Isnin, 31 Ogos 2009

SAMBUTAN KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 52

Salam KEMERDEKAAN dari kejauhan...

Tanggal 30hb Ogos 2009 selepas solat Tarawih, saya dan seisi keluarga bertolak ke Asrama Malaysia Abbasiah (ARMA) untuk satu majlis rasmi sempena sambutan Kemerdekaan Malaysia kali ke 52. Majlis yang turut disertai semua pegawai Kedutaan, Jabatan Penuntut, Pegawai-pegawai Negeri, pimpinan Persatuan Pelajar, pelajar-pelajar selain isteri dan ahli-ahli keluarga para pegawai yang hadir pada malam itu dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.

Sekeluarga di malam Merdeka di luar ARMA

"Mama" bersama sebahagian isteri dan anak-anak pegawai kedutaan yang hadir

Bertempat di dataran ARMA, majlis dimulakan hampir jam 10 malam. Majlis diisi antaranya dengan bacaan AlQuran, bacaan doa kemerdekaan, bacaan ikrar, bacaan puisi kemerdekaan, tayangan slideshow, lagu patriotik, persembahan pencak silat selain ucapan oleh Pengarah JPMK dan Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Sesungguhnya "kemerdekaan " adalah nikmat kurniaan Allah SWT yang wajib disyukuri oleh kita semua... Secara ikhlasnya, memahami makna kemerdekaan yang sebenar adalah suatu yang dilihat masih menjadi masalah kepada sebahagian besar kita, generasi selepas merdeka ini. Dalam kata yang lain, anak merdeka memang masih perlu diRAWAT. Berapa ramai yang masih memahami merdeka dalam maknanya yang sempit... merdeka hanya difahami sebagai BEBAS dari belenggu penjajahan!!! Penjajah British yang menjajah negara kita...!!


VVIP dan VIP yang hadir

Andainya cara hidup kita, cara fikir kita, akhlak pekerti kita, pemikiran kita sama seperti penjajah yang telah meninggalkan negara kita 52 tahun yang lalu...Adakah kita layak dikatakan Merdeka? Apa merdekakah kita kalau kita bangga dengan Abraham Lincoln dan "tidak merasa apa" dengan Rasulullah SAW ? Apa merdekakah kita kalau kita merasa hebat dengan "bahasa penjajah" tetapi BUTA dengan "Al-Quran"? Apa merdekakah kita kalau kita cukup merasa bangga dengan pencapaian dunia kita, tetapi sedikit pun tiada dalam perhitungan kita tentang nasib akhirat kita ?

Antara pelajar-pelajar yang ikut serta

Sebenarnya...Islam datang memerdekakan kita..Islamlah yang mengajar kita makna kemerdekaan yang sebenarnya. Islam telah merdekakan kita dari penghambaan kepada makhluk... kepada menghambakan diri kita kepada Khaliq..kepada Allah SWT. Kita adalah hamba Allah yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifahNYA di muka bumi ini...Kita bukan hamba nafsu ! Kita bukan hamba jawatan! Kita bukan hamba dunia!..Andainya kita dibelenggu atau dijajah nafsu...yang bersultan di mata beraja di hati....nafsu ammarah yang sangat setia dengan telunjuk Iblis dan Syaitan, kita pasti akan terus terbelenggu dalam kegelapan penjajahan yang akhirnya hanya menjerumuskan kita ke lembah jahannam...na'uuzubillah min zalik!

Kita akan kemudiannya menjulang kebebasan tanpa sempadan..." membujur lalu, melintang patah ". Kita akan jadi loba dan tamak..kita akan jadi zalim...kita akan terpedaya dengan dunia yang indah menggoda...Kita akan lena dalam pelukan hiburan yang mempesona..Kita akan terus lalai, alpa dan leka...Sedang usia meniti senja, lihatlah, berapa ramai yang tak kenyang-kenyang dengan dunia...Sedang rumah kata ' pi..pi " dan kubur pun dah lama kata " mari..mari.."!! Mereka tetap tidak peduli!!! Benarlah...bahawa menyesal hanya menjenguk manusia di kemudian hari!! Bila maut di depan mata..hu..hu..hu "Menyesal kemudia tidak lagi berguna!!"

Yang pasti, kita hadir ke dunia tidak sia-sia. Kita hadir ke dunia penuh godaan ini, dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul Allah SWT...Ya, kita memang dilahirkan ibu kita merdeka!! Merdeka, tapi itu tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja...Kita sebenarnya diikat Allah SWT dengan batas hukum SyariatNYA. Ada wajib, ada sunat, ada haram, ada makruh dan ada harus..hukum taklifi yang 5! Kita diperintahkan mengambil yang halal dan menjauhkan diri dari yang haram!! Dan...sampai masa, kita akan dipersoalkan di hadapanNYA akan segala nikmat yang kita terima...atas segala amanah dan tanggungjawab, apakah telah terlaksana!

Pelajar-pelajar melaungkan ikrar penuh semangat

Salam KEMERDEKAAN buat semua...Moga nikmat merdeka ini akan menjadikan kita hambanya yang bersyukur dengan hati, lisan dan amalan yang segala-galanya kita lakukan...hanya keranaNYA jua! Moga MERDEKA membawa kita ke syurga!!!

Jumaat, 28 Ogos 2009

IFTHOR BERSAMA PIMPINAN PELAJAR NEGERI KEDAH DARUL AMAN....

Salam Ramadhan dari kejauhan...

28hb. Ogos 2009, Jumaat....Saya membuat keputusan mengundang semua pimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK), Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) serta wakil AlMuttaqinTV dan AlWasatiah berbuka di rumah saya.

Bersama pimpinan banin..

Alhamdulillah kerana HEWI ikut turun tangan dan campur tangan menyediakan masakan untuk Ifthor bersama isteri saya, mama mereka pada petang Jumaat yang berkat itu. Meriah rumah saya dengan kehadiran semua yang dijemput tanpa kecuali...Maklumlah, terkhusus bagi banin...mereka memang sangat-sangat merindukan masakan Ibu..masakan kampung!

Pimpinan HEWI

Gulai udang, ayam masak kicap, talang masam goreng dan sambal belacan berulamkan gargil dan timun selain puding jagung dan buah-buahan yang menjadi menu istimewa petang itu...SELESAI!!! Semoga tautan ukhuwwah dan persaudaraan yang sedia mesra terjalin akan lebih akrab dan harmoni dengan berkat Ramadhan yang sarat dengan fadhilat ini!!...Aameeen...

Rabu, 26 Ogos 2009

SEMARAK TAFAQQUH RAMADHAN 1430 DAN IFTHOR PERDANA 1

Salam Ramadhan dari kejauhan...

Selasa 25hb Ogos 2009, saya masih dalam tempoh berehat di rumah kerana pihak berkuasa Hospital Jirahiyyat al-Yuamul Wahid memberi cuti sehingga Khamis. Pun demikian, saya merasakan diri ini sudah cukup bersedia untuk kembali ke tengah medan...Alhamdulillahi bihi tatimmus solihat.

Sebab itu, bila anak-anak Kedah bertanya tentang bersediakah kita untuk majlis Ifthor Perdana kerana sudah ada yang mahu membiayainya..., saya terus saja memberikan persetujuan. Saya memang cukup yakin dengan jentera yang sedia ada di pihak anak-anak Kedah di Lembah Nil ini. Pengalaman Majlis Penutup Daurah Mukassafah bersama Masyayikh al-Azhar yang gilang gemilang baru-baru ini sudah cukup meyakinkan saya. Sebenarnya majlis itupun hanya saya saksikan melalui siaran langsung AlMuttaqinTV dari kamar 111 di Hospital Jirahiyyat sewaktu hari kedua saya ditahan di situ....

Yang pasti , tanpa kehadiran saya, anak-anak Kedah berjaya mengendalikan keadaan dengan begitu baik dan sempurna...Syukur pada Allah dan tahniah pada semua jentera...MKKK, AlMuttaqinTV dan semua! Abah bangga dengan kalian!!!

Kain rentang di luar bangunan asrama..datang jangan tak datang!!

Penuh n melepu..

Dalam dewan...

Tingkat 2 banin..

Datang awal duduk di depan...

Penuh sampai ke belakang...

Pulang ke rumah dari hospital, saya disambut dengan meriahnya Pengajian Tafaqquh Ramadhan oleh Fadhilatu Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Albanjari Almakkiyang berlangsung setiap selepas Solat Asar dan selepas Solat Tarawih di Asrama Darul Aman 3. Rakan-rakan di Malaysia atau bahagian lain dunia juga boleh mengikutinya secara langsung kerana ia dipancarkan LIVE oleh AlMuttaqinTV. Saya sangat teruja melihat sambutan hebat anak-anak Malaysia kepada majlis taalim ini. Lebih bersyukur kerana majlis pengajian ini ikut diambil manfaatnya oleh anak-anak Singapura, Thailand selain dari Indonesia. Pendek kata, dewan melimpah dengan banin yang terpaksa naik ke tingkat 2 dan 3. Manakala banat pula terpaksa ke tingkat 5, 6 dan 11. Alhamdulillah kerana kita telah mendapat biaya dari pejabat YAB MB bagi tujuan membeli beberapa buah TV Plasma. Hasilnya, kita telah membekalkan 2 tv di dewan dan juga di tingkat-tingkat 2, 3, 5, dan 6. Tingkat 11 adalah rumah tamu yang memang sudah siap dengan TV plasma bersaiz besar.


Alhamdulillah dapat juga tengok muka tok guru..


Rumah tamu tingkat 11

Beriani dan daging masak hitam

untuk mereka yang ingin "take away"

Sedia untuk diagihkan...

Berbuka di laman....

Jamuan di rumah pegawai...

Selesai kuliah sebelum berbuka, Fadhilatus Syeikh Nuruddin mengetuai bacaan tahlil dan jamuan berbuka petang itu ikut dihadiri Fadhilatus Syeikh Asyraf dan beberapa tetamu lain selain Syeikh Nuruddin sendiri di kediaman saya. Ifthor Perdana 1 ini dibiayai oleh Ustaz Syaari, orang Kedah paling lama menetap di Mesir yang lebih dikenali sebagai Pak Tam Syaari. Terima kasih bagi pihak semua untuk Pak Tam Syaari, moga Allah SWT akan memberkati kehidupan Pak Tam sekeluarga dan juga merahmati kita semua di bulan Ramadhan yang mulia ini..Aameeeen.

Ahad, 23 Ogos 2009

PENANTIAN PUN BERAKHIR.....


Salam rindu dari kejauhan....

23hb.Ogos 2009 Ahad, sekitar jam 9 pagi petugas hospital yang pernah datang Selasa minggu lepas mengambil "kahak" saya untuk diuji yang kemudiannya Dr. Suhair memberitahu saya positive H1N1, tiba-tiba terjengul di hadapan kamar saya. Rupanya dia datang untuk mengambil"nya" sekali lagi. Andai keputusan yang keluar nanti negatif bermakna saya boleh balik bertemu keluarga, anak isteri dan semua, namun andai natijahnya positif, maka ia bermakna saya akan terus ditahan untuk rawatan selama 5 hari lagi!!


Saya hanya mampu pasrah...mengambil wudhu dan buat apa yang perlu sebagai hambaNya...berdoa dan berdoa agar penantian untuk dibebaskan tiba ke garisnya! Saya nekad, andai keputusan yang keluar nanti adalah positif dan saya akan terus dalam tahanan ini, saya akan hubungi rakan-rakan Kedutaan untuk pindah dari hospital ini!! Saya rasa masa begitu lambat berjalan dan ia bagai menguji dan sesungguhnya saya cukup terasa diuji!!! Maka benarlah Ramadhan itu bulan ujian!!


Saya dimasukkan ke wad pada hari Selasa minggu sudah dan sampai ke hari ini bermakna sudah 5 hari saya di hospital ini. Saya yakin pada hikmah yang pasti ada di sebalik tiap yang berlaku. Saya yakin, Allah SWT berikan peluang untuk saya bersendirian tanpa diganggu sesiapa untuk merenung dan muhasabah diri..! Setelah sekian jumlah tahun saya diberi kesempatan hidup menghirup udaraNYA, diberi kelapangan dalam rezekiNYA, dikurniakan isteri yang baik dan taat serta tujuh orang putera puteri sebagai cahayamata dalam rumahtangga.....Apakah saya telah benar-benar menjadi hamba dan khalifahNYA seperti yang sesungguhnya???Apakah saya sudah bersedia kalau dijemput pergi mengadapNYA? Bagaimana isteri dan anak-anak saya sepeninggalan saya nanti?..Apakah mereka mampu selamat dan boleh menjadi perisai saya dari api neraka Allah SWT? Ya Allah...Berikan lagi hamba tempoh ya Allah......masih banyak yang perlu hamba lakukan...


Tiba-tiba datang seorang petugas perempuan yang buru-buru masuk ke bilik saya dan memberikan sekeping bil sambil mengucapkan "Mabruk walhamdulillah 'ala ssalamah"!!!.... Rupanya saya telah dibenarkan pulang!!! Alhamdulillah...Allah SWT berikan lagi peluang pada saya....Alhamdulillah , segala puji dan puja milik Allah SWT yang selamatkan saya dari penyakit berbahaya yang telah membunuh ramai orang ini!!! Syukur pada Allah SWT dan terima kasih pada semua yang tanpa jemu berdoa dan berikan semangat untuk saya di sini!!! Kesudahannya, PENANTIAN PUN BERAKHIR!!!

Sabtu, 22 Ogos 2009

RASA SYUKUR,PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH

Salam rindu dari kejauhan.....

Sabtu 22 Ogos - Saya masih lagi di kamar 111 Hospital Jirahiyyat al-Yaum al-Wahid. Alhamdulillah meskipun saya terpenjara di sini tanpa dapat menjengah keluar atau dapat diziarahi sesiapa sejak masuk ke sini kecuali Taha Ferrig, seorang pelajar rakyat Mesir yang menggunakan helah sehingga terlepas ke bilik saya, kemudahan dunia tanpa sempadan, internet yang saya layari menggunakan broadband tiap hari menjadikan saya separuh merdeka!!!

Selain dapat menghubungi ahli keluarga di rumah melalui YM dan Skype, saya juga dapat menghubungi keluarga dan sahabat di Malaysia dan bahagian lain dunia melalui kemudahan ini. Ramai juga yang menelefon dan tak kurang yang SMS mendoakan dan memberikan semangat juang pada saya. Sesungguhnya saya merasa sangat terharu di atas ingatan, simpati dan doa semua pada saya. Hanya Allah yang membalasnya. ....Rakan-rakan pegawai Kedutaan dan JPMK, Pegawai-pegawai negeri seperti Us. Farid Pahang, Us. Halim Selangor dan Us. hanif Johor, Syeikh Asyraf dan Syeikh Nuruddin di Mesir, Us. Halim Nasir di Malaysia dan Us. Zaharuddin Abd Rahman di UK, dan ramai lagi..Jazakumullah khairan kathiran...

Penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga di atas majlis bacaan yasin dan solat hajat yang diadakan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah juga Persatuan Pelajar Pahang Mesir serta orang-orang perseorangan yang mendoakan kesembuhan saya dari penyakit yang merbahaya ini. Semoga Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dan dengan berkat bulan Ramadhan yang penuh keistimewaan dan 'atha' ini akan segera memakbulkan doa kita semua.

Pada saya yang sedang di tengah gelombang ujian ini, saya redha dan menerima ketetapan Allah dengan penuh rasa syukur atas segala nikmat pemberianNYA. Alhamdulillah 'ala kulli hal...Saya yakin, redha dan sabar dalam menerima ujian-ujian yang diturunkan Allah...walaupun awalnya begitu pahit untuk ditelan, kesudahannya tetap manis!!!

SALAM RAMADHAN 1430 & MAJLIS TAFQQUH FIDDIN RAMADHAN

Salam rindu dari kejauahan....


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak buat semua muslimin muslimat samada di tanah air terrcinta Malaysia atau di Mesir Lembah Ilmu ini atau di mana sahaja berada yang selama ini berkesempatan mengenali dan sudi menziarahi laman blog peribadi saya ini.

Marilah kita mensyukuri nikamt Allah SWT temukan kita dengan Ramadhan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini buat kesekian kalinya dengan mengikhlaskan nawaitu kita masing-masing untuk mengambil setiap peluang dan kesempatan masa yang terhidang di bulan Rahmat ini untuk melakukan sebanyak mungkin amalan yang baik semata-mata keranaNYA. Inilah sebaik-baik bulan yang ditangisi oleh para sahabat RA akan pemergiannya dan diharap-harapkan pertemuan dengannya.

Ramadhan datang untuk menghapuskan dosa dengan tarbiahnya....kita akan berpuasa menahan nafsu dan menjinakkannya...kita akan memperbanyakkan zikrullah dan bertilawah serta bertadarrus al-Quran, bersedekah, bersolat Tarawih, beriktikaf dan...dan...dan... Sesungguhnya bertuahlah siapa yang memperolehi keampunan Allah dan perlepasan dari api neraka Allah pada bulan ini dan celakalah siapa yang melepaskan bulan ini pergi tanpa dia memperolehi keampunan Allah atas segala dosanya!!!!!


Seperkara lagi...Sempena Ramadhan tahun ini, Majlis Tafaqquh Fiddin yang disampaikan Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki dalam program Ihya' Ramadhan diteruskan bertempat di Dewan At-Tasamuh Wal Ikha', Asrama Darul Aman 3, Haiyu Sabiek,Madinah Nasr,Kaherah,Mesir bermula 30 Sya'ban hingga 22 Ramadhan 1430 H bersamaan 21 hb.Ogos hingga 12 september 2009 selepas Solat Asar dan Solat Tarawih. Kepada yangb berada di Mesir bumi barakah ini AYUH....tambahkan ilmu di dada. Kepada yang berada di luar sana boleh ikuti secara lansung insyaallah melalui Al-Muttaqin TV yang boleh dicapai melalui blog saya ini. Tiada bayaran dikenakan...

Kuliah pertama Syeikh telah saya ikuti secara live dari kamar 111 Hospital Jirahiyyat al-Yaum al-Wahid bersama rakan siber yang lain. Di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. Orang bertuah mencari-cari jalan, orang gagal mencari seribu satu alasan!!!

RAMADHAN KAREEM :)

Khamis, 20 Ogos 2009

SIAPALAH KITA DI HADAPAN KEHENDAK TUHAN...

Salam rindu dari kejauhan...

19hb Ogos 2009 sampai jua...Petang nanti akan berlangsung Majlis Penutupan Rasmi Daurah Ilmiyyah Mukassafah yang akan dihadiri Mufti Jumhuriyyah dan para Masyayikh al-Azhar yang terlibat menjayakannya selama hampir dua bulan. Majlis ini akan diadakan di Dewan Asrama Abbasiah. Andai saya dapat keluar dari hospital sebelum asar, saya akan sempat ke sana. Isteri saya sudah saya minta menyediakan sepasang baju Melayu dan saya dijadualkan menyampaikan ucapan bagi pihak Pengurus Besar YINK yang tak dapat hadir dalam majlis bersejarah ini.


Majlis penuh bersejarah

Hospital Jirahat Al-Yaum Al-Wahid

Di hospital ini, saya ditempatkan di bilik bernombor 111 dengan dua katil. Tetapi katil sebelah tidak berpenghuni kerana status penyakit saya "isytibah influanza khanazir" tidak membenarkan sesiapa bersama saya. Dalam bilik ini, terdapat sebuah almari besar dan satu set tv selain dua buah kerusi dan dua buah almari kecil di sisi katil. Saya juga tidak berkongsi bilik air dengan orang lain kerana dalam bilik ini sudah tersedia bilik air yang lengkap. Saya dilarang keluar dari bilik. Terasa diri sangat terasing dan sindiri!

Fizikalnya kira ok..

Yang kurang ok itu servisnya..

Selepas zohor, pintu bilik tumpangan saya di Hospital Jirahiyyat al- Yaum al-Wahid diketuk. Muncul Dr. Zuahair dan jururawat membawa khabar .....
" Anta POSITIVE influanza khanazir!!!" dengan selamba dia jelaskan bahawa saya akan terus ditahan lagi 5 hari untuk rawatan tanpa ada sesiapa dibenarkan melawat. Saya hanya mampu mengucapkan "lahawla wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim".


Berita pahit menyakitkan...

Saya sampaikan berita mengejutkan itu kepada isteri yang sudah banyak berkorban...Dia hanya mampu menangis...apalagi bila mengenangkan saya akan menyambut kedatangan Ramdhan tahun ini dalam "tahanan" di hospital ini. Selepas solat saya berdoa agar isteri, anak-anak saya dan semua diselamatkan dari bala ini. Seorang demi seorang saya hubungi di Malaysia dan di sini untuk maklumkan keadaan saya....Pohon agar saya didoakan.


Demikian sebuah ketetapan!!!
Bahawa saya akan ter"tahan" sendirian selama 5 hari di sini di kamar 111 yang terasing ini, sedangkan baru satu malam saya bersama dengan keluarga yang saya tinggalkan seminggu lamanya....adalah suatu yang telah tercatat!!!! Bahawa sebab saya ditahan kerana saya positive H1N1 juga adalah suatu yang sudah termaktub di Luh Mahfuz sepertimana sebab saya dijangkiti kerana pulang ke Malaysia pada waktu wabak penyakit ini tengah menular juga sudah tertulis!!!Dan, bahawa saya juga telah ditulis tidak akan dapat bersama dalam Majlis Penutupan Daurah sepertijuga saya telah ditentukan Allah menyambut kedatangan Ramdhan tahun ini sendirian di kamar sepi ini.

Masyaallahu kaan wa ma lam yasha' lam yakun!!!

Selasa, 18 Ogos 2009

DIANCAM H1N1...

Salam rindu dari kejauhan..

Sebaik sampai di rumah, saya bagai hilang tenaga...tubuh jadi lemah..hilang selera makan. Saya tidur mengambil kekuatan kerana menjangkakan saya akan kembali pulih apabila bangun. Maklumlah saya telah melalui perjalanan yang begitu jauh dan lama.

Jangkaan saya meleset rupanya. Saya sebaliknya demam panas macam demam kura... Bila saya bangun ambil wudhu' untuk solat, terasa sejuknya seolah sampai ke tulang hitam. Saya cepat-cepat masuk ke dalam selimut tebal. Ketika isteri saya panas, ketika itulah saya "mengkerekot" dalam selimut. Satu badan rasa macam dipukul, sakit dalam setiap sendi, hidung berhingus dan batuk berkahak selain terasa perit dalam kerongkong.


Dr. 'Alaa' dari Klinik Taysiir

Hospital khas untuk "selsema burung"

Selepas kuliah Syeikh Ashraf, saya dihantar ke Klinik Taysiir di mana Dr. Ala' yang membuat pemeriksaan memberitahu, saya " Masykuk H1N1". Malam itu juga saya dikehendaki ke hospital. Dengan membawa surat darinya, saya ke Hospital Shadril Abbasiah. setelah berjumpa Dr. bertugas yang siap menutup hidungnya, beliau arahkan pula saya ke Hospital Hamiyat Abbasiah sambil menerangkan hospitalnya hanya mengendalikan kes-kes selsema burung. Di Hospital Hamiyat, saya diterangkan prosuder untuk ditahan di situ untuk satu atau dua malam sementara menunggu keputusan setelah sesuatu dalam kerongkong diambil untuk diuji!. Oleh kerana saya diberi pilihan untuk datang besok, saya memilih datang pagi besoknya.

Allah tentukan, saya sekali lagi disuruh ke sebuah hospital lain bila saya hadir untuk daftar masuk di Hospital Hamiyat Abbasiah. Dr. muda yang bertugas dengan selambanya meminta saya ke Hospital Jirahat Al-Yaumul Wahid di Haiyyu Sadis. Rupanya hospital ini adalah sebuah hospital swsta seperti KMC atau PMC di Alor Setar. Sebelum masuk kita dikehendaki membayar seribu pound Mesir dan caj harian adalah LE500.


Dr. Suhair Ibrahim sedang membuat pemeriksaan

Sedang mengambil "bahan' untuk diuji..

Saya menyerahkan diri, setelah memikirkan ancaman H1N1 bukan satu perkara kecil walaupun isteri kurang bersetuju saya ditahan di wad. Maklumlah saya baru sahaja sampai dari Malaysia....Rindu belum terubat!! Doktor bertugas yang datang memeriksa berpakaian seperti orang naik bulan. Saya perlu menanti 24 jam setelah "sesuatu" diambil jauh dalam kerongkong saya. Saya hanya mampu berdoa...mudah-mudahan keputusan yang akan saya dengar nanti adalah NEGATIVE H1N1!!

Isnin, 17 Ogos 2009

PERJALANAN PALING LAMA...

Salam rindu dari kejauhan...

Sejak keluar dari rumah malam tadi sekitar jam 11 malam, saya sebenarnya sudah dalam perjalanan pulang ke Mesir. Saya terpaksa bertolak lebih awal kerana penerbangan dari Pulau Pinang ke Singapura pada awal pagi. Pada awalnya, saya merancang untuk bermalam di salah sebuah hotel berdekatan lapangan terbang. Tetapi disebabkan saya lewat sampai ke Kulim, saya membuat keputusan bertolak ke lapangan terbang selepas subuh.

Setelah bersalaman dan berpelukan buat kali terakhir dengan ibu dan kakak, saya segera bertolak menuju Pulau Pinang. Kakak Fatimah siap menyediakan satu tupperware nasi putih sebagai bekal makan tengahari dan malam ketika transit di Singapura nanti. Saya akan transit hampir 12 jam di Lapangan Terbang Changi. Ketika singgah bersarapan roti canai di Restoran Pelita , saya membeli 2 ketul ayam goreng dan dua biji roti canai tanpa kuah. Membawa sebarang makanan berkuah adalah dilarang di atas pesawat.


Disambut Ustaz Taib dan Ustazah Sakinah


Makan pagi



Selamat tinggal...Pualau Pinang dari udara


Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, saya disambut saudara sepupu Ustaz Taib seorang pensyarah di Institut Perguruan Pulau Pinang dan isterinya Ustzh Sakinah seorang guru di pulau peranginan itu. Seperti yang saya jangka barang yang dibawa melebihi had yang dibenarkan. Saya terpaksa membayar lebih 2 ribu ringgit setelah puas memujuk dan membuang sebuah kotak yang berisi makanan yang dikirim untuk pelajar di Mesir. sebelum kotak itu dibuang caj dikenakan lebih 3 ribu ringgit!

Sebenarnya kotak besar berisi plaque sahaja sudah hampir 30 kg. Kotak-kotak berisi jam berjenama pula saya masukkan dalam beg yang akan dibawa ke dalam kabin. Manakala bingkai gambar saya masukkan ke dalam beg yang saya galas di belakang. setelah bersarapan kali kedua dengaan Us. Taib dan Ustzh Sakinah saya dihantar masuk dengan lambaian terakhir perpisahan.

Sejam pejalanan dari Pulau Pinang, saya sampai sekitar jam 11.00 pagi. Saya punya banyak masa kerana saya hanya akan berlepas ke Kaherah melalui Dubai pada jam 11 malam nanti. Lapangan Terbang Antarabangsa Changi memang terkenal sebagai salah sebuah lapangan terbang terbaik dunia. Dengan tiga terminal yang dihubungi dengan mudah melalui aerotrain, banyak kemudahan-kemudahan percuma yang disediakan seperti mesin urut kaki, internet percuma dengan kemudahan PC, zon penggunaan internet bagi mereka yang mempunyai laptop sendiri dengan disediakan meja, kerusi dan point kuasa elektrik dan banyak lagi. selain itu, lapangan terbang ini juga mempuyai taburan kedai-kedai yang sangat banyak, kemudahan rehat dan hiburan serta sukan percuma sehinggalah kemudahan klinik kesihatan dan ibadat yang selesa.


Taman dalam air port

Siap dengan kolam ikan

antara kemudahan rekreasi pendidkan yang disediakan

Musim hujan di Singapura dan Malaysia

Urut kaki percuma

Bagi mereka yang tidak mempunyai lap top

Surau atau "meditation room"


Sayangnya saya terlepas untuk mengikuti "free tour" sekitar bandaraya Singapura ini kerana terlepas masa ditetapkan selain sibuk dengan YM dan blog sendiri. Selepas solat jama' zohor dan asar, saya memilih berehat di tempat tidur yang disediakan terminal 2 itu. Melelapkan mata dengan barang berharga yang berjumlah hampir 10 ribu di sisi kita dalam beg yang dibawa bukanlah suatu perkara yang mudah. Begitu juga bila tiap kali saya terpaksa ke tandas, suspen je bila keluar takut beg itu hilang!!!


Bersiap untuk tidur...

Santai..

Kemudahan sukan dan rekreasi

Selepas solat jama' maghrib dan isya', saya sekali lagi makan bekalan yang dibawa, nasi putih dan ayam goreng. Alhamdulillah, nasi yang dibekal kakak saya cukup untuk dua kali makan. Apalagi saya ada extra dua keping roti canai...Terima kasih banyak kak!! Memang panjang sungguh perjalanan ini...Hampir jam 10 malam, semua penumpang dipersilakan masuk ke bilik terakhir sebelum dipersilakan masuk ke perut kapal terbang. Syukur pada Allah kerana dua beg berat yang saya bawa sekali lagi melepasi pemeriksaan.

Tujuh jam dari Singapura ke Dubai dalam penerbangan padat dengan penumpang. Saya jangka bila memilih duduk di bahagian belakang kapal terbang, akan ada kerusi yang kosong. Rupanya jangkaan saya meleset! Kebetulan saya bertemu berpuluh pelajar lelaki dari UAE yang pulang ke Abu Dhobi dalam penerbangan yang sama. Hiruk pikuk kabin belakang kapal terbang dengan suara mereka yang tak heran dan buat pekak dengan teguran paramugara supaya menghormati penumpang lain yang sedang tidur.



Bersama sebahagian pelajar dari UAE

Setelah transit di Dubai hampir sejam, saya menyambung perjalanan yang cukup aman kerana bahagian belakang kapal terbang kosong tiba-tiba!....Ramai sungguh rupanya yang turun di Dubai dan sedikit sekali yang naik dari Dubai ke Kaherah!! Selepas tiga jam penerbangan dari Dubai, saya selamat sampai ke Kaherah hampir jam 6 pagi waktu Mesir atau 11 pagi waktu Malaysia. Kalau dijumlahkan perjalanan saya yang bermula 11 malam 15hb dari Alor Setar dan sampai di Kaherah pada 17hb pagi (11 pagi waktu Malaysia), bermakna saya telah berada dalam perjalanan pulang ke Kaherah yang mengambil masa lebih 35 jam!!!

Bahagia disambut isteri dan anak

Lebih 35 jam sebelum dapat bertemu mereka yang saya sayang di bumi Auliya'....dalam perjalanan yang melelahkan! Alhamdulillah 'ala ssalaamah!!!

Sabtu, 15 Ogos 2009

MALAM TERAKHIR DI ALOR SETAR

Salam rindu dari kejauhan...

Hari ini, 15hb Ogos 2009 adalah Sabtu terakhir sebelum berangkat...Selain mengambil pesanan yang disiapkan pembekal seperti plaque dan jam tangan untuk para Masyayikh al-Azhar yang terlibat dalam Daurah, saya bergegas ke Kedai Gambar Joi mengambil gambar YAB MB dan Pengurus Besar YINK untuk dibawa pulang ke Kaherah. Selain itu, Ke hulu ke hilir juga saya mencari barang pesanan "oghang ghumah" yang telah menyiapkan awal-awal lagi senarai barang keperluan dari Malaysia. Saya sempat memanjat Pekan Rabu dan Supermarket Billion yang dalam proses tutup di tengah-tengan bandar, selain ke Giant di Souq al-Bukhari dan Pasaraya Sakan. Pendek kata sakan juga saya membeli.


Melepas rindu dalam bicara..

Jamuan ringan bersama kakitangan YINK

Selepas Maghrib saya menyampaikan Ceramah Perdana " Selamat Datang Ramadhan" yang dianjurkan Pusat Dakwah Kedah dengan dihadiri ramai rakan-rakan dari YINK selain jemaah regular masjid di tengah-tengah bandar itu.. Selepas jamuan ringan dan bersalaman dengan teman-teman yang memang sedia maklum saya akan berangkat sebaik selesai program, saya bertolak balik ke rumah dengan pemandu YINK Abu Bakar.


Persiapan akhir

Alhamdulillah kerana ibu dan kakak saya, sudah siap mengemaskan barang-barang yang belum dimasukkan sebahagiannya ke dalam beg. Sekitar jam 11 malam saya bertolak meninggalkan bandar kelahiran saya menuju Kulim, rumah kakak saya Ustazah Fatimah dengan ditemani ibu saya yang akan menyambut kedatangan Ramadhan di sana. Kira-kira jam 12 tengah malam saya berjumpa sahabat baik saya di Sungai Petani iaitu Ustaz Murad dan isterinya Ustazah Farishah yang bersusah payah dan berbesar hati membantu membelikan baju raya untuk anak-anak dan isteri.

Bersama al-Ustaz Murad at-Turkey dan isteri

Oleh kerana jam 1 pagi lebih baru saya sampai ke rumah kakak saya di Taman Gemilang Lunas, saya mengambil keputusan untuk bermalam di rumahnya sebelum bertolak awal pagi besok ke lapangan terbang.