Isnin, 2 Ogos 2010

LAWATAN KERJA KE SYIBIN AL-KOM

Pagi Sabtu 31 Julai, saya dihubungi Akhi Zulhazwan Ismail dari Syibin Kom yang menjemput saya sekeluarga menghadiri majlis kenduri aqiqah putera sulungnya Ahmad Munzir Zaidan di sana, selepas Maghrib hari yang sama. Kebetulan saya memang sudah dalam perancangan untuk melawat muhafazah berkenaan. Ibarat "orang mengantuk disorongkan bantal", saya segera menyambut jemputan beliau untuk turut sama memeriahkan majlis tersebut di samping dapat bertemu mata dengan anak-anak Kedah Syibin Kom yang tak berapa kerat dalam majlis itu nanti. Selain membawa keluarga, saya juga mengajak Akhi Fairuz, pembantu tadbir saya, untuk turut serta. Sebelum itu, saya telah pun memberi keizinan kepada barisan AJKT MKKK dan HEWI untuk pergi ke sana dengan Avanza.

Syibin Kom, sebuah pekan bersaiz sederhana yang bersih dan terletak dalam Muhafazah Al-Munufiyyah , merupakan kawasan perladangan yang subur dengan pelbagai tanaman. Membelok masuk simpang dari lebuh raya Iskandariah zira'ie kira-kira 10km ke Syibin, saya melalui kawasan perladangan yang menghijau di kiri dan kanan jalan, mengingatkan saya kepada tanahair, bumi bertuah kita..sehingga merasakan seolah-olah dalam perjalanan ke Baling pulak!





Setelah memandu kira-kira 2 jam dari Kaherah, saya dan keluarga selamat sampai lebih kurang jam 6 petang. Saya disambut Akhi Khairul Abdan Exco Badan Ilmiah MKKK yang memang berasal dari muhafazah itu kerana saya memang buta jalan ke situ. Sebelum dibawa ke Dewan Perwakilan Mahasiswa Shibin Kom lokasi majlis diadakan, saya sempat layan semua yang ikut bersama dengan ais krim Shibin Kom. Sampai di halaman bangunan, saya disambut Akhi Amminuddin Alias Mandub Shibin Kom, Akhi Zul dan beberapa rakan lain.Teruja melihat teksi hijau kuning, warna teksi rasmi untuk Shibin Kom...Hijau Kuning!! Kedah Darul Aman.....





Selesai solat Maghrib di sebuah masjid berdekatan, para jemputan yang terdiri dari ikhwah yang berasal dari Shibin dan juga muhafazah lain seperti dari Kaherah maupun Tanta termasuk Imam Masjid, Syeikh Ahmad Redho berkumpul di Dewan Darul Irsyad DPM Syibin Kom. Turut bersama, Syeikh Ahmad seorang muaallim di Syibin dan juga ayah kandung dan ayah mertua Akhi Zul sendiri menyaksikan "tahnik" dan "cukur kepala. yang disempurnakan oleh Syeikh Ahmad Redha. Waktu yang sama, oghang ghumah saya berada di tingkat bawah, di rumah Akhi Aminuddin bersama kedua ibu kandung dan ibu mertua Akhi Zul selain isterinya Ukhti Farhana Azwami.







Majlis kemudian disambung dengan alunan selawat dan burdah yang dialunkan Akhi Rushdan dan Nikman yang diundang jauh dari Kaherah. Krew masak hari itu juga diketuai Akh Hadi juga didatangkan dari Kaherah. Saya kemudian bersama Syeikh Ahmad Redha dan Syeikh Ahmad serta kedua-dua ayahanda  Akhi Zul, dihidangkan jamuan makan lebih awal di tingkat bawah, sementara majlis di atas disambung dengan bacaan tahlil serta selawat. Selesai makan, saya dijemput menyampaikan sepatah dua amanat khasnya kepada anak-anak Syibin dan amnya kepada anak-anak ikhwah yang hadir majlis malam itu.








Sekalung tahniah buat Akhi Zul yang cukup bertuah dengan hadirnya pengikat kasih yang comel....Moga anakanda Ahamad Munzir Zaidan akan sentiasa menjadi penyejuk mata, anak soleh serta penyambung risalah dakwah Rasulullah SAW suatu hari nanti.

Buat semua anak-anak Syibin Kom khasnya Akhi Aminuddin, terima kasih banyak atas layanan 5 bintang yang diberikan pada Abah dan Mama serta anak-anak. Moga  Allah SWT kurniakan kejayaan cemerlang buat semua anak-anak Syibin, termasuk yang bukan dari Kedah yang cukup mesra walau kali pertama berjumpa...!Moga kita dapat jumpa lagi....

Tiada ulasan: