Memaparkan catatan dengan label aktiviti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aktiviti. Papar semua catatan

Sabtu, 11 Julai 2009

KEDAH INDOOR GAME 2009

Salam rindu dari kejauhan..


Tanggal 10 hb Julai bertempat di Dewan At-Tasamuh Wal Ikha' telah diadakan temasya sukan dalam dewan atau Kedah Indoor Game 2009 (K.I.G)di mana saya telah mengamanahkan kepada Majlis Kebajikan Keluarga Kedah di bawah Badan Kesenian, Kebudayaan dan Sukannya untuk bertindak sabagai urusetia menjayakan program sukan ukhuwwah ini. Tema " Sukan Rebat Ukuwwah " telah dipilih dan acara-acara sukan yang di pertandingkan termasuklah ping pong, catur, carom dan juga gusti lengan.

Ucapan Aluan oleh YDP MKKK

Ucapan Perasmian

Selaku PKPK saya telah dijemput merasmikan acara sukan yang dicadangkan menjadi acara tahunan ini. Namun, saya melihat masalah kurangnya komitmen pelajar terhadap program yang disusunatur oleh persatuan yang didokong mereka sendiri telah mengganggu kemeriahan program. Walaupun boleh dikatakan agak meriah juga dengan sorakan peserta dan penonton yang boleh dibilang dengan jari, mereka yang memilih untuk tidak ikut serta adalah jauh lebih ramai. Untuk memeriahkan acara yang dipertandingkan, saya sendiri telah ikut serta dalam acara ping pong dan carom bersama pelajar-pelajar yang antaranya sanggup datang dari Tanta untuk bersama dalam K.I.G kali ini. Pejabat Pegawai juga telah menyediakan kemudahan makan pagi percuma pada K.I.G kali ini yang berlangsung selama dua hari.


Setelah diamati, saya dapati ramai pelajar di sini lebih selesa dan suka untuk tidur dan berehat panjang khususnya selepas solat subuh pada musim cuti dari terlibat dengan apa-apa aktiviti. Ramai yang tidur hanya selepas solat subuh kerana malam yang lebih pendek dan cuaca yang agak panas di sebelah awal malam. Masuk waktu subuh di Kaherah jam 4.20 pagi dan ramai yang pengsan semula selepas itu! Walaupun ada juga yang meneruskan perjuangan mereka mencari syeikh untuk tafaqquh selepas subuh, namun bilangan kumpulan ini tidaklah ramai.


Gimik Perasmian

Carom berpasukan - PKPK + YDP MKKK

Walaubagaimanapun selaku PKPK, saya tetap mengucapkan syabas kepada semua yang telah ikut serta khususnya kepada pimpinan MKKK dari YDP serta barisan exco-exconya. Tahniah kepada yang menang dan kepada yang belum menang , boleh cuba lagi pada tahun hadapan. Semoga program-program yang akan datang akan lebih berjaya ...Insyaalah.

Ahad, 28 Jun 2009

DAURAH ILMIAH SAIFIAH MUKASSAFAH

Salam rindu dari kejauhan...

Sabtu 27 Jun 2009 tercatat satu lagi sejarah khususnya untuk anak-anak Kedah di Lembah Nil ini dan umumnya Malaysia apabila dengan izin Allah telah bermula Pengajian Intensif Musim Panas yang diadakan di Dewan al-Ikha' wat-Tasamuh Asrama Darul Aman 3 di Haiyyu Sabeik. Sebenarnya, kita telah berjaya memperolehi persetujuan Maktab Ra'is Jamiiah al-Azhar as-Syarif baru-baru ini untuk mengadakan Daurah Ilmiah Saifiah yang akan diisi sepenuhnya oleh Ulamak-ulamak al-Azhar. Alhamdulillah 'ala hazihil minnah...

Aluan perasmian program


Program yang julung-julung kali diadakan ini, telah disiarkan secara langsung oleh Al-Muttaqin TV dan ia akan berlangsung setiap petang bermula jam 6 sehingga solat Maghrib kecuali hari Khamis dan Jumaat. Antara ulamak-ulamak al-Azhar yang turut bersama termasuklah Fadhilatu Syeikh Dr. Thoha Hubaisy, Dr. Bakar 'Awad, Dr. Mustafa 'Imarah, Dr. Abdus Salam Atiq. Manakala bidang disiplin ilmu yang akan dibincangkan termasuklah Akidah, Qadaya Fiqh Mua'sarah, Ulum Hadis, Mantiq dan Usul Fiqh.

Fadhilatus Syeikh Ustaz Doktor Jamal Faroq


Satu majlis telah diadakan sempena pembukaan rasmi musim pengajian dan selaku PKPK yang bertanggungjawab di sini, saya berkesempatan mengalu-alukan kehadiran para Masyayikh dan Dakatirah dari al-Azhar yang sudi bersama dalam memperkasakan keilmuan anak-anak bangsa di Lembah Nil ini. Kalau dulu, setiap yang ingin menambah ilmu selain dari yang diperolehi di dewan kuliah di universiti, dia mesti mencari di merata tempat seperti di Masjid al-Azhar dan lain-lain. Tetapi dengan program Pengajian Insentif Musim Panas ini, anak-anak Malaysia di sini hanya perlu istiqamah datang ke Rumah Kedah untuk menerima penitisan ilmu dengan cabangnya yang pelbagai dari para ulamak al-Azhar yang muktabar.

Bersama Fadhilatus Syeikh..


Pendek kata, anak-anak yang tidak pulang bercuti pada tahun ini adalah lebih beruntung kerana dapat menambah ilmu turas dan mua'asir dengan mudah. Alhamdulillah sambutan hari pertama sangat memberangsangkan dan semoga hari-hari seterusnya akan lebih menggalakkan Insyaallah. Program ini akan berlangsung selama dua bulan dan akan ditutup menjelang kedatangan bulan Ramadhan nanti.


Selesai majlis hari pertama Fadhilatus Syaikh Ustaz Doktor Jamal Faroq diraikan dalam sedikit jamuan di kediaman pegawai bersama beberapa tetamu termasuk Ustaz Abdullah Mad Atache Agama di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Ustaz Zainuddin Atache Pelajaran di Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.

Jamuan nasi mandi


Adalah diharapkan kepada semua yang masih belum pulang ke Malaysia agar tidak melepaskan peluang untuk berada di kalangan tholib al-ilm dalam kebun syurga bersama para Ulamak al-Azhar yang dibawa khas ke ribaan pelajar-pelajar Malaysia di Rumah Kedah ini. Selamat Datang Ke Daurah Ilmiah Saifiah Mukassafah.......Ahlan Wa Marhaban Bikum!

SELAMAT PENGANTIN BARU

Salam rindu dari kejauhan....

Saya dan Ustaz Zakaria serta saudara Abu Bakar dan juga Aidil Azwal sampai di Lapangan Terbang Antara Bangsa Kaherah lebih kurang jam 7 petang. Setelah melalui perjalanan hampir lapan hari, jauh dari keluarga, akhirnya saya kembali bertemu mereka, orang-orang penting dalam hidup saya di Kaherah ini.


Sebaik saya sampai ke Asrama Darul Aman 3 yang menjadi kediaman saya dan keluarga di bumi Mesir ini, anak-anak Kedah kat sini yang memang sudah selesai menghadapi peperiksaan baru-baru ini dilihat sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk majlis akad nikah sepasang mempelai dari kalangan anak Kedah yang akan dilangsungkan pada besok hari. Maknanya, besok saya akan dapat anak menantu baru!


Bersama anak menantu baru...

Sewaktu saya berlepas ke Lawatan Jordan / Syria tempoh hari, anak-anak Kedah di Lembah Nil ini sudah siap bermesyuarat dan mengaturkan segalanya berkaitan majlis bersejarah itu. Majlis akad nikah saudara Mohd Khairuzzaman Said dan saudari Norbaishatul Ahmad itu akan diadakan selepas solat Isyak bahkan persiapan masak memasak telah dibuat sejak pagi lagi. Saya cukup bangga dengan anak-anak Kedah di sini yang saya lihat cukup ringan tulang, bahu membahu sedaya upaya bekerjasama bagi menjayakan majlis akad nikah dan kenduri kesyukuran itu. Semuanya dilakukan secara gotong royong!

Menanti penuh debaran

Sekali lafaz jadi suami....

Kek hantaran buatan sendiri

Gubahan penuh kretiviti

Lelaki di sebalik hantaran penuh kreatif


Malam yang dinanti pun tiba.....Detik penuh debaran yang dilalui setiap pasangan yang memasuki gerbang perkahwinan dilalui dengan selamatnya.... Khutbah nikah dan akad nikah
disempurnakan Ustaz Yazid Atache Pelajaran di Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah. Dengan sekali lafaz, mereka sah sebagai suami isteri. Majlis diakhiri dengan jamuan nasi beriani yang cukup menyelerakan dan sesi bergambar. Bagi pihak pejabat PKPK serta isteri dan anak-anak diucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU dengan iringan doa moga sentiasa dalam barakah dan rahmat Allah selalu. Barakallah Fikuma..Wa Baraka 'Alaikuma...Wa Jama'a Bainakuma Fi Khair..!

Watak-watak penting di gedohok!


Semangat gotong royong dan kesukarelaan!

Acar timun dalam pembikinan...

Tumis gulai daging.....

Teman dan sahabat...Hadirin Lelaki.

Jamuan beriani di dinihari...

TERBANG SEKAWAN BURUNG KETITIR
HINGGAP DI ATAP TIDAK BERSANGKAR
KASIH BAGAI INTAN SEBUTIR
MAKIN DIGILAP MAKIN BERSINAR.....