Ahad 14 Zulhijjah 1429 bersamaan 14 Disember 2008, sekali lagi saya ke konti KedahFM bagi menggantikan tempat guru saya Tuan Syeikh Hj. Fadhil Hj. Awang yang masih berada di tanah suci.
Meskipun Aidil Adha atau Hari Raya Qurban telah berlalu, namun saya rasa penting untuk mengungkit kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim sekeluarga atau secara khususnya kisah penyembelihan Nabi Ibrahim akan anaknya Nabi Ismail A.S yang sarat dengan pengajaran dan iktibar untuk seluruh umat Islam di sepanjang zaman.
Hari ini saya tidak cukup masa untuk membenarkan talian dibuka seperti biasa kerana kisah sejarah yang panjang disentuh hampir semua. Tiga puluh minit peruntukan masa bagaikan tidak memada. Memang itulah hakikatnya....ramai yang membuat panggilan menembusi konti untuk bertanya soalan, tetapi satu atau dua orang pemanggil sahaja yang dapat dilayan.
Surah Asshaffat ayat 99 - 105 boleh menjadi rujukan bagi yang ingin merujuk kepada sumber asal. Walaupun saya tidak sempat menghuraikan kesemua, tetapi cukup jelas akan betapa hebatnya kisah Al-Quran ini. Nabi Ibrahim A.S diperintahkan Allah SWT supaya mengorbankan anaknya yang sekian lama dinanti kehadirannya sebagai bukti kecintaannya kepada Allah SWT. Sebenarnya Nabi Ibrahim pernah berjanji, bernazar jauh sebelum kelahiran anaknya Nabi Ismail, setelah banyak binatang qurban telah diqurbankannya kerana kecintaannya pada Allah SWT bahawa andai dia ada anak lelaki, dia akan qurbankan juga kerana Allah SWT.
Maka tatkala mana anaknya yang dikasihi Nabi Ismail remaja, Allah menghadirkan mimpi kepada Nabi Ibrahim sehingga menyedarkannya tentang janji dan nazarnya untuk berqurban.
Bayangkan betapa hebatnya iman dan cinta Nabi Ibrahim sehingga sanggup mengorbankan anak yang sangat dicintai. Ketika Hajar, isteri Nami Ibrahim didatangi Iblis yang cuba manghasutnya, Hajar dengan penuh keyakinan menjawab " seorang Nabi tidak pernah diperintahkan Allah dengan sesuatu yang bathil...bukan setakat anakku aku sanggup qorbankan, malah nyawaku sendiri aku rela serahkan keranaNYA!". Bayangkan betapa hebatnya iman dan cinta seorang wanita bernama Hajar.....Dia telah diuji dan dia telah rela, redha ketika ditinggalkan sewaktu2 dahulu bersama anaknya Ismail yang masih menyusu di lembah Mekah yang kering..tidak berpenghuni. Kini...dia rela dan redha anak yang sudah remaja, yang telah sampai umur berusaha, yang sangat dikasihinya disembelih suami sendiri! Kenapa? Tidak lain kerana Iman dan Cintanya pada Allah lebih dari segala-galanya!
Lihat pula akan Nabi Ismail ketika ditanya ayahandanya...."Apa pandanganmu nak?...ayah melihat dalam mimpi (diwahyukan Allah) bahawa ayah menyembelih kamu."Jawab Nabi Ismail dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu" ....Bahkan kehebatan Nabi Ismail jelas sekali dalam kisah sejarah ini, bila Nabi Ismail cuba dihasut oleh Iblis dalam usaha Iblis menggagalkan perintah Allah SWT, Nabi Ismail melempar batu sehingga Iblis bertempiaran lari. Nabi Ismail berpesan kepada ayahnya :"Wahai ayah....tolonglah ayah ikat tangan saya supaya saya tidak bergerak2 agar mudah urusan ayah menyembelih saya...Ayah, hadapkanlah wajah saya ke tanah, supaya ayah tidak melihat wajah saya yang nanti menyebabkan timbul rasa kasihan ayah pada saya...Ayah, lipatkan kain ayah ke atas supaya tidak kena percikan darah walau sedikit, nanti ibu akan lebih bersedih melihatnya...Ayah, tolonglah nanti bawa baju saya kepada ibu sebagai kenangan dan katakanlah pada ibu " sabarlah di atas perintah Allah"...Ayah, tolonglah jangan beritahu ibu bagaimana cara ayah menyembelih saya...!"
Akhirnya setelah Nabi Ismail menyerahkan tengkuknya dan Nabi Ibrahim meletakkan pisau ditengkuk anaknya...Allah telah menggantikan di tempat Nabi Ismail itu seekor binatang Syurga...seekor domba yag gemuk sebagai ganti Nabi Ismail AS.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan