Rabu, 3 Disember 2008

Kedah FM. 5.30 pm - 01/12/2008

Kedah FM 01/12/2008

Assalamualaikum…Hari ini, saya cuba memperincikan persoalan yang dikemukakan Pak Hj. Said Sungai Papan, salah seorang pemanggil setia ruangan Bimbingan Fardhu ain di Kedah FM. Beliau telah membangkitkan tentang fenomena poligami yang diamalkan sebahagian orang kita hari ini. Mafhum katanya lebih kurang; kenapa tak ramai hari ini penceramah-penceramah dan ustaz-ustaz yang bercakap dan menjelaskan tentang poligami berkahwin lebih dari satu? Sebaliknya ramai yang kurang ilmu memilih untuk berpoligami di mana akhirnya telah menyebabkan berlaku banyak masalah dalam rumahtangga..?


Sebenarnya, isu poligami bukanlah satu isu yang baru dibahaskan dalam masyarakat. Sudah sekian lama isu ini berlegar di kalangan kita. Ada yang pro dan ada pula yang kontra. Dengan tegas, saya nyatakan bahawa poligami adalah satu syariat Allah SWT dari syariatNYA yang suci….satu hukum dari hukum-hukum Allah SWT yang berkekalan…Hukum Allah yang lengkap lagi sempurna lagi.sesuai untuk sepanjang zaman. Poligami atau berkahwin lebih dari satu dan tak lebih dari empat dalam satu-satu masa bagi seorang lelaki yang berkemampuan pada dasarnya merupakan jawapan kepada masalah dalam masyarakat yang mungkin sahaja melibatkan wanita-wanita tertentu seperti isteri yang kematian suami yang perlukan pembelaan…Wanita yang agak terlewat usia belum berumahtangga yang kesunyian ….isteri pertama yang mengalami masalah kesihatan ….tak dapat mengandung atau dah tak sanggup mengandung sedang suami berkemampuan zahir dan batin serta inginkan zuriat lagi, atau anak-anak yatim yang perlukan kasih sayang seorang ayah kerana ayah mereka telah dijemput Ilahi atau anak-anak terbiar tanpa perhatian seorang bergelar ayah kerana ibu mereka telah diceraikan ayah sendiri, atau barangkali juga lelaki sudah berkahwin yang kuat nafsunya sedang isterinya sudah tidak berupaya melayani keperluan si suami.


Apa yang malangnya, bila yang memilih berpoligami tak cukup persiapan dan persediaan perlu dalam alam poligami. Ramai yang hanya melihat dari aspek material kebendaan semata-mata tanpa mengukur keupayaan spiritual dalam melangsaikan tanggungjawab ketika melayari bahtera poligami. Sudahlah miskin ilmu,..miskin pula budi bahasa. Akhirnya, syariat Allah dikambinghitamkan! Sedangkan yang bersalah adalah tangan-tangan manusia yang jahil lagi zalim! Poligami yang sepatutnya positif telah dinegatifkan kita sendiri! Berapa ramai isteri yang menangisi kezaliman suami dan berapa ramai pula anak-anak yang menjadi mangsa pengabaian orang tua tidak bertanggungjawab! Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu? Hanya Tuhan yang tahu….

Pun begitu, saya tetap konsisten menyatakan bahawa tidak semua yang berpoligami tidak dapat menterjemahkan keindahan poligami. Sirah Nabi kita Muhammad SAW dan Sejarah orang-orang soleh dari kalangan sahabat, tabien dan tabi’ tabiin, juga sejumlah ilmuan Islam mutaakkirin yang berpoligami dan menterjemahkan keindahannya menjadi bukti betapa cantiknya syariat Allah SWT.

Alangkah indahnya, andai yang berpoligami benar-benar bertanggungjawab melaksanakan keadilan dan menyempurnakan hak seperti yang telah ditentukan Allah dan RasulNya. Akan mewangilah alam dengan anak-anak yang hebat kualitinya bukan sekadar ramai kuantitinya!.

Tiada ulasan: