1 Ogos 2010, saya keluar awal dari rumah sekitar 5.30 pagi ke Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah menyambut Ustaz Zakaria, mantan Pegawai HEP Kedah sebelum saya, yang tiba dengan penerbangan EgyptAir dan Datin Sepiah Timbalan Pegawai Kewangan Negeri serta Tuan Haji Rosli Ketua Penolong Pengarah Bangunan Jabatan Kerja Raya yang sampai dengan Singapore Airlines di terminal yang sama, Terminal 3. Turut bersama rombongan Pejabat Pegawai Kewangan Negeri adalah dua orang anak gadis Datin Sepiah sendiri.
Ikut menyambut tetamu di Airport Cairo pagi itu termasuklah Mr Ahmad Manyalawi selain pembantu tadbir pejabat saya Akhi Fairuz. Setelah menemani ahli rombongan makan pagi dan check in di sebuah hotel di Rabaah, saya bersama Manyalawi dan Bang Ya menemani ahli rombongan yang lain melakukan lawatan kerja rasmi ke bangunan Asrama Darul Aman 2 di Haiyyu 'Asyir. Tuan Haji Rosli kemudiannya memeriksa satu persatu hasil kerja baikpulih yang dilakukan pihak kontraktor sambil menerima penjelasan dari pihak Manyalawi. Saya mengiringi beliau menaiki tiap tingkat sehingga sutuh atau bahgian bumbung bangunan. Ketika yang sama Datin Sepiah memberikan perhatian kepada rumah tamu yang masih belum 100% siap.
Hampir jam 1.30 petang, saya bersama Bang Ya dan Manyalawi ke KBMK bagi urusan perbincangan berkaitan lawatan YAB MB di sana. Bermula dengan perbincangan awal bersama En.Syarbini dan En. Iskandar Herman, kami kemudiannya dijemput bertemu dengan Kuasa Usaha Sementara sendiri E.saiful Anuar. Kebanyakan perkara sebenarnya dah selesai, menerima hitam putih pihak berkenaan kecuali kunjung hormat YAB MB kepada Menteri Pertanian Mesir dan juga lawatan ke ladang yang masih belum menerima confirmation dari pihak berkaitan.
Petang itu, hampir waktu asar baru saya dan lain makan tengahari di sebuah restoran berdekatan KBMK di Mohandiseen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan