Isnin, 27 April 2009

Ke Kementerian Luar Negara Dan Ke Kedutaan Mesir

Tanggal 21hb. April baru-baru ini saya menerima sepucuk lagi surat arahan dari pengurusan YINK supaya segera ke Kementerian Luar Negara di Putra Jaya dan ke Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur untuk menyelesaikan urusan visa.

Setelah bersiap-siap dengan semua dokumen yang diperlukan seperti pasport, gambar dan juga salinan kad pengenalan serta surat beranak milik sendiri, isteri dan semua anak-anak, pagi berikutnya saya segera ke Putra Jaya dengan ditemani isteri.

Jam 2.50 petang baru saya sampai ke bangunan yang menempatkan Kementerian Luar Negara. Itupun setelah melakukan beberapa pusingan dan terpaksa membuat beberapa panggilan telefon. Maklumlah Putra Jaya kan luas dan kita pula jarang ke sana......Saya tersesat!. Alhamdulillah sebab En. Kharul Anuar pegawai yang menguruskan surat perakuan Kem. Luar untuk dipanjangkan kepada Kedutaan Mesir sedia menanti. Berdebar juga kerana urusan di kaunter Kem. Luar Negara rupanya berakhir jam 4 petang.

Setelah menerima surat perakuan dan sokongan dari Kementerian Luar, sebelum kaunter tutup saya sempat menyelesaikan urusan pasport R (Rasmi) untuk menggantikan pasport A ..... pasport sedia ada. Dengan bantuan En. Khairul semuanya jadi mudah dan saya sangat berterima kasih kepada beliau dan pada saya, Kem. Luar sangat beruntung punya seorang kakitangan seperti beliau. Setelah menerima lakaran peta lokasi Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur dari En. Khairul dan setelah mengucapkan terima kasih saya meninggalkan bangunan Kementerian Luar menuju tempat penginapan.

Khamis, kurang lebih 9 pagi saya berlegar-legar di Jalan Tun Razak untuk mencari Jalan Ampang Dalam. Dengan bantuan kakak dan abang ipar yang mahir dengan selok belok jalan di Kuala Lumpur yang memberikan arahan/panduan melalui telefon, akhirnya saya sampai juga di Kedutaan Mesir. Terkejut badak juga membaca kenyataan waktu berurusan di kaunter yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 12 tangah hari. Setelah beratur dan menanti giliran saya menyerahkan surat dari Kementerian Luar kepada kerani bertugas, saya diarahkan mengisi borang-borang untuk tujuan permohonan visa. Cukup melucukan kerana saya dan isteri terbongkok-bongkok mengisi borang di kaki lima tepi jalan raya kerana tiada meja atau kerusi yang disediakan. Syukur kerana abang ipar datang membantu....Almaklumlah sejumlah 9 borang dengan 9 keping gambar dan 9 pasport mesti diserahkan. Alhamdulillah saya siap menyerahkan borang dan dokumen berkaitan kepada kerani bertugas pada masa yang ditetapkan.

Jumaat sekitar jam 10.30 pagi saya dihubungi kerani bertugas di Kedutaan Mesir memaklumkan bahawa Pasport-pasport yang diserahkan kelmarin dah siap. Alahamdulillah walaupun visa diberi hanya untuk tempoh tiga bulan sedangkan yang saya pohon untuk tempoh dua tahun, sekurang-kurangnya saya, isteri dan anak-anak ada juga tempoh tiga bulan sebelum terpaksa menghadapi karenah lagi di Lembah Nil itu!

Ahad, 26 April 2009

Kedah FM. 5.30 pm - 20/04/2009 "DI SEBALIK DOA"

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.

Di antara doa dan munajat kita pada Allah SWT yang selalu kita baca setelah selesai solat lima waktu ialah :

" ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما "


Maksudnya : “ Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah untuk kami suami/isteri (pasangan kami) dan zuriat kami yang menjadi ”penyejuk mata” dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.” ( Al-Furqan 74 )


Alangkah bahagia dan indahnya hidup seorang yang dikurniakan Allah SWT pasangan sama ada suami maupun isteri dan kemudiannya diserikan dengan kehadiran anak-anak yang menjadi ”penyejuk mata”. Senyum pasti sentiasa di wajah...walau terpaksa hidup menempuh susah namun kehadiran pasangan ”penyejuk mata” pasti menjadikan segalanya kelihatan mudah!


”Qurratu A’yun” adalah anugerah yang seharusnya menjadi idaman semua kita dalam hidup sementara ini. Malanglah bagi sesiapa yang memandang sepi kehadirannya dan bertuahlah bagi sesiapa yang memilikinya! Ia akan membakar semangat juang kita, memberi cinta sejatinya. Ia akan sentiasa bersama dengan jujur dan setia...dengan doa tulus buat kita yang tidak putus-putus!


Sebagai seorang suami, kehadiran isteri yang menjadi ”Qurratu A’yun” ibarat ” bulan jatuh ke riba”. Suami bertuah ini akan menjadi manusia paling bahagia kerana memliki sebaik-baik perhiasan dunia!. Dalam sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayat oleh Imam Muslim, baginda bersabda :


" إن الدنيا كلها متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة "

Maksudnya :” Sesungguhnya dunia ini semuanya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah Isteri Solehah”


Seorang suami punya isteri solehah adalah seorang lelaki bertuah yang telah dianugerah Allah “Qurratu A’yun”, penyejuk mata hatinya. Isteri “Qurratu A’yun” itu akan sentiasa dahulukan suaminya… mencari redha suaminya di sepanjang hayatnya. Kerana itu, ia akan sentiasa berdandan hanya untuk suaminya...menggembirakan hati suaminya dengan penampilannya, akhlak terpujinya, tutur kata indahnya dan budi bahasa pekertinya. Bila lidahnya terbabas atau tingkahnya tersilap ia akan segera pohon kemaafan suaminya.


Pendek kata isteri ”Qurratu A’yun” adalah seorang yang sangat memahami, penyayang, manja, bijaksana dan penyabar. Ia cukup bertolak ansur dalam rumahtangga. Benarlah kata-kata ” Di belakang seorang lelaki berjaya ada seorang wanita bergelar isteri yang setia membakar semangat juangnya!”.


Isnin, 20 April 2009

BERTUKAR KE YAYASAN ISLAM NEGERI KEDAH

19/4/2009 – Saya akhirnya melaporkan diri kepada Pengurus Besar YINK Tuan Haji Mohd Zuhdi Haji Saad sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah pertama yang ditempatkan secara pinjaman ke YINK untuk tujuan bertugas di luar negara setelah mendapat perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

Saya dipinjamkan ke YINK sebagai Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir selama dua tahun mulai 01 Februari 2009 hingga 31 Januari 2011.

Saya juga telah diarah berangkat ke Mesir pada 09 Mei 2009 untuk segera memulakan tugas di sana. Saya telah dipertanggungjawabkan dalam pengurusan bangunan asrama, hal ehwal pelajar timur tengah (Mesir, Jordan dan Syria) selain kewangan di Mesir.

Kepada Allah SWT saya berserah diri, bersyukur atas segala nikmat dan limpah kurnia dan pohon taufiq dan hidayah sentiasa.

Kita hanya mampu merancang. Allah tentukan segala!

DILEMA ANAK LELAKI ANTARA IBU BAPA DAN ISTERI

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.

KedahFM 13/4/2009 – Saya ke konti hari ini bagi menjawab satu persoalan yang dikemukakan oleh seorang sahabat Blog saya baru-baru ini. Dengan menggunakan nama samaran Bang Chik, beliau bertanya tentang satu dilema yang membelenggunya….antara ibu bapa dan isteri, mana yang mesti didahulukan?

Memulakan jawapan saya membawa beberapa potong hadis Nabi Muhammad SAW dan ayat suci al-Quran yang jelas menggambarkan pandangan Islam terhadap kedudukan dan ketinggian dua ibu dan ayah.

Nabi bersabda seperti yang diriwayatkan oleh al-Hakim

رضى الرب في رضى الوالدين وسخط الرب في سخط الوالدين

Yang bermaksud:” Keredhaan Allah itu adalah pada keredhaan dua ibu bapa dan kemurkaan Allah itu pada kemurkaan dua ibu bapa”

Dalam riwayat Ibnu Majah, Nabi bersabda

سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الوالدين فقال للسائل : هما جنتك ونارك

Yang bermaksud :” Ditanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang kedua ibu dan ayah. Nabi menjawab kepada yang bertanya “ Pada kedua-dua mereka ada Syurgamu dan Nerakamu”!

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran

وقضى ربك ألا تعبدوا إلا إياه وبالوالدين إحسانا

Yang bermaksud;” Dan Tuhanmu telah menentukan bahawa janganlah kamu menyembah melainkan Dia dan kepada dua ibu bapa hendaklah kamu berlaku Ihsan!”

Berdasar dalil2 naqli yang telah dibawa, nyata sekali akan betapa besar dan tingginya kedudukan dua ibu dan ayah sehingga Alah menggandingkan antara perintah mengabdikan diri hanya padaNya dengan perintah berlaku Ihsan kepada dua ibu bapa dalam satu ayat. Begitu juga Allah telah meletakkan syarat untuk mendapat redhaNya dengan mendapat redha dua ibu bapa dan kemurkanNya juga adalah hasil kemurkaan dua ibu bapa!

Sebagai seorang anak lelaki, tanggungjawab terhadap dua ibu ayah adalah sepanjang hayat mereka. Anak lelaki tidak sepertinya anak perempuan yang mempunyai tanggungjawab lebih utama terhadap suaminya. Islam telah menggariskan bahawa ketaatan seorang perempuan adalah lebih utama kepada suaminya setelah dia berkahwin. Pendek kata, syurga seorang wanita itu adalah suaminya.

Seorang lelaki yang menjadi suami juga mempunyai tanggungjawab yang tertentu terhadap isteri, anak-anak dan keluarga selain tanggungjawab terhadap dua ibu bapa yang mesti ditunaikan selagi hayat dikandung badan. Dunia seorang anak lelaki adalah ibu ayahnya bermaksud kita tidak akan sekali mengabaikan mereka dan semudahnya melukakan perasaan mereka.

Nabi bersabda
.....اعط كل ذي حق حقه

Maksudnya:”…Berilah kepada tiap yang mempunyai hak itu akan haknya!”

Sebagai anak yang soleh, ketika kita melaksanakan tugas sebagai suami yang sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin kepada keluarga, isteri dan anak-anak, kita tidak akan sesekali meninggalkan ibu bapa kita melainkan mereka mendapat hak mereka yang sepatutnya.

Kita sentiasa faham bahawa bila kita tunai tanggungjawab sebagai anak yang soleh seperti yang dituntut agama, anak kita pula satu hari nanti akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai anak yang soleh terhadap kita!

Pendekatan musyawarah,berbincang hati ke hati, menjelaskan dengan baik dan memujuk dengan bijaksana akan pasti menghasilkan natijah yang terbaik bila kita berhadapan masalah, sama ada dengan ibu bapa , isteri atau siapa sahaja, InsyaAllah.

Kita pasti menuai apa yang kita semai!

Isnin, 6 April 2009

KedahFM. 5.30 pm - 06/04/2009

Saya mulakan pertemuan hari ini dengan membawa sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan al-Qudaa'i, ad-Dailami dan al-Hakim dari Anas R.A

إذا وجهت إلى عبد من عبيدي مصيبة في بدنه أو ماله أو ولده ثم استقبل ذلك بصبر جميل استحييت منه يوم القيامة أن أنصب له ميزانا وأنشر له ديوانا
Maksudnya :" Apabila Aku hadapkan musibah (bencana) kepada salah seorang dari hambaKu pada badannya atau hartanya atau anaknya. Kemudian ia menerimanya dengan kesabaran yang sempurna, nescaya Aku merasa malu membuat timbangan baginya pada hari Kiamat atau membuka buku catatan amalannya."
Jelas dalam hadis akan betapa besarnya janji Allah kepada hambaNya yang menerima ujian dan cubaan-cubaan hidup di dunia ini dengan Sabrun jamilun sehingga Allah merasa malu padanya untuk membuat timbangan amalnya dan membuka catatan amalnya!
Yang dimaksudkan dengan "Sabrun Jamilun" (sabar yang sempurna) iaitu sabar yang tidak memperlihatkan keluhan dan rintihan. Orang bertanya Nabi SAW :"Bagaimanakah yang dikatakan "Sabrun Jamilun"? Baginda menjelaskan : "Sabrun Jamilun" ialah sabar yang tidak ada keluh kesah dan pengaduan. Adapun yang dimaksudkan dengan "haya'" (malu), jika dihubungkan dengan Allah membawa erti Allah membatalkan perlaksanaan sesuatu ketetapan.
Dalam siri lepas saya telah menghuraikan sabar dalam menghadapi ujian yang bersifat jasmani. Maka dalam pertemuan ini saya jelaskan pula sabar dalam menghadapi ujian yang bersifat rohani. Sabar jenis ini terbahagi kepada beberapa jenis :-
a) "Iffah" iaitu sabar menahan dri dari nafsu syahwat seksual.
b) Teguh hati, sabar dalam menghadapi musibah bencana yang berlaku, tidak gelisah dan mengeluh.
c) Menahan diri dari jebak bermewah-mewah di waktu kaya.
d) "Syajaah" yakni sabar dalam perjuangan iaitu berjuang dengan berani. Lawannya ialah"Jubun" iaitu pengecut.
e) "Hilm"iaitu menahan diri dari jebak kemarahan.
f) "Tasamuh" iaitu menahan diri dan berlapang dada dengan penuh toleransi.
g) "Kitman" iaitu menahan diri dan menjaga rahsia-rahsia.
h) "Zuhud" iaitu menahan diri dari tarikan-tarikan tipu daya dunia dalam usaha mencari dan memperolehi kebahagiaan akhirat.
i) "Qana'ah" pula ialah menahan diri dari hidup berlebih-lebihan dan merasa puas serta cukup dengan apa yang dimiliki sesuai dengan hasil usahanya.
لئن شكرتم لأزيدنكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد
Firman Allah yang bermaksud:" Kiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah lagi nikmat-nikmatKu dan sekiranya kamu kufur , sesungguhnya azabKu adalah azab yang amat pedih".

KedahFM 5.30 pm - 29/03/2009 SABARLAH....

29/03/2009 - Petang Ahad ini sepatutnya Ybhg. Dato' Syeikh Fadhil Awang hadir di konti. Atas persetujuan, beliau sudi membenarkan saya menggantikan slotnya sementara beliau akan mengambil giliran saya besok. Sebenarnya petang Isnin minggu ini saya ada tugasan di Daerah Kulim.

Memulakan bicara petang ini saya menceritakan semula tentang kisah yang heboh dalam akhbar baru-baru ini. Kisah sekeluarga terdiri suami, isteri dan sembilan orang anak yang nekad mengambil keputusan keluar agama Islam di satu negeri. Na'uuzubiLlahi min zalik .Mereka ini sebenarnya telah mendapat nikmat hidup di satu kawasan penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin. Namun dek tak tahan dengan ujian-ujian dalam kehidupan seperti kesusahan, kemiskinan, masalah dengan jiran dan sebagainya dari ujian Tuhan, akhirnya sekeluarga malang ini membawa diri ke satu gereja. Alhamdulillah, seorang hamba Allah yang sangsi melihat mereka di luar pagar gereja segera menyelamatkan mereka dan dibawa ke Jabatan Agama Islam negeri berkenaan. Mereka khabarnya sedang dikaunseling oleh pihak berwajib yang berkaitan.


Kisah kedua yang saya ceritakan adalah tentang seorang lelaki yang dibawa isterinya ke rumah sakit pada siangnya dan kemudian disahkan pegawai perubatan bahawa beliau dijangkiti demam Chikungunya. Lelaki malang ini telah bertindak nekad menggantung diri pada malam itu kerana tidak redha dengan nasib yang menimpa dirinya!


Demikianlah bila manusia tidak memahami kehidupan dan kaitannya dengan ujian, cubaan atau ibtila'...Allah berfirman :


ولنبلونكم بشيء من الخوف والجوع ونقص من الأموال والأنفس والثمرات وبشر الصابرين . الذين إذا أصابتهم مصيبة قالوا إنا لله وإنا إليه راجعون . أولئك عليهم صلوات من ربهم ورحمة وأولئك هم المهتدون
Maksudnya :" Demi sesungguhnya! Kami pasti menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan dengan kelaparan, dan dengan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembirakepada orang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata " Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itulah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayatnya."
Jelas dari ayat ini bahawa dalam kehidupan kita di dunia ini, kita pasti tidak dapat lari dari ujian-ujian hidup yang sengaja dihadapkan Allah pada kita hambaNya. Tujuannya....untuk menguji siapa di antara kita hambaNya yang paling baik amalannya! Maksudnya...Siapa di antara kita yang dapat bersabar dengan ujian Allah......menerima cubaan-cuabaan hidup dengan lapang dada
dan redha.!
Ulamak menggariskan bahawa di antara bentuk sabar adalah sabar dalam menghadapi cubaan atau ujian yang bersifat jasmani atau fizikal; yakni tabah memikul beban walaupun berat, tabah dan sabar dalam menghadapai kesusahan atau kemiskinan hidup ataupun sabar menghadapi kesakitan dan penyakit yang menimpa.