Rabu, 17 Jun 2009

JORDAN HARI PERTAMA

Salam rindu dari kejauhan....


Masa di Jordan tidak punya perbezaan sebenarnya dengan masa di Mesir. Pun demikian, waktu Subuh di Jordan masuk lebih awal berbanding di Mesir iaitu sekitar jam 3.20 pagi. Setelah solat Subuh, saya melelapkan mata sementara memulakan tugasan hari pertama di sini.





Saya dan ahli rombongan tinggal di Hotel Geneva ,sebuah hotel empat bintang yang terletak lebih kurang 30 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jordan dan 3 km dari Jabatan Penuntut Malaysia Jordan (MSD). Setelah selesai bersarapan pagi, saya bersama ahli rombongan diketuai Us. Zakaria menuju MSD menaiki teksi. Hampir setengah jam kami berpusing-pusing di Suweifieh mencari lokasi menempatkan bangunan MSD. Pelik juga kerana pemandu teksi yang kami tumpangi sendiri tidak tahu nama jalan yang diberi iaitu “Mohd Baseem Al-Khammash Street”. Setelah hampir putus asa bertanya, akhirnya kami bertemu dengan penanda “Malaysian Student Department” yang dilekatkan di salah satu tiang lampu berhampiran sebuah simpang.










Disambut oleh penyambut tetamu wanita berbangsa Arab Jordan. Masing-masing kemudian tersenyum kerana namanya sama seperti nama isteri saya “Nawal”. Beliau kemudian mempersilakan kami naik ke tingkat satu bangunan MSD. Kami disambut penuh mesra Ustaz Arman Md. Rusoff Atache Pelajaran dan tak lama kemudian Tuan Haji Sulaiman Ismail Pengarah MSD turut bersama. Lebih dua jam berbincang tentang kedatangan ahli rombongan lain yang akan sampai besok bermula dari sambutan dan jadual pertemuan dengan pelajar di Jordan sehinggalah masalah pertemuan pelajar di Syria. Us. Zakaria berkesempatan membuat pangilan ke YINK untuk memastikan semuanya berjalan seperti yang dirancang. Kerjasama yang diberikan pengarah MSD Jordan/Syria serta kakitangannya cukup baik sekali. Tingal lagi MSD masih menanti surat atau memo arahan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Putera Jaya untuk mengambil langkah seterusnya. Masing-masing berharap agar KPT segera memberikan kebenaran sebelum sampainya ahli rombongan jam 9.20 pagi besok. Us. Arman berjanji menghubungi segara andai ada perkembangan dari KPT.






Cuaca agak panas di Jordan. Namun ketiadaan debu dan pasir di sini cukup ketara. Maklumlah, Jordan tidak dikelilingi padang pasir seperti Kaherah. Bangunan-bangunan penempatan di Jordan boleh dikatakan cantik, di bina di atas tanahnya yang tinggi rendah serta sedikit berbukit. Manakala jalan raya di Jordan jauh lebih bermutu dari Mesir. Mungkin kerana rakyatnya sedikit, kereta di jalannya juga tidak terlalu banyak dan sesak.

Menaiki teksi, kami menuju pusat Bandar atau “Wasthul Balad”. Di sini kereta agak banyak, tetapi tidak ada langsung zahmah seperti di kota Kaherah. Ustaz Zakaria sengaja membatalkan makan tengah hari di hotel penginapan kami kerana memang menjangkakan perbincangan akan mengambil masa yang panjang. Lagi pun, kami memang terpaksa ke pusat Bandar kerana selaku urusetia , mau tidak mau beliau mesti membeli kad prepaid Jordan untuk memudahkan perhubungan dengan pihak-pihak di sini seperti kedutaan, MSD, pelajar-pelajar ataupun pihak agen pelancongan.










Sebelum pulang berehat di hotel, kami singgah makan tengah hari di sebuah restoran di tengah-tengah Washtol Balad berhampiran setesen basnya. Us. Zakaria yang rindu dengan makanan Arab, memesan nasi arab, sup mulukhiyyah, ayam salai, sup kambing dan setengah kepala kambing. Saya makan dengan hati-hati kerana menyedari walaupun sedap…kalau lebih, ada bahaya menanti.! Memandangkan kelmarin sebelum terbang ke sini saya sudah dijamu kabab, kuftah dan nasi burung merpati, bila hari ini pun menu kambing dan dagingnya ada lagi saya rasa dah sampai masanya, saya makan ubat yang dah lama dibekalkan isteri. Sampai di hotel, setelah solat antara yang saya tidak lupa ialah makan segenggam ubat. Ia bukan penyembuh, ia hanya wasilah atau jalan untuk mendapatkan kesembuhan! Yang menyembuhkan adalah Allah SWT…..

Tiada ulasan: