Salam rindu dari kejauhan...
Tanggal 8 Disember 2009, satu Majlis Ramah Mesra, Makan Malam dan Dialog bersama Ybhg. Tan Seri Alimuddin Mohd Dom Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia telah diadakan di Rumah Malaysia iaitu kediaman rasmi kepada TYT Duta Besar Malaysia Mesir. Program anjuran Department of Malaysian Studies University of Malaya @ Cairo University di bawah pimpinan Pengarahnya Assoc Professor Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan itu turut melibatkan kesemua agensi-agensi Malaysia di Mesir selain Kuasa Usaha Kedutaan, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Pegawai-Pegawai KBMK, JPMK dan Negeri.
Majlis bermula dengan jamuan makan malam bersama, sebelum Ybhg Tan Seri dijemput memberikan ucapan. Banyak info berkaitan perkembangan sistem pendidikan negara khasnya dan perkembangan lain-lain sektor dalam negara amnya yang dikongsi bersama. Lebih menariknya, Tan Seri sudi berdialog dengan semua yang hadir. Antara info penting yang disebut beliau ialah :-
- Kembalinya Bahasa Kebangsaan sebagai BAHASA ILMU - penghapusan PPSMI.
- Pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam JPA terhadap Sijil Tinggi Agama Malaysia STAM sebagai sama taraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia STPM.
- KPM memerlukan lebih ramai graduan Timur Tengah untuk mengisi kekosongan sebagai guru JQAF.
- KPM menyedari semakin ramai graduan lepasan Universiti Al-Azhar yang lemah penguasaan Bahasa Arab berbanding graduan lepasan universiti lain di Timur Tengah.
Saya merasa cukup bersyukur mendengar berita naik tarafnya STAM yang sekian lama dinanti oleh mereka yang memperjuangkan sistem pendidikan Agama di tanah air. Tentu kesannya akan lebih ramai lagi ibu bapa yang akan mempastikan anak mereka keluar dari sekolah menengah agama di sana setelah mengambil STAM yang pada saya sudah berdiri lebih tinggi dari STPM kerana value Agamanya.!
Tetapi, saya cukup dukacita dan kesal mendengar tentang mutu Bahasa Arab lepasan Al-Azhar. Suka tak suka, kita mesti mengakuinya....walaupun ianya cukup pahit!! Kita sebenarnya tiada jalan undur.... Kepada anak-anak Malaysia yang sedang mencari identiti di Al-Azhar ini, semoga semuanya segera bangun menerima cabaran ini...Tingkatkan penguasaan Bahasa Arab dengan apa cara sekali pun. Nafikan tohmahan atau apa saja istilah yang digunakan untuk membayangkan kelemahan kita di sini dengan membuktikan bahawa kita boleh berkomunikasi dan menulis dengan baik dalam Bahasa Arab. Semoga Allah SWT berkati ilmu yang kita cari dan pelajari. Semoga kita tidak menjadi fitnah dan bebanan liabiliti kepada Al-Azhar institusi yang sangat berjasa dan cukup tua ini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan