Selasa, 30 Jun 2009

PESANAN KEPADA YANG PULANG...

Salam rindu dari kejauhan....

Waktu bicara ini mula dicatat, ramai sudah anak Kedah yang selama ini berjuang di sini bersama-sama telah berangkat kembali ke tanah air. Panggilan kerinduan yang barangkali sudah tidak tertahan di samping kemampuan kewangan keluarga yang dalam keadaan tidak bermasalah untuk menanggung perbelanjaan, maka segalanya kelihatan jadi begitu mudah! Selepas sekumpulan, sekumpulan yang lain berlepas ke tanah air untuk bercuti...






Sebenarnya saya telah diminta pihak kepimpinan di tanah air supaya menasihati pelajar agar tidak pulang pada waktu cuti. Sebaliknya waktu cuti itu hendaklah diisi dengan menambah ilmu yang tidak diperolehi di bilik-bilik kuliah termasuk menghadiri kelas-kelas tafaqquh atau mengambil kursus-kursus Bahasa Arab demi meningkatkan upaya dan kemampuan pelajar dari segi keilmuan dan kemampuan komunikasi dalam bahasa tersebut. Namun, belum sempat saya memberikan nasihat, ramai yang sudah awal-awal lagi menempah tiket penerbangan pulang ke Malaysia walaupun sebahagian dari mereka adalah pelajar baru yang belum pun cukup setahun berada di bumi Mesir ini.!...





Namun, demikian "Sebuah Ketetapan"....! Rezeki mereka jelas telah ditentukan Allah SWT pulang bersama kaum keluarga dan sanak saudara di tanah air tercinta. Semuanya telah termaktub! Cuma, abah ingin berpesan kepada semua anak-anak abah yang pulang ke kampung halaman beberapa perkara :-

1- Pulanglah dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai azhari yang sentiasa dinanti sumbangannya dalam masyarakat.

2- Mulakan dengan memberikan rasa bahagia dan bangga pada kalbu ibu, ayah dan keluarga bila mereka melihat kelibat pertama kita menjejakkan kaki di bumi sendiri sebaik turun dari kapal besi terbang yang membawa kita, penampilan kita menyejukkan mata...menyedapkan rasa... menambahkan hormat pada seorang azhari atau azhariah...

3- Malanglah bagi seorang azhari, walau sekadar pulang bercuti, dia pulang tanpa misi, pulang dengan penampilan diri yang tidak menggambarkan peribadi azhari.

4- Berilah apa yang termampu sebagai balasan atas doa mereka pada kita selama ini...Cuba sedaya upaya membuat jasa dalam masyarakat. Semoga kita dah mampu jadi imam kat masjid atau surau di kampung, jadi khalifah tahlil dan mula belajar beri tazkirah atau kuliah subuh bila diminta. Kita tak rasa janggal atau malu untuk jadi bentara kenduri kampung atau ketua basuh pinggan mangkuk di gedohok!

5- Jangan sekali-kali sombong dan bangga diri atau rasa diri sempurna serta bijak bestari kerana selain di dunia kita dibenci masyarakat atas sikap kita, di akhirat kita akan jatuh muflis kerana pahala telah dimamah penyakit mazmumah ini!

6- Ikhlaskan hati dalam segenap amalan dan tindakan serta selalu bersifat tawadhu'. Biar manusia tidak berikan penghargaan kerana yang dicari ialah keredhaan tuhan! Yakini janjiNya bahawa yang ikhlas pasti mendapat balasan. Walau sebesar hama pasti Allah SWT akan tunjukkan suatu hari nanti...Ia pasti! Man Tawadha' Rafa'ahullah.......




Semoga mereka yang pulang ke tanah air akan menjadi kebanggaan al-Azhar kerana membawa pulang nilai dan harga al-Azhar dengan terjemahan ilmu dan amal yang telah diterima selama berada di persada al-Azhar sebelum pulang bersama sanak saudara dan masyarakat di Malaysia. Bertanggungjawablah untuk menjadi azhari dan azhariah yang sebenar!

Ahad, 28 Jun 2009

DAURAH ILMIAH SAIFIAH MUKASSAFAH

Salam rindu dari kejauhan...

Sabtu 27 Jun 2009 tercatat satu lagi sejarah khususnya untuk anak-anak Kedah di Lembah Nil ini dan umumnya Malaysia apabila dengan izin Allah telah bermula Pengajian Intensif Musim Panas yang diadakan di Dewan al-Ikha' wat-Tasamuh Asrama Darul Aman 3 di Haiyyu Sabeik. Sebenarnya, kita telah berjaya memperolehi persetujuan Maktab Ra'is Jamiiah al-Azhar as-Syarif baru-baru ini untuk mengadakan Daurah Ilmiah Saifiah yang akan diisi sepenuhnya oleh Ulamak-ulamak al-Azhar. Alhamdulillah 'ala hazihil minnah...

Aluan perasmian program


Program yang julung-julung kali diadakan ini, telah disiarkan secara langsung oleh Al-Muttaqin TV dan ia akan berlangsung setiap petang bermula jam 6 sehingga solat Maghrib kecuali hari Khamis dan Jumaat. Antara ulamak-ulamak al-Azhar yang turut bersama termasuklah Fadhilatu Syeikh Dr. Thoha Hubaisy, Dr. Bakar 'Awad, Dr. Mustafa 'Imarah, Dr. Abdus Salam Atiq. Manakala bidang disiplin ilmu yang akan dibincangkan termasuklah Akidah, Qadaya Fiqh Mua'sarah, Ulum Hadis, Mantiq dan Usul Fiqh.

Fadhilatus Syeikh Ustaz Doktor Jamal Faroq


Satu majlis telah diadakan sempena pembukaan rasmi musim pengajian dan selaku PKPK yang bertanggungjawab di sini, saya berkesempatan mengalu-alukan kehadiran para Masyayikh dan Dakatirah dari al-Azhar yang sudi bersama dalam memperkasakan keilmuan anak-anak bangsa di Lembah Nil ini. Kalau dulu, setiap yang ingin menambah ilmu selain dari yang diperolehi di dewan kuliah di universiti, dia mesti mencari di merata tempat seperti di Masjid al-Azhar dan lain-lain. Tetapi dengan program Pengajian Insentif Musim Panas ini, anak-anak Malaysia di sini hanya perlu istiqamah datang ke Rumah Kedah untuk menerima penitisan ilmu dengan cabangnya yang pelbagai dari para ulamak al-Azhar yang muktabar.

Bersama Fadhilatus Syeikh..


Pendek kata, anak-anak yang tidak pulang bercuti pada tahun ini adalah lebih beruntung kerana dapat menambah ilmu turas dan mua'asir dengan mudah. Alhamdulillah sambutan hari pertama sangat memberangsangkan dan semoga hari-hari seterusnya akan lebih menggalakkan Insyaallah. Program ini akan berlangsung selama dua bulan dan akan ditutup menjelang kedatangan bulan Ramadhan nanti.


Selesai majlis hari pertama Fadhilatus Syaikh Ustaz Doktor Jamal Faroq diraikan dalam sedikit jamuan di kediaman pegawai bersama beberapa tetamu termasuk Ustaz Abdullah Mad Atache Agama di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Ustaz Zainuddin Atache Pelajaran di Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.

Jamuan nasi mandi


Adalah diharapkan kepada semua yang masih belum pulang ke Malaysia agar tidak melepaskan peluang untuk berada di kalangan tholib al-ilm dalam kebun syurga bersama para Ulamak al-Azhar yang dibawa khas ke ribaan pelajar-pelajar Malaysia di Rumah Kedah ini. Selamat Datang Ke Daurah Ilmiah Saifiah Mukassafah.......Ahlan Wa Marhaban Bikum!

SELAMAT PENGANTIN BARU

Salam rindu dari kejauhan....

Saya dan Ustaz Zakaria serta saudara Abu Bakar dan juga Aidil Azwal sampai di Lapangan Terbang Antara Bangsa Kaherah lebih kurang jam 7 petang. Setelah melalui perjalanan hampir lapan hari, jauh dari keluarga, akhirnya saya kembali bertemu mereka, orang-orang penting dalam hidup saya di Kaherah ini.


Sebaik saya sampai ke Asrama Darul Aman 3 yang menjadi kediaman saya dan keluarga di bumi Mesir ini, anak-anak Kedah kat sini yang memang sudah selesai menghadapi peperiksaan baru-baru ini dilihat sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk majlis akad nikah sepasang mempelai dari kalangan anak Kedah yang akan dilangsungkan pada besok hari. Maknanya, besok saya akan dapat anak menantu baru!


Bersama anak menantu baru...

Sewaktu saya berlepas ke Lawatan Jordan / Syria tempoh hari, anak-anak Kedah di Lembah Nil ini sudah siap bermesyuarat dan mengaturkan segalanya berkaitan majlis bersejarah itu. Majlis akad nikah saudara Mohd Khairuzzaman Said dan saudari Norbaishatul Ahmad itu akan diadakan selepas solat Isyak bahkan persiapan masak memasak telah dibuat sejak pagi lagi. Saya cukup bangga dengan anak-anak Kedah di sini yang saya lihat cukup ringan tulang, bahu membahu sedaya upaya bekerjasama bagi menjayakan majlis akad nikah dan kenduri kesyukuran itu. Semuanya dilakukan secara gotong royong!

Menanti penuh debaran

Sekali lafaz jadi suami....

Kek hantaran buatan sendiri

Gubahan penuh kretiviti

Lelaki di sebalik hantaran penuh kreatif


Malam yang dinanti pun tiba.....Detik penuh debaran yang dilalui setiap pasangan yang memasuki gerbang perkahwinan dilalui dengan selamatnya.... Khutbah nikah dan akad nikah
disempurnakan Ustaz Yazid Atache Pelajaran di Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah. Dengan sekali lafaz, mereka sah sebagai suami isteri. Majlis diakhiri dengan jamuan nasi beriani yang cukup menyelerakan dan sesi bergambar. Bagi pihak pejabat PKPK serta isteri dan anak-anak diucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU dengan iringan doa moga sentiasa dalam barakah dan rahmat Allah selalu. Barakallah Fikuma..Wa Baraka 'Alaikuma...Wa Jama'a Bainakuma Fi Khair..!

Watak-watak penting di gedohok!


Semangat gotong royong dan kesukarelaan!

Acar timun dalam pembikinan...

Tumis gulai daging.....

Teman dan sahabat...Hadirin Lelaki.

Jamuan beriani di dinihari...

TERBANG SEKAWAN BURUNG KETITIR
HINGGAP DI ATAP TIDAK BERSANGKAR
KASIH BAGAI INTAN SEBUTIR
MAKIN DIGILAP MAKIN BERSINAR.....

Sabtu, 27 Jun 2009

SYRIA - HARI TERAKHIR 23 JUN 2009

Salam rindu dari kejauhan....

Malam tadi, saya cuba publishd entry baru cerita Syria tapi gagal. Hampir tiga jam saya bersengkang mata setelah balik dari pertemuan dengan kepimpinan KKDS di rumah Persatuan Pelajar Malaysia Syria. Namun apakan daya, semuanya ketentuan Allah SWT belaka…..Saya tertidur dalam keletihan dan kesedihan!


Selepas makan pagi bersama ahli rombongan, saya naik semula ke bilik dan mengambil peluang sejam dua terakhir untuk publishd entry yang telah siap sebenarnya malam tadi. Namun, oleh kerana sebahagian gambar tak sempat saya save, saya terpaksa upload semula….

Pengangkutan awam di Damsyik


Hujung jalan pintu masuk Pasar Hamidiyyah


Latar belakang bangunan "Perpustakaan Negara Syria"

Jam 11 pagi semua ahli rombongan berkumpul untuk check out lebih awal dari hotel. Setelah semua urusan selesai, kami bertolak untuk menyaksikan pemandangan kota Damsyik dari atas puncak Jabal Qasiun iaitu antara puncak tertinggi di Damsyik. Pemandangan kota Damsyik dari atas sangat cantik dan menarik. Secara jujur, kota Damsyik memang cantik dan jauh lebih bersih dari kota Kaherah. Sistem trafiknya jauh lebih tersusun dengan pemandu kereta di jalanrayanya cukup berdisiplin. Setiap pemandu akan bukan sahaja memastikan dirinya memakai tali pinggang keledar, bahkan pennumpang juga disuruh memakainya. Paemandu teksi yang saya tumpagi ke rumah persatuan menceritakan ketegasan polis trafik terhadap mereka yang melakukan kesalahan undang-undang jalan raya di Syria. Tidak hairanlah di setiap simpang dalam kota Damsyik hampir semua mempunyai lampu isyarat yang dipatuhi oleh setiap pengguna. Bayangkan denda langgar lampu isyarat di Syria lebih RM1000.00 mesti dijelaskan.

Bulatan besar yang cantik


Pemandangan kota Damsyik dari atas Jabal Qasiun

Bersama YDP MKKK dan YDP KKDS

Bergambar kenangan bersama VIP rombongan


Kota Damsyik yang saya perhatikan adalah sebuah bandar yang mempunyai banyak masjid yang besar dan kemudahan taman-taman rekreasi yang banyak. Dengan udaranya yang jauh lebih bersih disebabkan ketiadaan habuk padang pasir seperti di kota kaherah, maka kota Damsyik sungguh mengasyikkan. Mungkin kerana bandarnya tidak sepadat Kaherah, kota ini dapat diuruskan dengan lebih tersusun. Yang pasti bunyi hon kereta yang selalu kedengaran di Kaherah hampir langsung tidak kedengaran di sini!


Bersama lima pelajar dari KKDS yang setia mengiringi, ahli rombongan singgah makan tengahari kali terakhir di Damsyik di sebuah Restoran nasi Mandi yang menyelerakan. Apalagi bila dihidangkan bersama kambing. Saya kebetulan makan setalam dengan Ustaz Zakaria yang diberi sebiji kepala kambing. namun demi merai sebahagian ahli rombongan yang tak makan daging kambing, pihak urusetia turut memesen beberapa set nasi mandi bersama ayam.

Di hadapan Restoran Nasi Mandi


Nasi Mandi Kambing

Kepala kambing...

Sampai di air port, beberapa pemimpin pelajar dari kalangan exco KKDS turut serta meramaikan Lapangan Terbang Antarabangsa Damascus atau Damsyik pada petang itu. Selesai semua urusan check in dan timbang barang dan setelah mengambil beberapa keping gambar bersama, masing-masing kemudian menuju destinasi, pulang ke pangkuan keluarga tercinta dengan seribu satu kenangan dari bumi Jordan dan Syria....

Bersama mantan Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir

Update Blog..

Kepada semua yang terlibat membantu pihak urusetia seperti pihak Kedutaan Malaysia Jordan , Kedutaan Malaysia Syria, pihak Jabatan Penuntut Malaysia Jordan serta pimpinan persatuan di Jordan dan Syria yang bersusah payah membantu memudahkan segala urusan di sepanjang lawatan YINK / Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman di kedua-dua buah negara, saya bagi pihak urusetia mengucapkan ribuan terima kasih.











SYRIA - HARI KETIGA 22 JUN 2009

Salam rindu dari kejauhan....


1. Menziarahi Imam Nawawi Rahimahullah

Hari ini, selepas sarapan bersama ahli rombongan dan beberapa pelajar Syria yang menjadi pengiring sepanjang berada di sini, saya dan ahli rombongan menaiki bas ke Nawa, sebuah kampung kecil yang perjalanan pergi baliknya mengambil masa lebih tiga jam. Sepanjang perjalanan, saya melihat kesuburan bumi Syria yang makmur dengan pelbagai tanaman.


Menanti giliran masuk ke kilang...

Terkadang terasa seolah-olah berada di Kedah bumi Jelapang Padi Malaysia bila terserempak dengan deretan lori dan traktor yang beratur panjang membawa bijirin gandum untuk dibawa masuk ke kilang. Selain gandum terdapat banyak ladang zaitun, anggur dan lain-lain tanaman. Sesekali bas yang sayya naiki berselisih dengan lori yang mutannya penuh dengan kentang yang cukup bermutu.



Denai antar kubur lama ke makam Imam Nawawi RA

Nawa sebenarnya adalah bumi kelahiran al-Imam Nawawi Rahimahullah, seorang tokoh penting dan terkenal yang sering menjadi rujukan para ulamak dan cendikiawan Islam, bukan sahaja di kalangan pengikut mazhab Syafie tetapi juga mazhab-mazhab yang lain. Beliau telah mewakafkan dirinya untuk menyebarkan ilmu Islam sehingga ke detik terakhir kehidupannya. Beliau terkenal sebagi ulama' yang berprinsip dan mempunyai karamah-karamah tertentu. Berada di sampingnya dalam kawasan perkuburan lama di Nawa, adalah detik yang sangat mengharukan....Terkenang perjuangannya...kesungguhannya...dan pengorbanannya! terasa betapa kecil dan kerdilnya diri, di samping seorang ulamak besar yang cukup berjasa buat umat ini.
Bersama Dato' Syeikh Uzir dan Tn. Hj.Mohd Zuhdi dalam makam


Berteleku dan berdoa di makam Imam Nawawi RA

Setelah berdoa dan berada beberapa ketika di samping beliau di makamnya, saya dan ahli rombongan meninggalkan Nawa dengan penuh keinsafan. Saya dan beberapa ahli rombongan sempat menjengah ke Masjid Imam Nawawi dan solat sunat tahiyyat masjid di situ.

2. Membeli Belah di Pasar Hamidiyyah

Pulang dari Nawa, kami singgah ke sebuah restoran iaitu "Restoran Qaryah" yang cukup luas dan cantik untuk makan tengah hari. Seperti biasa, kami dihidangkan nasi arab berlauk ayam di samping roti, fun fries, hummush, salathah dan lain-lain.



Makan tengahari....Nasi belum sampai!


Ada kolam dan air pancut


Pemandangan indah di Restoran Qaryah


Bersama YDP dan SU KKDS

Setelah mengambil beberapa keping gambar kenangan di restoran yang boleh menempatkan beratus-ratus orang dalam satu-satu masa dan boleh dikatakan restoran paling cantik di sepanjang lawatan Jordan / Syria ini, saya dan semua ahli rombongan sekali lagi menuju Pasar Hamidiyyah untuk shopping buat hari terakhir walaupun sebenarnya rata-rata telahpun membeli cendera mata kenang-kenangan di Pasar Hamidiyyah kelmarin.


Pasar Hamidiyyah yang sibuk dan meriah

Kalau di Mesir ada kawasan "beli belah" yang dikenali di kalangan pelancong sebagai Khan al-Khalili, di Syria pula Pasar Hamidiyyah cukup terkenal dengan pelabagai barangan yang dijual dengan harga berpatutan. Walaupun ianya tidak sesesak Khan al-khalili di Mesir, Pasar Hamidiyyah boleh dikira cukup meriah dan sentiasa bertali arus dengan pengunjung. Pasar yang bazar-bazarnya sama seperti di Mekah itu dilengkapi dengan kemudahan tandas awam selain jalan di tengahnya berbumbung yang cukup selesa kerana kita tidak dibakar terik matahari ketika berjalan dari satu bazar ke bazar yang lain.

Penjual Air Tamar Hind di Pasar Hamidiyyah

Saya dan beberapa pelajar Syria yang ikut bersama dibahagikan dalam kumpulan-kumpulan untuk menemani ahli-ahli rombongan khususnya mereka yang tidak mahir berbahasa Arab. Saya menemani Tuan Hj. Mohd. Zuhdi, Pengurus Besar YINK dan isteri berjalan di sepanjang bazar Pasar Hamidiyyah dan beliau sempat membeli beberapa pasang baju termasuk beberapa pasang baju blazor. Saya sangat berbesar hati atas kemurahan hati beliau menghadiah sepasang blazor buatan Syria untuk saya. Terima kasih daun keladi .....

3. Menghadiri Perjumpaan Dengan Kebajikan Keluarga Kedah Syria (KKDS)

Selepas makan malam di restoran yang sama sejak hari pertama kami di Syria, saya bersama saudara Abu Bakar Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (Mesir) , saudara Zahir selaku Yang Dipertua KKDS serta saudara Faiz SU KKDS dan dua exco Hal Ehwal Wanita (HEWI) yang ikut bersama sejak awal pagi dalam lawatan hari ini menuju ke Rumah Persatuan Pelajar Malaysia di Syria dengan menaiki dua buah teksi.


Amanat untuk saf KKDS

Di sana, saya disambut barisan exco KKDS syabab dan HEWInya. Saya mengambil kesempatan bertaaruf dengan pimpinan KKDS dan bertukar-tukar maklumat dan pandangan dengan mereka. Setelah meninggalkan kepada anak-anak Kedah Syria beberapa pengharapan dari Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah (PKPK), saya bergegas pulang ke hotel kerana satu urusan lain. Sebelum beredar, saya sempat mengambil gambar kenangan dengan seluruh barisan kepimpinan KKDS. Saya meminta saudara YDP MKKK meneruskan majlis bersama kepimpinan KKDS bagi tujuan perkongsian pengalaman antara dua persatuan di bawah seliaan PKPK.


Bersama saf pimpinan Syabab dan HEWI KKDS

Saya bersyukur kerana punya masa yang cukup di Syria untuk bersama saf pimpinannnya berbanding ketika di Jordan tempoh hari. Apa pun, masa bersama dengan orang-orang harapan saya dan Kerajaan Kedah di Jordan dan Syria adalah detik penting untuk menjalinkan hubungan yang diharap akan lebih intim pada masa-masa akan datang.......Semoga kebajikan semua pelajar di Timur Tengah akan lebih baik dan terbela selepas ini...Insyaallah!

Selasa, 23 Jun 2009

SYRIA – HARI KEDUA 21 JUN 2009

Salam rindu dari kejauhan..


1. Kunjungan Hormat Ke Kedutaan Malaysia Di Syria

Keluar dari hotel penginapan, hari ini saya dan ahli rombongan menuju ke Kedutaan Besar Malaysia di Syria. Rombongan YINK atau kerajaan Negeri Kedah diketuai oleh SS Dato’ Syeikh Uzir YDP MAIK disambut Ketua Canseri En. Ahmad Fahmi yang mewakili Tuan Yang Terutama Duta serta lain-lain pegawai kedutaan termasuk Tuan Hj. Sulaiman Pengarah Jabatan penuntut Malaysia di Jordan yang datang khas untuk bersama dalam majlis rasmia ini. TYT Duta masih berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri Persidangan Ketua-Ketua Luar Negara . Manakala YB Dato’ Hj. Taulan, YB Dato’ Setiusaha Kerajan Negeri dan YB Dato Pegawai Kewangan Negeri telah berlepas awal pagi tadi ke London untuk mengadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan di sana.


Ramah mesra di Kedutaan Malaysia Syria

Dalam ucapan mengalu-alukan ahli rombongan,, Ketua Canseri menjelaskan secara ringkas tentang negara Syria sebuah negara sosialis yang semakin berubah menjadi lebih terbuka setelah bertukar presidennya yang baru iaitu Bashar Al-Assad. Banyak pembaharuan yang telah dilakukan antaranya di bidang ekonomi yang semakin berkembang pesat. Syria sebenarnya sebuah negara yang kaya walaupun dalam keadaan disekat sistem perbankannya oleh Amerika. Dengan perkembangan hubungan yang semakin baik dengan Amerika dan barat, negara Syria dijangka akan lebiih cepat mengejar negara-negara membangun dan maju yang lain dalam tempoh yang hampir. Jumlah penduduk Syria kini mencapai lebih 18 juta dengan 8 juta sahaja berada di Damsyik.


Ketua Chanseri En. Ahmad Fahmi dan En. Lokman - Kedutaan Malaysia Syria

Beliau juga menerangkan tentang beberapa masalah dan kekangan yang terpaksa dihadapi oleh pelajar-pelajar Malaysia di Syria khususnya masalah belajar tanpa diberi visa oleh pihak kerajaan. Pelajar Malaysia yang dulunya pernah mencapai 500 orang dan kini sudah merosot dengan banyaknya kerana masalah visa. Kebanyakan pelajar Malaysia di sini sedang belajar di beberapa universiti dan ma’ahad di sekitar Damsyik. Turut menjelaskan masalah berkaitan pelajar Malaysia di Syria Pengarah JPM Jordan yang turut bertanggungjawab berkaitan pelajar Malysia di Syria walaupun beliau berada di Jordan. Usaha sedang dilakukan agar pelajar-pelajar yang hari ini hanya memliki Ishal dan bukan visa akan dapat memiliki visa dengan mendapatkan pengiktirafan Kemnterian Pengajian Tinggi Syria terlebih dahulu. Perkara tersebut bagaimanapun dalam peringkat usaha berterusan dari pihak MSD. Bagi pihak kerajaan Syria, yang jelas mereka telah membuat keputusan baru dengan membuka sebuah Maahad Dauli atau Maahad Antarabangsa yang menempatkan pelajar-pelajar luar negara. Maahad ini dibiayai sepenuhnya dengan bukan sahaja pengajiannya percuma bahkan pelajarnya diberikan wang poket. Hanya pelajar yang belajar di sini sahaja dikatakan akan diberi visa belajar selepas ini.



Bersama pegawai kanan Kedutaan Malaysia Syria, Pengarah MSD Jordan

Bagi pihak rombongan YINK SS Dato’ Syeikh Uzir dalam ucapan balasnya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kedutaan atas kesudian menerima kunjungan pihak kerajaan negeri / YINK dan menyampaikan salam YAB Dato’ Seri MB. Selain menjelaskan tujuan kedatangan rombongan ke Jordan dan Syria untuk meninjau secara dekat keadaan pelajar-pelajar di kedua negara ini. Kebajikan dan masa depan pelajar sentiasa menjadi keutamaan pihak kerajaan yang telah meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak YINK sepenuhnya. Sehubungan itu, Tn.Hj Mohd. Zuhdi dalam menjelaskan perkara berkaitan menjelaskan tentang keputusan kerajaan negeri menempatkan seorang pegawai kebajikan yang menjaga kebajikan pelajar di Timur Tengah termasuk di Syria selain Jordan, Mesir selain kemungkinan pada masa terdekat di Morocco.


Majlis berakhir dengan jamuan ringan dan panyampaian cenderamata serta sesi bergambar.


2. Ziarah Makam Sahabat , Isteri dan Keluarga Nabi di Bab Shoghir

Kesesakan berhampiran jalan menuju Bab Shoghir


Mereka yang datang kerana sayang..

Dari Kedutaan Malaysia di Syria kami bertolak ke Bab Shogir iaitu sebuah kawasan maqam dan perkuburan yang juga terletak di tengah Damsyik. Kebanyakan pelancong yang ditemui adalah dari Iran atau dalam bahasa lain kelihatan ramai pengikut Syiah dilihat di sini. Macam tak percaya dapat ziarah makam beberapa sahabat R.A , makam isteri Rasulullah SAW di samping makam ramai ahli bait Rasulullah SAW yang lain.



Makam Sayyidah Ummu Habibah isteri Rasulullah SAW


Makam Sayyidah Ummu Salamah isteri Rasulullah SAW

Makam Sayyidina Bilal ar-Rabah

Di hadapam makam Saiyyidina Bilal ar-Rabah


Kawasan makam agak luas di sebelah kiri jalan, manakala sebelah kanan jalan pula kawasannya agak sempit. Makam sahabat nabi seperti Saidina Bilal ar-Rabah dan Saidina Abdullah bin Ummi Maktum kedua-duanya muazzin Rasulullah yang cukup dikenali dalam sejarah terletak bersama ramai ahli bait Rasulullah termasuk isteri nabi seperti Saiyyidatina Ummu Salamah RA dan Ummu Habibah RA serta ramai nak cucu Nabi terletak di sebelah kiri jalan. Makam Syuhada’ Karbala yang cukup meriah dengan pengikut Syiah yang datang bertali arus pula berada di sebelah kanan jalan.

Makam Syhada' Karbala

Pengikut Syiah sedang meratapi sebuah tragedi

Di hadapan salah satu makam Ahli Bait

Pengikut Syiah meratap di makam Syuhada' Karbala

Makam Sayyidina Abdullah bin Ummi Maktum

Bersama pimpinan pelajar Syria KKDS

Saya juga sempat melihat lokasi Maahad Dauli atau Maahad Duali yang baru dibuka oleh pihak kerajaan Syria yang menempatkan pelajar-pelajar dari pelabagai negara. Maklumat dari pihak kedutaan kita di Syria, pelajar maahad ini akan diberi visa dan mendapat pembiyaan sepenuhnya pihak kerajaan Syria.



3. Ziarah Masjid Omayyah,Makam Nabi Zakaria A.S, Sultan Salahuddin a-Ayyubi


Keluar dari kawasan makam yang agak sesak dengan deretan bas-bas pelancong, kami menuju ke satu lagi lokasi terkenal di Syria iaitu Masjid Omayyah. Masjid ini terletak di hujung Pasar hamidiyah iaitu syurga membeli belah di Syria. Setelah makan tengah hari di salah satu restoran berdekatan Masjid Omayyah yang cukup luas itu, kami dibawa melawat makam Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang terletak di luar kawasan masjid. Kami kemudiannya dibawa masuk ke dalam kawasan masjid dengan kawasan lapangnya yang cukup luas. Saya kagum melihat tempat Sultan Salahuddin al-Ayyubi memberikan ucapan kepada para tenteranya yang berkumpul di kawasan lapang itu. Terbayang kehebatan seorang Sultan yang begitu warak, berani, tegas dan sangat mementingkan solat malam di kalangan tenteranya. Al-aqsa yang hari ini dalam cengkaman Yahudi pernah dibebaskannya!

Makam Sultan Salahuddin al-Ayyubi Rahimahullah

Mimbar di menara...tempat sampaikan arahan!

Kawasan lapangan Masjid Omawi

Latar belakang Masjid Omawi yang dulunya sebuah gereja

Makam Nabi Allah Yahya A.S


Masjid Omayyah sebenarnya berasal dari sebuah gereja sebelum kedatangan Islam ke wilayah Syam. Ia kemudiannya ditukar menjadi masjid setelah penduduknya menerima Islam. Dalamnya terdapat makam Nabi Zakaria A.S yang ditempatkan dalam sebuah bangunan kecil yang cantik. Saya juga berkesempatan melihat tempat al-Imam Ghazali mengarang kitab Ihya’ Ulumuddinnya yang masyhur itu. Tempat ini juga terletak dalam masjid yang luas ini.

Tempat al-Imam al-Ghazali menulis kitab Ihya' Ulumuddin

Selain itu dalam masjid ini terdapat empat mihrab yang mengikut sejarahnya empat mihrab itu dulu adalah tempat pengajian bagi empat pengikut mazhab yang utama iaitu Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali. Sehingga kini Masjid Omayyah sangat terkenal kerana pengajian kembali semarak selepas pemerintahan presidenya yang baru iaitu Basyar Assad. Saya difahamkan pelajar yang bersama saya, di sinilah Syeikh Dr Said Ramadahan Al-Bouthi menyampaikan khutbahnya dan di sinilah disembahyang jenazah para ulama’ besar Syria jika ada kematian…..