Isnin, 10 Ogos 2009

BINGKISAN DALAM PERJALANAN

Salam rindu dari kejauhan...

Waktu saya mula mencatat bicara ini, saya sedang menanti penerbangan seterusnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura ke Pulau Pinang. Lebih sepuluh jam saya di atas kapal terbang dengan tiga jam dari Kaherah ke Dubai dan tujuh jam dari Dubai ke Kota Singapura. Saya sempat keluar meninjau Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ketika kapal terbang yang saya naiki transit di Dubai hampir sejam.

Saya berlepas pulang ke Malaysia dengan meninggalkan tugasan yang saya kira cukup mencabar anak-anak buah saya di Kaherah. Daurah Ilmiah yang sedang berjalan dengan para Masyayikh al-Azhar sudah hampir ke penghujung. Sabtu lalu, ketika Fadhilatul Syeikh Jamal bertandang ke rumah setelah kuliah, beliau mengesahkan kehadiran Fadhilatul Syeikh Muhammad Ali Jumuaah, Mufti Jumhuriah ke Majlis Penutupan Daurah yang akan diadakan pada 19hb. Ogos akan datang. Majlis itu juga akan turut dihadiri oleh semua para Masyayikh yang terlibat dalam Daurah termasuk Syeikh Usamah dan Syeikh Ibarahim , Insyaallah selain "orang penting" dari Maktab Rais Jami'ah. Alhamdulillah, saya telah mendapat lampu hijau dari Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia untuk menggunakan Dewan Asrama Abbasiah untuk majlis yang bersejarah ini.

Sampai lewat malam tadi, dan awal pagi sebelum saya berlepas MKKK dan jawatankuasa berkaitan bertungkuslumus menyiapkan tugasan akhir dan membentangkannya pada saya. Sebenarnya saya dipanggil pulang ke Alor Setar untuk menghadiri satu mesyuarat dan hanya akan sampai semula ke Kaherah pada 17hb Ogos nanti. Ini bermakna semua persiapan akhir untuk majlis yang sebesar itu, ketika saya sampai nanti sepatutnya sudah 95% selesai.

Apapun, saya sangat bersyukur kerana punya pasukan yang kuat untuk semua program yang kita anjurkan. Bahkan kita juga sedang bersiap sedia untuk meneruskan Daurah Ilmiah yang akan disampaikan oleh Fadhilatul Syeikh Mohd Nuruddin awal Ramadhan nanti dengan Jawatankuasa yang siap dibentuk. Tahniah dan terima kasih banyak untuk semua anak-anak Kedah khususnya MKKK, al-Muttaqin TV dan semua yang terlibat yang telah bersama Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah, bertungkuslumus dengan penuh komited menjayakan sebarang aktiviti selama ini. Tanpa kerjasama kalian.....agenda hanya tinggal agenda...aktiviti dan program tidak sempurna dan berjaya. Syukur pada Allah atas segala pemberianNYA!

2 ulasan:

Ust Halim Nasir berkata...

Pelepas rindu lagi di malaysia......

Syeikh Yusoff Haji Ahmad berkata...

Allah jua tentukan segala sahabat!