Kedah FM , 5.30 pm - 30/11/2008
Assalamualaikum…Pertemuan setengah jam di ruang udara Kedah FM hari ini sebenarnya kerana saya menggantikan ayahanda Tuan Syeikh Haji Fadhil Awang yang kini sedang berada di tanah suci Makkah . Beliau ke udara setiap Ahad manakala saya pula pada setiap Isnin.
Hari ini saya menyambung penjelasan kepada persoalan yang dikemukakan oleh seorang pemanggil pada minggu yang lalu. Puan Salasiah dari Alor Star bertanya tentang masalah seorang ayah yang tidak bertanggungjawab serta langsung tidak mempedulikan anak-anaknya. Setelah dia menceraikan isterinya, nafkah isteri dan anak-anak tidak lagi dipedulikan. Apakah pandangan Islam terhadap ayah ini dan bagaimana pula pandangan Islam bila anak-anak ini menjadi dewasa kelak, mereka tidak menghormati ayah mereka disebabkan sikap ayah mereka dahulu?
Jawapan saya lebih kurangnya...
Pertama, ayah ini adalah ayah yang memang jelas tidak melaksanakan tanggungjawab dan amanah Allah. Di atas kezalimannya, dia pasti akan menerima bahagiannya di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Di dunia pun ada undang-undang, apa lagi di akhirat.
Kedua, menjadi tugas dan tanggungjawab pihak yang memelihara anak-anak ini, untuk tidak sesekali meniupkan api kebencian atau menanam rasa tidak hormat di dalam jiwa mereka. Pihak yang berkenaan, sama ada mungkin ibu mereka sendiri, datuk nenek, bapa saudara, atau sesiapa saja, tidak boleh sama sekali mengajar perkara salah, apatah lagi mengajar anak-anak itu membenci ayah mereka sendiri. Sebaliknya mereka perlu diasuh dan dididik untuk menyayangi dan menghormati ayah mereka. Seorang ibu sepatutnya menekankan kepada anak-anaknya, walau siapa pun ayah mereka, walau tidak bertanggungjawabnya dia terhadap mereka, walau mungkin mereka tidak pernah merasa kasih sayang seorang ayah, mereka tetap WAJIB menghormatinya. Tentang ayah itu yang tidak menjalankan amanahnya sebagai bapa, itu adalah urusan dia dengan Allah. Biar Allah sahaja yang menentukan kedudukannya. Yang penting, anak-anak ini mesti jadi anak SOLEH yang memulakan rantaian baru dalam kehidupan mereka. Mereka SOLEH dan akan bertemu dengan yang SOLEHAH dan kemudian dikurniakan cahayamata yang SOLEH pula!
Sebenarnya Islam konsisten dalam mengajar umatnya mencintai kebaikan dan melakukannya, membenci kejahatan, kezaliman dan menjauhinya. Justeru kita tidak boleh ’ikut-ikutan’. Kalau orang melakukan kebaikan kita melakukannya dan sebaliknya, bila orang melakukan kejahatan dan kezaliman, kita juga ikut melakukannya. Ini bukan ajaran Islam!
Rasulullah SAW dalam sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh At-tirmizi bersabda
لا تكونوا إمعة تقولون إن أحسن الناس أحسنا وإن ظلموا ظلمنا ولكن وطنوا أنفسكم إن أحسن الناس أن تحسنوا وإن أساءوا أن لا تظلموا
Maksudnya : Janganlah kamu jadi “ikut-ikutan”(tiada pendirian) sekira-kira kamu berkata ‘jika orang melakukan kebaikan, kami melakukan kebaikan dan sekiranya orang melakukan kezaliman, kami juga melakukan kezaliman. Tetapi, tetapkan pendirian kamu; sekiranya orang melakukan kebaikan, kami melakukan kebaikan dan sekiranya mereka melakukan kezaliman/kejahatan, kami tetap melakukan kebaikan...!
Semoga kita semua konsisten dengan ajaran suciNYA!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan