Memulakan bicara petang ini saya menceritakan semula tentang kisah yang heboh dalam akhbar baru-baru ini. Kisah sekeluarga terdiri suami, isteri dan sembilan orang anak yang nekad mengambil keputusan keluar agama Islam di satu negeri. Na'uuzubiLlahi min zalik .Mereka ini sebenarnya telah mendapat nikmat hidup di satu kawasan penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin. Namun dek tak tahan dengan ujian-ujian dalam kehidupan seperti kesusahan, kemiskinan, masalah dengan jiran dan sebagainya dari ujian Tuhan, akhirnya sekeluarga malang ini membawa diri ke satu gereja. Alhamdulillah, seorang hamba Allah yang sangsi melihat mereka di luar pagar gereja segera menyelamatkan mereka dan dibawa ke Jabatan Agama Islam negeri berkenaan. Mereka khabarnya sedang dikaunseling oleh pihak berwajib yang berkaitan.
Kisah kedua yang saya ceritakan adalah tentang seorang lelaki yang dibawa isterinya ke rumah sakit pada siangnya dan kemudian disahkan pegawai perubatan bahawa beliau dijangkiti demam Chikungunya. Lelaki malang ini telah bertindak nekad menggantung diri pada malam itu kerana tidak redha dengan nasib yang menimpa dirinya!
Demikianlah bila manusia tidak memahami kehidupan dan kaitannya dengan ujian, cubaan atau ibtila'...Allah berfirman :
ولنبلونكم بشيء من الخوف والجوع ونقص من الأموال والأنفس والثمرات وبشر الصابرين . الذين إذا أصابتهم مصيبة قالوا إنا لله وإنا إليه راجعون . أولئك عليهم صلوات من ربهم ورحمة وأولئك هم المهتدون
Maksudnya :" Demi sesungguhnya! Kami pasti menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan dengan kelaparan, dan dengan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembirakepada orang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata " Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itulah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayatnya."
Jelas dari ayat ini bahawa dalam kehidupan kita di dunia ini, kita pasti tidak dapat lari dari ujian-ujian hidup yang sengaja dihadapkan Allah pada kita hambaNya. Tujuannya....untuk menguji siapa di antara kita hambaNya yang paling baik amalannya! Maksudnya...Siapa di antara kita yang dapat bersabar dengan ujian Allah......menerima cubaan-cuabaan hidup dengan lapang dada
dan redha.!
Ulamak menggariskan bahawa di antara bentuk sabar adalah sabar dalam menghadapi cubaan atau ujian yang bersifat jasmani atau fizikal; yakni tabah memikul beban walaupun berat, tabah dan sabar dalam menghadapai kesusahan atau kemiskinan hidup ataupun sabar menghadapi kesakitan dan penyakit yang menimpa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan