Isnin, 6 April 2009

KedahFM. 5.30 pm - 06/04/2009

Saya mulakan pertemuan hari ini dengan membawa sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan al-Qudaa'i, ad-Dailami dan al-Hakim dari Anas R.A

إذا وجهت إلى عبد من عبيدي مصيبة في بدنه أو ماله أو ولده ثم استقبل ذلك بصبر جميل استحييت منه يوم القيامة أن أنصب له ميزانا وأنشر له ديوانا
Maksudnya :" Apabila Aku hadapkan musibah (bencana) kepada salah seorang dari hambaKu pada badannya atau hartanya atau anaknya. Kemudian ia menerimanya dengan kesabaran yang sempurna, nescaya Aku merasa malu membuat timbangan baginya pada hari Kiamat atau membuka buku catatan amalannya."
Jelas dalam hadis akan betapa besarnya janji Allah kepada hambaNya yang menerima ujian dan cubaan-cubaan hidup di dunia ini dengan Sabrun jamilun sehingga Allah merasa malu padanya untuk membuat timbangan amalnya dan membuka catatan amalnya!
Yang dimaksudkan dengan "Sabrun Jamilun" (sabar yang sempurna) iaitu sabar yang tidak memperlihatkan keluhan dan rintihan. Orang bertanya Nabi SAW :"Bagaimanakah yang dikatakan "Sabrun Jamilun"? Baginda menjelaskan : "Sabrun Jamilun" ialah sabar yang tidak ada keluh kesah dan pengaduan. Adapun yang dimaksudkan dengan "haya'" (malu), jika dihubungkan dengan Allah membawa erti Allah membatalkan perlaksanaan sesuatu ketetapan.
Dalam siri lepas saya telah menghuraikan sabar dalam menghadapi ujian yang bersifat jasmani. Maka dalam pertemuan ini saya jelaskan pula sabar dalam menghadapi ujian yang bersifat rohani. Sabar jenis ini terbahagi kepada beberapa jenis :-
a) "Iffah" iaitu sabar menahan dri dari nafsu syahwat seksual.
b) Teguh hati, sabar dalam menghadapi musibah bencana yang berlaku, tidak gelisah dan mengeluh.
c) Menahan diri dari jebak bermewah-mewah di waktu kaya.
d) "Syajaah" yakni sabar dalam perjuangan iaitu berjuang dengan berani. Lawannya ialah"Jubun" iaitu pengecut.
e) "Hilm"iaitu menahan diri dari jebak kemarahan.
f) "Tasamuh" iaitu menahan diri dan berlapang dada dengan penuh toleransi.
g) "Kitman" iaitu menahan diri dan menjaga rahsia-rahsia.
h) "Zuhud" iaitu menahan diri dari tarikan-tarikan tipu daya dunia dalam usaha mencari dan memperolehi kebahagiaan akhirat.
i) "Qana'ah" pula ialah menahan diri dari hidup berlebih-lebihan dan merasa puas serta cukup dengan apa yang dimiliki sesuai dengan hasil usahanya.
لئن شكرتم لأزيدنكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد
Firman Allah yang bermaksud:" Kiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah lagi nikmat-nikmatKu dan sekiranya kamu kufur , sesungguhnya azabKu adalah azab yang amat pedih".

Tiada ulasan: