Selasa, 7 Julai 2009

SUDAH BODOH SOMBONG PULA!!.

Salam rindu dari kejauhan...

Bicara ini saya lontarkan kerana mengingatkan diri peribadi sendiri serta mereka yang ziarah blog saya ini, samada yang jauh di Malaysia sana maupun yang dekat di Lembah Nil ini khususnya anak-anak negeri Jelapang Padi yang masih setia bersama saya di sini tentang salah satu penyakit umat sejak zaman berzaman iaitu bodoh sombong!!


Baru-baru ini saya mendengar ulasan dari salah seorang ulamak al-Azhar yang bersama dalam Daurah Ilmiyyah yang sedang berlansung di Asrama Darul Aman 3 iaitu Fadhilatus Syeikh Dr. Abdus Salam yang saya kira ada kaitan dengan topik kita kali ini. Beliau menyebut tentang ilmu yang hilang di antara dua perkara iaitu takabbur dan malu.......


Maksudnya....Seseorang itu akan hilang kesempatan memperolehi ilmu dan peluang menambah pengetahuannya bila dia dilanda "rasa takabbur" yang menyebabkan dia merasakan dirinya dah cukup pandai lalu merasa tidak lagi perlu belajar untuk menambah dan mendalami sesuatu disiplin ilmu itu. Atau, sesorang itu juga mungkin sekali dilanda sindrom "malu" dalam menuntut ilmu seperti malu untuk keluar ke majlis ilmu dan malu bertanya bila tidak faham sesuatu yang disampaikan guru. Ini akan menyebabkan diri yang jahil terus berada dalam belenggu kejahilan yang tentunya akan pasti mengundang celaka dalam kehidupan sudahnya.


Bayangkan akibat kejahilan diri, yang nantinya turut menjadi mangsa bukan individu berkenaan itu sahaja, tetapi juga akan ikut melibatkan orang lain termasuklah institusi-institusi penting dalam masyarakat seperti institusi keluarga contohnya; di mana hasil kejahilan seorang suami.... isterinya akan menjadi mangsa...manakala hasil jahilnya ibu dan bapa...anak-anak pula akan menjadi korban! Bayangkan....Andai yang jahil itu adalah pemimpin-pemimpin dalam institusi masyarakat dan negara! Tentulah petaka dan bencana yang menanti akan lebih besar! Na'uuzubillahiminzalik.


Bodoh sombong bermaksud seorang yang jahil tidak berilmu tetapi terasa diri tahu dan berilmu serta enggan belajar dan mencari guru untuk belajar dan bertanya selain dia sering menampilkan dirinya kononnya dia tahu segala.! Walaupun pada hakikatnya dia tidak tahu, dia tidak sekali-kali akan bertanya kerana bimbang kebodohannya diketahui orang! Sesungguhnya bodoh sombong adalah suatu bencana dan musibah bagi semua kita .......

Nabi pernah menjelaskan tentang di antara alamat celaka seorang manusia itu dalam sabda baginda :

إعجاب المرء بنفسه

Yang bermaksud "merasa taajjub sesorang itu dengan dirinya sendiri"....

Sesungguhnya benarlah sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis yang lain :-

الجهل رأس كل خطيئة

Yang bermaksud "bahawa kejahilan itu adalah induk bagi segala kesilapan.."

Berkaitan rasa takabbur pula baginda Nabi SAW pernah memberikan ancaman kepada kita semua agar jangan sekali-kali takabbur dan sombong dalam hadis baginda SAW :-

لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر

Yang bermaksud " Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada perasaan takabbur walau sebesar atom di dalam hatinya"

Justeru, saya mengajak secara khususnya semua anak-anak Kedah dan umumnya semua anak-anak Malaysia yang sedang belajar di bumi Mesir ini supaya menghadirkan diri dalam program-program ilmu yang sedang kita anjurkan di Asrama Darul Aman 3 teristimewanya Daurah Ilmiyyah Mukassafah Saifiyyah yang sudah bermula lebih 2 minggu. Daurah yang rancak berjalan tiap hari kecuali hari Khamis dan Jumaat jam 6 petang waktu Mesir dan jam 11 malam waktu Malaysia ini, disiarkan secara lansung oleh al-Muttaqin Tv akan berakhir pada 18 Ogos depan. Peluang bertemu dan mendengar secara berhadapan dengan ulamak-ulamak al-Azhar yang mu'tabar ini sepatutnya tidak dilepaskan oleh semua pelajar di sini.


Malangnya...saya melihat jumlah penyertaan di kalangan pelajar Malaysia di sini secara amnya masih kecil di dalam Daurah ini sedangkan kita tidak mengenakan sebarang bayaran. Bahkan saya cukup dukacita dengan kehadiran pelajar dari negeri Kedah sendiri yang seperti sudah cukup kenyang dengan ilmu! Tak kurang pula...yang menyerah kalah setelah datang jenguk muka sekali dua tetapi kemudian hilang entah ke mana! Ada juga yang memberi alasan tak faham bahasa Arab 'Ammiyyah (bahasa Arab pasar) sedangkan kuliah disampaikan 90% dalam bahasa Arab Fushah. Pada saya, andai dalam 'Ammiyyah sekalipun, pelajar-pelajar di sini tak sepatutnya melepaskan kesempatan ini, kerana selain mendapat berkat majlis ilmu yang kita hadir dengan syeikh, kita akan membiasakan diri dengan perkataan, rangkai kata, tamsilan, uslub yang semuanya disampaikan dalam bahasa Arab. Melarikan diri dari cuba memahami...serta hilang sabar dalam mempelajari ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Arab adalah sama dengan sengaja menempa kegagalan! Bukankah kita belajar di universiti juga dalam bahasa Arab???


Kalau beginilah warna pelajar yang tidak lagi karan dan tertarik dengan program ilmiah yang dianjurkan khususnya dalam bahasa asal (Bahasa Arab) yang disampaikan syeikh-syeikh yang tidak langsung boleh dipertikaikan sesiapa kerana dihantar sendiri oleh pejabat Timbalan Rektor al-Azhar, maka tidak hairanlah....Ramai anak-anak Malaysia yang belajar di sini gagal naik tahun pengajian! Bahkan lebih ramai mereka yang gagal dari yang berjaya!!!!! Mungkin lebih ramai yang hanya pergi ke kuliah, tapi sebenarnya tak faham pun apa yang diterangkan oleh pensyarah di bilik-bilik kuliah kerana "Hilang antara takabbur dan malu!!" Berapa ramai pula yang sedang tipu ibu bapa kerana lebih banyak tidur dari belajar!!!!!


Nasihat saya pada anak-anak Kedah khususnya, kalau ingin berilmu kita mesti sabar dan gigih di samping ikhlas dan sentiasa berdoa mengharapkan Allah SWT membuka hijabNYA untuk kita. Datang juga....dan dengar juga walaupun tidak berapa faham dengan sabar, di samping bertanya apa yang tak jelas dari kawan-kawan yang faham selain mencatat apa yang kita dengar dari syeikh. Mudah-mudahan Allah SWT mengasihani kita semua.... Kepada pimpinan pelajar, saya mengharapkan agar segera menjadi contoh kepada ahli-ahli yang melantik kita dengan kita serius menjadi ikon dan idola mereka. Kita sebenarnya bukan datang ke Lembah Nil ini untuk berjalan-jalan atau berpersatuan semata-mata, tetapi kita datang untuk mendalami ilmu, berjaya dalam pengajian di samping mengasah bakat kepimpinan dalam berpersatuan.


Apa yang saya bimbang...Kita sekadar retorik, semangat berdegar-degar, tetapi tak punya ilmu....Lebih bimbang, kita akan mengecewakan ibu bapa dan masyarakat pada suatu hari nanti bila kita pulang ke tanah air tanpa kekuatan keilmuan yang cukup!!!Semoga anak-anak Lembah Nil yang membaca luahan ini diberi hidayah dan kekuatan oleh Allah untuk hadir dan suka dengan semua program pengajian yang sedang berlangsung atau yang akan dianjurkan selepas ini.


Fikir-fikirkan....

Tiada ulasan: