Sabtu, 20 Jun 2009

JORDAN HARI KETIGA - 19 JUN 2009

2. MAJLIS RAMAH MESRA DENGAN PELAJAR KEDAH

Walaupun sampai ke hotel penginapan agak lewat, semua ahli rombongan diminta turun awal berkumpul di lobi untuk bertolak ke Bangunan MSD Jordan. Atas persetujuan ramai, masing-masing turun makan malam pada jam 7.30 malam sebelum bertolak ke MSD Jordan pada jam 8.00 malam.


Waktu tiba di Bangunan MSD, saya melihat ramai pelajar sudah sedia menanti. Kelihatan di luar bangunan MSD sebuah bas yang barangkali disewa khas untuk membawa pelajar-pelajar ke program ini. Kami disambut meriah oleh pelajar-pelajar diketuai pegawai-pegawai MSD. Turut hadir adalah pegawai-pegawai kedutaan diketuai Ketua Canseri yang mewakili TYT Duta.


Majlis bermula tepat jam 8.30 malam dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan disusuli tayangan slide pengenalan Majlis Pelajar Kedah Jordan dan aktiviti persatuan. Yang Dipertua MPKJ saudar Asyraf Marwan kemudian dijemput meyampaikan ucapan beliau sebagai wakil pelajar. Beliau yang juga seorang pelajar perubatan berharap kepada Kerajaan Negeri supaya memperbanyakkan lagi pelajar-pelajar Kedah di Jordan khususnya dalam bidang agama selain perubatan dan bidang ekonomi.



Seterusnya tuan rumah, Pengarah MSD Jordan Tuan Hj. Sulaiman dijemput menyampaikan ucapan alauan. Beliau merakamkan penghargaan kepada delegasi yang sudi memilih Jordan sebagai destinasi lawatan ini seterusnya mengalu-alukan kedatangan ahli rombongan selain pengharapan agar kedatangan para delegasi dapat memberikan motivasi dan sokongan kepada para mahasiswa di Jordan ini. Beliau juga secara ringkas menjelaskan tentang Kedutaan Besar Malaysia Jordan dan MSD Jordan. Mengharapkan kerjasama antara MSD Jordan dan Pejabat Pegawai Kebajikan Pelajar Mesir untuk membangunkan kemahiran Insaniah pelajar di Jordan. Beliau juga memaklumkan bahawa pelajar Kedah di Jordan setakat ini tiada masalah dan MSD sangat berpuas hati kepada fokus palajar kepada pelajaran.




Bagi pihak delegasi, Pengurus Besar YINK Tuan Haji Mohd zuhdi menyampaikan ucapan dan disusuli ucapan YB Exco Pelajaran dan agama Dato' Hj. Taulan bin Mat Rasul. Satu sesi dialog juga turut diadakan bagi menjelaskan persolan-persolan yang ditimbulkan pelajar. Turut mengambil bahagian dalam menjawab soalan pelajar termasuklah Dato' Seraja Setia, Dato' Wira Hj. Rasli, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Dato' Syeikh Ghazali, setiausaha Jabatan Zakat Negeri selain Pengurus Besar YINK sendiri. Rata-rata pelajar bertanya berkenaan wang pinjaman YINK atau bantuan zakat selain kursus untuk mereka yang berjaya mendapat ijazah bagi persediaan menghadapi alam pekerjaan.


Majlis disudahi dengan pihak YINK menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Pelajar Kedah Jordan sebanyak RM30,000 selain bantuan kewangan dari MAIK. Sesi bertukar cenderamata dari kedua pihak menjadi acara kemuncak dan diikuti jamuan makan malam. Saya sempat meengadakan pertemuan ringkas dengan kepimpinan MPKJ bersama YDP MKKK dan wakil Al-Muttaqin di dewan yang sama sebelum kami bersurai. Esok pagi saya dan ahli rombongan akan check out awal dan bertolak ke Syria....

Tiada ulasan: