Rabu, 17 Disember 2008

KedahFM 15/12/2008 - IKTIBAR PENGORBANAN

Hari ini, Isnin17 Zulhijjah 1429 bersamaan 15 Disember 2008, saya ke KedahFM buat hari kedua berturut-turut. Jika kelmarin saya menggantikan tempat Tn. Syeikh Fadhil, hari ini pula memang giliran saya.

Petang ini saya memilih untuk mengajak para pendengar untuk mengambil iktibar dari kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail AS yang telah saya ceritakan panjang lebar dalam pertemuan yang lalu.

Bagaimana Nabi Ibrahim mengajar para suami untuk menjadi seorang suami yang sejati. Suami yang mendahulukan Allah SWT di atas segalanya...! Nabi Ibrahim sanggup berpisah dengan isterinya Hajar yang sangat dicintai, juga dengan anaknya Nabi Ismail yang sangat dikasihi waktu baginda diperintahkan Allah meninggalkan kedua mereka di tanah gersang Mekah. Demi kerana keredhaan Allah, Nabi Ibarahim berkorban lalu sangguplah baginda memisahkan seorang ibu bernama Hajar dari anaknya Ismail AS bila anak itu dibawa pergi untuk diqurbankan!


Sementara itu, Hajar seorang isteri yang hebat dan taat, mengajar para wanita Islam...bagaimana menjadi isteri solehah! Isteri solehah yang sentiasa taat suami yang taat melaksanakan suruhan dan perintah Allah. Hajar sanggup mengorbankan perasaannya, keperluannya, kepentingannya demi meletakkan perintah Allah SWT di atas segala-galanya! Dia sayang suaminya dan tak ingin berpisah... tapi, bila diperintah Allah, dia pasrah!. Dia juga tak sanggup membiarkan tengkuk anaknya Ismail disembelih suami sendiri... tapi, bila perkara itu wahyu Allah dia sanggup! Bahkan dia rela serahkan jiwanya , nyawanya sekalipun kalau itu yang diperintahkan Allah!

Buat seorang bergelar anak, nabi Ismail AS adalah seorang remaja hebat yang jelas mengajar semua anak sepanjang zaman bagaimana menjadi anak soleh yang sejati. Sanggup serahkan nyawanya...tengkuknya untuk disembelih! Kenapa remaja ini begitu hebat dalam usianya yang begitu muda? Jawapannya tidak lain, kerana tarbiyyah imaniah ibu ayahnya....kerana kekuatan akidahnya...kerana kemantapan imannya!

Andai kita menjadikan sekeluarga Nabi Allah Ibrahim sebagai teladan...kita canai peribadi, jana iman dan akidah yang membentuk sikap dan mencorak tindakan....berlandaskan ilmu wahyu dari Quran dan Sunnah junjungan, kita pasti akan dapat melihat sebuah keindahan dalam keluarga dengan suami hebat...isteri hebat dan anak yang hebat! Merekalah insan-insan beriman, soleh lagi musleh yang akan merasa bertanggungjawab menjana masyarakat rabbani!

Malangnya...Realiti dalam masyarakat yang kita temui, tidak ramai yang sanggup menjadi Ibrahim, menjadi Hajar dan Ismail!!!!

Ketika menjawab pertanyaan seorang pemanggil, Che Mat dari Pulau Pinang yang bertanya tentang bagaimana dengan nasib ibu bapa di akhirat yang punya anak-anak sewaktu di dunia, sebahagian anak-anak adalah anak yang soleh manakala sebahagian pula adalah sebaliknya.....Apakah anak-anak yang tidak soleh itu menjadi sebab ibu bapa disiksa dengan neraka?, saya menjelaskan; Andai ibu bapa sejak dari awal memberikan hak anak yakni anak telah diasuh, diajar, dididik...kenal Allah, kenal Nabi, cinta Allah , cinta Nabi...ajar Quran, solat dan akhlak Islam sebagianya..., bila mereka dewasa mereka berubah menjadi tidak soleh, maka ibu bapa tadi boleh berlepas diri insyaallah ! Itupun ibu bapa tidak boleh redha dengan maksiat anak mereka serta ibu bapa hendaklah terus menasihati, menegur dan mendoakan anak mereka supaya kembali menjadi insan soleh yang diredhai AllahSWT.

Andai ibu bapa tidak menunaikan tanggungjawab seperti di atas yakni anak2 dibiarkan buta agama atau diajar sebahagian nilai agama sahaja seperti anak diajar solat, tapi dibiarkan tidak menutup aurat...bulan Ramadhan ajar anak puasa, tetapi tak kisah dengan sosial mereka....sudah tidak kisah dengan aurat, tak peduli pula dengan pergaulan bebas anak-anak. Percampuran laki-laki perempuan bukan mahram dipandang ringan dan sebagainya lagi dari perbuatan maksiat dan dosa,.... maka mana mungkin ibu bapa jenis ini dapat berlepas diri di hadapan AllahSWT nanti......

Nabi bersabda :

كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه

Maksudnya : " Tiap yang dilahirkan itu adalah lahir adalam keadaan fitarah ( suci dan tidak berdosa ) maka kedua ibu bapalah yang menjadikan anak itu Yahudi atau Nasrani atau pun Majusi " !!!

Selasa, 16 Disember 2008

KedahFM 14/12/2008 - KISAH PENGORBANAN

Ahad 14 Zulhijjah 1429 bersamaan 14 Disember 2008, sekali lagi saya ke konti KedahFM bagi menggantikan tempat guru saya Tuan Syeikh Hj. Fadhil Hj. Awang yang masih berada di tanah suci.
Meskipun Aidil Adha atau Hari Raya Qurban telah berlalu, namun saya rasa penting untuk mengungkit kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim sekeluarga atau secara khususnya kisah penyembelihan Nabi Ibrahim akan anaknya Nabi Ismail A.S yang sarat dengan pengajaran dan iktibar untuk seluruh umat Islam di sepanjang zaman.
Hari ini saya tidak cukup masa untuk membenarkan talian dibuka seperti biasa kerana kisah sejarah yang panjang disentuh hampir semua. Tiga puluh minit peruntukan masa bagaikan tidak memada. Memang itulah hakikatnya....ramai yang membuat panggilan menembusi konti untuk bertanya soalan, tetapi satu atau dua orang pemanggil sahaja yang dapat dilayan.
Surah Asshaffat ayat 99 - 105 boleh menjadi rujukan bagi yang ingin merujuk kepada sumber asal. Walaupun saya tidak sempat menghuraikan kesemua, tetapi cukup jelas akan betapa hebatnya kisah Al-Quran ini. Nabi Ibrahim A.S diperintahkan Allah SWT supaya mengorbankan anaknya yang sekian lama dinanti kehadirannya sebagai bukti kecintaannya kepada Allah SWT. Sebenarnya Nabi Ibrahim pernah berjanji, bernazar jauh sebelum kelahiran anaknya Nabi Ismail, setelah banyak binatang qurban telah diqurbankannya kerana kecintaannya pada Allah SWT bahawa andai dia ada anak lelaki, dia akan qurbankan juga kerana Allah SWT.
Maka tatkala mana anaknya yang dikasihi Nabi Ismail remaja, Allah menghadirkan mimpi kepada Nabi Ibrahim sehingga menyedarkannya tentang janji dan nazarnya untuk berqurban.
Bayangkan betapa hebatnya iman dan cinta Nabi Ibrahim sehingga sanggup mengorbankan anak yang sangat dicintai. Ketika Hajar, isteri Nami Ibrahim didatangi Iblis yang cuba manghasutnya, Hajar dengan penuh keyakinan menjawab " seorang Nabi tidak pernah diperintahkan Allah dengan sesuatu yang bathil...bukan setakat anakku aku sanggup qorbankan, malah nyawaku sendiri aku rela serahkan keranaNYA!". Bayangkan betapa hebatnya iman dan cinta seorang wanita bernama Hajar.....Dia telah diuji dan dia telah rela, redha ketika ditinggalkan sewaktu2 dahulu bersama anaknya Ismail yang masih menyusu di lembah Mekah yang kering..tidak berpenghuni. Kini...dia rela dan redha anak yang sudah remaja, yang telah sampai umur berusaha, yang sangat dikasihinya disembelih suami sendiri! Kenapa? Tidak lain kerana Iman dan Cintanya pada Allah lebih dari segala-galanya!
Lihat pula akan Nabi Ismail ketika ditanya ayahandanya...."Apa pandanganmu nak?...ayah melihat dalam mimpi (diwahyukan Allah) bahawa ayah menyembelih kamu."Jawab Nabi Ismail dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu" ....Bahkan kehebatan Nabi Ismail jelas sekali dalam kisah sejarah ini, bila Nabi Ismail cuba dihasut oleh Iblis dalam usaha Iblis menggagalkan perintah Allah SWT, Nabi Ismail melempar batu sehingga Iblis bertempiaran lari. Nabi Ismail berpesan kepada ayahnya :"Wahai ayah....tolonglah ayah ikat tangan saya supaya saya tidak bergerak2 agar mudah urusan ayah menyembelih saya...Ayah, hadapkanlah wajah saya ke tanah, supaya ayah tidak melihat wajah saya yang nanti menyebabkan timbul rasa kasihan ayah pada saya...Ayah, lipatkan kain ayah ke atas supaya tidak kena percikan darah walau sedikit, nanti ibu akan lebih bersedih melihatnya...Ayah, tolonglah nanti bawa baju saya kepada ibu sebagai kenangan dan katakanlah pada ibu " sabarlah di atas perintah Allah"...Ayah, tolonglah jangan beritahu ibu bagaimana cara ayah menyembelih saya...!"
Akhirnya setelah Nabi Ismail menyerahkan tengkuknya dan Nabi Ibrahim meletakkan pisau ditengkuk anaknya...Allah telah menggantikan di tempat Nabi Ismail itu seekor binatang Syurga...seekor domba yag gemuk sebagai ganti Nabi Ismail AS.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd!

Khamis, 11 Disember 2008

Sambutan Hari Raya Aidil Adha JHEAIK 2008

Potong dan timbang sebelum diagihkan...

Bersama Dato' YDP MAIK, dari kanan Tn. Syeikh Syukri, Tn. Syeikh Haizan,Tn. Syeikh Radhi, Dato' Syeikh Uzir Baharom, Penulis dan Tn Syeikh Zainul Mukhtar

Selamat menjamu selera....

Antara jemputan yang hadir......

Sambutan Hari Raya Aidil Adha Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) 2008.

11/12/2008 - Hari ini adalah hari Tasyriq terakhir pada sambutan Raya Haji pada tahun ini. JHEAIK tidak ketinggalan menganjurkan ibadah korban yang disertai pegawai dan kakitangannya termasuk di kalangan anggota perkhidmatan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dan dari kalangan penyelaras-penyelaras Ta'mir Masjid Negeri Kedah Darul Aman. Program ini diurusetiakan oleh Persatuan Pegawai-pegawai Agama Negeri Kedah Darul Aman dengan kerjasama Penyelaras-penyelaras Ta'mir Masjid Negeri Kedah Darul Aman.



Kehadiran Sohibussamahah Dato' Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman, Dato' Syeikh Uzir bin Baharom sejak awal pagi bersama pegawai-pegawai JHEAIK dan MAIK memeriahkan suasana sambutan. Beliau sempat bersama kakitangan memotong dan melapah lembu-lembu korban sebagai bukti keprihatinan dan sokongan beliau kepada aktiviti MAIK dan JHEAIK. Turut memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengarah JHEAIK, Pengerusi Persatuan Pegawai-pegawai Agama Negeri Kedah Darul Aman, Pegawai Khas Agama kepada YAB Menteri Besar Kedah DA, Timbalan Mufti Negeri Kedah dan Pegawai-pegawai Agama Daerah. YBhg. Dato' Pengarah JHEAIK sedang berada di Johor Darul Takzim. Selain SS Dato' Syeikh Uzir menyampaikan ucapan, turut menyampaikan ucapan Tn. syeikh Ismi Anuar Abdul Halim selaku Penegerusi Persatuan Pegawai-pegawai Agama Negeri Kedah Darul Aman.

Ahad, 7 Disember 2008

Kelebihan Puasa Hari Arafah

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abi Qatadah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud " Puasa Hari Arafah menebus dosa dua tahun; setahun sebelumnya dan setahun selepasnya. Dan Puasa Asyura' itu pula menebus dosa setahun sebelumnya".

Siapa di antara kita yang tidak punya dosa dan dan tidak pernah terpalit dengan noda. Sebagai manusia biasa, kita pasti tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Maka ketibaan 9 Zulhijjah yang menawarkan fadhilat yang sedemikian hebat tidak harus dilepaskan begitu sahaja. Bagi orang-orang soleh, 10 hari pertama bulan Zulhijjah setiap tahun adalah di antara detik yang dinantikan oleh mereka. Mereka memperbanyakkan zikir, tasbih, sedakah dan lain-lain dari amal yang saleh. Mereka pasti tidak melepaskan kesempatan berpuasa Hari Arafah kerana besarnya kelebihan yang disediakan Allah SWT.

Semoga kita adalah di antara orang-orang yang tidak melepaskan kesempatan ini.!

Sabtu, 6 Disember 2008

Cuti-Cuti Malaysia

SEMINAR PEMANTAPAN SABK DAN CUTI-CUTI MALAYSIA 3-5/12/2008





















5/12/2008

Assalamualakum…

Waktu saya mula menulis catatan ini saya sebenaranya masih dalam perjalanan pulang dari Negeri Sembilan. Berhenti rehat seketika di R&R Bukit Merah memberi ruang untuk saya menulis.....

Sebenarnya saya ke sana bertemankan seisi keluarga. Di samping saya ada teman bicara dalam perjalanan jauh dan meletihkan ini, saya dapat menyelesaikan satu lagi program yang juga dalam perancangan...Cuti-cuti Malaysia!

Anak-anak saya ternyata begitu gembira dapat ikut ’baba’ mereka ke ke salah satu lokasi pelancongan terkenal di selatan tanah air iaitu Port Dickson (PD). Sebenarnya Tiara Beach Resort(TBR), tempat seminar ini diadakan terletak lebih 25 km dari Port Dickson...Jauh! Tetapi, apa yang ditawarkan di TBR ini adalah berbaloi!. Saya menyewa satu unit bilik untuk keluarga besar saya kerana selain isteri dan 7 anak, pembantu rumah juga saya bawa bersama. Alhamdulillah kerana biliknya luas dengan 2 katil dan satu ruang tamu. Dengan ’totto’ yang memang siap-siap di bawa dari Alor Star, kira cukup lumayan! Harga seunit bilik adalah RM360.00 sahaja. Syukur kerana saya disediakan bilik berasingan oleh pihak penganjur seminar.

Bagi yang nak ke PD, boleh cuba TBR. Cuma barangkali ia sangat sesuai untuk yang berkeluarga atau lebih tepat yang punya ramai anak. Walaupun harga biliknya agak tinggi, tetapi Water Park yang disediakan menawarkan banyak pilihan untuk anak-anak kita yang jarang jumpa air tu!. Selain Water Park yang ada sekurang-kurang 4 kolam dengan salah satunya cukup luas, restoran atau kedai makan pun tak jauh walaupun harganya agak mahal. Yang pasti ia jauh lebih murah dari makanan itu dipesan atau dibeli kat TBR itu sendiri! Di samping itu, anak-anak bawah 12 tahun mendapat tiket masuk percuma ke Mini Zoo yang berdekatan. Malangnya kerana kekangan masa, anak-anak saya yang asyik dengar air tu, akhirnya tiada kesempatan ke Mini Zoo tersebut.

Khamis, 4 Disember 2008

Seminar Pemantapan Kurikulum Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Peringkat Kebangsaan



sebahagian dari peserta seminar yang datang dari seluruh pelusuk negara


Assalamualaikum..Didoakan semoga 'sahabat blog' saya sekalian sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah selalu hendaknya.

Sebenarnya, saya sedang berada di Tiara Bech Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan kerana menghadiri Seminar Pemantapan Kurikulum SABK Peringkat Kebangsaan bermula 3 - 5 hb. Disember 2008. Pada asalnya yang dijadual menghadiri seminar ini adalah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman, tetapi oleh kerana beliau dan juga Pendaftar Sekolah Agama dalam lawatan kerja ke Sarawak, maka saya selaku Timbalan Pendaftar, pada ketika ketiadaan Pendaftar mahu tidak mahu mesti bertanggungjawab menggantikan beliau walaupun saya masih tercedera. Apatahlagi, Bahagian Pendidikan JHEAIK hanya ada dua orang pegawai di antara 30 kakitangan yang ditempatkan di situ.

Bersama pembentang kertas kerja4 Y.Bhg. Tn. Haji Abdul Rashid bin Othman, Yang Dipertua Majlis Pengetua dan Guru Besar SABK merangkap Pengetua Sek.Men.Agama Darussaadah, Titi Besi, Kepala Batas, Alor Star.

Di antara objektif seminar ialah :-

  • Mendapatkan data-data berkaitan dengan pelaksanaan kurikulum di SABK daripada pihak-pihak yang berkaitan.

  • Mendapatkan pandangan yang bernas dalam usaha menyelaras, memantap dan menyeragamkan pelaksanaan kurikulum di SABK seluruh negara.

  • Mencari titik-titik pertemuan di antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Kemajuan Malaysia serta pihak-pihak berkuasa agama negeri dalam usaha mewujudkan satu Kurikulum Agama Malaysia yang berkualiti dan diterima di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

  • Menjadikan SABK sebagai institusi terbaik dan mampu menyemarakkan lagi usaha melahirkan ulama yang berkualiti.
Bersama Ustaz Nasaruddin, orang kuat SABK di Kementerin Pelajaran Malaysia dan Ustaz Ahmad Azhari, orang kuat Bahagian Pendidikan di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan


Seminar yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Islam KPM adalah dengan kerjasama Uni. Kebangsan Malaysia Pakarunding. Dalam seminar ini beberapa kertas kerja telah dibentang kepada para peserta dengan 'kertas utama' dibentang oleh Y.Bhg. Dato' Haji Dangiran Mustafa, selaku mantan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Pendidikan Islam) yang bertajuk "Program Pendaftaran Sekolah-sekolah Agama : Satu Sorotan". 'Ucaputama' seminar pula disampaikan oleh Y.Bhg. Tuan Hj. Abd. Rashid bin Ngah, Pengarah Bahagaian pendidikan Islam KPM bertajuk "Transformasi Pendidikan Islam Dan peranannya dalam Melahirkan Modal Insan Cemerlang".

Kertas kerja 1 disampaikan oleh Y.Bhg. Prof Zakaria bin Stapa, Dekan Fakulti Pengajian Islam, UKM bertajuk "Kajian Pelaksanaan Kurikulum SMAR dan SMAN".

Kertas kerja 2 bertajuk "Penyelarasan Kurikulum SMAR dan SMAN : Analisa Daripada Aspek Perancangan, Pelaksanaan Dan Perundangan" pula disampaikan oleh Y.BHG. Prof. Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi bin Haji Abd. Majid dari Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliah Ilmu Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan UIAM.

Kertas kerja 3 dibentang oleh Y.Bhg. Tn. Hj. Abrar bin Idris, Ketua Sektor, Sektor Kemajuan Sekolah Agama, Bahagian Pendidikan Islam KPM. bertajuk "Pemantapan Kurikulum : Satu Usaha Memperkasakan SABK".

Kertas kerja 4 pula disampaikan oleh Y.Bhg. Tn. Haji Abdul Rashid bin Othman, Yang Dipertua Majlis Pengetua dan Guru Besar SABK bertajuk "Penyelarasan Kurikulum Al-Azhari SABK : Cabaran dan Harapan". Beliau adalah Pengetua Sek.Men.Agama Darussaadah, Titi Besi, Kepala Batas, Alor Star.

Kertas kerja terakhir adalah bertajuk "Kurikulum Pendidikan Islam Malaysia : Satu Penanda Aras Peringkat Dunia" disampaikan oleh Y.Bhg. Asst. Prof. Dr. Adnan bin Abdul Rashid dari UIAM.











Rabu, 3 Disember 2008

Kedah FM. 5.30 pm - 01/12/2008

Kedah FM 01/12/2008

Assalamualaikum…Hari ini, saya cuba memperincikan persoalan yang dikemukakan Pak Hj. Said Sungai Papan, salah seorang pemanggil setia ruangan Bimbingan Fardhu ain di Kedah FM. Beliau telah membangkitkan tentang fenomena poligami yang diamalkan sebahagian orang kita hari ini. Mafhum katanya lebih kurang; kenapa tak ramai hari ini penceramah-penceramah dan ustaz-ustaz yang bercakap dan menjelaskan tentang poligami berkahwin lebih dari satu? Sebaliknya ramai yang kurang ilmu memilih untuk berpoligami di mana akhirnya telah menyebabkan berlaku banyak masalah dalam rumahtangga..?


Sebenarnya, isu poligami bukanlah satu isu yang baru dibahaskan dalam masyarakat. Sudah sekian lama isu ini berlegar di kalangan kita. Ada yang pro dan ada pula yang kontra. Dengan tegas, saya nyatakan bahawa poligami adalah satu syariat Allah SWT dari syariatNYA yang suci….satu hukum dari hukum-hukum Allah SWT yang berkekalan…Hukum Allah yang lengkap lagi sempurna lagi.sesuai untuk sepanjang zaman. Poligami atau berkahwin lebih dari satu dan tak lebih dari empat dalam satu-satu masa bagi seorang lelaki yang berkemampuan pada dasarnya merupakan jawapan kepada masalah dalam masyarakat yang mungkin sahaja melibatkan wanita-wanita tertentu seperti isteri yang kematian suami yang perlukan pembelaan…Wanita yang agak terlewat usia belum berumahtangga yang kesunyian ….isteri pertama yang mengalami masalah kesihatan ….tak dapat mengandung atau dah tak sanggup mengandung sedang suami berkemampuan zahir dan batin serta inginkan zuriat lagi, atau anak-anak yatim yang perlukan kasih sayang seorang ayah kerana ayah mereka telah dijemput Ilahi atau anak-anak terbiar tanpa perhatian seorang bergelar ayah kerana ibu mereka telah diceraikan ayah sendiri, atau barangkali juga lelaki sudah berkahwin yang kuat nafsunya sedang isterinya sudah tidak berupaya melayani keperluan si suami.


Apa yang malangnya, bila yang memilih berpoligami tak cukup persiapan dan persediaan perlu dalam alam poligami. Ramai yang hanya melihat dari aspek material kebendaan semata-mata tanpa mengukur keupayaan spiritual dalam melangsaikan tanggungjawab ketika melayari bahtera poligami. Sudahlah miskin ilmu,..miskin pula budi bahasa. Akhirnya, syariat Allah dikambinghitamkan! Sedangkan yang bersalah adalah tangan-tangan manusia yang jahil lagi zalim! Poligami yang sepatutnya positif telah dinegatifkan kita sendiri! Berapa ramai isteri yang menangisi kezaliman suami dan berapa ramai pula anak-anak yang menjadi mangsa pengabaian orang tua tidak bertanggungjawab! Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu? Hanya Tuhan yang tahu….

Pun begitu, saya tetap konsisten menyatakan bahawa tidak semua yang berpoligami tidak dapat menterjemahkan keindahan poligami. Sirah Nabi kita Muhammad SAW dan Sejarah orang-orang soleh dari kalangan sahabat, tabien dan tabi’ tabiin, juga sejumlah ilmuan Islam mutaakkirin yang berpoligami dan menterjemahkan keindahannya menjadi bukti betapa cantiknya syariat Allah SWT.

Alangkah indahnya, andai yang berpoligami benar-benar bertanggungjawab melaksanakan keadilan dan menyempurnakan hak seperti yang telah ditentukan Allah dan RasulNya. Akan mewangilah alam dengan anak-anak yang hebat kualitinya bukan sekadar ramai kuantitinya!.

Ahad, 30 November 2008

Kedah FM. 5.30 pm - 30/11/2008

Kedah FM , 5.30 pm - 30/11/2008

Assalamualaikum…Pertemuan setengah jam di ruang udara Kedah FM hari ini sebenarnya kerana saya menggantikan ayahanda Tuan Syeikh Haji Fadhil Awang yang kini sedang berada di tanah suci Makkah . Beliau ke udara setiap Ahad manakala saya pula pada setiap Isnin.

Hari ini saya menyambung penjelasan kepada persoalan yang dikemukakan oleh seorang pemanggil pada minggu yang lalu. Puan Salasiah dari Alor Star bertanya tentang masalah seorang ayah yang tidak bertanggungjawab serta langsung tidak mempedulikan anak-anaknya. Setelah dia menceraikan isterinya, nafkah isteri dan anak-anak tidak lagi dipedulikan. Apakah pandangan Islam terhadap ayah ini dan bagaimana pula pandangan Islam bila anak-anak ini menjadi dewasa kelak, mereka tidak menghormati ayah mereka disebabkan sikap ayah mereka dahulu?

Jawapan saya lebih kurangnya...

Pertama, ayah ini adalah ayah yang memang jelas tidak melaksanakan tanggungjawab dan amanah Allah. Di atas kezalimannya, dia pasti akan menerima bahagiannya di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Di dunia pun ada undang-undang, apa lagi di akhirat.

Kedua, menjadi tugas dan tanggungjawab pihak yang memelihara anak-anak ini, untuk tidak sesekali meniupkan api kebencian atau menanam rasa tidak hormat di dalam jiwa mereka. Pihak yang berkenaan, sama ada mungkin ibu mereka sendiri, datuk nenek, bapa saudara, atau sesiapa saja, tidak boleh sama sekali mengajar perkara salah, apatah lagi mengajar anak-anak itu membenci ayah mereka sendiri. Sebaliknya mereka perlu diasuh dan dididik untuk menyayangi dan menghormati ayah mereka. Seorang ibu sepatutnya menekankan kepada anak-anaknya, walau siapa pun ayah mereka, walau tidak bertanggungjawabnya dia terhadap mereka, walau mungkin mereka tidak pernah merasa kasih sayang seorang ayah, mereka tetap WAJIB menghormatinya. Tentang ayah itu yang tidak menjalankan amanahnya sebagai bapa, itu adalah urusan dia dengan Allah. Biar Allah sahaja yang menentukan kedudukannya. Yang penting, anak-anak ini mesti jadi anak SOLEH yang memulakan rantaian baru dalam kehidupan mereka. Mereka SOLEH dan akan bertemu dengan yang SOLEHAH dan kemudian dikurniakan cahayamata yang SOLEH pula!

Sebenarnya Islam konsisten dalam mengajar umatnya mencintai kebaikan dan melakukannya, membenci kejahatan, kezaliman dan menjauhinya. Justeru kita tidak boleh ’ikut-ikutan’. Kalau orang melakukan kebaikan kita melakukannya dan sebaliknya, bila orang melakukan kejahatan dan kezaliman, kita juga ikut melakukannya. Ini bukan ajaran Islam!

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh At-tirmizi bersabda

لا تكونوا إمعة تقولون إن أحسن الناس أحسنا وإن ظلموا ظلمنا ولكن وطنوا أنفسكم إن أحسن الناس أن تحسنوا وإن أساءوا أن لا تظلموا
Maksudnya : Janganlah kamu jadi “ikut-ikutan”(tiada pendirian) sekira-kira kamu berkata ‘jika orang melakukan kebaikan, kami melakukan kebaikan dan sekiranya orang melakukan kezaliman, kami juga melakukan kezaliman. Tetapi, tetapkan pendirian kamu; sekiranya orang melakukan kebaikan, kami melakukan kebaikan dan sekiranya mereka melakukan kezaliman/kejahatan, kami tetap melakukan kebaikan...!

Semoga kita semua konsisten dengan ajaran suciNYA!

Khamis, 27 November 2008

Ibarat Membesarkan Anak harimau...

27/112008..Khamis.


Assalmualaikum. Kita dikejutkan buat kesekian kalinya dalam Harian Metro kelmarin dan hari ini dengan kisah remaja mengamuk. Walaupun agak acap kali kita membaca berita kegelinciran sesetengah remaja yang bertindak diluar batasan, tetapi kisah kali ini agak luar biasa. Kisah seorang anak remaja lelaki berusia 15 tahun mengamuk setelah bertengkar dengan bapanya seorang anggota polis berpangkat Sarjan tergamak mengambil pistol bapanya dan menembak secara rambang sehingga mencederakan ibunya sendiri adalah satu kisah yang tragik! Remaja anak sulung dari empat adik beradik itu seolah-olah hilang akal apabila dia kemudiannya dengan berani melarikan diri bersama senjata api milik bapanya itu. Dia hanya ditangkap setelah tengah malam hari kejadian malah dia masih sempat menyewa sebuah rumah tumpangan pada hari berkenaan.


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul....mungkin peribahasa yang tepat untuk menggambarkan betapa beratnya penanggungan kedua ibu bapa malang ini...betapa kecewanya mereka apabila anak lelaki sulung yang diharap menjadi anak harapan...anak soleh yang penyayang lagi berakhlak mulia, yang akan sanggup mengorbankan nyawa kalau perlu demi ayah dan bonda, tiba-tiba bertukar menjadi ganas dan buas! Rupanya, anak sendiri menjadi musuh dalam selimut...Ibarat api di dalam sekam...gunting dalam lipatan!....Anak yang kecilnya dulu ditatang umpama menatang minyak yang penuh. Dialah permata hati,,,dialah penyejuk mata ayah dan bonda! Tetapi, alangkah kecewanya rasa bila anak yang amat dikasihi ini berubahlaku hari demi hari. Makin meningkat remaja, makin hilang rasa hormat pada yang lebih tua. Tak peduli lagi soal hati ibu ayah yang terluka...soal menjaga maruah mereka yang tercalar bila dipanggil mengadap pihak sekolah kerana masalah disiplin dan perlanggaran etika. Pendek kata, bersultan di mata beraja di hati!



Sebenarnya, kita hanya menuai apa yang kita semai! Bila kita tidak memberikan hak anak-anak kita waktu kecil mereka, maka kita tidak akan memiliki hak kita waktu remaja dan dewasa mereka! Hak anak-anak kita waktu kecil mereka ialah kenal Allah, kenal Nabi, cinta Allah, cinta Nabi, kenal Quran, kenal Sunnah. Tetapi bila yang kita hadapkan pada mereka hanya duniawi dan duniawi, tiada lagi ukhrawi....Kita tidak memberikan mereka ilmu agama, yang kita beri hanya ilmu dunia. Kita beri mereka kebebasan, kita tidak kenalkan mereka batas sempadan, dosa pahala.....Akhirnya, kita terpaksa membayar harganya! Kita kehilangan mereka ketika kita masih di sini, di dunia ini lagi! Bayangkan andai kehilangan itu berpanjangan sampai ke sana!....Akhirat yang kekal abadi! Alangkah malang dan celakanya kita!


Fikir-fikirkan....

Selasa, 25 November 2008

KFM - Isnin, 24/11/2008

Assalamualaikum. Kelmarin petang jam 5.30, saya kembali ke udara bersama para pendengar Kedah FM dalam ruangan Bimbingan Fardhu 'Ain seperti biasa. Sebenarnya, pada peringkat awalnya saya dah minta alfadhil Ustaz Hj Aminuddin gantikan tempat saya. Tetapi, disebabkan masalah tertentu beliau tak dapat hadir pada saat-saat akhir. Bayangkan, dalam keadaan "berdarah" saya ke sana.

Kelmarin, saya bercakap tentang cuti sekolah yang baru bermula. Cuti panjang ini lazimnya akan digunakan sepenuhnya oleh anak-anak sekolah yang penat belajar selama ini untuk enjoy...cuti secuti-cutinya! Kalaulah ibu bapa tidak membantu anak-anak mereka mengatur masa cuti mereka dengan betul.....Lebih parah lagi, kalaulah ibu bapa tidak ambil peduli dengan masa cuti anak-anak mereka....mereka dibiarkan, dimerdekakan dari ikatan peraturan, tak kisah lagi dengan buku....tak terikat lagi dengan solat! tak dipantau lagi akhlak dan adab susila....,
Bayangkan apa akan berlaku pada anak-anak yang masih hijau ini...

Sepatutnya, setiap ibu bapa memastikan anak-anak mereka diprogramkan dalam menghabiskan cuti panjang mereka dengan aktiviti-aktiviti berfaedah sahaja. Kita boleh juga menghantar mereka mengikuti kem bestari solat, kem anak soleh, kem tahfiz alquran dan lain-lain. Mungkin tempohnya cuma seminggu dua, tetapi sentuhan itu adalah penting untuk mencetuskan perubahan. Mereka mesti disedarkan tentang kepentingan bercinta dengan buku...Mereka mesti terus disokong untuk terus berjaya dalam pelajaran di samping aspek akhlak dan syakhsiah mereka yang tidak diabaikan. Kalau mereka pulang ke kampung bersama datuk dan nenek mereka, ibu bapa hendaklah membekalkan senarai tugas yang mesti diselesaikan anak-anak sepanjang berada di sana. Lebih-lebih lagi, bila datuk dan nenek mereka hanya datuk nenek biasa. Maklumlah, datuk dan nenek lazimnya lebih lembut hati dengan cucu mereka yang pada akhirnya, anak-anak kita jadi lemak dan lItaliciat. Kat rumah kita mereka solat, kat kampung tinggal solat....!

Perkara kedua yang saya sentuh kelmarin ialah tentang "Selamat Pengantin Baru". Bila cuti panjang, ramai yang mengambil kesempatan mengadakan majlis perkahwinan. Perkahwinan adalah satu detik indah penuh sejarah. Perkahwinan mestilah disempurnakan dengan nawaitu yang betul agar rahmat dan barakah Allah akan menjadi milik bersama. Mengahwini seorang wanita kerana kedudukan, harta dan keturunan hanya akan mengundang kehinaaan, kesusahan dan kerendahan. Sebaliknya, perkahwinan yang dibina kerana Allah, bertujuan memelihara kehormatan diri, menundukkan pandangan dan untuk menyambung silaturrahim, nescaya Allah akan turunkan keberkatan dan rahmat dari sisiNYA....suami isteri diberkati lagi dirahmati!

Perkahwinan datang dengan tanggungjawab. Suami dengan pertanggungjawabannya sebagai seorang suami dan begitu juga isteri. Perkahwinan juga datang bersama ujian-ujian tersendiri. Andai kita gagal menghadapinya, kita bakal kecundang dan kecewa.! Tetapi kalau kita sabar dan tabah mengharungi ujian.....pasti menanti...di hujung terowong yang gelap itu, cahaya kebahagiaan!

Ahad, 23 November 2008

Berdarah semula..

23/11/2008 - Ahad



Assalamualaikum..

Hari ini alhamdulillah, saya berkesempatan untuk update blog saya setelah tak dapat berbuat demikian kelmarin. Hari ini sepatutnya saya ke KMC untuk menadah "bahagian sensetif" yang sepatutnya di "dressing" oleh jururawat di sana. Tetapi, saya mengambil keputusan untuk tidak pergi dan sekadar di "dressing" oleh isteri di rumah. Cukuplah rasanya...bila kelmarin saya ke KMC seperti yang diatur oleh Doktor Minder sebelum discaj dari hospital baru-baru ini, jururawat yang bertugas di bahagian kecemasan KMC bagai tidak tahu apa yang nak dibuat. Apa yang lebih malangnya...dia telah melukakan bahagian yang dah semakin sembuh waktu bahagian itu dirawat. Luka lama berdarah kembali!



Apa pun segalanya adalah ketentuan Allah jua. Kita hanya mampu merancang, berusaha dan mengharap...Selebihnya bertawakkal kepada Allah! Siapalah kita untuk mempertikai atas apa yang telah diaturNYA. Yang tepat dilakukan kita adalah melihat ke dalam diri peribadi, bermuhasabah dan menginsafi kesilapan lalu dan kembali kepadaNYA.

Jumaat, 21 November 2008

PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH....KMC

Jumaat - 21/11/2008

Hari ini, hari terakhir saya di katil 402 -2 KMC. Setelah masuk hari kelima dirawat pagi petang sampai ke malam, akhirnya saya dapat kembali ke pangkuan keluarga. Mengikut doktor pakar yang merawat saya, luka pembedahan itu akan mengambil sedikit masa untuk sembuh. Maklumlah pada kedudukan yang cukup strategik, mungkin ia memerlukan dua ke tiga minggu, katanya. Setiap hari saya dikehendaki datang ke hospital untuk memastikan luka itu dicuci oleh jururawat terlatih hingga sembuh. Ini bermakna saya terpaksa menghadapi detik "memalukan" lagi bila "belakang" kita diceroboh orang asing walaupun dengan izin!

Saya sudah minta agar isteri belajar untuk mengambil alih tugas mencuci luka yang lazim dilakukan oleh jururawat. Saya akan mencari peralatan di farmasi untuk tujuan itu. Mudah-mudahan Allah permudahkan segalanya. Mudah-mudahan isteri cepat belajar dan saya tak perlu datang mengadap.....

Kepada Dato'Doktor Minder, pakar bedah KMC serta para jururawat yang bertungkus lumus membantu kesembuhan saya, saya ucapkan jutaan terima kasih...Semoga Allah memberikan taufik dan hidayahNYA kepada semua kita hambaNYA. Semoga KMC akan terus memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang pada masa-masa yang akan datang.




Jururawat Elizebeth sedang mengambil tekanan darah

Jururawat Esah dan Rashidah sedang bersiap untuk "dressing"

Sebahagian jururawat yang melayani saya dengan penuh tanggungjawab...kak Saadiah, kak Shobariah dan Vijaya. Turut kelihatan dalam gambar, adik-adik jururawat pelatih...

Rabu, 19 November 2008

Dari Jendela Kamar 402 Kedah Medical Centre (KMC). Catatan Dua



Assalamualaikum..
19/11/2008

Kamar 402, KMC


Antara yang menziarahi saya sejak saya mula mendiami sementara Kamar 402 KMC termasuklah Ayahanda saya Haji Ahmad Hj Ibrahim, 84 dan kedua bonda saya serta abang Kadir, kakak Hamidah dan adik-adik saya, Paling awal sampai dari Jabatan adalah Tn. Haji Mohd Zamri Omar iaitu Pegawai perhubungan di Bah. Pendidikan JHEAIK selain saya juga dikunjungi Tuan Haji Mohd Zuhdi Hj Saad, Timbalan Pengarah JHEAIK dan Tuan Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim, Pendaftar Sekolah Agama ,Boss saya di Bahagian Pendidikan JHEAIK. Turut ikut melawat saya Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid dan Surau Tuan Syeikh Hazizan Mad Desa serta Pegawai Agama Daerah Kulim Tuan Syeikh Radhi Abdul Mutalib.

"Yang dekat bertanya khabar..yang jauh berkirim salam"....benar-benar membuatkan diri rasa disayangi..Alhamdulillah, syukur pada Allah. Kedatangan sahabat, kenalan dan adik beradik selain anak-anak yang gembira bermain di KMC ini mengubati luka dan kesakitan yang saya alami. Terima kasih semua...Ustaz Mansor Abdul Latif dan Ustazah Nasriah, Sekeluarga Haji Zuber Farmasi Pokok Sena, Ustaz Lutfi Ameer, En Nasir Pengarah UNITAR Kedah, Datin Jawaher, Cikgu Yusoff dan isteri, Ustaz Yusri Polimas, abang Hj Zubir RISDA Kubang Pasu, adik NorHana sekeluarga, Mak Njang Norma.....dll.



Saya juga telah dikejutkan dengan kunjungan sahabat saya Alfadhil Ustaz Hj. Rushdan Hj Azizan pegawai di SPPIM dan JPN negeri. Blogger terkenal di JPN ini baru balik dari mesyuarat di Langkawi dan dalam perjalanan untuk beberapa hari mesyuarat di Kelantan. Balik dari Kelantan ke KL pulak katanya. Jelas sekali beliau sangat sibuk dan komited dengan tugas. Saya ucapkan terima kasih banyak atas segala susah payahnya ....moga beliau akan sentiasa berjaya...Aaamen.

Dari Jendela Kamar 402 Kedah Medical Centre (KMC). Catatan Satu




19/11/2008
Kedah Medical Centre
Alor Star

Alhamdulillah ...Demikian Islam mengajar kita mensyukuri segala yang diberi Allah SWT. Kalau nikmat ucapkanlah "Alhamdulillahi Bihi Tatimmu Ssolehaat". Kalau ia ujian atau bala, ucapkanlah "Alhamdulillah 'Ala Kulli Hal". Orang beriman pasti diuji....Demikian Sunnatullah dalam hidup dunia yang sebenarnya bukan lama ini. Kalau sabar, janji Allah akan terangkatlah martabat, kalau kufur sesungguhnya azabNYA maha dahsyat.!

Sebenarnya hari ini, masuk hari ketiga saya di tahan di kamar 402 KMC. Saya sudah selamat menjalani pembedahan membuang semacam bisul yang "menumpang tanpa diundang" dalam salur najis saya. Ia amat menyakitkan sehinggakan saya seperti tidak malu lagi pada Doktor Benggali dan krunya yang melakukan operasi itu.....Saya pasrah setelah tiada pilihan melainkan operation...

Tiba-tiba, hidup saya jadi tersekat di KMC ini, saya bukan sahaja tak berupaya ke pejabat, bahkan semua program samada diganti orang lain, dibatalkan atau terpaksa ditangguh. Antara yang sudi membantu...Alfadhil Ustaz Hj Aminuddin Abdul Rahim di KFM, Ustaz Lutfi Ameer Abdullah di Perlis dan Ustaz Hafeez Mustafa Lubis untuk program Forum dengan IKBN Jitra dan kuliah dengan warga Bangunan Sultan Abdul Halim. Kepada Mereka hanya Allah jua yang dapat membalas segala.

Hampir dua hari saya tak berdaya nak update blog saya, walaupun laptop telah siap tersedia. Masalah Broadband Ceelcom pun dah selesai..pulih sediakala, semuanya gara-gara disebabkan kesakitan kesan pembedahan. Alhamdulillah...hari ini saya diberi kekuatan Allah SWT. Saya telah publish satu tajuk"Anak-anak satu amanah, bukan sekadar anugerah". Saya letakkan juga gambar anak baru saya dan sekeluarga yang sangat saya sayangi. Alhamdulillah atas kehadiran seorang isteri yang tak pernah jemu menyokong!!

Isnin, 17 November 2008

ANAK-ANAK....SATU AMANAH, BUKAN SEKADAR ANUGERAH

Assallamualaikum.....

Di antara anugerah besar yang telah dikurniakan Allah kepada manusia sejak zaman berzaman apabila mereka berumahtangga adalah kelahiran seorang cahayamata. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sunyi dan sepinya sebuah rumahtangga yang yang tidak diserikan dengan kedatangan ”orang baru” ini. Berapa ramai yang sanggup ke seluruh pelusuk negeri demi penawar dan ubat untuk memastikan alam perkahwinan yang terbina ceria seperti orang lain, diceriakan dengan tangisan dan gelak tawa si kecil. Sehingga ada yang secara sedar atau tidak, melakukan perkara yang mungkin membawa kepada syirik kepada Allah. Semuanya dengan tujuan yang satu- ANAK.

Anak ke 7...Ahmad (sempena nama datuknya) diputerakan pada 7 Oktober 2008

Anak ke 6 Iman bersama mama dan baba di Hospital Sultanah Bahiyah

Bersama isteri Ustazah Nawal dan anak-anak Aufa, Muhammad, Mujahid, Ziyad, Mubarak dan Iman di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas.

Namun, dalam keterujaan mendapat anak, ramai yang lupa satu perkara yang lebih besar dan lebih penting dari itu...... proses melahirkan seorang bayi, yang pasti melalui kesukaran dan kesakitan, walau saya tidak pernah merasainya sendiri.... Tetapi, membina keinsanan seorang anak, menjana jiwa kehambaanya, membina keimanan dan ketaqwaannya; sesungguhnya adalah lebih sukar dan perit lagi. Ramai yang tidak ambil peduli hal ini. Alangkah malangnya diri, apabila dianugerahkan Allah nikmat anak yang bukan semua orang mampu memilikinya, tiba-tiba kita mempersiakan nikmat ini...membiarkan anak-anak membesar tanpa mendapat sesuatu yang sepatutnya diberikan oleh kita...ibu ayahnya.

Ketika ramai kita terkejar-kejar mencari harta dunia, ramai yang lupa ANAK adala harta yang sangat mahal harganya dunia dan akhirat. Di dunia, orang tidak bising bertanya berapa buah rumah banglow milik kita atau berapa banyak saham kita di papan bursa. Tetapi yang selalu ditanya " berapa anak kita sekarang ?..anak sulung kat mana?...etc". Baik nama anak kita disebut, baiklah nama kita sebagai ibu ayahnya dan begitulah juga sebaliknya, bila buruk nama anak kita disebut orang, maka buruklah pula nama ibu ayahnya! Itu baru dunia...

Bayangkan bila kembali ke alam akhirat di mana segalanya sudah tidak dinilai dengan RM, pangkat, keturunan maupun kedudukan. Kalaulah ketika itu ANAK kita datang sebagai ANAK DERHAKA ALLAH dan RASUL......sewaktu hidup mereka di dunia, kita biarkan mereka dengan serakahnya nafsu, tenggelam dalam syahwatnya dunia..."bersultan di mata beraja di hati". Kita biarkan mereka buta agama...buta al-quran...kita hanya puas hati melihat mereka gemerlapan dengan cemerlang dunia dan sedikitpun tak ambil kisah dengan kegelapan alam akhirat. Alangkah malangnya kita di sana....Tiba-tiba kita jadi sangat miskin dan papa...jatuh MUFLIS!

Sudahlah amalan sedikit, infaq pula kurang dan kalau adapun bersalut kepentingan....Alangkah menyesalnya kita ketika itu!

Satu hari seorang sahabat bertanya Baginda Nabi SAW "dalam Islam apakah yang paling ringan dan apa pula yang paling berat?..Nabi SAW pun menjelaskan yang bermaksud "Yang paling ringan ialah kamu mengucap dua kalimah syahaadah dan yang paling berat ialah kamu menunaikan AMANAH"!

Manakala dalam sebuah hadis yang lain pula Nabi menjelaskan bahawa "tiap yang dilahirkan (anak) itu lahir dalam keadaan fitrah ( suci dan tidak berdosa) maka dua ibu dan bapanyalah yang menjadikan ia yahudi atau nasarani mahupun majusi"

Sebenarnya , kita menuai apa yang kita semai...Kalau kita selama ini menyemai lalang apa diharap yang akan tumbuh itu adalah padi!

Fikir-fikirkan..............

Ahad, 16 November 2008

Selamat Berjuang Anakku..

Selamat Berjuang Anakku….

Hari ini Sabtu tanggal 15hb November 2008 adalah hari terakhir anak kedua saya sebagai murid tahun enam di Sekolah Rendah Islam Alor Star(SRIAS). Anak lelaki sulung saya yang saya namakan Muhammad ini , akhirnya diserahkan secara rasminya dalam satu majlis “Salam Terakhir Teristimewa- Inilah Anakku” di acara kemuncak “Perkampungan Terakhir di Sekolahku” (PTDS) yang telah dianjurkan pihak sekolah selama sepuluh hari.


Program PTDS merupakan program tahunan (SRIAS) khusus buat pelajar-pelajar tahun enam yang bakal meninggalkan sekolah setelah dididik, diasuh dan dibimbing selama enam tahun oleh para guru yang tidak pernah mengenal erti jemu.Berbagai acara disusun untuk mengisi sepuluh hari terakhir anak-anak ini. Pagi mereka dimulakan dengan solat subuh berjemaah,diikuti bacaan Ma’thurat,”hizib bahar” dan surah-surah pilihan. Di samping itu,mereka juga didedahkan dengan cabaran-cabaran yang bakal mereka tempuh di alam remaja di dalam slot “Selamat Datang Alam Remajaku”. Ada hari lawatan, ada hari sukan. Kemuncaknya ialah program yang saya hadiri tadi “Salam Terakhir Teristimewa – Inilah Anakku”.





Majlis Penyerahan Rasmi Anak Kepada Waris


Saya dijemput ke pentas untuk menerima kembali anak saya dari pihak sekolah....Bersalaman dengan Guru Besar, guru-guru yang telah bertungkus lumus selama ini memberikan yang terbaik kepada anak saya dan lain-lain. Saya sangat bersyukur di atas pendidikan yang telah diterimanya di sekolah itu. Hanya Allah sahaja yang pasti mengganjari yang terbaik buat guru-guru yang cemerlang ini.



Terima Kasih Cikgu Kerana Tak Jemu Mendidik Anakku



2 hari lepas,13hb November,keputusan UPSR diumumkan. Alhamdulillah, anak saya mendapat 3A2B.Jarang saya melihat dia menangis.Tapi hari itu, dia menangis teresak-esak bersama kawan-kawan lelakinya yang lain. Nyata dia kecewa kerana gagal memenuhi impian sendiri. Impian untuk seiring kakaknya yang mendapat 5A, impian untuk melengkapkan harapan ibu ayahnya, impian untuk menyambung pelajaran di sekolah idamannya. Dalam peperiksaan percubaan yang lalu, dia berjaya menggapai 4A1B. Ramai guru SRIAS menjangkakan dia akan memperolehi 5A. Demikian Allah menentukan ketika kita hanya berupaya merancang....

Sebagai bapa, saya menerima dan redha. Walau sedikit kecewa, saya syukur dan rasa bangga kerana dia menangis....Air mata lelakinya yang gugur itu membuktikan dia memahami erti kegagalan. Saya bangga, kerana apa yang disemai selama ini untuk mencintai kecemerlangan, dijiwai oleh hati kecilnya. Dia bukan tidak berjaya. Dia cuma kurang cemerlang. Dan dia menjiwai situasi itu. Saya yakin, air matanya bukan satu lakonan. Ia satu interpretasi sebuah harapan yang berkecai.

Saya memeluknya dan mengucapkan tahniah. Saya katakan padanya, yang saya bahasakan ‘abang’ itu, bahawa apa yang dihadapinya sekarang, hanya permulaan kepada satu episod perjuangan yang sangat panjang. Bagaimana nanti dia mesti berjuang menempuh transisi alam remajanya yang sarat dengan cabaran, berhadapan pula dengan deretan peperiksaan yang lebih mencabar dan berbagai bentuk dugaan hidup yang perlu didepani dengan jiwa yang kental.

Jika jiwa tidak diisi dengan ruh mencintai Allah dan RasulNya, pasti ia akan mudah mengalah pada cabaran dunia yang semakin menggila ini. Saya yakin semua ibu ayah di luar sana seperti saya,ingin melihat kesempurnaan di dalam hidup anaknya.Tapi ingatlah para sahabat sekelian..Allah Maha Mengetahui segala yang tersurat dan tersirat. Allah tahu niat kita ketika menghantar anak kita ke sekolah. Impikan dia berjaya di dalam peperiksaan? Adakah itu matlamat utama kita?

Percayalah sahabat…hidup kita akan terasa damai dengan adanya seorang anak yang soleh di sisi kita. Apa erti kecemerlangan akademiknya, tetapi sifar dari segi akhlak dan syakhsiahnya... Pada saya, yang lebih besar dan penting adalah melihat dia tahu diri sebagai "Anak Soleh" ...menampakkan ciri kehambaan dan khalifah Allah. Maka, Natijah peperiksaan itu sangat kecil berbanding perjuangan menjadikan dia "Soleh dan Mushleh"!!

"Haiyya 'ala solaah...haiyya alal falaah!!!"

Jumaat, 14 November 2008

Celcom Broadband

Assalamualaikum...

Hari ini, saya telah mengambil keputusan untuk melanggan Celcom Broadband demi memastikan blog saya sentiasa dapat dikemaskini walaupun di luar waktu pejabat. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana mengurniakan kepada insan kerdil ini keinginan dan kesungguhan(hingga setakat ini) untuk meneroka alam blog yang luas ini. Sesungguhnya, saya telah mula merasakan kelazatan menulis......

PadaMu ya Allah daku pohon taufik dan hidayahMu agar segala yang tercurah di blog ini walau sekelumit adalah Ilmu dan Hikmah dari sisiMu. Moga setiap bicara adalah kebaikan dan kebajikan cuma. Biar tiap tinta adalah cebisan kasih dan sayangMu, agar hidup ini akan sentiasa terpimpin sehingga noktah akhirnya.......

Khamis, 13 November 2008

Sayangkan anak tangan-tangankan

Assalamualaikum...

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kisah seorang ayah yang membakar tangan anak lelakinya yang berusia 10 tahun kerana tidak mengaku mencuri sejumlah wang. Kisah penuh tragis ini dipaparkan di muka depan Harian Metro 10 November 2008. Anak lelaki malang ini telah dipukul setelah tangannya diikat selain dibanting tubuh kecilnya itu ke lantai. Setelah menangis kesakitan kerana tangannya terbakar, akhirnya budak ini mengaku "dia mencuri".

Persoalannya, adakah perbuatan seorang bapa seperti yang dilaporkan dalam kisah benar ini suatu yang "syarie"?. Dan...Apakah kata pepatah "sayangkan anak tangan-tangankan" telah diterjemahkan oleh "ayah ini" dengan betul?

Islam adalah suatu agama yang berasaskan kasih sayang. Walaupun Islam membenarkan "pukul" sebagai suatu kaedah untuk memberi pengajaran, tetapi Islam sama sekali tidak mengizinkan kaedah yang dilakukan oleh "ayah" di atas.! Perbuatan itu jelas zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Nyata sekali setiap pukulan yang diberi kepada anaknya berbalut dengan kebencian dan tidak berasaskan kebersihan jiwa, keikhlasan...apa lagi pergantungan dengan Allah swt!!!. Bayangkan wajah "ayah ini"...matanya...kaki tangannya...pukulunnya ketika itu! Jelas "ayah ini" dah dirasuki syaitan!

"Sayangkan anak tangan-tangankan.." sebenarnya bermaksud kita sanggup mengorbankan perasaan tidak sampai hati kita sebagai ayah atau ibu dalam memastikan akhlak, adab dan tata cara hidup anak kita yang mesti berpandukan syariat Allah swt, walaupun kita terpaksa merotan bila perlu!, segala-gala yang dilakukan dalam operasi tarbiah anak-anak kita ini sejak awalnya mestilah atas nama Allah swt. Apalagi Islam sejak mula lagi telah meletakkan "Addin Annasihah" .Maksudnya: Agama itu adalah nasihat!

Merotan pula adalah satu langkah yang diambil setelah nasihat dan nasihat yang diberi gagal dipatuhi. Apabila masanya sampai, setiap ibu bapa mesti mengambil langkah ini...."rotan". Cuma, AWAS...Kita bukan menyeksa, mendera atau mahu melihat mereka derita dengan pukulan kita, tetapi hanya Allah swt sahaja yang maha tahu betapa di atas tiap pukulan yang hinggap di betis anak kita, kalimat suci lagi keramat "ALLAH "tidak lekang di hati dan lidah kita.

Andai kita mengajar anak-anak kita"takut kita", kita hanya akan melihat mereka baik di depan kita "pijak semut pun tak mati"! Tetapi, kalau kita ajar anak kita takut kepada ALLAH SWT, Ia ada di mana-mana?

Fikir-fikirkan....

Rabu, 12 November 2008

Alhamdulillah...


Hari ini, saya dapat dengan izin Allah bertemu dengan orang yang bertanggungjawab mengajar dan mengenalkan saya sebagai Blogger. Beliau yang dimaksudkan tidak lain Ustaz Muhammad Rushdan Azizan. Banyak yang saya pelajari tentang blog dari beliau.....
Sebenarnya Ustaz Rushdan sangat sibuk dengan urusan rasminya sebagai Penolong Pengarah Kurikulum SPPI JPN (Kedah), namun atas setiakawan dan galakan kepada saya yang sangat baru dalam alam Blogger ini, beliau sanggup bertandang ke pejabat saya dan mencurahkan ilmunya.
Meskipun masih banyak lagi yang perlu dipelajari, saya sangat bersyukur kerana di sana, ada sahaja insan yang sudi menghulurkan tangan membantu diri yang kerdil ini.
Yang pastinya...Jiwa dan semangat dalam diri ini tak pernah jemu untuk belajar dan belajar. Saya sentiasa mengharapkan agar saya dijemput pergi ketika itu saya seorang tholib alilm.
Kepada Ustaz Rushdan...terima kasih daun keladi. Hanya Allah yang dapat membalas segala yang telah diberi dan akan diberi.........
Kepada yang ingin bersama dengan beliau boleh kehttp://blogsppimkedah.blogspot.com/

Inna ma'al usri yusra



Assalamualaikum!

Sahabat...Sesungguhnya bersama kepayahan dan kesukaran itu ada kesenangan. Namun kesenangan yang dicari tak akan datang semudah "yang pipih datang melayang..yang bulat datang bergolek", sebaliknya kejayaan dan kebahagiaan yang sejati itu hanya datang setelah kita melalui kesusahan....Sakit dan kekadang amat pahit!

Sahabat...Sudah menjadi "sunnatullah" segala mehnah dan tribulasi terpaksa dilalui oleh semua kekasihNYA...para nabi dan rasul. Lihat sahaja kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang melalui segala macam ranjau, onak dan duri dalam perjuangan baginda menegakkan Islam di muka bumi. Baginda pernah dicacimaki, dihina, dipulau, disakiti, diusir bahkan diperangi semata-mata memenuhi kehendak "sunnatullah", meskipun sebenarnya Allah SWT boleh dengan mudah memenangkan perjuangan kekasihNYA itu.

Justeru...Usah bermimpi di siang hari...., kalau kita gagal mengawal diri, kita ikut emosi, kita tewas dengan pujuk rayunya....Syaitan dan Nafsu... kita jadi lemah, lalu tidak bersungguh-sungguh dalam hidup dan perjuangan ini; pasti kita tidak akan sampai ke mana.!

Kerana itu...kita mesti bangun...Sampaikan sesuatu dari khazanah ilmu Allah sebagai amanah yang mesti diserahkan!

Nahnu Du'aatun ilallah!!

Penuh Pengharapan

Assalamualaikomwarahmatullahiwabarakatuh.
Sahabat-sahabat terhormat..Antara yang telah diamanahkan kepada saya, selain rutin harian sebagai salah seorang pegawai di Jabatan Agama Islam Kedah di Bahagian Pendidikan serta memberi kuliah di beberapa masjid dan surau di negeri ini, saya juga terlibat memberi pengisian di KedahFM dalam ruangan Bimbingan Fardhu Ain bersama beberapa orang tenaga pengkuliah lain seperti Ybhg Syeikh Hj. Fadhil Hj. Awang, Dato'Syeikh Zakaria Hj Ahmad Wan Besar, Dr Hj. Abdul Aziz Hanafi, Us.Hj.Aminuddin Abdul Rahim serta Ustazah Hjh.Nazrah Yusoff.
Saya yakin dan percaya sekali bahawa di luar sana, ada teman dan sahabat yang jauh lebih baik dari saya. Justeru, saya sangat mengharapkan bukan sahaja sokongan, tetapi saya sangat perlu kepada teguran dan nasihat serta pandangan sahabat-sahabat sekelian dalam melaksanakan amanah ini.Konsep "Wat'aawanu 'alal birri wattaqwa, wala t'aawanu alal ismi wal'udwan" dan "Attawashi bil haq..Attawashi bi ssobr" ...mari kita pegang dan hayati bersama. Kepada Al fadhil sahabat saya Ustaz Hj.Rushdan Azizan yang bertanggungjawab membina saya sebagai seorang BLOGGER dan teman-teman di JPN Kedah terkhusus di SPIM, saya ucapkan berbanyak terima kasih.
Kepada semua....Mari semarakkan pahala, biar kita bahagia di SANA!
Jazakumullah Kahiran Kathiran

Salam Pertemuan


Assalamualaikum! Salam pertemuan untuk semua pembaca budiman. Moga blog yang dibuka dapat memberi ruang kepada kita bermadah dan berbicara. Harap semua dapat bersama demi memartabatkan Islam tercinta.

Blog yang saya buka ini adalah untuk kemudahan para pembaca yang sentiasa berurusan dengan saya di JHEAIK dan mengikuti program dan kuliah saya di mana-mana tempat di negeri Kedah, selain sebagai wadah untuk pencinta-pencinta kebaikan untuk bersama-sama menyemarakkannya. Justeru, diharap kepada semua yang membuka blog ini menggunakannya demi kebaikan bersama dan sekiranya anda tidak suka dengan isi kandungan blog ini, diharap anda meninggalkannya dengan serta merta dan diucapkan terima kasih kerana memberi sedikit masa bersama saya.

Sekian dari hamba yang faqir; syeikh yusoff ahmad


Terima kasih kerana memberi sokongan.