Sabtu, 24 Oktober 2009

KE ZAQAZIQ SEKALI LAGI

Salam rindu dari kejauhan..

Awal pagi Sabtu 24hb. Oktober 2009, saya menerima panggilan telefon dari Tuan Haji Mohd.Zuhdi Pengurus Besar YINK yang bertanya khabar tentang keadaan pelajar  perubatan tajaan YINK yang terlibat dalam kemalangan di Zaqaziq tempoh hari. Rupanya beliau minta saya melihat akan kemungkinan membawa pelajar ini balik mendapatkan rawatan di tanah air.

Setelah saya menjelaskan keadaan terkini Syamsul Bakri pelajar perubatan berkenaan, berdasar lawatan terakhir saya ke Zaqaziq dan berdasarkan panggilan telefon kepada rakan-rakan di sana yang menyalurkan maklumat dari masa ke masa tentang keadaannya, saya berjanji kepada Tuan Haji Mohd. Zuhdi untuk turun ke Zaqaziq sekali lagi.




Disebabkan bertolak dah agak lewat menyebabkan saya hanya sampai setelah malam menjelang di Zaqaziq. Setelah solat jamak taqdim Maghrib dan Isyak Di Masjid Zaqaziq, saya terus ke Hospital Universiti Zaqaziq. Perjalanan ke Zaqaziq kali ini turut disertai isteri dan beberapa orang anak lelaki saya. Kesian kerana tak banyak yang dapat dilihat sepanjang perjalanan pergi balik kerana cuaca sudah pun gelap.

Di Hospital, ketika saya sedang bertanya khabar Syamsul dan berbual dengan rakan-rakan perubatan yang bertugas menjaga Syamsul malam itu, kami dikejutkan dengan lawatan Prof. Razali iaitu bekas presiden ABIM Malaysia yang datang bersama beberapa rakan dari Akademi Quran sebuah agen yang menguruskan kedatangan pelajar perubatan ke Mesir ini. Prof. Razali turut diiringi Prof Dr. Omar Syubrawy yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal berkaitan pelajar perubatan di Zaqaziq.




Banyak nasihat dan kata-kata semangat diberikan Prof Razali yang kelihatan cukup tabah dan senior dalam perjuangan dakwah di medan itu, walaupun beliau sendiri kelihatan cukup letih dan terpaksa dipimpin. ketika berjalan. Prof Razali sebenarnya sudah agak lama hilang penglihatan. Kiranya saya bertuah dapat bertemu, bersalaman dan berpelukan dengan seorang tokoh pada malam itu di Zaqaziq.

Prof Dr. Omar pula berjanji untuk menghubungi Prof Dr Ahmad Yahya, doktor yang bertanggungjawab terhadap Syamsul sejak dia dimasukkan ke hospital itu. Beliau sebenarnya telah cuba menghubungi Dr. Ahmad tapi panggilannya tidak berjawab. Saya jelaskan secara terperinci keperluan mendapatkan pandangan pihak doktor untuk dipanjangkan kepada pihak YINK. Yang pasti, boleh tidak Syamsul dibawa pulang bergantung kepada pandangan dan nasihat doktor bertanggungjawab yang memantau perkembangan tulang belakangnya yang retak itu. Yang pasti, semua bersimpati dan mendoakan kesembuhannya....

Tiada ulasan: