Rabu, 23 Disember 2009

PERJUMPAAN PERDANA ASRAMA DARUL AMAN

Salam rindu dari kejauhan...

Selepas solat Isya' tanggal 22hb Disember 2009, saya bertemu semua penghuni yang tinggal di ketiga-tiga Asrama Darul Aman di Kaherah. Pertemuan yang melibatkan Asrama Darul Aman 1 (Awwal Sabiek ) Asrama Darul Aman 2 ( 'Imarah Transit - Haiyyu Sabiek ) dan Asrama Darul Aman 3 juga di Haiyyu Sabiek itu diadakan di Dewan At-Tasamuh Wal Ikha', Asrama Darul Aman 3.

Kecuali mereka yang uzur dan memaklumkan kepada pihak pentadbiran, semua penghuni memberikan komitmen hadir walaupun terpaksa bersesak dalam dewan yang bersaiz sederhana itu. Sebelum saya bersyarah panjang lebar, Pemangku YDP MKKK Us. Nazrul, saya minta berikan sedikit aluan. Turut hadir dalam perjumpaan besar itu, AJKT dan HEWI selain kakitangan yang bertugas langsung dengan Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir.








 

Panjang lebar saya bercakap tentang asrama dan peraturannya. Alhamdulillah saya puas kerana telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada semua penghuni asrama untuk mengemukakan sebarang masalah, aduan maupun pertanyaan. Setelah selesai bercakap tentang asrama dan yang berkaitan dengannya, saya jelaskan kepada semua penghuni tentang kewajipan memberikan komitmen penuh untuk menjayakan sambutan Lawatan YTM Tunku Bendahara Kedah yang akan berlangsung pada 25hb Disember nanti. Satu Jawatankuasa telah dibentuk di kalangan pelajar di bawah MKKK dan saya juga telah bermesyuarat dengan mereka untuk menyelaras segala yang perlu untuk memastikan Majlis Ramah Mesra Bersama YTM Tunku Bendahara nanti berjalan dengan sempurna dan meriah.

Syukur Alhamdulillah kerana saya pernah berpeluang hadir banyak kali dalam majlis bersama DYMM Tuanku Sultan sewaktu saya di JHEAIK dulu. Protokol dalam majlis Raja bukanlah satu perkara yang kecil kerana kesilapan dalam protokol boleh menyebabkan kecacatan besar dan juga mendatang masalah khasnya kepada saya sebagai pegawai yang berasal dari sebuah jabatan kerajaan yang secara langsung berada di bawah DYMM Tuanku Sultan. Satu-satu saya terangkan tentang tatacara protokol dalam majlis Raja kepada semua yang hadir. Alhamdulillah kerana semua nampak cukup serius dan komited...Terus terang, saya bangga dengan anak-anak Kedah, penghuni asrama malam itu...

NANTI KITA JUMPA LAGI INSYAALLAH...

Salam rindu dari kejauhan..

Jam  10 pagi 22hb. Disember, saya menghadiri majlis perpisahan En. Fauzi Said Ketua Canseri Kedutaan Besar Malaysia Kaherah yang diadakan di Markaz Pertubuhan Wanita Kementerian Luar (PERWAKILAN). Majlis anjuran PERWAKILAN itu dihadiri kebanyakan pegawai KBMK, JPMK dan Pegawai-Pegawai Negeri selain majoriti ahli PERWAKILAN hadir meraikan salah seorang ahli penting mereka.

Saya ke sana bersama isteri dan dua anak kecil saya Iman dan Ahmad. Majlis perpisahan itu dirasmikan oleh Menteri Penasihat KBMK Tuan Hj. Shaharuddin yang menggantikan Kuasa Usaha Sementara KBMK En. Saiful yang punya urusan penting di luar. Setelah mendengar ucapan balas dari E. Fauzi, beliau dan pasangannya Pn. Huda dijemput memotong kek perpisahan dalam suasana sebak tetapi meriah.



 

 

Setelah penyampaian cenderamata tanda ingatan kenang-kenangan buat E. Fauzi dan isteri, semua hadirin mengambil kesempatan bergambar bersama beliau dan keluarga sebelum dihidang juadah makan tengahari yang disediakan pihak PERWAKILAN.






Buat En. fauzi dan keluarga, selamat maju jaya...moga sentiasa dalam rahmat Allah...Panjang umur kita jumpa lagi...

Selasa, 22 Disember 2009

PENUBUHAN KELAB KELUARGA PEGAWAI NEGERI MESIR (KELUARGA)

Salam rindu dari kejauhan..

Tanggal 21hb Disember 2009, hampir jam 7 malam semua Pegawai Rumah Negeri kecuali Pegawai HEP Melaka yang punya urusan yang tak dapat dielakkan telah hadir bersama keluarga masing-masing ke rumah saya yang diminta menjadi tuan rumah.

Malam itu malam bersejarah kerana hasil perbincangan panjang lebar akhirnya tertubuhlah dengan rasminya KELUARGA atau Kelab Keluarga Pegawai Negeri Mesir yang mengumpulkan semua pegawai-pegawai HEP negeri-negeri di Malaysia. Turut menjadi ahli termasuk Pembantu Kewangan dari Selangor dan Terengganu yang dihantar Kerajaan Negeri masing-masing.



Mesyuarat sedang berlangsung..


Menikmati juadah secara "Pot Luck"

Dengan yuran bulanan LE50, KELUARGA dipimpin Pengerusinya Ustaz Abdul Halim Saljadi Pegawai Negeri Selangor dan Setiausahanya Ustaz Sabli Pegawai Negeri Sabah selain Bendaharinya pula ialah Pegawai Wilayah Persekutuan yang baru Encik Yahya. Beberapa unit yang diwujudkan termasuklah Unit Kebajikan yang diketuai Peg. HEP N9 Tn Hj Zain, Unit Sukan dan Rehlah diketuai Peg HEP Pahang Us. Farid dan Unit Akademik dan Latihanan diketuai Us. Hj Kamal Pegawai HEP Terengganu.

Meriahnya malam itu dengan pelbagai juadah yang masing-masing sediakan di rumah dan dihidang untuk makan-makan bersama di Rumah Peg. Kedah selain keriuhan anak-anak yang boleh tahan ghamainya. Sebelum semua yang hadir pulang, beberapa keping gambar kenangan diambil untuk tujuan rekod.


Duduk dari kanan Peg Terengganu, Peg. Negeri Sembilan, Peg Selangor, Peg Kedah dan Peg Pahang
Berdiri dari kanan Peg. Sabah, Peg. Johor, Peg. Wilayah  Persekutuan dan Pembantu Kew. Selangor


 
 Isteri-isteri dan anak-anak Pegawai Negeri 

Wata'aawanu 'alal birri wat taqwa...wa la ta'aawanu 'alal ismi wal 'udwan..

Isnin, 21 Disember 2009

MESYUARAT PKPK BERSAMA AJKT/HEWI MKKK

Salam rindu dari kejauhan...

Tanggal 21hb Disember 2009, saya memanggil semua pimpinan persatuan MKKK dari kalangan Ahli Jawatankuasa Tadbirnya dan Hal Ehwal Wanitanya untuk satu mesyuarat antara Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir dan MKKK.

Mesyuarat bulanan ini adalah bertujuan menyalurkan beberapa maklumat penting hasil Mesyuarat Antara Ketua-Ketua Agensi yang saya hadiri di Kedutaan Malaysia beberapa hari lalu selain berbincang dan mendengar maklumbalas masalah dari pihak persatuan secara langsung.



 

 

 

Hampir tiga jam saya bermesyuarat dengan pelbagai masalah dan pandangan yang saya dengar untuk dipertimbangkan disamping saya dapat membuat teguran langsung selain memberi kata-kata nasihat untuk orang-orang penting saya ini. Saya juga minta mereka bersiap sedia untuk menjayakan sambutan lawatan Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah yang akan sampai bersama YBHG Toh Puan Bendahara dan lain-lain ahli rombongan pada 25hb akan datang.

Selepas solat Zohor semua AJKT/HEWI serta Pembantu Tadbir di pejabat saya yang baru sampai dari Malaysia dan bertindak sebagai Setiusaha mesyuarat, Fairuz makan tengahari "nasi kari udang" di rumah saya.



Untuk tujuan rekod, disebabkan kesilapan melihat jadual, saya terlepas untuk hadir Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Dataran 'Aasyir yang diadakan di Kedutaan Besar malaysia Kaherah pada jam 2 petang.


Sabtu, 19 Disember 2009

MAKNA HIJRAH

Jumaat 1 Muharram 1431, muslimin seluruh dunia sekali lagi menyambut kedatangan tahun baru Hijrah. Masing-masing bertukar-tukar ucapan tahniah dan doa...."Kullu 'Aamen Wa Antom Bikhair". Ada yang siap mengirimkan ucapan dengan doa panjang lebar melalui sistem pesanan ringkas SMS seperti yang saya terima sebagai contoh. " Ya Allah, muliakan sahabatku ini..bahagiakan keluarganya..berkatilah rezekinya, kuatkan imannya, kecintaan dan kerinduannya pada Allah dan Rasul SAW...Berikanlah kenikmatan ibadahnya, jauhkan dari segala fitnah. Berikan padanya kejayaan dunia dan akhirat. Aaamin...Selamat menyambut Maal Hijrah 1431.."

Saya yakin bahawa budaya mengucapkan tahniah beriring doa ketika masuknya tahun baru Hijrah adalah satu lagi perkara bidaah yang tidak dilakukan Rasulullah SAW maupun Sahabat Baginda RA. Namun, saya juga penuh yakin dan percaya bahawa seandainya yang mengucapkan ucapan tahniah dan doa kepada saudara Islamnya ikhlas, maka ia pasti akan memperolehi pahala atas perbuatan baiknya.InsyaAllah... Biarpun bidaah, ia bidaah yang hasanah..!!

Marilah kita memulakan tahun baru hijrah ini dengan membersihkan hati yang semua kita sedia tahu kepentingannya dalam hidup ini. Kerana sesungguhnya dialah raja bagi segala anggota dalam tubuh kita...Semoga segala amal perbuatan yang kita lakukan dan akan kita lakukan bukan sahaja berasaskan syara' atau kita pastikan syari'e bahkan kita wajib mengikhlaskannya kerana Allah SWT pemilik alam semesta seandainya kita inginkan pahala yang dijanjikanNYA.

Ayoh bersihkan hati dari Mazmumah yang dibenci. Gantikan dengan Mahmudah yang terpuji....Ayoh Mujahadah dan Mujahadah lagi di tahun baru ini. Semoga kita kan istiqamah mempertahankan keyakinan dan keimanan dalam menterjemahkan janji pada Allah Rabbil 'Izzati...sejak kita mula mengenali "Islam Is The Way Of Life"...Inna Sholati Wanusuki Wamahyaya Wamamati Lillahirabbil "Alamen".

Hijrah bererti pindah...Nabi dan Sahabat telah lama berhijrah dan perjalanan hijrah dari Mekah ke Madinah itu sudah lama tamat! Namun demikian, kita umatnya masih tetap dituntut berhijrah ....Hijrah meninggalkan Jahiliyyah, dosa, maksiat, noda dan segala munkarat kepada Islam, iman, taqwa dan taat...

Hakikatnya bahawa, kita selamanya tak akan dapat lari dari tiga fasa kehidupan iaitu kelmarin, hari ini dan besok....Kelmarin yang telah berlalu telah pun menjadi sejarah, hari ini yang sedang dilalui dengan penuh hati-hati sebenarnya penuh dengan peluang-peluang yang terhidang sama ada untuk kebaikan maupun kejahatan.....maupun besok yang belum pasti milik siapakah ia....? Warna-warna hidup kita sebenarnya kita yang ukir...Allah kurniakan akal dan pancaindera yang hebat untuk dimanfaatkan sebaiknya....Kalau sudah kenal jalan menuju syurga kenapa masih memilih jalan ke neraka...?

Pengajaran Hijrah buat seorang pelajar yang sedang bertarung dengan cabaran-cabaran dalam mencari sebanyak-banyak ilmu khususnya di bumi bertuah ini...Mesir maupun di Jordan atau Syria ataupun di mana-mana sekalipun cukup banyak sekali sebenarnya. Antara lain, kejayaan Hijrah Nabi kerana hebatnya hubungan Baginda dengan Allah SWT. Pun demikian Allah tetap biarkan Nabi menghadapi kepayahan  mengharungi getir ujian dalam meniti kejayaan peristiwa hebat ini. Penuh strategi dan perancangan yang cukup rapi.....Setelah bersusah payah membelah gelap malam di gurun pasir...Berikhtiar, berusaha sedayanya dan berdoa...Tawakkal dan Pasrah......Akhirnya Baginda Nabi SAW berjaya membawa Islam yang gagah ke Madinah AlMunawwarah dan seluruh dunia.

Demikian seorang pelajar yang inginkan kejayaan, mesti mengatur strategi... mesti punya perancangan yang disusun rapi. Dia mesti sanggup mengharungi segala ujian dan cubaan yang menghalang. Ketika orang lain tidur, dia sanggup korbankan waktu tidurnya untuk membaca dan membaca lagi. Menghafal dan menghafal lagi....Dia akan sentiasa gigih dan kuat berusaha untuk mencapai citi-cita. Dia akan ke kuliah, ke majlis ilmu  di masjid atau di mana-mana majlis taklim diadakan tanpa rasa jemu dan lelah. Dalam waktu yang sama, dia punya hubungan yang intim dengan Allah SWT...Dia cukup menjaga Habllun Minallah dan Hablun Minan Naas....Akhirnya setelah berikhtiar sedayanya dan berdoa....dia Tawakkal dan Pasrah...Lazimnya pelajar seperti ini akan berjaya dengan cemerlang!!!!

Buat semua...Salam Maal Hijrah...Semoga tahun baru ini lebih bermakna buat kita semua....

Khamis, 17 Disember 2009

PERJUMPAAN DENGAN WAKIL KULLIYAH THIB UNI. AINS SYAMS


Salam rindu dari kejauhan....

Petang 17hb.Disember 2009, saya menumpang kereta Pegawai HEP Selangor Ustaz Halim Saljadi ke Universiti Ains Syams yang terletak bersebelahan Majid An-Nur, masjid Negara Mesir di Abbasiah. Turut bersama dalam kereta Ustaz Halim termasuklah Us. Sabli Pegawai HEP Sabah, En. Roslan Pegawai HEP Melaka, Ustaz Hanif Pegawai HEP Johor dan Tn.Hj Zain Pegawai HEP Negeri Sembilan.

Jam 2.30 petang saya dan lain-lain bergabung dengan Pegawai JPA En. Hazam, Ustaz Farid Pegawai HEP Pahang selain Ustaz Zulkifli Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah yang mewakili Pengarah JPMK Dr. Jamil Yang tak dapat hadir. Ustaz Zul mengetuai perjumpaan dan dialog bersama wakil Universiti Ains Syams di Fakulti Perubatannya.Turut mengiringi rombongan pegawai-pegawai dari Malaysia adalah orang yang cukup lama di JPMK warga Mesir Ustaz Sulaiman. Sebelum bertemu wakil pengurusan universiti, kami dibawa melawat ke Syu'un Thullab Malaysian Program di Universiti 'Ains Syams dan bertemu pegawai-pegawai pentingnya.





 

 

 






 

Antara perkara penting yang dibincangkan termasuklah kelewatan nama pelajar baru yang mendaftar di universiti naik secara rasmi di universiti selain tempoh akhir pembayaran yuran pengajian. Antara lain keputusan yang dicapai ialah tarikh akhir bayaran yuran adalah akhir Januari 2010. Sementara penaja boleh memohon menukar program pelajar tajaan mereka dari G2G ke MoU atau sebaliknya tetapi tak dibenarkan menukar antara universiti. Pelajar Perubatan di Uni. Ains Syams juga akan diberi kursus Bahasa Arab dan asas Pengajian Islam secara percuma oleh pihak universiti.

MENERIMA TETAMU DARI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Salam rindu dari kejauhan...


Tanggal 17hb.Disember 2009, awal pagi setelah menghantar anak-anak saya ke sekolah mereka di Tajammu' Khamis, saya ke Haiyyu 'Asyir menjemput Dr. Nailul Morad Mohd Noor, isteri dan ibunya untuk bersarapan pagi di rumah.


Dr. Nailul Morad adalah seorang pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan jarak jauh USM Pulau Pinang yang dihantar ke Kaherah ini menyertai satu seminar peringkat antarabangsa. Manakala isteri beliau seorang guru pula baru sahaja sampai dengan ibunya sebaik beliau selesai seminar untuk mengambil peluang bercuti bersama di Lembah Nil ini.




 

 


Saya mengenali Dr. melalui sepupunya Syeikh Zainul Jamal iaitu Peg. Khas YAB MB. Dr. Nailul Morad juga ada menghubungi saya melalui email dan panggilan telefon dari Malaysia. Sebaik Dr. menghubungi saya di sini dan menyatakan hajatnya menziarahi saya, saya rasa cukup berbesar hati...Apa tidaknya, selain dapat berkenalan dengan lebih dekat, saya berpeluang  bertukar pandangan dengan beliau dan berkongsi pengalaman beliau yang jauh lebih banyak dari saya..

Semoga kita dapat berjumpa lagi di Malaysia nanti...

Ahad, 13 Disember 2009

JUMPA LAGI....SAHABAT!

Tanggal 11/12/2009 sekitar jam 10 malam saya dan isteri sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Di sana, Ustaz Farid Pegawai HEP Pahang dan keluarganya dah lama sampai. Mereka sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Kaherah dari Iskandariah. Saya memang dah berjanji dengannya untuk sama-sama menghantar kepulangan mantan Pegawai HEP  Wilayah Persekutuan Ustaz Abdul Halim Sulaiman.


Sebenarnya kepulangan Us. Halim memang mengejutkan semua di Kaherah di kalangan pegawai di sini. Maklumlah beliau baru bertugas tak sampai setahun...Tengah seronok bekerja...tengah merancang banyak perkara...,bahkan keretanya pun baru je sampai dari Jepun. Tup..tup...Kena tukar...Tapi, siapalah kita di hadapan kehendakNYA... Kita hanya mampu merancang sedangkan DIA yang menentukan segalanya.....


 Bersama Us.Halim dan isteri, Pegawai Pahang dan keluarga serta En.Yahya Peg HEP WP

 
 Tinggal kenangan...

 
 Pelukan akhir...

Kepada Ustaz halim dan isteri, kami doakan semoga sentiasa tabah menempuh segalanya...Kami di sini tetap doakan yang terbaik buat anta....Moga Allah SWT gantikan yang lebih baik buat anta sekeluarga di sana. Yakinlah bahawa tiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Siiiru 'ala barakatillah....


Sabtu, 12 Disember 2009

SUKAN PERPISAHAN...

Salam rindu dari kejauhan...


9hb Disember 2009, lebih kurang jam 8 malam saya sampai ke Pusat Bowling Antarabangsa berhampiran Stadium Antarabangsa Kaherah bersama Pegawai Pahang Us. Farid, Pegawai N9 Tn.HJ Zain, Pegawai Melaka En. Roslan serta pegawai baru Wilayah Persekutuan En. Yahya selain mantan Pegawai Wilayah Persekutuan Us. Halim. Ketika kami sampai sedia menanti  Pegawai Sabah Us.Sabli dan isteri serta Us. Halim Pegawai Selangor dan Us Hanif Pegawai Johor.


Sebenarnya malam itu adalah malam Sukan Perpisahan Bowling Antara Pegawai yang dirancang semua pegawai untuk meraikan pertukaran En. Fauzi Said Ketua Canseri Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Ustaz Halim Sulaiman selaku Pegawai Wilayah Persekutuan.


Oleh kerana masalah kesesakan lalulintas, rakan-rakan pegawai dari Mohandiseen termasuklah En.Saiful Anuar Kuasa Usaha Sementara KBMK dan keluarga, En Fauzi dan keluarga, En Hazam Pegawai JPA dan keluarga serta Pegawai MATRADE En. Wan Tarmizi dan keluarga sampai agak lewat. Bagaimanapun, walau agak lewat bermula pertandingan malam itu cukup meriah dengan macam-macam gelagat.....maklumlah ada yang tak pernah langsung memegang bola bowling seumur hidup! Oleh kerana saya sudah biasa bermain bersama teman-teman di JHEAIK dulu, malam itu saya ketinggalan hanya 5 pin berbanding Us.Farid Pegawai Pahang yang menggondol tempat pertama perseorangan (Jatuhan Pin Terbanyak).





 

 

 

Yang pasti dengan aktiviti riadah yang diatur sekali sekala melibatkan semua pegawai yang masing-masing jauh dari tanah air ini, pasti akan merapatkan hubungan ukhuwwah dan mahabbah selain dapat sedikit sebanyak menghilangkan penat dan lelah kerana tekanan bekerja. dan, untuk malam itu, objektif kerana meraikan perpisahan dua pegawai, rakan sekerja yang selama ini bersama hadapi susah senang di sini dikira tercapai.


Buat En fauzi Said dan Ustaz Halim Sulaiman, selamat meneruskan langkah cemerlang dengan tugas baru di Malaysia. Semoga sentiasa dalam peliharaan Allah....Demikian ketetapan Allah SWT....tiap yang bermula pasti berakhir dan tiap pertemuan pasti akan diakhiri perpisahan....

Khamis, 10 Disember 2009

MAKAN MALAM DAN DIALOG BERSAMA KETUA PENGARAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Salam rindu dari kejauhan...


Tanggal 8 Disember 2009, satu Majlis Ramah Mesra, Makan Malam dan Dialog bersama Ybhg. Tan Seri Alimuddin Mohd Dom Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia telah diadakan di Rumah Malaysia iaitu kediaman rasmi kepada TYT Duta Besar Malaysia Mesir. Program anjuran Department of Malaysian Studies University of Malaya @ Cairo University di bawah pimpinan Pengarahnya Assoc Professor Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan itu turut melibatkan kesemua agensi-agensi Malaysia di Mesir selain Kuasa Usaha Kedutaan, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Pegawai-Pegawai KBMK, JPMK dan Negeri.


Majlis bermula dengan jamuan makan malam bersama, sebelum Ybhg Tan Seri dijemput memberikan ucapan. Banyak info berkaitan perkembangan sistem pendidikan negara khasnya dan perkembangan lain-lain sektor dalam negara amnya yang dikongsi bersama. Lebih menariknya, Tan Seri sudi berdialog dengan semua yang hadir. Antara info penting yang disebut beliau ialah :-

  •  Kembalinya Bahasa Kebangsaan sebagai BAHASA ILMU - penghapusan PPSMI.

  • Pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam JPA terhadap Sijil Tinggi Agama Malaysia   STAM sebagai sama taraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia STPM.
    
  • KPM memerlukan lebih ramai graduan Timur Tengah untuk mengisi kekosongan sebagai guru    JQAF.

  • KPM menyedari semakin ramai graduan lepasan Universiti Al-Azhar yang lemah penguasaan     Bahasa Arab berbanding graduan lepasan universiti lain di Timur Tengah.


     

     

     

     

     

     

    Saya merasa cukup bersyukur mendengar berita naik tarafnya STAM yang sekian lama dinanti oleh mereka yang memperjuangkan sistem pendidikan Agama di tanah air. Tentu kesannya akan lebih ramai lagi ibu bapa yang akan mempastikan anak mereka keluar dari sekolah menengah agama di sana setelah mengambil STAM yang pada saya sudah berdiri lebih tinggi dari STPM kerana value Agamanya.!


    Tetapi, saya cukup dukacita dan kesal mendengar tentang mutu Bahasa Arab lepasan Al-Azhar. Suka tak suka, kita mesti mengakuinya....walaupun ianya cukup pahit!! Kita sebenarnya tiada jalan undur.... Kepada anak-anak Malaysia yang sedang mencari identiti di Al-Azhar ini, semoga semuanya segera bangun menerima cabaran ini...Tingkatkan penguasaan Bahasa Arab dengan apa cara sekali pun. Nafikan tohmahan atau apa saja istilah yang digunakan untuk membayangkan kelemahan kita di sini dengan membuktikan bahawa kita boleh berkomunikasi dan menulis dengan baik dalam Bahasa Arab. Semoga Allah SWT berkati ilmu yang kita cari dan pelajari. Semoga kita tidak menjadi fitnah dan bebanan liabiliti kepada Al-Azhar institusi yang sangat berjasa dan cukup tua ini!

    Isnin, 7 Disember 2009

    SEPETANG DI SUNGAI NIL...

    Salam rindu dari kejauhan..


    6hb Disember adalah hari anak-anak saya kembali ke sekolah setelah bercuti hampir dua minggu. Seminggu cuti H1N1 yang melanda sekolah mereka dan seminggu lagi cuti sempena Aidil Adha. Oleh kerana peperiksaan pertengahan tahun telah dibatalkan sebelum cuti, pihak sekolah telah memberikan banyak sekali tugasan dalam tempoh cuti itu. Pendek kata, anak-anak saya seperti masih ke sekolah walaupun berada di rumah. Selain kerja rumah yang banyak, mereka juga mesti menyiapkan projek-projek yang akan dinilai sebagai ganti peperiksaan yang telah dibatalkan. Saya telah dihubungi pihak sekolah pada pertengahan cuti untuk mengambil baki tugasan yang mesti diselesaikan anak-anak saya dalam tempoh cuti itu.


    Untuk memberikan sokongan kepada mereka, saya berjanji akan membawa mereka menaiki kapal menyusuri Sungai Nil sekiranya mereka dapat menyiapkan kesemua tugasan yang diberikan sebelum persekolahan bermula. Apa lagi, masing-masing pun "pulun sakan" untuk siapkan kerja rumah dan projek demi mencapai target dan janji "Baba". Alhamdulillah, anak-anak dapat juga siapkan tugasan mereka dan saya cukup bersyukur kerana pihak sekolah begitu bertanggungjawab memberikan kerja-kerja rumah kepada anak-anak saya  pada waktu cuti. Teringat waktu zaman di sekolah dulu...betapa sedikitnya kerja rumah yang diberikan guru pada kita waktu kita cuti sekolah..begitu juga ketika saya menjadi guru, sedikit juga yang diberikan pada mereka..siannya anak-anak kita!!!..Padahal kerja rumah cukup penting untuk membantu pelajar di dalam meneguhkan pemahaman dan penguasaan mereka di dalam pelajaran..bukankah air yang menitis berterusan akan akhirnya memberikan kesan kepada batu yang keras...Pasti!!


    Selesai solat asar, saya dan keluarga,  bertolak menuju Medan Tahrir melalui Jambatan terpanjang di Afrika , Jambatan 6 Oktober. Sebenarnya saya turut mengajak sahabat saya, Pegawai Pahang, Ustaz Farid dan keluarga untuk pergi bersama memeriahkan program petang itu.


    Dengan jalan yang agak sesak pada waktu petang, kami sampai di sana hampir jam 4. Mencari tempat parking di tengah-tengah kota Kaherah yang sentiasa sibuk bukanlah satu perkara yang mudah..kemudian berunding pula dengan beberapa orang Arab tuan punya bot berkenaan tambang. memang kena hati-hati....bimbang-bimbang "terkena"...


    Memandangkan  waktu maghrib akan menjelang tak sampai sejam, akhirnya kami bersetuju untuk menaiki bot sekadar setengah jam dengan tambang LE50...



     

     

     

     

     

     





     




     

    Menyusuri Sungai Nil mengingatkan saya pada sejarah perjuangan Nabi Musa Alaihissalam  yang dihanyutkan ibu Baginda di situ satu masa dahulu. Segalanya bermula di Nil...Akhirnya Baginda dijumpai oleh dayang Permaisuri Asiah, isteri Firaun, dan terus dipelihara sebagai anak angkat .Betapa hebatnya kebesaran dan keagungan Allah yang melembutkan hati Firaun untuk menerima Nabi Musa  AS sebagai anak angkat ..sedangkan sebelum itu dia (Firaun) sendiri telah mengeluarkan perintah agar dibunuh semua bayi lelaki yang lahir di muka bumi Mesir ketika itu akibat percaya tilikan tukang sihirnya yang meramal akan lahir seorang bayi lelaki yang bakal menentangnya kemudian hari.


    Begitu juga hebatnya kuasa Allah yang menyelamatkan Nabi Musa AS dari tenggelam di dalam "penghanyutan" menyusuri sungai yang besar dan luas itu..dan takdir Allah mengatasi segalanya apabila ibu Baginda dipertemukan semula dengan bayi yang dihanyutkan kerana "diupah" untuk menyusui bayinya sendiri. Demikian ketetapan Allah di dalam merencana dan melengkapkan episod perjalanan hidup Baginda Nabi Musa Alaihissalam..


    Betapa Nil menyimpan khazanah cerita perjuangan seorang Nabi Allah...


    Teruja anak-anak saya pada petang itu..Alhamdulillah..kerja selesai..janji pun langsai...