Selasa, 21 Julai 2009

MUSLIMAH INTELLIGENT SEMINAR 09 DAN HARI KEBUDAYAAN, KESENIAN & SUKAN 09

Salam rindu dari kejauhan...

Bertemakan " Kredibiliti Mahasiswi Pemangkin Kemantapan Ummah" saya dijemput merasmikan MISK atau Muslimah Intelligent Seminar (Kedah) 09 yang dianjurkan Hal Ehwal Wanita Islam MKKK sessi 08/09 pada 19hb Julai yang diadakan di Dewan at-Tasamuh wal- Ikha' Asrama Darul Iman 3. Setinggi tahniah dan syabas kepada seluruh pimpinan HEWI MKKK serta AJK terlibat di atas kesungguhan dan komitmen tinggi yang telah mereka pamerkan..

Majlis Perasmian

Forum bersama Ustaz Hanif Pegawai Kebajikan Pelajar Johor

Selain siswi negeri Kedah, seminar yang saya lihat penuh dengan pengisian ini ikut dibuka penyertaannya kepada seluruh mahasiswi rakyat Malaysia yang sedang belajar di Lembah Nil ini. Di antara pengisiannya termasuklah beberapa pembentangan kertas kerja, diskusi buku, forum serta talk show. Program yang berlangsung bermula 19hb ini hanya berakhir pada petang 21hb dengan dua hari penuh pengisian ilmiah di mana peserta seminar ini mendapat pendedahan skil penyampaian dari penyampai-penyampai yang berbeza. Sementara hari terakhir peserta-peserta berpeluang pula mengikuti Hari Kebudayaan, Kesenian dan Sukan dengan bertemakan "Budaya ISLAM budaya kita" yang membariskan berbagai acara seperti pertandingan gubahan, sukan ping pong, carom, sahibba, puzzle selain persembahan pentomen, sajak dan juga nasyid.


Turut menjayakan Hari Kebudayaan..

Melihat gubahan para peserta
Peserta pertandingan gubahan memperincikan persembahan

Hakim pertandingan gubahan


Sayangnya, saya masih melihat fenomena yang sama iaitu kurangnya sambutan di kalangan pelajar terhadap usaha murni pihak HEWI ini. Mungkin kerana program ini mengenakan sedikit bayaran iaitu LE 30, ramai yang tidak ikut serta. Sebenarnya, pejabat PKPK telah mengeluarkan peruntukan lebih LE 2 ribu untuk menjayakan program ini. LE 30 seorang yang dikenakan itu adalah untuk menampung sebahagian kos makan minum yang ditanggung sepenuhnya sepanjang program berlangsung. Sedangkan ilmu pengetahuan yang dikutip sepanjang program dan skil atau kemahiran yang diperolehi tidak terhingga nilainya. Saya dan isteri ikut terlibat bersama HEWI MKKK yang bagi saya cukup bersemangat menjayakan program ini.

Talk Show - Fiqhul Mara'h

Kenang-kenangan...tanda ingatan

Dua malam juga saya tidur lewat kerana siapkan bahan untuk pencerahan para peserta program bagi slot Bahasa 'Ammi. Penat juga saya tengok isteri saya merujuk kitab-kitab Fekah untuk slot Fiqhul Mara'h. Selain itu, saya juga telah bersama menjayakan slot forum dengan Pegawai Kebajikan Pelajar Johor Mesir yang sudi ikut menghulurkan bantuan. Selain beliau, Pegawai Kebajikan Pelajar Pahang juga turut turun padang bersama dalam slot Forum terakhir dalam seminar dengan Presiden PMRAM serta YDP HEWI PMRAM yang diundang dalam program ini.


Forum bersama Pegawai Pahang, Presiden dan YDP HEWI PMRAM

Tanda ingatan untuk Ustaz Farid

Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Untuk YDP HEWI PMRAM

Setelah saya mengikuti program ini secara dekat, saya mendapati ianya sangat baik dan bermanfaat untuk para peserta yang hadir. Adalah satu kerugian yang besar bagai mereka yang tidak hadir hanya dengan alasan yuran tinggi!! Sesungguhnya "Hanya permata yang mengenali manikam" ! Buat yang hadir, tahniah kerana anda terpilih untuk menerima bukan sahaja ilmu pengetahuan, tetapi juga pendedahan skil, kemahiran-kemahiran yang sebenarnya tidak diperolehi di bilik-bilik kuliah. Bukankah dalam dalam 2 hari seminar berlangsung , kita dikenalkan, didedahkan dan sebenarnya kita diajar tentang bagaimana seorang pembentang kertas kerja itu membentangkan kertas kerjanya... Bagaimana untuk menjadi seorang "pendiskusi buku" yang baik. Bagaimana pula menjadi seorang "ahli panel forum". Bagaimana menjadi seorang "pengerusi umum" bagi sesuatu majlis, "pengerusi majlis diskusi", "talk show" atau"pengerusi forum"! Itu belum lagi termasuk ilmu-ilmu yang diperolehi serta maklumat semasa yang didedahkan. Bukankah persaudaraan serta ukhuwwah juga jadi bertambah rapat antara satu dengan yang lain....?


Sebagai PKPK yang bertanggungjawab kepada anak-anak Kedah di Lembah Nil ini, saya merakamkan rasa kesal terhadap sebahagian ustazah-ustazah saya terkhususnya yang tinggal di bangunan Asrama Darul Aman 3 tempat seminar ini berlangsung yang memilih untuk menjadi "buta skil dan kemahiran" selain "tiada rasa" perlunya menghargai hasil usaha HEWI persatuan yang pemimpinnya diundi oleh mereka sendiri. Saya juga melihat sindrom "pengsan" ikut menghantui sebahagian siswi di sini..... Sesungguhnya saya sangat dukacita bagi pihak ibu ayah di tanah air yang sentiasa mengharapkan kesungguhan anak-anak sewaktu berjuang menimba ilmu di sini.


Pencerahan Bahasa Arab 'Ammi

Apabila saya menyatakan kesediaan memberikan pendedahan Bahasa Arab 'Ammiah kepada semua peserta yang akan ikut seminar, saya menjangkakan ia akan menjadi satu daya tarikan untuk menarik para siswi di sini untuk ikut serta, kerana memang sudah tidak jadi rahsia lagi di sini, bahawa penguasaan Bahasa Arab sama ada Fusha atau 'Ammi di kalangan pelajar-pelajar Malaysia khususnya di kalangan siswi sangat lemah. Kalau bercakap pun, tanpa kaedah...main hentam , main redah!!! Pada hal 'Ammi sama macam Fusha , ada kaedah...Kita nak bantu sebab memang kat kuliah di sini kebanyakan pensyarah syarah menggunakan 'Ammi. Biarlah kita tahu kaedah supaya bukan sahaja nantinya belajar mudah faham, tetapi juga pertuturan kita lebih baik dan Fusha kita juga akan mudah dikuasai! Tidaklah kita ni jadi bahan ketawa orang lain...


Malangnya, bila dilihat kepada penyertaan, jelas bahawa ramai yang selesa untuk "menyesal kemudian" serta "rasa tak apa kalau tak tahu Bahasa Arab" bila pulang ke Malaysia nanti! Pada hal, menguasai Bahasa Arab adalah sangat-sangat penting sebagai alat untuk memperolehi kejayaan dalam pengajian di sini. Ke kuliah, pensyarah bercakap dan menerangkan isi kitab dalam Bahasa Arab. Pengajian Talaqqi juga dalam Bahasa Arab. Bersiap menghadapi peperiksaan, semua buku kecuali untuk subjek Bahasa Inggeris adalah dalam Bahasa Arab dan menjawab peperiksaan juga mesti dalam Bahasa Arab!


Saya selalu menggalakkan pelajar yang sedang dalam zon bercuti ini mengambil kursus Bahasa Arab di Pusat Bahasa yang lokasinya kebetulan cukup dekat demi melengkapkan diri dengan ilmu alat yang penting ini, tetapi jumlahnya sangat sedikit sekali... Ramai yang memilih "pengsan selepas subuh" dan bangun langsung makan tengahari tanpa perlu sarapan pagi di sini! Rehat dan rehat kerana kita di musim cuti! Walaupun ada yang saya tahu bersungguh-sungguh mencari ilmu, tetapi hakikat bahawa lebih ramai memilih "tidak bersiap untuk pulang berbakti dengan ilmu yang mencukupi" sangat-sangat membimbangkan!


Alangkah malangnya seorang yang belajar di Lembah Nil ini khususnya yang sedang belajar pengajian Islam seperti di Fakulti Usuluddin, Syariah , Dirasat Islamiah, apalagi Fakulti Bahasa Arab, tetapi tidak tahu berbahasa Arab!


Kepada anak-anak Kedah di sini...JOM KITA BERUBAH!!!!

Tiada ulasan: