Ahad, 8 Februari 2009

KedahFM 8/2/09 - HUKUM SAMBUT VALENTINES DAY

Seingat saya, saban tahun tiap kali sampainya tarikh 14 Februari, para ulamak , pasti ada yang akan berpesan dan berwasiat tentang perihal "Valentines Day" yang diterjemahkan orang "Hari Kekasih" atau "Hari Berkasih Sayang". Teguran dan wasiat ini adalah dengan harapan masyarakat Islam khususnya pihak berkewajipan seperti pemimpin dan ibu bapa dan lain-lain pihkak dapat mengambil langkah-langkah perlu untuk mencegah mereka yang di bawah tanggungjawab masing-masing dari terjebak dalam perkara maksiat ini.


Sebenarnya sambutan "Valentines day" ini langsung tiada kena mengena dengan ummat Islam. Apa yang malangnya sejak mula dikenali sekitar tahun 80an dulu sambutan "Hari Kekasih" ini begitu mendapat tempat bahkan bertambah popular tahun ke tahun khususnya di kalangan generasi muda Islam. Pelbagai pihak kelihatan seolah-olah turut ikut mengambil kesempatan mempromosikan pesta ini dengan tujuan masing-masing. Kedai-kedai buku dan majalah menjual kad-kad ucapan hari kekasih yang diadun dengan kata-kata yang begitu puitis. Lalu remaja kita pun berpusu-pusu membeli kad-kad ucapan itu untuk pasangan masing-masing. Ada yang siap membeli sejambak bunga ros yang mekar beserta hadiah yang dibungkus dengan pembalut berwarna pink. Mereka akan bertemu pada "hari itu" untuk bertukar kad ucapan cinta dan hadiah, memupuk kasih sayang dan bermadu asmara. Media cetak dan elektronik juga bagai menyambut hari kekasih ini dengan rancangan yang diatur khusus sempenanya...Valentines Special....Drama dan filem yang ditayangkan hanya menjadikan remaja cukup teruja dan tak sabar menanti 14 Februari! Pihak hotel dan pusat-pusat hiburan dan tak ketinggalan gedung-gedung perniagaan yang besar juga ada yang sanggup menukarkan warna tema mereka ke warna pink yang sinonim dengan "Hari Valentines" bila sampai bulan Februari untuk membangkitkan rasa dan aura!. Pelbagai promosi menarik dan potongan harga istimewa disediakan.


Berapa ramai anak remaja kita yang hilang maruahnya pada hari itu.?...Yang jelasnya, mereka yang berharta dan kaya ada tempatnya....untuk melepaskan berahi dan nafsu!...., yang miskin dan susah pula ada lokasinya....walau di tempat yang kotor dan memualkan!.Yang pasti, ada remaja yang menyerahkan tubuh menggadai kehormatan demi cinta dan kasih sayang pada "hari malang" itu!. Yang sanggup membelakangkan harga diri, maruah ibu bapa dan hukum hakam agamanya sekalipun. mereka akan berkenalan dengan dunia keseronokan dan hiburan melampau....minum arak, pesta seks, pergaulan bebas dan sebagainya!


Puas kita nyatakan Valentine itu adalah merujuk kepada seorang paderi Kristian yang dikenang oleh penganut agama itu kerana perjuangannya. Walaupun ada banyak versi berkenaan kisah asal paderi ini sehingga ada pendapat yang menyatakan dia sanggup dipenjarakan kerana cintanya atau dibunuh kerana peranannya mengahwinkan pasangan-pasangan yang dilarang penguasa pada zaman itu dari berkahwin lalu kerana itu dia ditangkap dan dibunuh pada tanggal 14 Februari tahun berkenaan, apa yang nyatanya Valentines ini adalah Paderi Besar Kristian yang sangat dikenang jasanya oleh orang Kristian sepanjang zaman . Walau kemudiannya dikaitkan sambutan itu dengan kasih sayang atau berkasih sayang atau mengajak manusia berkasih sayang, sambutan hari Valentines ini tetap tidak ada kena mengena dengan Islam. Apa lagi, ummat Islam yang menyambut dan meraikannya seolah-olah berterima kasih, bangga dan bertuah kerana perjuangan Valentine yang sanggup berkorban kerana cinta! Kemudian mereka bagai menghalalkan maksiat terlarang antara lelaki dan perempuan, pergaulan bebas dan Zina!..Na'uuzunillahiminzalik!


Justeru menyambut "Hari Valentines" adalah HARAM kepada semua yang mengaku muslim. Bahkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga sebenarnya sudah memfatwakan bahawa hukum ummat Islam menyambut Valentines Day adalah HARAM.

1 ulasan:

MarshallShawal berkata...

tapi,
andainya kita celebrate tanpa melanggar undang2 Islam?
adakah itu di ketegorikan sebagai satu kesalahan?
Adakah dengan mengucapkan happy valentine's day kepada seseorang itu akan menyebab kan kita menaggung dosa?
Sekiranya kita menyambut valentine's day sekadar bersahaja tanpa melakukan maksiat,adakah itu dikira berdosa?
Sekian terima kasih. :)