Ahad, 17 Mei 2009

BERLEPAS MENINGGALKAN TANAH AIR


Tanggal 9hb. Mei saya dan keluarga akhirnya berangkat meninggalkan tanah air diiiringi sendu dan tangis sanak saudara. Saya bertolak dari rumah sebelum masuk waktu maghrib disulami pelukan dan deraian air mata jiran terhampir. Saya sangat tersentuh dan merasakan pemergian kali ini amat terkesan di hati mereka. Lambaian terakhir mereka masih melekat di kotak minda. Maklumlah kicauan dan riuh rendah anak-anak saya seramai 7 orang itu pun boleh tahan juga. Dua tahun walaupun tidak terlalu lama tetapi dalam tempoh itu macam-macam boleh terjadi!


Makan malam terakhir bersama keluarga terdekat

Saya sekeluarga berkumpul buat kali terakhir solat dan kemudian makan beramai-ramai di Masjid Titi Besi berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Kepala Batas. Kakak sulung, Kak Hamidah awal-awal lagi menyediakan juadah untuk hidangan keluarga malam itu . Hampir semua ahli keluarga saya ikut bersama dalam ‘dinner’ akhir itu. Antara yang hadir mama tersayang Hajjah kalsom, ummi Ramlah isteri kedua ayah, abang Abdul Kadir dan kakak Hamidah sekeluarga, abang Anuar dan kakak Fatimah sekeluarga dari Kulim, adik-adik saya adik Norsyapinah dan Ustaz hasbullah dari Pulau Pinang, adik Asim sekeluarga, adik Hafiz dan isteri serta adik Mohd. Naim dan isteri. Ayahanda saya memang dari awal lagi dah maklumkan beliau tidak dapat menghantar saya malam itu.


Bersama sebahagian sahabat Us. Hj. Rushdan , Us. hafiz Mustafa, Sir Azman DLL

Jam lapan malam ahli-ahli rombongan dah siap menanti di Balai Berlepas lapangan terbang. Rombongan ini diketuai oleh Tuan Hj. Mohd Zuhdi Hj. Saad selaku Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah bersama enam orang kakitangan YINK dalam lawatan kerja ke Mesir. Ikut serta dalam rombongan, salah seorang anak lelaki beliau yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa .



Bersama bonda dan kaum keluarga tercinta

Ramai juga sahabat, rakan, dan pastinya kaum kerabat yang memenuhi sebahagian ruang legar lapangan terbang malam itu. Saya cukup terharu atas kesudian mereka hadir “widaa’” saya sekeluarga dan lain-lain ahli rombongan malam itu. Terima kasih kepada SS Dato’ Syeikh Uzir Baharom YDP Majlis Agama Islam Kedah, Ustaz Hafiz Mustafa Lubis YDP ABIM Kedah, Ustaz Rushdan Azizan Pen. Pengarah Kanan Jab. Pendidikan Negeri dan ramai lagi yang tak dapat saya tulis nama mereka di sini.


Saya, isteri dan anak-anak adalah antara penumpang terakhir yang masuk pesawat malam itu. Pelukan ayah siang tadi, pelukan mama, abang, kakak-kakak, adik-adik dan semua yang sempat dan sudi...., menjadikan diri kerdil ini rasa ada harga….Air mata yang tumpah dan basah menceritakan tentang erti kasih sayang, kekeluargaan, persahabatan dan persaudaraan sejati!


Aku berlalu jua……Demikian sebuah ketetapan!

Tiada ulasan: