Khamis, 29 Oktober 2009

KE KEDUTAAN LAGI..

Salam rinduu dari kejauhan...
 

Seperti dijanjikan, saya sekali lagi ke Kedutaan Besar Malaysia di Mohandiseen buat hari kedua berturut-turut. Setelah kelmarin menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan, Agensi dan Pegawai Negeri, hari ini saya telah membuat temujanji awal pagi dengan Pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam JPA En. Muhammad Hazam Hajanan untuk membuat kunjungan hormat ke pejabat barunya. Saya telah dijanjikan untuk diberi taklimat berkenaan pekeliling-pekeling terkini JPA yang melibatkan pegawai bertugas di luar negara. Terima kasih banyak kepada En, Hazam kerana bukan sahaja telah memberikan penjelasan jelas kepada saya, bahkan beliau telah membekalkan pekeliling berkaitan untuk rujukan dan simpanan di pejabat saya.


Nyaman dan selesa...

Sebenarnya, hari ini juga saya membawa isteri dan beberapa orang isteri pegawai lain seperti isteri pegawai Pahang, Wilayah Persekutuan, Johor dan Negeri Sembilan yang mempunyai tugasan masing-masing di Pejabat Perwakilan di tingkat enam, bangunan KBMK. Saya kagum melihat kesungguhan para surirumah yang rata-rata bercuti tanpa gaji kerana mengikuti suami bertugas di luar negara ini. Mereka begitu gigih menyiapkan tugasan masing-masing. Selain mengeratkan hubungan sesama mereka, sekurang-kurangnya mereka dapat merehatkan diri seketika dari tugasan dalam rumah!!!


 Antara salah satu projek..


 
Siapkan projek baru...

 
Bersama isteri Prof. Dr. Hasan Basri dan isteri Prof. Dr. Jamil


Tukang jahit dan Tukang kira wang di JPMK ...Pn. Latifah!
 
Sebelum pulang saya makan tengah hari dengan juadah yang cukup menyelerakan di tingkat enam !!!...Terima kasih dan Alhamdulillah.

MAJLIS KONVOKESYEN GRADUAN MALAYSIA UNIVERSITI AL-AZHAR MESIR TAHUN 2009

 Bersama sebahagian anak-anak Kedah yang berjaya bergelar graduan..

Tanggal 25 Oktober suasana begitu meriah dengan wajah-wajah ceria para graduan yang menerima ijazah masing-masing dari wakil Fadhilatus Syeikh Azhar dalam majlis gilang gemilang Konvokesyen Graduan Universiti al-Azhar Mesir yang dianjurkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah di Dewan Persidangan Al-Azhar, Madinat Nasr, Kaherah.

Walaupun ramai juga graduan yang telah pulang ke tanah air setelah menamatkan pengajian di tahun akhir mereka baru-baru ini, namun dalam majlis itu, seramai lebih 350 graduan telah menerima scrol ijazah masing-masing termasuk beberapa graduan dari Singapura, Thailand dan Kemboja.

Saya bersama Ustaz Sablee, pegawai Sabah telah diamanahkan sebagai Jawatankuasa Teknikal yang banyak bertanggungjawab berkaitan siaraya dan lampu dewan selain membantu lain-lain jawatankuasa. Kami juga bertanggungjawab memastikan lagu kebangsaan Mesir dan lagu "NegaraKu" dimainkan tepat pada masanya. Berada dalam bilik sistem siaraya atau bilik kawalan utama di dewan yang cukup besar itu dan berkomunikasi memberikan arahan kepada petugas warga Mesir yang sedia kita fahami feelnya memberikan pengalaman berbeza yang agak unik.


Kepada anak-anak Malaysia khususnya para graduan dari negeri Kedah yang saya kira teramai menerima ijazah pada hari bersejarah itu, tahniah dan syabas diucapkan. Semoga langkah anda semua akan lebih diberkati selepas ini. Pulanglah kerana ramai yang sedang menanti....Teringat pesan Dato'Seri Menteri  Besar Ustaz Azizan sewaktu beliau datang merasmikan Asrama Darul Aman 3.tak lama dulu," Habaq kat Depa...Ngaji pulun-pulun..Balik mai tolong Kedah!!"

Rabu, 28 Oktober 2009

MESYUARAT KETUA-KETUA JABATAN, AGENSI DAN PEGAWAI-PEGAWAI NEGERI




 

Tanggal 28hb.Oktober 2009, bertempat di bilik mesyuarat TYT Duta Besar Malaysia Kaherah telah berlangsung Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan, Agensi dan Pegawai-Pegawai Hal Ehawal Pelajar Negeri-Negeri. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Kuasa Usaha Sementara itu, ikut disertai Menteri Penasihat, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Ketua Canseri, pegawai-pegawai kedutaan dan atase-atase pendidikan di JPMK selain Atase Agama JAKIM, Pegawai JPA, MARA, MATRADE, MPOB juga kesemua 9 buah negeri yang telah menghantar pegawai HEP di sini. Banyak isu yang dibincangkan melibatkan kepentingan pelajar Malaysia dan umumnya warganegara Malaysia yang sedang menetap di Mesir ini. Antara lain termasuklah isu-isu seperti keselamatan, kesihatan, kebajikan dan lain-ain. ahli-ahli mesyuarat juga turut mendengar laporan dari Ketua-Ketua Agensi yang berkaitan seperti JAKIM, JPA, MARA, JPA, MATRADE dan MPOB.Majlis berakhir dengan jamuan amakan tengah hari sempena pertukaran Ustaz Yazit Kecik pulang ke Malaysia.

Sabtu, 24 Oktober 2009

KE ZAQAZIQ SEKALI LAGI

Salam rindu dari kejauhan..

Awal pagi Sabtu 24hb. Oktober 2009, saya menerima panggilan telefon dari Tuan Haji Mohd.Zuhdi Pengurus Besar YINK yang bertanya khabar tentang keadaan pelajar  perubatan tajaan YINK yang terlibat dalam kemalangan di Zaqaziq tempoh hari. Rupanya beliau minta saya melihat akan kemungkinan membawa pelajar ini balik mendapatkan rawatan di tanah air.

Setelah saya menjelaskan keadaan terkini Syamsul Bakri pelajar perubatan berkenaan, berdasar lawatan terakhir saya ke Zaqaziq dan berdasarkan panggilan telefon kepada rakan-rakan di sana yang menyalurkan maklumat dari masa ke masa tentang keadaannya, saya berjanji kepada Tuan Haji Mohd. Zuhdi untuk turun ke Zaqaziq sekali lagi.




Disebabkan bertolak dah agak lewat menyebabkan saya hanya sampai setelah malam menjelang di Zaqaziq. Setelah solat jamak taqdim Maghrib dan Isyak Di Masjid Zaqaziq, saya terus ke Hospital Universiti Zaqaziq. Perjalanan ke Zaqaziq kali ini turut disertai isteri dan beberapa orang anak lelaki saya. Kesian kerana tak banyak yang dapat dilihat sepanjang perjalanan pergi balik kerana cuaca sudah pun gelap.

Di Hospital, ketika saya sedang bertanya khabar Syamsul dan berbual dengan rakan-rakan perubatan yang bertugas menjaga Syamsul malam itu, kami dikejutkan dengan lawatan Prof. Razali iaitu bekas presiden ABIM Malaysia yang datang bersama beberapa rakan dari Akademi Quran sebuah agen yang menguruskan kedatangan pelajar perubatan ke Mesir ini. Prof. Razali turut diiringi Prof Dr. Omar Syubrawy yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal berkaitan pelajar perubatan di Zaqaziq.




Banyak nasihat dan kata-kata semangat diberikan Prof Razali yang kelihatan cukup tabah dan senior dalam perjuangan dakwah di medan itu, walaupun beliau sendiri kelihatan cukup letih dan terpaksa dipimpin. ketika berjalan. Prof Razali sebenarnya sudah agak lama hilang penglihatan. Kiranya saya bertuah dapat bertemu, bersalaman dan berpelukan dengan seorang tokoh pada malam itu di Zaqaziq.

Prof Dr. Omar pula berjanji untuk menghubungi Prof Dr Ahmad Yahya, doktor yang bertanggungjawab terhadap Syamsul sejak dia dimasukkan ke hospital itu. Beliau sebenarnya telah cuba menghubungi Dr. Ahmad tapi panggilannya tidak berjawab. Saya jelaskan secara terperinci keperluan mendapatkan pandangan pihak doktor untuk dipanjangkan kepada pihak YINK. Yang pasti, boleh tidak Syamsul dibawa pulang bergantung kepada pandangan dan nasihat doktor bertanggungjawab yang memantau perkembangan tulang belakangnya yang retak itu. Yang pasti, semua bersimpati dan mendoakan kesembuhannya....

IMAN NAK SEKOLAH...!!!

Salam rindu dari kejauhan.....

Setelah puas mendengar rintihan puteri kecil saya Iman yang tak jemu bertanya " Baba, bila Iman boleh pi sekolah..?", akhirnya saya cair melihat kesungguhannya untuk ikut ke sekolah seperti kakak dan abang-abangnya yang lain meskipun umurnya baru mencecah empat tahun.



Tanggal 21 Oktober 2009, Iman mula bersekolah di Alsun Modern School, sebuah  sekolah swasta yang terletak lebih kurang 100 meter dari rumah saya di Asrama Darul Aman 3. Sekolah yang menawarkan sistem pendidikan pilihan samada Arabic atau Language ini meliputi peringkat tadika, rendah dan menengah. Yurannya tidaklah semahal Salahldin International School. Untuk peringkat tadika yurannya adalah sekitar RM1800.00 setahun.









Iman ditempatkan di kelas KG 1 bersama sejumlah pelajar yang semuanya tidak boleh berbahasa Melayu. Sebenarnya di sekolah itu, hanya Iman berbangsa Melayu, sedang majorotinya adalah warga Mesir kecuali seorang dua berbangsa Rusia. Dua tiga hari pertama, jenuh juga saya berulang ke sekolah kerana masalah komunikasi dan emosi anak gadis kecil saya itu.  Maklumlah, sudahlah kecik soghang pula...Betul-betul bak kata pepatah " seperti rusa masuk ke kampung ".

Jumaat, 16 Oktober 2009

KE ZAQAZIQ

Salam rindu dari kejauhan...

12hb Oktober 2009, pelajar-pelajar Malaysia di Mesir dikejutkan denga satu kemalangan yang melibatkan sebuah van dan sebuah treler. Kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Belibis dari Zaqaziq ini melibatkan sejumlah tujuh warga Malaysia, dua warga Indonesia dan selebihnya rakyat tempatan.

Alhamdulillah, kerana dengan rahmatNYA mangsa kemalangan yang kesemuanya adalah penumpang dan pemandu van yang beroperasi mengangkut penumpang dari Zaqaziq - Cairo, Cairo - Zaqaziq itu, selamat. Pemandunya patah kedua-dua tangan manakala penumpang hadapan sebelah pemandu patah kedua-dua kaki dan selebihnya seorang rakyat Malaysia yang agak parah dan seorang lagi juga rakyat Malaysia patah sebelah kaki. Yang lain-lain termasuk dua warga Indonesia hanyalah cedera ringan. Kemalangan itu berlaku sebaik pemandu van yang sengaja memadam lampu dalam cuaca gelap menyalakan lampu kenderaannya dan tiba-tiba mendapati sebuah treler panjang sedang membuat pusingan U.(menjadi kebiasaan di Mesir, khasnya di luar kota banyak kenderaan berjalan menyalakan lampu sekali sekala!!!).


Di hadapan pintu Bahagian Kecemasan Hospital Uni. Zaqaziq

Saya bergegas ke Zaqaziq setelah menerima panggilan telefon yang memaklumkan tentang seorang pelajar perubatan tajaan Yayasan Islam Negeri Kedah YINK terlibat dalam kemalangan tersebut. Sebenarnya semua rakyat Malaysia yang terlibat adalah pelajar-pelajar perubatan dari Universiti Zaqaziq.




Dalam kawasan Hospital Uni. Zaqaziq


Terpaksa memakai 'pemegang tengkok'



Dahi Dr Syamsul terpaksa dijahit dua jarum

Pelajar tajaan YINK yang terlibat adalah pelajar sulung perubatan tajaan YINK di Zaqaziq iaitu sdr. Syamsul Bakri Osman yang juga merupakan Ketua Pelajar perubatan di Zaqaziq. Pelajar ini sedang belajar di tahun empat. Sedih mendengar kisah Syamsul yang bertukar tiga hospital dan dibiarkan hampir enam jam tanpa menerima apa-apa rawatan. Saya menziarahinya di Hospital Uiniversiti Zaqaziq. Syamsul akhirnya disahkan mengalami keretakan tulang belakang paling atas iaitu C1.

Selain Syamsul, saya juga sempat melawat beberapa pelajar yang sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Zaqaziq. Ketika melawat pelajar di sana, saya bertemu dengan Profesor Dr. Omar yang bertanggungjawab terhadap semua pelajar-pelajar perubatan Malaysia di Universiti Zaqaziq. Lega mendengar janji beliau untuk melihat kebajikan pelajar-pelajar yang sedag diuji ini...


Bersama Prof. Dr. Omar, Pengerusi DPMZ dan sdr Hadi


 Kaki kanan Dr. Hadi pelajar Kedah yang memegang biasiswa N9

Semoga Allah SWT berikan kesembuhan yang cepat kepada mereka dan mereka semua dapat bersabar dan redha di atas ujian yang menimpa.

Khamis, 15 Oktober 2009

LAWATAN KERJA YB. DATO' PEGAWAI KEWANGAN NEGERI


Salam rindu dari kejauhan....

Awal pagi tanggal 11 Oktober 2009, saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah bersama YDP MKKK dan HEWI menyambut ketibaan YB Dato' Pegawai Kewangan Negeri Kedah Darul Aman Dato' Haji Mohd Puat bin Haji Mohd. Ali yang tiba dalam lawatan kerja ke Mesir dan Syria. Turut bersama mengiringi beliau  ialah isteri YB Dato' sendiri yang juga selaku Pegawai Daerah Kubang Pasu , Dato' Hajjah Barni selain dua anak lelaki YB Dato'. Lawatan YB Dato' diurusetiakan oleh mantan Pegawai Anak Kedah Mesir yang lepas, Ustaz Zakaria Osman.



YB Dato'  bersama Ybhg. Kuasa Usaha Sementara KBMK, Ketua Canseri, Mr.Manyalawi dan Us.Zakaria


YB. Dato' meninjau kerosakan di surau asrama


 Jamuan ringan di surau


 
Antara yang meraikan
 

Kenangan di hadapan asrama sebelum dibaikpulih

Tujuan utama YB Dato ke sini adalah membuat perakuan akhir kepada projek baikpulih bangunan Asrama Darul Aman 2 di Haiyyu 'Asyir. Bangunan yang memang uzur ini telah sebelum ini diperiksa oleh pihak Jabatan Kerja Raya. Tuan Hj Mohd Zuhdi, Pengurus Besar YINK juga dalam lawatan beliau bulan Mei yang lalu telah dibawa melawat kesan-kesan kerosakan di bangunan asrama itu. Alhamdulillah, di atas keprihatanan pihak kerajaan negeri, YB Dato' Pegawai Kewangan sendiri telah sanggup bersusah payah datang bagi tujuan baik pulih bangunan asrama ini.

Proses tandatangan dan serah terima dokumen antara pihak kerajaan negeri dan pihak kontraktor yang selesai dengan cepat akan membolehkan proses baikpulih bermula dengan segera. Sebagai Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir, memang menjadi tugas saya mengiringi YB Dato' bersama-sama Us. Ya dan Mr. Manyalawi ke Kedutaan Besar  Malaysia Kaherah dalam kunjungan hormat YB Dato' ke sana. Selain beramah mesra YB. Dato' memaklumkan kepada pihak KBMK tentang persetujuan kerajaan negeri berkaitan baik pulih bangunan asrama 'Asyir itu.

Dari Kaherah YB Dato' ke Damsyik Syria disertai isteri dan Us. Ya untuk bertemu para pelajar Kedah Syria sebelum kembali semula ke Kaherah. Sebaik sampai di Kaherah dan sebelum keberangkatan pulang YB.Dato' ke Malaysia keesokan paginya, satu majlis ramah mesra bersama YB. Dato' Pegawai Kewangan telah diadakan di Asrama Darul Aman 3. YB. Dato' juga telah berbesar hati membiayai majlis jamuan makan malam untuk semua anak Kedah yang hadir pada malam itu. YB Dato' dan isteri diraikan dengan jamuan makan malam yang agak lewat di rumah PKPK bersama kepimpinan MKKK dan HEWI.


Hampir 2 jam YB Dato' bersama anak-anak Kedah
 
 
 Tandamata dari Mesir untuk YB Dato'



Jemput makan Dato'..

 
Makan malam di tengah malam...
 
 

Bergambar kenangan bersama YB.Dato' dan isteri...


Bersama YB Dato dan ahli rombongan sejurus sebelum berlepas pulang ke tanah air

Bagi pihak Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir dan semua anak-anak Kedah di bumi Anbiyak ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan YB Dato' dan kerajaan Negeri Kedah Darul Aman di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang mengambil tindakan segera melakukan pembaikan terhadap asrama di Haiyyu 'Asyir itu. Diharap YB Dato' dapat memaafkan segala kelemahan dan kekurangan dari pihak PKPK, MKKK dan semua anak-anak Kedah di sini.

Rabu, 7 Oktober 2009

RAMAH MESRA BERSAMA AHLI PARLIMEN BALING

Salam rindu dari kejauhan...

Tanggal 5hb Oktober 2009, kedatangan Ahli Parlimen Baling YB Ustaz Taib Azamuddin dan isteri ke Perlembahan Nil ini telah diraikan dalam satu Majlis Ramah Mesra yang diadakan di Dewan At-Tasamuh Wal Ikha' Asrama Darul Aman 3. Ramai pelajar yang mengambil peluang hadir bagi sama-sama meraikan YB Ustaz Taib yang juga mantan Imam Besar Masjid Negara itu. YB Ustaz Taib mempunyai pengalaman bertugas dalam perkhidmatan kerajaan sebelum terjun ke dunia politik selama 25 tahun. Beliau adalah orang lama di JAKIM.



Bersama YB dan YDP MKKK



Aluan tuan rumah


Taujihat "Azhari" untuk "Azhari.."

Sebagai wakil kerajaan negeri, saya berucap mengalu-alukan kedatangan YB Ustaz Taib yang juga  selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.. Selain mengucapkan terima kasih atas kunjungan beliau saya juga turut memberikan taklimat ringkas perkembangan anak-anak Kedah di Mesir ini. Sampai giliran YB Ustaz, hampir dua jam hadirin dihidangkan dengan taujihat yang sarat dengan panduan dan iktibar. Sebagai seorang yang cukup lama dalam medan dakwah, banyak tip yang diberikan YB sebagai pedoman sekaligus semangat kepada semua bakal pendakwah untuk pulang nanti menggalas beban dakwah menyambong tugas para Rasul dan Ambiyak AS menyeru manusia ke jalan Allah SWT. Beliau menasihati para 'tolib ilmi' agar fokus menambah ilmu dalam pelbagai bidang kemahiran, bahkan selain berkemahiran tinggi dalam Bahasa Arab para hadirin digesa supaya menguasai Bahasa Inggeris sebagai satu keperluan dalam medan dakwah.



Antara hadirin yang turut meraikan


Ulama' tetap dimuliakan walau di mana sekali pun



Diraikan dengan jamuan di rumah PKPK


Tetamu wanita


Menandatangani Buku Lawatan
Bagi pihak PKPK, saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Ustaz. Semoga segala nasihat dan taujihat yang dicurahkan oleh YB Ustaz akan mencetuskan satu fenomena "Cinta dan Gila Ilmu" di kalangan anak-anak Kedah d Perlembahan Nil ini. Moga mereka akan pulang satu hari nanti sebagai geraduan Al-Azhar yang benar-benar mampu memikul amanah "Al Ulama' Warasatul Anbiya' "

Isnin, 5 Oktober 2009

SELAMAT KE SEKOLAH PUTERA PUTERIKU

Salam rindu dari kejauhan....

Musim baru persekolahan di Mesir telah bermula...Kalau kat Malaysia sesi persekolahan bermula awal Januari, kat Mesir pula awal Oktober adalah pembukaan bagi sesi persekolahan di sekolah-sekolah dan permulaan sesi pengajian di universiti-universiti sama ada milik kerajaan atau swasta.


Sebelum hari pertama persekolah anak-anak saya di Salahldin International School yang bermula pada 4 Oktober 2009, saya sudah membawa anak-anak ke sana membeli pakaian seragam sekolah. Berbanding tempat kita, dekat sini pakaian seragam sekolah dijual oleh syarikat yang ditentukan pihak pentadbiran di sekolah. Harganya..Subhanallah...Walaupun harga pakaian dan alat tulisnya cukup lumayan, saya cukup bersyukur kerana yuran persekolahan dibayar oleh kerajaan berdasar pekeliling yang berkaitan... Anak-anak saya di peringkat rendah dibiayai sepenuhnya manakala anak-anak saya yang belajar di peringkat menegah dibiayai kerajaan sebanyak 95% setiap seorang.



Ke sekolah membeli pakaian seragam


Bersama isteri Pegawai Pahang..

Seperti yang pernah saya ceritakan satu ketika dulu, sekolah Salahldin ini dimiliki dan diuruskan oleh warga Turki. Kebanyakan peralatan di sekolah ini dibawa dari Turki bahkan ramai warga Turki yang bekerja di sekolah ini. Pengetua sekolah menengahnya berbangsa Turki manakala Guru Besar sekolah rendahnya pula seorang muslim Amerika. Saya kira sekolah ini punya kelengkapan yang cukup untuk menarik kehadiran lebih 600 pelajar pada tahun pertama pengajiannya. Walaupun yuran seorang pelajar di sekolah ini lebih LE20 ribu , tetapi saya melihat sambutan dari kalangan warga Mesir yang berkemampuan cukup tinggi.


Antara kemudahan..padang permainan 1


Padang permainan 2


Gelanggang bola keranjang dan bola sepak


Sinki basuh tangan di Dewan Makan

Hari pertama persekolahan, anak-anak yang tak sabar-sabar ke sekolah setelah sekian lama berada di Mesir dengan penuh semangat melangkah ke kelas masing-masing. Kemampuan bahasa yang terhad sama ada dalam Bahasa Inggeris maupun dalam Bahasa Arab menjadikan mereka istimewa dalam kelas masing-masing. Apa lagi masing-masing berada dalam Gred yang berbeza. Aufa di Gred 9, Muhammad di Gred 8, Mujahid di Gred 4, Ziyad di Gred 3 dan Mubarak di Gred 2. Saya melihat kebanyakan pelajar yang masuk ke sekolah ini adalah warganegara Mesir. Ada juga dari Somalia, German dan Turki sendiri.


Sebelum masuk ke kelas....


Semangat walaupun pucat!!


Muhammad dan kawan-kawan sekelas


Aufa di Gred paling besar...Gred 9


Bersama rakan sekelas..Lauren, warga German


Ziyad dalam kelas bercampur gender


Teruja hari pertama sekolah!

Selain belajar Math, Sains dan Social Studies dalam Bahasa Inggeris serta seni dan muzik, anak-anak saya juga belajar Bahasa Arab, Arabic Social Studies , Agama dalam Bahasa Arab selain wajib belajar kelas Al-Quran. Di samping itu, mereka juga wajib belajar bahasa kedua iaitu Bahasa Turki atau Perancis. Anak-anak saya memilih Bahasa Turki sebagai Second Language. Semoga Allah rahmati anak-anak yang masih hijau ini dengan disingkap segala tabir dan dikurniakan hikmah ilmu sehingga mereka mampu suatu hari nanti menggalas harapan ummah menjulang agama...mempertahankan akidah ..."Islam Is The Way Of Life"

Aameen...Ya Rabbal 'Aalameen...


CATATAN
1- Mubarak tak ke tandas sepanjang hari pertama kerana tak tahu buka tali pinggang.
2- Mujahid dengan yakin bercerita dia ada kawan baru...dia siap ajak kawan-kawan barunya main di padang permainan. Bila ditanya " Adik cakap bahasa apa dengan depa? " Dengan selamba dia menjawab "Adik cakap Kedah!!.." Jom..Jom pi main!!" :)