Rabu, 17 Disember 2008

KedahFM 15/12/2008 - IKTIBAR PENGORBANAN

Hari ini, Isnin17 Zulhijjah 1429 bersamaan 15 Disember 2008, saya ke KedahFM buat hari kedua berturut-turut. Jika kelmarin saya menggantikan tempat Tn. Syeikh Fadhil, hari ini pula memang giliran saya.

Petang ini saya memilih untuk mengajak para pendengar untuk mengambil iktibar dari kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail AS yang telah saya ceritakan panjang lebar dalam pertemuan yang lalu.

Bagaimana Nabi Ibrahim mengajar para suami untuk menjadi seorang suami yang sejati. Suami yang mendahulukan Allah SWT di atas segalanya...! Nabi Ibrahim sanggup berpisah dengan isterinya Hajar yang sangat dicintai, juga dengan anaknya Nabi Ismail yang sangat dikasihi waktu baginda diperintahkan Allah meninggalkan kedua mereka di tanah gersang Mekah. Demi kerana keredhaan Allah, Nabi Ibarahim berkorban lalu sangguplah baginda memisahkan seorang ibu bernama Hajar dari anaknya Ismail AS bila anak itu dibawa pergi untuk diqurbankan!


Sementara itu, Hajar seorang isteri yang hebat dan taat, mengajar para wanita Islam...bagaimana menjadi isteri solehah! Isteri solehah yang sentiasa taat suami yang taat melaksanakan suruhan dan perintah Allah. Hajar sanggup mengorbankan perasaannya, keperluannya, kepentingannya demi meletakkan perintah Allah SWT di atas segala-galanya! Dia sayang suaminya dan tak ingin berpisah... tapi, bila diperintah Allah, dia pasrah!. Dia juga tak sanggup membiarkan tengkuk anaknya Ismail disembelih suami sendiri... tapi, bila perkara itu wahyu Allah dia sanggup! Bahkan dia rela serahkan jiwanya , nyawanya sekalipun kalau itu yang diperintahkan Allah!

Buat seorang bergelar anak, nabi Ismail AS adalah seorang remaja hebat yang jelas mengajar semua anak sepanjang zaman bagaimana menjadi anak soleh yang sejati. Sanggup serahkan nyawanya...tengkuknya untuk disembelih! Kenapa remaja ini begitu hebat dalam usianya yang begitu muda? Jawapannya tidak lain, kerana tarbiyyah imaniah ibu ayahnya....kerana kekuatan akidahnya...kerana kemantapan imannya!

Andai kita menjadikan sekeluarga Nabi Allah Ibrahim sebagai teladan...kita canai peribadi, jana iman dan akidah yang membentuk sikap dan mencorak tindakan....berlandaskan ilmu wahyu dari Quran dan Sunnah junjungan, kita pasti akan dapat melihat sebuah keindahan dalam keluarga dengan suami hebat...isteri hebat dan anak yang hebat! Merekalah insan-insan beriman, soleh lagi musleh yang akan merasa bertanggungjawab menjana masyarakat rabbani!

Malangnya...Realiti dalam masyarakat yang kita temui, tidak ramai yang sanggup menjadi Ibrahim, menjadi Hajar dan Ismail!!!!

Ketika menjawab pertanyaan seorang pemanggil, Che Mat dari Pulau Pinang yang bertanya tentang bagaimana dengan nasib ibu bapa di akhirat yang punya anak-anak sewaktu di dunia, sebahagian anak-anak adalah anak yang soleh manakala sebahagian pula adalah sebaliknya.....Apakah anak-anak yang tidak soleh itu menjadi sebab ibu bapa disiksa dengan neraka?, saya menjelaskan; Andai ibu bapa sejak dari awal memberikan hak anak yakni anak telah diasuh, diajar, dididik...kenal Allah, kenal Nabi, cinta Allah , cinta Nabi...ajar Quran, solat dan akhlak Islam sebagianya..., bila mereka dewasa mereka berubah menjadi tidak soleh, maka ibu bapa tadi boleh berlepas diri insyaallah ! Itupun ibu bapa tidak boleh redha dengan maksiat anak mereka serta ibu bapa hendaklah terus menasihati, menegur dan mendoakan anak mereka supaya kembali menjadi insan soleh yang diredhai AllahSWT.

Andai ibu bapa tidak menunaikan tanggungjawab seperti di atas yakni anak2 dibiarkan buta agama atau diajar sebahagian nilai agama sahaja seperti anak diajar solat, tapi dibiarkan tidak menutup aurat...bulan Ramadhan ajar anak puasa, tetapi tak kisah dengan sosial mereka....sudah tidak kisah dengan aurat, tak peduli pula dengan pergaulan bebas anak-anak. Percampuran laki-laki perempuan bukan mahram dipandang ringan dan sebagainya lagi dari perbuatan maksiat dan dosa,.... maka mana mungkin ibu bapa jenis ini dapat berlepas diri di hadapan AllahSWT nanti......

Nabi bersabda :

كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه

Maksudnya : " Tiap yang dilahirkan itu adalah lahir adalam keadaan fitarah ( suci dan tidak berdosa ) maka kedua ibu bapalah yang menjadikan anak itu Yahudi atau Nasrani atau pun Majusi " !!!

Tiada ulasan: