Sabtu, 31 Januari 2009

FENOMENA KERINGNYA CINTA KASIH

KedahFM 5.30 petang 29hb Januari 2009, hari ini saya kembali ke konti mengambil slot Ustaz Aminuddin yang menggantikan tempat saya hari Isnin lalu. Pada mulanya saya merancang untuk hadir mengikut jadual asal, tetapi justeru saya baru sampai dari Cairo tengah hari itu.... keletihan dalam perjalanan telah membantut perancangan awal saya. Apa pun terima kasih banyak kepada Ustaz Din Tok Guru!

Petang ini saya mengulas tentang isu "Fenomena Keringnya Cinta Kasih". Sebenarnya secara kebetulan sebelum ke konti saya menerima tetamu di rumah. Seorang isteri yang hancur luluh hatinya yang merasa dirinya tidak lagi disayangi hadir di rumah saya bersama kakaknya. Hampir segalanya dia curahkan. " Sejak 13 tahun usia perkahwinan kami, suami selalu bercakap kasar, ego, pemarah dan asyik menghina saya ...."bodoh! mengaji Universiti saja! Tak guna!bahkan sampai hati dia hina keturunan saya. Suami saya asyik pentingkan harta dan keluarga sendiri sedang dah bertahun-tahun suami tidak menjenguk keluarga saya", terangnya." Keluarga saya tiada tempat langsung di hatinya, ibu saya dipulau sedangkan saya terpaksa memendam perasaan kecewa ini terlalu lama...Suami buat tak peduli.....Hatinya sangat kering...Dia bahasakan Aku Dan MU bila bercakap! Saya langsung tak rasa kasih sayangnya...bila dia pergi berkursus ke mana-manan hati saya jadi selesa kerana tak tengok mukanya. Bila dia balik dan kami bercakap, hati saya jadi cukup terasa dengan sikap keras, ego dan kasarnya! Saya sudah tak tahan lagi dan saya tak kisah pada harta dia yang banyak...saya nak berpisah!", tambahnya lagi.

Puas saya pujuk dan nasihat supaya dia pertimbangkan semula niatnya untuk bercerai. Namun nampaknya dia dah bulat hati! Dia dah pergi kaunseling di Jabatan bersama suaminya, tapi hasilnya masih sama. Bila suaminya enggan melepaskannya dia kini menanti kesnya disebut di Mahkamah Syariah...tuntutan Pembubaran perkahwinan atau fasakh.!

Inilah akibatnya bila kita tidak kisah pada perubahan pasangan hidup kita baik suami maupun isteri. Sebenarnya siapa pun akan "terasa" bila tidak dihargai....Apakah hanya sebelah pihak saja punya jasa...Apakah suami sahaja yang mesti dihormati...dihargai..dikasihi..dirindui sedangkan isteri boleh sahaja diperlakukan sesuka hati! Isteri mesti senyum menyambut suami tapi suami pula bagaimana? Isteri mesti mencurahkan segala kasih dan sayang untuk suami tercinta tapi suami pula kalau dah buat nak tak nak aje....Demikianlah sudahnya! bak kata pepatah Retak menanti belah....Harapkan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Saya tetap menasihatkan dengan penuh konsisten supaya setiap pasangan yang memilih untuk bercerai agar memikirkannya semula. Timbang dan fikir berkali-kali...Bahawa bila berlaku perceraian nanti, bukan kita sahaja yang jadi mangsa tetapi banyak pihak akan turut terkorban.!



Rabu, 28 Januari 2009

REMAJA ISLAM DAN KRISIS IDENTITI

Assalamualaikum sahabat...
Sesungguhnya remaja adalah aset berharga yang sangat penting kepada survival ummah dan negara. Kiranya mereka diabaikan, maka sebenarnya kita tanpa sedar telah menjadi pengkhianat kepada amanah yang besarAllah pikulkan pada kita. Remaja hari ini adalah pemimpin masa hadapan.!
Enam hari meninggalkan tanah air tercinta, sebaik pulang dan menatap dada akhbar benak saya rasa sakit bila membaca tentang remaja kita. Ketika remaja Palestin sedang bertarung nyawa bersama para pejuang mempertahankan Agama dan tanah Al-aqsa dengan gagah beraninya, remaja kita pula sedang mabuk dalam hiburan melampau, dadah, dedah, rempit, jual tubuh tanpa bayaran untuk keseronokan, lari dari rumah dan macam-macam lagi.
Dalam sebuah hadis, Junjungan Nabi kita Muhammad pernah menyebut :-
الشباب شعبة من الجنون
Yang bermaksud :" Muda/mudi (remaja) itu satu cabang dari kegilaan "
Mereka sebenarnya sedang menghadapi satu krisis dalam diri, mencari peribadi .... dan malangnya mereka dibiarkan tersesat dan GILA oleh KITA!. Sakit dan pedihnya hati ini melihat anak-anak kita yang berlagak dewasa dengan sikap brutal mereka. Dengan pakaian mereka, dengan cara tindak tanduk mereka, dengan cara bercakap mereka....semuanya menyakitkan! Kenapa kita biarkan.... Kenapa sampai hati kita rosakkan suatu yang sangat berharga ini?
Percayalah...Tiada siapa pun di antara kita yang boleh berlepas diri di hadapan Allah nanti. Kita pasti disoal apa yang kita lakukan...Dalam kapasiti kita, apa yang telah kita buat.? Dari mereka yang memegang amanah sebagai pemimpin besar hinggalah yang memikul tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga.... Bahkan tiap peribadi akan pasti ditanya nanti!
Terus terang tiap kali saya melihat ayah ibu yang keluar dalam masyarakat, di mana-mana seperti shopping kompleks dan sebagainya, tetapi membiarkan generasi anak mereka melanggar batas hukum agama , saya cukup pedih! anak dibiar berpakaian seperti jalang, gengster...Mereka dibiarkan tidak menutup aurat yang wajib dipelihara. Lagi menyakitkan hati bila melihat si ayah memakai songkok dan si ibu pula berudung litup manakala anak-anak terdedah dan terbuka!
Ke mana kita nak pergi sebenarnya....Ke mana sudahnya hidup ini? Apakah kita akan menungkat langit ini? Adakah kita tak akan mati? Tak takutkah kita dengan hari pembalasan?....Tak bimbangkah kita ramai yang akan mendakwa kita nanti termasuka nak-anak kita sendiri...?
Fikir-fikirkan....

Isnin, 26 Januari 2009

KEPULANGAN YANG DINANTI..

Pulang dari airport menghantar Ustaz Ya, saya mengambil kesempatan meninjau kediaman rasmi pegawai di tingkat satu Asrama Darul Aman. Tengok apa yang patut kalau-kalau ada lagi yang perlu dibawa dari tanah air nanti. Nampaknya Bang Ya dah sediakan semua kelengkapan....Dari peralatan bilik tidurnya sampai kepada peralatan dapurnya. Maksudnya bawa pakaian sahaja pun dah memadai. Cuma, oleh kerana saya akan membawa seisi keluarga ke sini kalau ditakdirkan saya bertukar, saya minta Ustaz Fahmi, pelajar tahun akhir yang bertanggungjawab menguruskan hal berkaitan Asrama Darul Iman ini supaya tengok-tengokkan katil untuk anak-anak saya yang berjumlah tujuh orang itu. Kediaman rasmi pegawai ini mempunyai satu bilik tidur utama, satu bilik untuk anak perempuan dan satu bilik lagi untuk anak lelaki selain dilengkapi ruang dapur, dua set sofa, satu set meja makan yang besar serta tiga tandas. Saya mempunyai setakat hari ini dua puteri dan lima putera....Alhamdulillah. Sebelum naik ke rumah tamu saya dijamu sarapan pagi dengan Foul dan To'miyyah yang menyelerakan. Saya bersyukur pada Allah kerana ditakdirkan dapat berjumpa semula dengan ramai bekas pelajar saya di Maktab Mahmud dulu. Bukan mereka sahaja yang amat hormat kepada bekas guru mereka, bahkan secara umumnya semua pelajar-pelajar di sini cukup menghormati dan menghargai saya.
Ustaz Fadhil Penasihat MKKK sedang membungkus buah strawberi
Ustaz Fahmi orang kuat Asrama Darul Aman
Bersama Chef Ittihad, Hadi dan mantan Setiusaha dan Setiuasaha MKKK
Hidangan tengah hari terakhir sentuhan Ustaz Hadi yang menyelerakan!
Di hadapan Asrama Darul Aman sebelum berangkat
Bersama kepimpinan MKKK dan Al Ittihad di Airport Kaherah
Di awan biru....sepi sendiri!
Sampai ke tanah air tercinta
Sepanjang saya berada di sini, makan minum saya disediakan oleh Al-Ittahad Group yang diamanahkan Bang Ya menguruskan kafeteria asrama. Kepimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah juga telah datang dan menghantar kepulangan saya sampai ke airport. Kepada Ustaz Fairuz, Fahmi, Hadi, Fadhil, Hasbullah, Che Li, Muslim, Abu Bakar dan ramai lagi, Jazakumullah Khairan Kathiran.
Selamat berjuang...! Kita jumpa lagi nanti.....

KEMBALINYA SEORANG PEGAWAI....

6.00 Pagi, 25hb. Januari 2009, mantan Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir Ustaz Zakaria Osman sekeluarga berangkat meninggalkan kota Kaherah penuh kenangan dan nostalgia. Saya berada di tengah-tengah pelajar yang kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan Ustaz Zakaria yang telah berkhidmat menabur bakti hampir dua tahun setengah di Lembah Nil ini. Beliau ibarat ayah kepada mereka. Banyak jasa yang telah beliau sumbangkan kepada anak-anak Kedah di Kaherah khususnya dan di Mesir amnya. Demikinlah ketentuan Tuhan bahawa tiap yang bermula pasti berakhir dan tiap pertemuan pasti kan tiba detik perpisahan.

Kita jumpa di Malaysia

Bersama keluarga Bang Ya dan keluarga Pegawai Negeri Sembilan

Bersama sebahagian pelajar yang menghantar Ustaz zakaria di hadapan airport

Walaupun ketika ini pelajar-pelajar di sini sedang berada dalam zuruf imtihan, mereka tetap mencuri masa menghantar Bang Ya sekeluarga ke airport. Saya juga tidak ketinggalan ke sana bersama beberapa buah kenderaan lain. Turut kelihatan di airport Pegawai Kebajikan Pelajar Negeri Sembilan Tuan Haji Malik sekeluarga.

Selamat jalan Bang Ya.....Pasti keluarga dan sanak saudara di tanah air tak sabar-sabar melepas rindu di dada....

Sabtu, 24 Januari 2009

KE PESTA BUKU MESIR

23 Januari 2009, selepas solat Jumaat saya diajak Ustaz Abdul Hadi Awang pemilik syarikat buku Darussalam Alor Star ke Ma'radh Al Qaherah AlDdauli Lilkitab atau Pesta Buku Antarabangsa Kaherah kali ke 41 yang diadakan di Tapak Pameran Antarabangsa Madinah Nasr bermula 21 Januari hingga 5 Februari 2009. Berjuta judul buku dijual dengan penyertaan semua negara timur tengah termasuk dari Amerika Syarikat dan beberapa negara lain. 17 buah dewan besar disediakan untuk menempatkan beribu syarikat penerbitan yang menyertai pameran. Ustaz Hadi akan datang ke Mesir setiap tahun untuk memperolehi bekalan buku-buku baru dari sini.

Bersama Ustaz Hadi dan seorang sahabat dari Terengganu serta pelajar-pelajar Kedah pulang dari solat Jumaat

Di hadapan Pustaka Darul Syuruq



Pustaka Dar Al Ahmady


Di hadapan Pustaka Dar As Salam


Pemandangan dalam dewan



Sebahagian pengunjung


Antara kemudahan yang disediakan

Terlalu kerdilnya diri di tengah lautan ilmu yang luas....Membaca jodol kitab sahaja tak termampu apa lagi isinya! Sebenarnya terlalu besar jasa para ulamak yang bersengkang mata, memerah otak dan berkorban tenaga menulis buku dan kitab-kitab sedangkan kita hanya membaca apa yang siap ditulis sahaja. Sama-sama kita bermuhasabah! Fikir-fikirkan...

Jumaat, 23 Januari 2009

SERAH TERIMA TUGAS SECARA RASMI DI KEDUTAAN

Tanggal Khamis 22 Januari 2009, saya dibawa Ustaz Zakaria Osman selaku Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir ke Kedutaan Besar Malaysia. Kedutaan Malaysia terletak di Mohandiseen, Giza iaitu satu kawasan yang memang telah sekian lama menempatkan banyak kedutaan-kedutaan asing. Kawasan ini boleh dikatakan eksklusif dan agak mewah. Tujuan kami ke sana adalah untuk majlis ringkas serah terima tugas Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir selain saya akan diperkenalkan dengan pegawai dan kakitangan kedutaan.


Di hadapan Bangunan Kedutaan Besar Malaysia

Bersama TYT Dato Duta

Serah Tugas

Terima tugas


Counsellor Kedutaan sebagai saksi


Serah terima tugas secara rasmi

Oleh kerana TYT Dato' Duta mempunyai tamu iaitu rombongan dari Melaka pada ketika itu, saya telah dibawa bertemu Encik Mohd Puzi Dahman Counsellor Kedutaan. Bersaksikan beliau yang mewakili TYT Dato' Duta, Ustaz Zakaria menyerahkan Nota Serah Tugas secara rasmi kepada saya. Walaupun berat tugas yang diterima, sebagai penjawat awam yang telah berjanji menunaikan amanah dengan sebaik mungkin dalam perkhidmatan yang diberi, saya terima tanggungjawab ini dengan pasrah padaNYA. Alhamdulillah, semua pegawai dan kakitangan Kedutan Besar Malaysia sangat mesra ibarat sebuah keluarga besar. Ustaz Zakaria juga telah membawa saya bertemu TYT Dato' Duta yang walaupun penat melayani tetamu-tetamu yang bersilih ganti tetap menerima serta melayani kami dengan penuh kemesraan. Saya juga dibawa bertemu Prof madya Dr. Jamil Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah selain En Mohd Fauzi Mohd Said Setiausaha Kedua, En Samsul Kahar Kamarudin Setiausaha Kedua dan ramai lagi.


Sepanjang perjalanan pergi balik kedutaan yang menempuh kesesakan lalulintas yang memang sangat rutin di sini, Ustaz Zakaria memberikan taklimat pada saya secara tak langsung berkenaan tugasan beliau di sini. Apa pun , pada saya Ustaz Zakaria telah meneroka dan merintis jalan sebagai Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir dengan penuh susah payah dan kini beliau pulang sebagai seorang pegawai yang kaya dengan pengalaman dan getir perjuangan serta pahala berlipat kali ganda atas segala pengorbanan yang telah dicurahkan.

Tahniah dan terima kasih atas segala tunjuk ajar. Tahniah dan syabas juga kerana kepulangan beliau pada 25 Januari nanti, beliau diberi penghargaan oleh Kerajaan Negeri dengan anugerah AMK oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

SAMPAI DI LEMBAH NIL

Saya menaiki penerbangan Singapore Airlines yang berlepas dari Lapangan Antarabangsa Bayan Lepas jam 9.15 malam. Setelah transit di Lapangan Terbangsa Antarabangsa Changi hampir tiga jam, saya berlepas ke Kaherah +- 2.20 pagi dan selepas menempuh lebih 10 jam penerbangan saya selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah +- 6.30 pagi. Bayangkan betapa terasa sunyi dan sendirinya diri kerdil ini....Ini baru dunia, bayangkan perjalanan alam barzakh...Kalaulah kita musafir ke 'sana' tanpa persediaan dengan bekalan mencukupi, alangkah malangnya!

Mesir sedang menempuh musim sejuk yang menikam tulang. Alhamdulillah saya dah bersiap dengan pakaian lebih tebal. Saya disambut mesra oleh Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir Ustaz Zakaria Osman bersama dua pelajar yang setia di belakangnya, Mohd Fairuz dan Ahmad Noorhadi.


Sarapan pagi di Restoran syubrawi




Bersama Ustaz Zakaria dan Hadi


Bersama Ustaz Taqiyuddin dan Dr. Jamnul AzharMulkan


Di hadapan Asrama Darul Aman Kaherah

Kami singgah makan pagi di sebuah restoran di bandar kaherah. Di situ kami berjumpa Ustaz Taqiyuddin Abdullah Orang Kuat NGO yang terkenal dalam membela ummat Islam seluruh dunia iaitu Gerakan Pemuda Masjid Malaysia sedang makan pagi bersama Doktor Hj Jamnul Azhar Mulkan yang turut bersama rombongan dari Malaysia untuk masuk membantu ummat Palastin di Ghazzah. Difahamkan bersama mereka adalah rombongan dari Media Prima dan juga angkasawan negara Dato' Syeikh Muzaffar. Mereka sedang menunggu lampu hijau untuk masuk ke Ghazzah dari pihak Kedutaan dan Keselamatan.

TERBANG KE MESIR....



Tanggal 20hb saya bertolak ke Mesir melaksanakan arahan kerajaan. Inilah kali pertama dalam hidup saya, saya keluar berjalan jauh sendirian.. Tak tergambar rasanya musafir seorang diri tanpa teman

SAYA YANG MENURUT PERINTAH


DI ARAH KE MESIR…


Saya telah menerima arahan berdasarkan surat yang ditandatangani oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman yang ditujukan kepada Ybgh. Dato’ Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman; yang meminta perlepasan agar saya dibenarkan ‘terbang ke Mesir’ untuk urusan terima dan serah tugas daripada Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir, Ustaz Zakaria Osman.

Di samping ayahanda lagi guru tercinta Haji Ahmad Haji Ibrahim yang sedang memangku anakanda saya yang ke 7 Ahmad Bin Yusoff


Bergenang air mata ayahanda saya yang umurnya sudah menghampiri angka 84 tahun bila saya khabarkan berita ini padanya. Perasaan saya bercampur-campur….gembira, sedih silih berganti. Nyata ayah saya begitu cepat redha dengan ketentuan Ilahi Rabbil Izzati. “ Kalau rezeki Yusoff di Mesir…nak buat macammana”…beliau langsung membaca “ ALLHUMMA LA MANI’A LIMA A’KTHAITA, WA LA MU’THIYA LIMA MANA’TA, WA LA RADDA LIMA QADHAITA. WA LA YANFA’U ZAL JADDI MINKAL JADD!”


Kiranya benar saya terpaksa bertugas di Mesir seperti yang disebut Dato’ SUK waktu saya dibawa oleh Ybhg Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah ke pejabat SUK di Wisma Darul Aman 20 Januari baru ini, memang saya terpaksa buat banyak ‘pengorbanan’. Banyak komitmen saya selama ini yang terpaksa dikorbankan apabila saya terpaksa berhijrah ke tempat baru ini. Kuliah2 saya, kursus2 dan ceramah saya serta ruangan yang sudah ‘sedaging’ dengan saya di KedahFM pasti tak dapat diteruskan….


Apa yang pasti, Siapalah kita di hadapan kehendak dan ketentuanNYA!

Khamis, 22 Januari 2009

ANTARA KURSUS AKHIR....

KURSUS PRA-PERKAHWINAN MBKPPI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

Di antara siri kursus terakhir yang sempat saya hadiri ialah kursus pra-perkahwinan yang dianjurkan oleh Pusat Islam Universiti Utara Malaysia. Kursus ini telah diadakan di Dewan Kuliah Masjid UUM dengan penyertaan yang menggalakkan dan sesuai dengan keluasan dewan.



Saya pasti merindui saat-saat seperti ini andai saya benar-benar terpaksa ‘angkat kaki’ dan ‘bertukar angin’ ke tempat kerja yang baru. Pengalaman manis bertahun-tahun membimbing pasangan atau mereka yang akan mendirikan rumahtangga dalam kursus pra-perkahwinan pasti menggamit rasa rindu pada suasana ‘indah’ dalam kursus itu. Selain kursus pra, saya juga terlibat dalam kursus pasca perkahwinan iaitu untuk pasangan yang sudah berkahwin. ‘Refresh’ cinta dan kasih dalam tip-tip yang diberi di sepanjang kursus tidak lain diharap menjadi panduan dalam melayari bahtera rumahtangga agar ‘Baiti Jannati’ akhirnya menjadi milik bersama….

MAJLIS PERJUMPAAN PEGAWAI MASJID BERSAMA YAB MENTERI BESAR

Pada 15 hb Januari baru-baru ini satu majlis telah diatur oleh JHEAIK dengan kerjasama KUIN yang mempertemukan YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Razak dengan tenaga penting yang menggerakkan masjid-masjid di seluruh Negeri Kedah Darul Aman. Walaupun setiap masjid hanya diminta menghantar tiga orang pegawai sahaja, tetapi kehadiran para peserta pada hari itu adalah luar biasa.

Dato' Seri dalam ucapannya telah menegaskan tentang kepentingan masjid...tentang betapa pentingnya peranan masjid untuk terus menghidupkan hati-hati manusia yang mati. Beliau juga menceritakan kembali tentang sejarah Rasulullah yang telah mengasaskan Majid Quba' dan Masjid Nabawi dan bagaimana masjid ini telah menjadi 'jantung ummah' .
Dato' seri MB mengingat para hadirin tentang bagaimana masyarakat masih memandang tinggi pada institusi masjid dan juga orang sepuluh masjid. Justeru kepimpinan masjid hendaklah sentiasa berusaha menambah ilmu dan kemahiran. Kerajaan Kedah sentiasa komited untuk mengangkat martabat orang sepuluh masjid dengan menganjurkan siri-siri kursus dan sebagainya. Beliau juga menyentuh tentang pengurusan masjid yang masih tidak memberi perhatian berat kepada soal kebersihan. Beliau juga maklumkan tentang peningkatan bajet tahunan untuk aktiviti ugama dan syi'ar Islam.



Dato' Seri MB sedang memberikan taujihat



Hadirin khusuk mendengar amanat




Bersama sahabat-sahabat pegawai agama yang hadir




Bersama Ybhg. Doktor Haji Abdul Aziz Bin Hanafi, Dekan Kulliyyah Syari'ah KUIN, Tuan Syeikh Zainol Jamal Pegawai Khas Agama kepada YAB Dato' Seri MB dan Tuan Syeikh Muhammad Awang Pegawai Agama Daerah Pendang

BEBERAPA TUGASAN/PROGRAM SEBELUM BERANGKAT KE MESIR

TUGASAN SATU
MESYUARAT JAWATANKUASA PELAKSANAAN SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN (SABK
)

Satu mesyuarat penting berkaitan pelaksanaan sekolah agama bantuan kerajaan telah diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Saleh Hj. Din selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Majlis Agama Islam Negeri Kedah.


Beberapa keputusan penting telah dicapai dalam mesyuarat ini. Antaranya termasuk pindaan MoU yang akan ditandatangani dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam masaa terdekat Insyaallah. Dengan merujuk kepada MoU antara Yayasan Islam Kelantan dengan KPM yang telah selamat ditandatangani, pihak jawatankuasa telah bersetuju membuat beberapa pindaan yang menjadikan MoU negeri Kedah lebih perkasa.

Mesyarat ini turut dihadiri Dato’ Syeikh Uzir Baharom YDP MAIK, Tuan syeikh Ismi Anuar Abdul Halim Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama, Tn. Syeikh Zainol Jamal Pegawai Khas Agama kepada YAB MB Kedah, En. Roslizan Pegawai Khas Kanan kepada YAB MB, Dato’ Syeikh Abdul Razak Yusof, Pn Mashri Penolong Penasihat Undang2 Negeri Kedah serta beberapa yang lain.
Satu mesyuarat yang melibatkan pihak MAIK dan KPM akan diadakan pada awal Februari akan datang bagi membincangkan perkara yang sama. Semoga Allah mempermudahkan segalanya.

TUGASAN DUA
MAJLIS PERTUNANGAN USTAZ MOHD. HAFIZ HAJI AHMAD

Saya juga diamanahkan ayahanda saya baru-baru ini mengetui rombongan meminang untuk adik lelaki saya. Rumah bakal isteri adik saya terletak betul-betul bersebelahan Sek.Men.Bukit Payong. Adik saya seorang guru agama dan bahasa arab di sebuah sekolah agama bantuan kerajaan manakala bakal adik ipar saya pula adalah seorang ustazah JQAF di sebuah sekolah rendah di Serdang Kedah.





Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan seperti yang dirancang. Sebelum jamuan makan tengahari yang menyelerakan bakal pengantin lelaki telah ‘dipaksa’ membaca doa selamat. Majlis perkahwinan akan berlangsung pada bulan Mei akan datang. Semoga 'masjid' yang akan dibina segera kukuh dan tersergam indah.....
TUGASAN TIGA
MESYUARAT PELAKSANAAN MAJLIS KHATAM ALQURAN KANAK-KANAK KAFA PERINGKAT KEBANGSAAN 2009.

Pada tanggal 8 Januari baru-baru ini, saya telah menghadiri satu mesyuarat berkaitan perlaksanaan majlis sah khatam alquran yang akan diadakan kali pertama peringkat kebangsaan yang dijangka melibatkan 5000 kanak-kanak KAFA dari seluruh negara termasuk dari Sabah dan Serawak.




Sekiranya ia menjadi kenyataan, ia adalah satu sejarah negara sekaligus satu penghargaan besar untuk kanak-kanak terpilih yang telah berjaya khatam dalam pengajian alquran mereka. Mereka akan diraikan dalam satu majlis yang gilang gemilang yang mungkin akan disiarkan secara langsung oleh RTM. Majlis ini akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri atau wakilnya dari kalangan Menteri.








Sabtu, 10 Januari 2009

Kedah FM. 5.30 pm - 21/12/2008

Assalamualaikum....sahabat...

Pertemuan setengah jam di ruang udara KedahFM hari ini 21/12/2008, saya mengulas berkenaan isu Mertua. Insan yang sebenarnya punya jasa yang besar ini kekadang dilihat menjadi penghalang kepada kebahagiaan anak menantu.

Sebagai menantu, kita sepatutnya menghargai kehadiran ibu dan ayah mertua kita. Apa tidaknya..? Bukankah mereka yang menjadi sebab lahirnya suami yang kita cintai atau isteri yang kita sayangi.. Ketika kita menyayangi dan menghormati ayah dan ibu sendiri kenapa tidak kita berikan juga hak ini kepada ayah dan ibu mertua kita? Adalah sangat malang bila melihat dua insan yang sepatutnya diraikan seperti ibu dan ayah sendiri, tiba-tiba dipinggirkan.

Memang tidak kita nafikan terdapat sebilangan ibu atau ayah mertua yang tidak membantu menyelesaikan masalah yang berlaku antara suami isteri, sebaliknya campur tangan mereka lebih memburukkan keadaan. Akibat masing-masing kurang atau cetek ilmu agama, ditambah dengan ego sebagai orang tua yang lebih dulu makan garam, akhirnya mahligai bahagia yang dibina tersungkur menyembah bumi. Yang menjadi mangsa bukan sahaja kita yang menjadi suami dan isteri yang terpaksa berpisah, tetapi yang lebih perit adalah anak-anak yang tidak berdosa kehilangan kekuatan untuk mendepani cabaran hidup!

Fikir-fikirkan...

Selasa, 6 Januari 2009

KedahFM 18/12/2008 - MEREKA BOLEH MENJADI MUSUH...

Assalamualaikum...

Hari ini, saya menggantikan tempat al-fadhil Ustaz Haji Aminuddin abdul Rahim yang telah menggantikan tempat saya sebelum ini. Hari ini saya bercakap tentang bagaimana sebahagian suami/isteri dan anak-anak kita boleh bertukar menjadi musuh.

Sahabat-sahabat yang dikasihi...
Ketika mereka yang mendirikan rumahtangga mengimpikan pasangan hidup yang sanggup bersama dalam susah dan senang..berkongsi suka dan duka...sanggup menghadapi segala bersama, berapa ramai yang kemudiannya kecewa bila pasangan hidupnya berubah....cinta beralih arah, khianat, berakhlak buruk dan sebagainya. Gejala nusyuz, syiqaq dan dharar menjadi igauan buruk dan mimpi ngeri yang menyeksa tangkai hati!

Ketika mereka yang dikurniakan cahayamata mengharapkan kelahiran orang baru dalam keluarga akan hanya menambah seri keluarga, lahirnya anak soleh penyejuk mata ayah dan bonda, berapa ramai yang kemudiannya kecewa bila anak yang diharap menjadi pembela orang tuanya di hari muka, rupanya petualang yang hanya tahu melukakan!...Malim Kundang! anak derhaka!

Dalam Surah At-Taghabun ayat 14 AllahSWT berfirman:


يا أيها الذين آمنوا إن من أزواجكم وأولادكم عدوا لكم فاحذروهم

Yang bermaksud : Wahai orang2 yang beriman; sesungguhnya ada di antara isteri2 kamu dan anak2 kamu yang menjadi musuh bagi kamu, oleh itu awaslah dan berwaspadalah terhadap mereka.

Isnin, 5 Januari 2009

Selamat Datang 2009

Salam Perjuangan... Masihi 2009 datang lagi.....Meski berulang-ulang kali para ulama kita jelaskan, sambutan tahun baru yang diadakan dengan berkumpul beramai-ramai,menanti detik 12 malam dengan percampuran lelaki perempuan bukan mahram, anak-anak remaja yang mabuk hiburan dan kebebasan dengan bersukaria tanpa batasan...minum minuman keras dan sebagainya(walaupun tidak semua) adalah suatu cara sambutan yang haram, tetapi cara ini tetap diadakan seperti biasa. Ibarat anjing menyalak bukit....kelihatan mereka tidak peduli!

Kita telah menyaksikan banjir besar melanda, angin kencang dan ribut yang memusnahkan bahkan kita juga telah melihat kejadian tanah runtuh yang menenggelamkan banyak rumah-rumah mewah di Bukit Antarabangsa. Kenapa kita tidak mengambil pengajaran dari kejadian2 ini?....Sesungguhnya semuanya itu adalah isyarat dari langit! Apa yang telah berlaku dari musibah dan bencana sebenarnya adalah akibat dari perbuatan kita sendiri.....sedang sebenarnya Allah telah banyak memaafkan kita!...Mudahnya untuk meruntuhkan....!

Semoga 2009 akan menyaksikan kita hanya sebagai Hamba Allah yang benar2 muslimin, mukminin, 'aabidin, qanitin, zakirin dan muttaqinn.....Semoga Islam akan terus bersinar cemerlang di tengah2 Jahiliyyah moden yang meloyakan ini.!

SALAM HIJRAH 1430 ...

Assalamualaikum...Tahun baru Hijrah 1430 tiba juga akhirnya. 1429 tinggal kenangan...Berbahagialah mereka yang telah berjuang habis-habisan...sungguh-sungguh membentuk peribadi dan menjadi hamba Allah yang taat pada 1429 yang telah berlalu itu....Alhamdulillah!.

Bagi mereka yang masih di takuk lama, tak berubah...masih macam tahun-tahun yang lalu, Astaghfirullah....bimbang takut kita hanya menambah hutang dan dosa dengan Allah. bayangkan andai kita dijemput pergi...dipaksa berhijrah ke alam baqa' dengan diri penuh bergelumang dosa dan noda....alangkah malang dan ruginya kita! Justeru kita tiada pilihan lain lagi, kita wajib kembali padaNYA! Bagi mereka yang berdosa itu, ..yang berhutang pada Allah, kita hanya punya satu jalan...dan ianya jalan sehala, iaitu segera kembali pohon keampunan Allah, bertaubat dengan taubat yang nasuha!

" Orang yang berjihad itu ialah orang yang berjihad menentang hawa nafsunya dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan perbuatan salah dan dosa". - Maksud Al-hadis