Isnin, 30 Mac 2009

KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH ISLAM PERINGKAT NEGERI KEDAH KALI KE 3

Bersama sebahagian guru besar yang hadir

Acara lumba lari kategori Banat


Tarik tali hanya untuk Banin sahaja


07 / 03 /2009 - Sebaik selesai majlis bersama YB Dato' Mohamed Taulan di Maktab Mahmud Pokok Sena, saya bergegas ke Kuala Muda untuk bersama dalam majlis penutupan Sukan Sekolah-sekolah Rendah Islam Peringkat Negeri Kedah Darul Aman kali ke 3 yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kuala Muda.
Alhamdulillah cuaca di Kuala Muda panas terik sedangkan dalam perjalanan dari Langgar Alor Setar saya bertemu hujan di lebuh raya. Penglibatan guru-guru dan murid-murid sekolah yang hadir pada hari itu sangat menggalakkan. Telatah mereka cukup meriah dan menghiburkan termasuk sebahagian ibu bapa yang tidak ketinggalan hadir menyokong anak masing-masing.

Kepada semua tenaga urusetia samada di peringkat Jabatan mahupun di peringkat sekolah, guru-guru besar, guru-guru dan semua yang menyokong sehingga Kejohanan Sukan SRA kali ini berjaya dengan gahnya, saya ucapkan Tahniah dan Jazakumullah Khairan Kathira.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PIBG MAKTAB MAHMUD POKOK SENA

YB Dato' Hj Mohamed Taulan diiring masuk

Hadirin khusyuk mengaminkan doa

YB Dato' memberikan ucapan perasmian


Di meja makan bersama YB Dato' dan Pengetua MMPS



Tanggal 7 Mac yang lalu saya dijemput mengiringi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang mengetui Jawatankuasa Pendidikan Negeri yang baru iaitu YB Dato' Hj. Mohamed Taulan Bin Mat Rasul merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Maktab Mahmud Pokok Sena. Beliau disambut meriah dengan paluan kompang dan bunga manggar oleh warga sekolah. Sebelum masuk ke dewan menyampaikan ucapan perasmian, beliau dan lain-lain jemputan khas dipertontonkan pertunjukan seni silat di perkarangan sekolah.


Kehadiran ramai para waris ibu bapa menunjukkan komitmen dan sokongan kepada pihak PIBG dan sekolah memeriahkan lagi majlis pada hari itu. Dalam ucapannya, beliau menjanjikan komitmen kerajaan negeri untuk mengangkat martabat pendidikan khususnya di sekolah-sekolah agama termaksuk Maktab Mahmud. Selaku Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud yang baru sahaja mengambil alih tugas dari YB Hj. Abdullah Jusuh, beliu menyatakan tekad dan azam untuk menjayakan hasrat dan janji kerajaan negeri.

Di kesempatan itu juga, YB Dato' Taulan menasihati para ibu bapa supaya sentiasa memberikan perhatian kepada perkembangan anak-anak seiring dengan cabaran yang makin kompleks dewasa ini. Salah laku anak-anak yang terbabit dengan gejala sosial hari ini hendaklah ditangani segera demi menjadikan mereka anak-anak yang soleh dan pemimpin yang baik di masa hadapan.









Ahad, 29 Mac 2009

KedahFM 16/3/2009 - BERUBAHLAH...

Moga kebahagiaan itu menjadi milik kita bersama


Sifirnya mudah....Kalau kita ingin menikmati perubahan kita harus terlebih dahulu berubah! "Berubah Untuk Melihat Pasangan Kita Berubah" adalah satu lagi kaedah untuk mengembalikan rasa bahagia yang hilang antara suami isteri.

Terkadang, di luar sedar kita, masa yang berlalu dan kekangan-kekangan dalam banyak perkara yang dihadapi menjadikan kita penat berjuang untuk menyuburkan cinta dengan pasangan masing-masing. Tanpa melihat kesilapan sendiri, ramai juga antara kita yang cepat menyalahkan pasangan masing-masing sebagai punca menguncupnya rasa cinta dan keringnya kasih dan sayang.

Kalaulah kita mahu berubah! Kalaulah tiap kita mahu berubah!, kita pasti akan melihat perubahan.....! Dengan penuh keikhlasan dan putih hati kita berubah melakukan semua yang baik dan positif, asal tidak bertembung syarak...kita pasti akan dengan izin Allah melihat perubahan positif pasangan kita!

Malangnya, ramai kita yang ego, sombong dan sengaja memilih untuk derita sedangkan jalan bahagia terbentang di hadapan mata! Kalulah kita sanggup memberi yang terbaik untuk pasangan kita masing-masing, kita pasti akan menerima yang baik sekurang-kurangnya dari pasangan kita.

Fikir-fikirkan..

KedahFM 8/3/2009 - TERIMALAH DIA..

AYAH IBUKU...SANJUNGAN DAN IDOLAKU..

Hari ini saya cuba bangkitkan kesedaran yang kadang-kadang menghilang dalam diri kita untuk menerima pasangan kita seadanya dia....syukur dengan kehadirannya dalam hidup kita! Andaikata kita syukur, sebenarnya syukur itu, manfaatnya akan kembali kepada kita jua...

"Terima Pasangan Anda Agar Pasangan Anda Menerima Anda" adalah frasa kata mudah yang perlu dihayati oleh kita semua. Menyedari kita juga tidak pernah sempurna...punya kekurangan diri, maka pasangan kita juga punya beberapa titik kelemahan. Kita sebenarnya saling melengkapkan...saling memperkukuhkan antara satu dengan lain.

Seperkara lagi yang saya sebut " Fahamilah Pasangan Kita Agar Ia Memahami Kita!". Kiranya tiap kita masing-masing cuba sedaya upaya memahami keperluan dan kehendak pasangan masing-masing, maka sudah tentu natijahnya adalah keharmonian rumahtangga.....sejuk dan nyamannya bicara yang menerjah telinga dan menusuk jiwa...Atur huruf dan ayat-ayatnya adalah hasil dari penilitian setelah memahami situasi dan keadaan pasangan.

Isnin, 16 Mac 2009

KURSUS PERKEMBANGAN STAFF

Sabtu 28 Februari 2009 - Saya menerima jemputan pentadbiran Maktab Mahmud Pokok Sena untuk satu program Perkembangan Staff untuk guru-guru dan pentadbir sekolah tersebut.

Program separuh hari itu diadakan pada hari Sabtu, hari persekolahan ganti sekolah berkenaan. Saya dan seorang pegawai kanan di Jabatan Pelajaran Negeri iaitu Ustaz Haji Mohd. Rushdan Azizan hadir menjayakan program penting itu.



Sesi awal pagi saya bercakap menghuraikan topik " Etika Kerja Cemerlang Menjana Perkhidmatan Berkesan" manakala sesi berikutnya Ustaz Hj. Mohd Rushdan menjelaskan panjang lebar berkenaan "Pengurusan Panitia".
Sesungguhnya kecemerlangan sesebuah sekolah hanya akan dapat dicapai sekiranya seluruh warganya komited untuk berubah ke arah kecemerlangan. Semangat kerja secara berpasukan yang diamalkan adalah umpama tonik yang cukup mujarab untuk mencapai hasrat Sekolah Berkesan.

Selasa, 10 Mac 2009

MESYUARAT AGUNG PIBG SEKOLAH AGAMA DARIS

Bersama YB. Dato' dan YDP PIBG

Antara hadirin yang hadir

Bersama Pengetua, Pengerusi dan Tim. Pengerusi Lembaga Sek. Agama Daris


26 Februari 2009 - Hari ini, saya ke Sekolah Agama Daris di Sungai Jagung Sungai Petani mengiringi Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Dato' Ir. Hj. Amiruddin merasmikan Mesyuarat Agong PIBG sekolah tersebut.


Dalam ucapannya, secara tidak semena-mena YB Dato' Amiruddin Hamzah memaklumkan kepada hadirin yang hadir tentang pemilihan saya sebagai Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah di Mesir. Nampaknya, barangkali sudah hampir pasti sekali saya akan ke sana.....

YB Dato' menjelaskan komitmen Kerajaan Kedah dalam mempastikan kesinambungan pendidikan agama di negeri ini walaupun menghadapi sedikit sebanyak kekangan kewangan. Beliau juga banyak menasihati para waris ibu bapa supaya sentiasa mengambil berat pendidikan anak-anak termasuk pembangunan akhlak mereka.