Rabu, 17 Disember 2008

KedahFM 15/12/2008 - IKTIBAR PENGORBANAN

Hari ini, Isnin17 Zulhijjah 1429 bersamaan 15 Disember 2008, saya ke KedahFM buat hari kedua berturut-turut. Jika kelmarin saya menggantikan tempat Tn. Syeikh Fadhil, hari ini pula memang giliran saya.

Petang ini saya memilih untuk mengajak para pendengar untuk mengambil iktibar dari kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail AS yang telah saya ceritakan panjang lebar dalam pertemuan yang lalu.

Bagaimana Nabi Ibrahim mengajar para suami untuk menjadi seorang suami yang sejati. Suami yang mendahulukan Allah SWT di atas segalanya...! Nabi Ibrahim sanggup berpisah dengan isterinya Hajar yang sangat dicintai, juga dengan anaknya Nabi Ismail yang sangat dikasihi waktu baginda diperintahkan Allah meninggalkan kedua mereka di tanah gersang Mekah. Demi kerana keredhaan Allah, Nabi Ibarahim berkorban lalu sangguplah baginda memisahkan seorang ibu bernama Hajar dari anaknya Ismail AS bila anak itu dibawa pergi untuk diqurbankan!


Sementara itu, Hajar seorang isteri yang hebat dan taat, mengajar para wanita Islam...bagaimana menjadi isteri solehah! Isteri solehah yang sentiasa taat suami yang taat melaksanakan suruhan dan perintah Allah. Hajar sanggup mengorbankan perasaannya, keperluannya, kepentingannya demi meletakkan perintah Allah SWT di atas segala-galanya! Dia sayang suaminya dan tak ingin berpisah... tapi, bila diperintah Allah, dia pasrah!. Dia juga tak sanggup membiarkan tengkuk anaknya Ismail disembelih suami sendiri... tapi, bila perkara itu wahyu Allah dia sanggup! Bahkan dia rela serahkan jiwanya , nyawanya sekalipun kalau itu yang diperintahkan Allah!

Buat seorang bergelar anak, nabi Ismail AS adalah seorang remaja hebat yang jelas mengajar semua anak sepanjang zaman bagaimana menjadi anak soleh yang sejati. Sanggup serahkan nyawanya...tengkuknya untuk disembelih! Kenapa remaja ini begitu hebat dalam usianya yang begitu muda? Jawapannya tidak lain, kerana tarbiyyah imaniah ibu ayahnya....kerana kekuatan akidahnya...kerana kemantapan imannya!

Andai kita menjadikan sekeluarga Nabi Allah Ibrahim sebagai teladan...kita canai peribadi, jana iman dan akidah yang membentuk sikap dan mencorak tindakan....berlandaskan ilmu wahyu dari Quran dan Sunnah junjungan, kita pasti akan dapat melihat sebuah keindahan dalam keluarga dengan suami hebat...isteri hebat dan anak yang hebat! Merekalah insan-insan beriman, soleh lagi musleh yang akan merasa bertanggungjawab menjana masyarakat rabbani!

Malangnya...Realiti dalam masyarakat yang kita temui, tidak ramai yang sanggup menjadi Ibrahim, menjadi Hajar dan Ismail!!!!

Ketika menjawab pertanyaan seorang pemanggil, Che Mat dari Pulau Pinang yang bertanya tentang bagaimana dengan nasib ibu bapa di akhirat yang punya anak-anak sewaktu di dunia, sebahagian anak-anak adalah anak yang soleh manakala sebahagian pula adalah sebaliknya.....Apakah anak-anak yang tidak soleh itu menjadi sebab ibu bapa disiksa dengan neraka?, saya menjelaskan; Andai ibu bapa sejak dari awal memberikan hak anak yakni anak telah diasuh, diajar, dididik...kenal Allah, kenal Nabi, cinta Allah , cinta Nabi...ajar Quran, solat dan akhlak Islam sebagianya..., bila mereka dewasa mereka berubah menjadi tidak soleh, maka ibu bapa tadi boleh berlepas diri insyaallah ! Itupun ibu bapa tidak boleh redha dengan maksiat anak mereka serta ibu bapa hendaklah terus menasihati, menegur dan mendoakan anak mereka supaya kembali menjadi insan soleh yang diredhai AllahSWT.

Andai ibu bapa tidak menunaikan tanggungjawab seperti di atas yakni anak2 dibiarkan buta agama atau diajar sebahagian nilai agama sahaja seperti anak diajar solat, tapi dibiarkan tidak menutup aurat...bulan Ramadhan ajar anak puasa, tetapi tak kisah dengan sosial mereka....sudah tidak kisah dengan aurat, tak peduli pula dengan pergaulan bebas anak-anak. Percampuran laki-laki perempuan bukan mahram dipandang ringan dan sebagainya lagi dari perbuatan maksiat dan dosa,.... maka mana mungkin ibu bapa jenis ini dapat berlepas diri di hadapan AllahSWT nanti......

Nabi bersabda :

كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه

Maksudnya : " Tiap yang dilahirkan itu adalah lahir adalam keadaan fitarah ( suci dan tidak berdosa ) maka kedua ibu bapalah yang menjadikan anak itu Yahudi atau Nasrani atau pun Majusi " !!!

Selasa, 16 Disember 2008

KedahFM 14/12/2008 - KISAH PENGORBANAN

Ahad 14 Zulhijjah 1429 bersamaan 14 Disember 2008, sekali lagi saya ke konti KedahFM bagi menggantikan tempat guru saya Tuan Syeikh Hj. Fadhil Hj. Awang yang masih berada di tanah suci.
Meskipun Aidil Adha atau Hari Raya Qurban telah berlalu, namun saya rasa penting untuk mengungkit kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim sekeluarga atau secara khususnya kisah penyembelihan Nabi Ibrahim akan anaknya Nabi Ismail A.S yang sarat dengan pengajaran dan iktibar untuk seluruh umat Islam di sepanjang zaman.
Hari ini saya tidak cukup masa untuk membenarkan talian dibuka seperti biasa kerana kisah sejarah yang panjang disentuh hampir semua. Tiga puluh minit peruntukan masa bagaikan tidak memada. Memang itulah hakikatnya....ramai yang membuat panggilan menembusi konti untuk bertanya soalan, tetapi satu atau dua orang pemanggil sahaja yang dapat dilayan.
Surah Asshaffat ayat 99 - 105 boleh menjadi rujukan bagi yang ingin merujuk kepada sumber asal. Walaupun saya tidak sempat menghuraikan kesemua, tetapi cukup jelas akan betapa hebatnya kisah Al-Quran ini. Nabi Ibrahim A.S diperintahkan Allah SWT supaya mengorbankan anaknya yang sekian lama dinanti kehadirannya sebagai bukti kecintaannya kepada Allah SWT. Sebenarnya Nabi Ibrahim pernah berjanji, bernazar jauh sebelum kelahiran anaknya Nabi Ismail, setelah banyak binatang qurban telah diqurbankannya kerana kecintaannya pada Allah SWT bahawa andai dia ada anak lelaki, dia akan qurbankan juga kerana Allah SWT.
Maka tatkala mana anaknya yang dikasihi Nabi Ismail remaja, Allah menghadirkan mimpi kepada Nabi Ibrahim sehingga menyedarkannya tentang janji dan nazarnya untuk berqurban.
Bayangkan betapa hebatnya iman dan cinta Nabi Ibrahim sehingga sanggup mengorbankan anak yang sangat dicintai. Ketika Hajar, isteri Nami Ibrahim didatangi Iblis yang cuba manghasutnya, Hajar dengan penuh keyakinan menjawab " seorang Nabi tidak pernah diperintahkan Allah dengan sesuatu yang bathil...bukan setakat anakku aku sanggup qorbankan, malah nyawaku sendiri aku rela serahkan keranaNYA!". Bayangkan betapa hebatnya iman dan cinta seorang wanita bernama Hajar.....Dia telah diuji dan dia telah rela, redha ketika ditinggalkan sewaktu2 dahulu bersama anaknya Ismail yang masih menyusu di lembah Mekah yang kering..tidak berpenghuni. Kini...dia rela dan redha anak yang sudah remaja, yang telah sampai umur berusaha, yang sangat dikasihinya disembelih suami sendiri! Kenapa? Tidak lain kerana Iman dan Cintanya pada Allah lebih dari segala-galanya!
Lihat pula akan Nabi Ismail ketika ditanya ayahandanya...."Apa pandanganmu nak?...ayah melihat dalam mimpi (diwahyukan Allah) bahawa ayah menyembelih kamu."Jawab Nabi Ismail dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu" ....Bahkan kehebatan Nabi Ismail jelas sekali dalam kisah sejarah ini, bila Nabi Ismail cuba dihasut oleh Iblis dalam usaha Iblis menggagalkan perintah Allah SWT, Nabi Ismail melempar batu sehingga Iblis bertempiaran lari. Nabi Ismail berpesan kepada ayahnya :"Wahai ayah....tolonglah ayah ikat tangan saya supaya saya tidak bergerak2 agar mudah urusan ayah menyembelih saya...Ayah, hadapkanlah wajah saya ke tanah, supaya ayah tidak melihat wajah saya yang nanti menyebabkan timbul rasa kasihan ayah pada saya...Ayah, lipatkan kain ayah ke atas supaya tidak kena percikan darah walau sedikit, nanti ibu akan lebih bersedih melihatnya...Ayah, tolonglah nanti bawa baju saya kepada ibu sebagai kenangan dan katakanlah pada ibu " sabarlah di atas perintah Allah"...Ayah, tolonglah jangan beritahu ibu bagaimana cara ayah menyembelih saya...!"
Akhirnya setelah Nabi Ismail menyerahkan tengkuknya dan Nabi Ibrahim meletakkan pisau ditengkuk anaknya...Allah telah menggantikan di tempat Nabi Ismail itu seekor binatang Syurga...seekor domba yag gemuk sebagai ganti Nabi Ismail AS.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd!

Khamis, 11 Disember 2008

Sambutan Hari Raya Aidil Adha JHEAIK 2008

Potong dan timbang sebelum diagihkan...

Bersama Dato' YDP MAIK, dari kanan Tn. Syeikh Syukri, Tn. Syeikh Haizan,Tn. Syeikh Radhi, Dato' Syeikh Uzir Baharom, Penulis dan Tn Syeikh Zainul Mukhtar

Selamat menjamu selera....

Antara jemputan yang hadir......

Sambutan Hari Raya Aidil Adha Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) 2008.

11/12/2008 - Hari ini adalah hari Tasyriq terakhir pada sambutan Raya Haji pada tahun ini. JHEAIK tidak ketinggalan menganjurkan ibadah korban yang disertai pegawai dan kakitangannya termasuk di kalangan anggota perkhidmatan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dan dari kalangan penyelaras-penyelaras Ta'mir Masjid Negeri Kedah Darul Aman. Program ini diurusetiakan oleh Persatuan Pegawai-pegawai Agama Negeri Kedah Darul Aman dengan kerjasama Penyelaras-penyelaras Ta'mir Masjid Negeri Kedah Darul Aman.



Kehadiran Sohibussamahah Dato' Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman, Dato' Syeikh Uzir bin Baharom sejak awal pagi bersama pegawai-pegawai JHEAIK dan MAIK memeriahkan suasana sambutan. Beliau sempat bersama kakitangan memotong dan melapah lembu-lembu korban sebagai bukti keprihatinan dan sokongan beliau kepada aktiviti MAIK dan JHEAIK. Turut memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengarah JHEAIK, Pengerusi Persatuan Pegawai-pegawai Agama Negeri Kedah Darul Aman, Pegawai Khas Agama kepada YAB Menteri Besar Kedah DA, Timbalan Mufti Negeri Kedah dan Pegawai-pegawai Agama Daerah. YBhg. Dato' Pengarah JHEAIK sedang berada di Johor Darul Takzim. Selain SS Dato' Syeikh Uzir menyampaikan ucapan, turut menyampaikan ucapan Tn. syeikh Ismi Anuar Abdul Halim selaku Penegerusi Persatuan Pegawai-pegawai Agama Negeri Kedah Darul Aman.

Ahad, 7 Disember 2008

Kelebihan Puasa Hari Arafah

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abi Qatadah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud " Puasa Hari Arafah menebus dosa dua tahun; setahun sebelumnya dan setahun selepasnya. Dan Puasa Asyura' itu pula menebus dosa setahun sebelumnya".

Siapa di antara kita yang tidak punya dosa dan dan tidak pernah terpalit dengan noda. Sebagai manusia biasa, kita pasti tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Maka ketibaan 9 Zulhijjah yang menawarkan fadhilat yang sedemikian hebat tidak harus dilepaskan begitu sahaja. Bagi orang-orang soleh, 10 hari pertama bulan Zulhijjah setiap tahun adalah di antara detik yang dinantikan oleh mereka. Mereka memperbanyakkan zikir, tasbih, sedakah dan lain-lain dari amal yang saleh. Mereka pasti tidak melepaskan kesempatan berpuasa Hari Arafah kerana besarnya kelebihan yang disediakan Allah SWT.

Semoga kita adalah di antara orang-orang yang tidak melepaskan kesempatan ini.!

Sabtu, 6 Disember 2008

Cuti-Cuti Malaysia

SEMINAR PEMANTAPAN SABK DAN CUTI-CUTI MALAYSIA 3-5/12/2008





















5/12/2008

Assalamualakum…

Waktu saya mula menulis catatan ini saya sebenaranya masih dalam perjalanan pulang dari Negeri Sembilan. Berhenti rehat seketika di R&R Bukit Merah memberi ruang untuk saya menulis.....

Sebenarnya saya ke sana bertemankan seisi keluarga. Di samping saya ada teman bicara dalam perjalanan jauh dan meletihkan ini, saya dapat menyelesaikan satu lagi program yang juga dalam perancangan...Cuti-cuti Malaysia!

Anak-anak saya ternyata begitu gembira dapat ikut ’baba’ mereka ke ke salah satu lokasi pelancongan terkenal di selatan tanah air iaitu Port Dickson (PD). Sebenarnya Tiara Beach Resort(TBR), tempat seminar ini diadakan terletak lebih 25 km dari Port Dickson...Jauh! Tetapi, apa yang ditawarkan di TBR ini adalah berbaloi!. Saya menyewa satu unit bilik untuk keluarga besar saya kerana selain isteri dan 7 anak, pembantu rumah juga saya bawa bersama. Alhamdulillah kerana biliknya luas dengan 2 katil dan satu ruang tamu. Dengan ’totto’ yang memang siap-siap di bawa dari Alor Star, kira cukup lumayan! Harga seunit bilik adalah RM360.00 sahaja. Syukur kerana saya disediakan bilik berasingan oleh pihak penganjur seminar.

Bagi yang nak ke PD, boleh cuba TBR. Cuma barangkali ia sangat sesuai untuk yang berkeluarga atau lebih tepat yang punya ramai anak. Walaupun harga biliknya agak tinggi, tetapi Water Park yang disediakan menawarkan banyak pilihan untuk anak-anak kita yang jarang jumpa air tu!. Selain Water Park yang ada sekurang-kurang 4 kolam dengan salah satunya cukup luas, restoran atau kedai makan pun tak jauh walaupun harganya agak mahal. Yang pasti ia jauh lebih murah dari makanan itu dipesan atau dibeli kat TBR itu sendiri! Di samping itu, anak-anak bawah 12 tahun mendapat tiket masuk percuma ke Mini Zoo yang berdekatan. Malangnya kerana kekangan masa, anak-anak saya yang asyik dengar air tu, akhirnya tiada kesempatan ke Mini Zoo tersebut.

Khamis, 4 Disember 2008

Seminar Pemantapan Kurikulum Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Peringkat Kebangsaan



sebahagian dari peserta seminar yang datang dari seluruh pelusuk negara


Assalamualaikum..Didoakan semoga 'sahabat blog' saya sekalian sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah selalu hendaknya.

Sebenarnya, saya sedang berada di Tiara Bech Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan kerana menghadiri Seminar Pemantapan Kurikulum SABK Peringkat Kebangsaan bermula 3 - 5 hb. Disember 2008. Pada asalnya yang dijadual menghadiri seminar ini adalah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman, tetapi oleh kerana beliau dan juga Pendaftar Sekolah Agama dalam lawatan kerja ke Sarawak, maka saya selaku Timbalan Pendaftar, pada ketika ketiadaan Pendaftar mahu tidak mahu mesti bertanggungjawab menggantikan beliau walaupun saya masih tercedera. Apatahlagi, Bahagian Pendidikan JHEAIK hanya ada dua orang pegawai di antara 30 kakitangan yang ditempatkan di situ.

Bersama pembentang kertas kerja4 Y.Bhg. Tn. Haji Abdul Rashid bin Othman, Yang Dipertua Majlis Pengetua dan Guru Besar SABK merangkap Pengetua Sek.Men.Agama Darussaadah, Titi Besi, Kepala Batas, Alor Star.

Di antara objektif seminar ialah :-

  • Mendapatkan data-data berkaitan dengan pelaksanaan kurikulum di SABK daripada pihak-pihak yang berkaitan.

  • Mendapatkan pandangan yang bernas dalam usaha menyelaras, memantap dan menyeragamkan pelaksanaan kurikulum di SABK seluruh negara.

  • Mencari titik-titik pertemuan di antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Kemajuan Malaysia serta pihak-pihak berkuasa agama negeri dalam usaha mewujudkan satu Kurikulum Agama Malaysia yang berkualiti dan diterima di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

  • Menjadikan SABK sebagai institusi terbaik dan mampu menyemarakkan lagi usaha melahirkan ulama yang berkualiti.
Bersama Ustaz Nasaruddin, orang kuat SABK di Kementerin Pelajaran Malaysia dan Ustaz Ahmad Azhari, orang kuat Bahagian Pendidikan di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan


Seminar yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Islam KPM adalah dengan kerjasama Uni. Kebangsan Malaysia Pakarunding. Dalam seminar ini beberapa kertas kerja telah dibentang kepada para peserta dengan 'kertas utama' dibentang oleh Y.Bhg. Dato' Haji Dangiran Mustafa, selaku mantan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Pendidikan Islam) yang bertajuk "Program Pendaftaran Sekolah-sekolah Agama : Satu Sorotan". 'Ucaputama' seminar pula disampaikan oleh Y.Bhg. Tuan Hj. Abd. Rashid bin Ngah, Pengarah Bahagaian pendidikan Islam KPM bertajuk "Transformasi Pendidikan Islam Dan peranannya dalam Melahirkan Modal Insan Cemerlang".

Kertas kerja 1 disampaikan oleh Y.Bhg. Prof Zakaria bin Stapa, Dekan Fakulti Pengajian Islam, UKM bertajuk "Kajian Pelaksanaan Kurikulum SMAR dan SMAN".

Kertas kerja 2 bertajuk "Penyelarasan Kurikulum SMAR dan SMAN : Analisa Daripada Aspek Perancangan, Pelaksanaan Dan Perundangan" pula disampaikan oleh Y.BHG. Prof. Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi bin Haji Abd. Majid dari Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliah Ilmu Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan UIAM.

Kertas kerja 3 dibentang oleh Y.Bhg. Tn. Hj. Abrar bin Idris, Ketua Sektor, Sektor Kemajuan Sekolah Agama, Bahagian Pendidikan Islam KPM. bertajuk "Pemantapan Kurikulum : Satu Usaha Memperkasakan SABK".

Kertas kerja 4 pula disampaikan oleh Y.Bhg. Tn. Haji Abdul Rashid bin Othman, Yang Dipertua Majlis Pengetua dan Guru Besar SABK bertajuk "Penyelarasan Kurikulum Al-Azhari SABK : Cabaran dan Harapan". Beliau adalah Pengetua Sek.Men.Agama Darussaadah, Titi Besi, Kepala Batas, Alor Star.

Kertas kerja terakhir adalah bertajuk "Kurikulum Pendidikan Islam Malaysia : Satu Penanda Aras Peringkat Dunia" disampaikan oleh Y.Bhg. Asst. Prof. Dr. Adnan bin Abdul Rashid dari UIAM.











Rabu, 3 Disember 2008

Kedah FM. 5.30 pm - 01/12/2008

Kedah FM 01/12/2008

Assalamualaikum…Hari ini, saya cuba memperincikan persoalan yang dikemukakan Pak Hj. Said Sungai Papan, salah seorang pemanggil setia ruangan Bimbingan Fardhu ain di Kedah FM. Beliau telah membangkitkan tentang fenomena poligami yang diamalkan sebahagian orang kita hari ini. Mafhum katanya lebih kurang; kenapa tak ramai hari ini penceramah-penceramah dan ustaz-ustaz yang bercakap dan menjelaskan tentang poligami berkahwin lebih dari satu? Sebaliknya ramai yang kurang ilmu memilih untuk berpoligami di mana akhirnya telah menyebabkan berlaku banyak masalah dalam rumahtangga..?


Sebenarnya, isu poligami bukanlah satu isu yang baru dibahaskan dalam masyarakat. Sudah sekian lama isu ini berlegar di kalangan kita. Ada yang pro dan ada pula yang kontra. Dengan tegas, saya nyatakan bahawa poligami adalah satu syariat Allah SWT dari syariatNYA yang suci….satu hukum dari hukum-hukum Allah SWT yang berkekalan…Hukum Allah yang lengkap lagi sempurna lagi.sesuai untuk sepanjang zaman. Poligami atau berkahwin lebih dari satu dan tak lebih dari empat dalam satu-satu masa bagi seorang lelaki yang berkemampuan pada dasarnya merupakan jawapan kepada masalah dalam masyarakat yang mungkin sahaja melibatkan wanita-wanita tertentu seperti isteri yang kematian suami yang perlukan pembelaan…Wanita yang agak terlewat usia belum berumahtangga yang kesunyian ….isteri pertama yang mengalami masalah kesihatan ….tak dapat mengandung atau dah tak sanggup mengandung sedang suami berkemampuan zahir dan batin serta inginkan zuriat lagi, atau anak-anak yatim yang perlukan kasih sayang seorang ayah kerana ayah mereka telah dijemput Ilahi atau anak-anak terbiar tanpa perhatian seorang bergelar ayah kerana ibu mereka telah diceraikan ayah sendiri, atau barangkali juga lelaki sudah berkahwin yang kuat nafsunya sedang isterinya sudah tidak berupaya melayani keperluan si suami.


Apa yang malangnya, bila yang memilih berpoligami tak cukup persiapan dan persediaan perlu dalam alam poligami. Ramai yang hanya melihat dari aspek material kebendaan semata-mata tanpa mengukur keupayaan spiritual dalam melangsaikan tanggungjawab ketika melayari bahtera poligami. Sudahlah miskin ilmu,..miskin pula budi bahasa. Akhirnya, syariat Allah dikambinghitamkan! Sedangkan yang bersalah adalah tangan-tangan manusia yang jahil lagi zalim! Poligami yang sepatutnya positif telah dinegatifkan kita sendiri! Berapa ramai isteri yang menangisi kezaliman suami dan berapa ramai pula anak-anak yang menjadi mangsa pengabaian orang tua tidak bertanggungjawab! Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu? Hanya Tuhan yang tahu….

Pun begitu, saya tetap konsisten menyatakan bahawa tidak semua yang berpoligami tidak dapat menterjemahkan keindahan poligami. Sirah Nabi kita Muhammad SAW dan Sejarah orang-orang soleh dari kalangan sahabat, tabien dan tabi’ tabiin, juga sejumlah ilmuan Islam mutaakkirin yang berpoligami dan menterjemahkan keindahannya menjadi bukti betapa cantiknya syariat Allah SWT.

Alangkah indahnya, andai yang berpoligami benar-benar bertanggungjawab melaksanakan keadilan dan menyempurnakan hak seperti yang telah ditentukan Allah dan RasulNya. Akan mewangilah alam dengan anak-anak yang hebat kualitinya bukan sekadar ramai kuantitinya!.