik kuliah kerana "Hilang antara takabbur dan malu!!" Berapa ramai pula yang sedang tipu ibu bapa kerana lebih banyak tidur dari belajar!!!!!


Nasihat saya pada anak-anak Kedah khususnya, kalau ingin berilmu kita mesti sabar dan gigih di samping ikhlas dan sentiasa berdoa mengharapkan Allah SWT membuka hijabNYA untuk kita. Datang juga....dan dengar juga walaupun tidak berapa faham dengan sabar, di samping bertanya apa yang tak jelas dari kawan-kawan yang faham selain mencatat apa yang kita dengar dari syeikh. Mudah-mudahan Allah SWT mengasihani kita semua.... Kepada pimpinan pelajar, saya mengharapkan agar segera menjadi contoh kepada ahli-ahli yang melantik kita dengan kita serius menjadi ikon dan idola mereka. Kita sebenarnya bukan datang ke Lembah Nil ini untuk berjalan-jalan atau berpersatuan semata-mata, tetapi kita datang untuk mendalami ilmu, berjaya dalam pengajian di samping mengasah bakat kepimpinan dalam berpersatuan.


Apa yang saya bimbang...Kita sekadar retorik, semangat berdegar-degar, tetapi tak punya ilmu....Lebih bimbang, kita akan mengecewakan ibu bapa dan masyarakat pada suatu hari nanti bila kita pulang ke tanah air tanpa kekuatan keilmuan yang cukup!!!Semoga anak-anak Lembah Nil yang membaca luahan ini diberi hidayah dan kekuatan oleh Allah untuk hadir dan suka dengan semua program pengajian yang sedang berlangsung atau yang akan dianjurkan selepas ini.


Fikir-fikirkan....

Ahad, 5 Julai 2009

KETERBUKAAN TERPIMPIN

Salam rindu dari kejauhan...

Keterbukaan..satu istilah yang tiba-tiba menjadi sebutan sebahagian besar anak-anak Kedah di Lembah Nil ini khususnya yang tinggal di Kaherah sehingga diulas dalam ceramah seperti dalam sesi kuliah subuh baru-baru ini. Alhamdulillah kerana saya sendiri berpeluang mengikutinya.

Setelah memperolehi kepastian bahawa istilah ini baru sahaja muncul menjadi sebutan di sini yakni setelah saya menyebutnya, saya mengambil keputusan untuk menulis tentang perkara ini memadangkan ia bagaikan luka kecil yang punya potensi merebak menanah menjadi fitnah yang akan membengkak jika tidak segera dirawat! Sebelum ianya menjadi barah yang membunuh, maka lebih baik saya cepat-cepat menjelaskan keadaan..

Sebenarnya di antara perkara yang saya sebut dalam pertemuan saya dengan pimpinan persatuan pelajar khususnya Majlis Kebajikan Keluarga Kedah yang menghimpun seluruh barisan pimpinannya dari Badan Penasihat sehinggalah ke HEWI, dalam pertemuan pertama dengan mereka baru-baru ini ialah tentang isu keterbukaan. Sebagai seorang yang sudah berbelas tahun dalam perkhidmatan kerajaan di samping juga agak lama dalam medan dakwah di tanah air, saya melihat keperluan untuk semua pelajar di Lembah Nil ini untuk lebih bersifat terbuka... Boleh mendengar pandangan orang lain, menghormati kepelbagian , bersikap sederhana dan beberapa perkara lain. Saya juga tegaskan tentang pentingnya menyediakan diri agar cukup persediaan sebelum balik ke Malaysia satu hari nanti. Seorang pemimpin mesti mempunyai beberapa kemahiran yang penting seperti kemahiran berorganisasi, kemahiran komunikasi termasuk kemahiran keibubapaan selain berpandangan jauh...

Selain itu, saya menyebut tentang golongan mukhlisin yang dipimpin khususnya di kalangan akhawat atau mahasiswi.... Betapa mereka lebih perlu dibantu untuk perkasa dalam upaya diri, kemampuan komunikasi dalam berbahasa Arab ataupun mampu menyampaikan ilmu dengan yakin di hadapan orang lain....Saya kaitkan tentang betapa kurangnya pendakwah di kalangan ustazah di Malaysia dewasa ini yang pulang dari Mesir. Ramai yang tenggelam dan gagal berfungsi sebagai pemimpin walaupun di kalangan sesama gender di tanah air. Saya lontarkan kenapa kita tidak boleh membenarkan mahasiswi membentangkan kertas kerja, menyampaikan ceramah di hadapan siswa dan siswi dalam satu majlis yang diatur dengan beradab?

Pada saya, medan latihan adalah di sini manakala medan sebenar adalah di Malaysia nanti! Kalau seorang itu sudah membiasakan dirinya di sini, dia juga akan biasa di sana nanti! Bayangkan kalau kita sudah membiasakan siswa dan siswi kita dengan kemampuan dan upaya diri yang tinggi dengan mereka dibekalkan dengan kekuatan-kekuatan dan kemahiran-kemahiran tertentu, maka kita sebenarnya telah menyediakan generasi pelapis kepada para ulamak yang akan berbakti di tengah masyarakat nanti dengan berkualiti . Saya tegaskan, tentang keperluan memberikan perhatian yang besar kepada penguasaan ilmu samada moden dan turath selain program pemerkasaan pengusaan bahasa Arab dalam program-program yang disusun.


Malangnya, bila istilah keterbukaan yang saya lontarkan disalahertikan... Saya menyebut keterbukaan yang terpimpin! la dharar wa la dhirar... la tafrit wa la ifrat.! saya sebut tentang Wasathiyyah... Kita berinteraksi di dalam ruang yang dibenarkan Syari'at... Malanglah, bila ada yang menyebut Keterbukaan VS Biaah Solehah!! Seolah-olahnya keterbukaan yang saya lontarkan itu berlawanan dengan biaah solehah....Adakah tidak faham atau memang keliru atau pura-pura tidak faham ? Saya serahkan segalanya pada Allah SWT kerana saya hadir ke Lembah Nil ini hanya dengan cita-cita " memberikan segala yang terbaik untuk anak-anak di sini keranaNYA". Saya ingin melihat mereka pulang dan tidak "missing in action" sewaktu di sana nanti... Hilang tidak berbekas.....lenyap tidak berjejak!!! Saya ingin melihat mereka terus mampu dan relevan di tengah masyarakat di negara kita, dengan ilmu yang mantap dan kemahiran yang tinggi selain akhlak yang mulia!

Sesungguhnya, retorik dan sekadar berbangga dengan sejarah silam kita tanpa usaha bersungguh-sungguh menguasai apa yang sepatutnya sewaktu berada di sini...sewaktu sedang belajar di lembah ilmu ini, akan hanya menjadikan kita golongan terpinggir atau lebih jauh lagi "al-Mutasaqitun" bila pulang ke Malaysia nanti....!

Fikir-fikirkan...