Selasa, 10 Februari 2009

PERJUMPAAN BERSAMA YAB. MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

Dato' seri MB diapit Dato' YDP MAIK dan Dato' Pengarah JHEAIK


Antara pegawai dan kakitangan 5 agensi Agama di negeri Kedah yang hadir

Jamuan makan tengah hari


10/02/2009 - Jam 10.00 pagi bertempat di Bilik Gerakan, Blok E Wisma Darul Aman telah diadakan satu perjumpaan khas bersama YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Bin Abdul Razak Menteri Besar Kedah Darul Aman. Perjumpaan tersebut melibatkan pegawai-pegawai pengurusan agensi-agensi Agama Islam Negeri Kedah iaitu MAIK, JHEAIK, Jabatan Mufti Negeri Kedah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah dan Jabtan Zakat Negeri Kedah.
Perjumpaan yang dipengerusikan oleh Tn. syeikh Ismi Anuar Abdul Halim selaku Pengerusi Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Islam Negeri Kedah itu dimulakan dengan ucapan aluan Sohibus Saadah Dato' Syeikh Uzir bin Baharom Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah. Mewakili kesemua agensi-agensi Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman, SS Dato' dalam ucapannya menyatakan komitmen dan sokongan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri untuk berusaha meningkatkan solidariti dalam perkhidmatan serta berjanji untuk merealitikan sistem penyampaian yang berkesan di agensi-agensi Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman demi mencapai matlamat Kedah Sejahtera.
Manakala Dato' Seri MB dalam ucapannya pula menjelaskan bahawa perjumpaan yang agak lambat diadakan adalah disebabkan keyakinan beliau dengan semua agensi-agensi Agama Islam yang diyakini tidak bermasalah. Beliau juga menjelaskan tentang perlaksanaan Hukum Islam termasuk Hukum Hudud yang belum dilaksanakan kerana mengambilkira Siyasah Syar'iyyah dan Fiqh Awwaliyyat tanpa menafikan cita-cita Kerajaan Negeri dalam melaksanakan hukum Allah seperti yang termaktub dalam Al-Quran itu. Panjang lebar beliau menerangkan sinario perlaksanaan Hudud oleh Kerajaan Kelantan dan Terengganu sebelum ini yang jelas tidak dapat diimplimentasikan kerana bertembung dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ustaz Azizan juga mengharapkan semua pihak di agensi-agensi Agama Negeri Kedah melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik dan cermat. Beliau berpesan agar pihak mahkamah sentiasa mempastikan keadilan ditegakkan. Institusi masjid pula hendaklah diuruskan dengan baik dengan melantik mereka yang benar-benar layak sahaja untuk diamanahkan memimpin. Masjid hendaklah dipastikan bersih dan hendaklah benar-benar menjadi pusat perpaduan masyarakat. Berkenaan kekurangan pegawai-pegawai Hal Ehwal Islam, beliau bersetuju agar tindakan diambil untuk pengisian jawatan-jawatan yang kosong sambil menerangkan rakyat Kedah beragama Islam telah mencapai 1.5 juta orang. Dato' Seri MB juga banyak menjelaskan tentang beberapa istilah dalm fiqh dan usul fiqh seperti Saddu Zara'i, Ma La Yudraku Kulluhu La Yutraku Julluhu dan Taghayyurul Ahkam Bi Taghayyuri Zzaman.
Dato' Seri MB juga menjelaskan tentang perkembangan KUIN atau Insaniah di samping mengulas tentang kelemahan pelajar-pelajar Al-Azhar mutaakhhir ini dalam penguasaan Bahasa Arab. Beliau mengarahkan JHEAIK Bahagian Pendidikan mengambil tindakan perlu untuk menyediakan pelajar-pelajar yang berkemampuan dalam Bahasa Arab untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir.
Turut sama dalam perjumpaan ini ialah Pengarah JHEAIK Dato' Khairuddin Zain, Timbalan Pengarah JHEAIK Tn. Hj. Fathullah, Sohibul Fadhilah Tn. Syeikh Mawarzi Dhiauddin Timbalan Mufti Negeri Kedah, Ybhg. Tn Timbalan Setiausaha Zakat Negeri Kedah, Ketua-Ketua Bahagian di MAIK dan JHEAIK, Tuan-Tuan Pegawai Agama Daerah, Yang ariff Hakim-Hakim, Pegawai-Pegawai Suluh, Pegawai-pegawai Zakat Daerah dan lain-lain.

Tiada ulasan: