29hb.Jun 2010, buat kali terakhir saya membawa isteri dan semua anak-anak ke Salahaldin International School (SIS). Sebenarnya 5 anak saya yang bersekolah sejak setahun yang lalu di sini sudah mula bercuti panjang pada minggu lalu lagi. Hari ini, saya dan ibubapa lain dijemput pihak sekolah untuk menerima keputusan peperiksaan penggal akhir pengajian anak masing-masing.
Keputusan Aufa dan Muhammad saya ambil di sebuah bilik di tingkat bawah yang disediakan khas untuk keputusan peringkat menengah , sementara 3 adik mereka yang lain - Mujahid, Ziyad dan Mubarak - di bilik lain di tingkat satu SIS bagi peringkat sekolah rendah.
Alhamdulillah, secara keseluruhan nampaknya anak-anak saya mampu juga bersaing dengan pelajar-pelajar di sini. Sukatan pelajaran yang lebih tinggi daripada apa yang mereka perlu hadapi di Malaysia, di samping 'penggredan' yang terlalu jauh bezanya dengan sistem yang digunapakai di negara kita, rupanya mampu juga mereka harungi sepanjang hampir setahun mereka di sekolah berkenaan. Bayangkan markah setinggi 60 baru lulus, sedangkan kalau di tempat kita, mereka sudah mendapat gred B!
Saya dan isteri menggunakan kesempatan hari terakhir bagi sesi ini untuk berjumpa dengan beberapa orang guru di sini, terutamanya guru-guru kelas anak-anak saya untuk menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih di atas ilmu dan didikan mereka. Berjumpa dengan Miss Rima, guru kelas Ziyad, cukup membuatkan saya dan isteri merasa sangat sedih dan terharu...siap dibekalkan setiap pelajarnya sekeping CD dan sebuah buku catatan kenangan..memang beliau seorang guru prihatin, penyayang dan kreatif !
Saya juga berkesempatan berjumpa dengan Miss Samia, guru kelas Mubarak, yang tidak putus-putus memuji anak saya itu..Alhamdulillah,melihat kepada prestasinya, Mubarak memang jelas meningkat dibandingkan dengan keputusan penggal sebelumnya. Saya juga
sempat disapa Mr Gurhan, guru kelas Muhammad yang nyata gembira kerana Muhammad akan kekal di SIS sesi depan. Terkejut juga pihak pentadbiran SIS bila saya maklumkan keputusan saya menghantar isteri dan anak-anak yang lain pulang ke Malaysia hujung tahun ini.
Demikian perjalanan hidup....Tahniah anak-anakku....
3 ulasan:
Ya Allah, dah besar dah kakak aufa, saya tumpang bahagia melihat kluarga ustaz anak beranak...
Demikian masa menghambat kehidupan...teghingat waktu-waktu saya dan keluarga mengejar feri di Jeti Kuah...Langkawi dalam kenangan.
Moga Allah kurniakan kita keluarga yg benar2 bahagia...bahagia menurut acuanNYA!
Sama-samalah kita doakan moga kebahagiaan yang kita nikmati bersama keluarga berpanjangan hingga ke syurga...
Catat Ulasan