Ahad, 17 Mei 2009

BERLEPAS MENINGGALKAN TANAH AIR


Tanggal 9hb. Mei saya dan keluarga akhirnya berangkat meninggalkan tanah air diiiringi sendu dan tangis sanak saudara. Saya bertolak dari rumah sebelum masuk waktu maghrib disulami pelukan dan deraian air mata jiran terhampir. Saya sangat tersentuh dan merasakan pemergian kali ini amat terkesan di hati mereka. Lambaian terakhir mereka masih melekat di kotak minda. Maklumlah kicauan dan riuh rendah anak-anak saya seramai 7 orang itu pun boleh tahan juga. Dua tahun walaupun tidak terlalu lama tetapi dalam tempoh itu macam-macam boleh terjadi!


Makan malam terakhir bersama keluarga terdekat

Saya sekeluarga berkumpul buat kali terakhir solat dan kemudian makan beramai-ramai di Masjid Titi Besi berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Kepala Batas. Kakak sulung, Kak Hamidah awal-awal lagi menyediakan juadah untuk hidangan keluarga malam itu . Hampir semua ahli keluarga saya ikut bersama dalam ‘dinner’ akhir itu. Antara yang hadir mama tersayang Hajjah kalsom, ummi Ramlah isteri kedua ayah, abang Abdul Kadir dan kakak Hamidah sekeluarga, abang Anuar dan kakak Fatimah sekeluarga dari Kulim, adik-adik saya adik Norsyapinah dan Ustaz hasbullah dari Pulau Pinang, adik Asim sekeluarga, adik Hafiz dan isteri serta adik Mohd. Naim dan isteri. Ayahanda saya memang dari awal lagi dah maklumkan beliau tidak dapat menghantar saya malam itu.


Bersama sebahagian sahabat Us. Hj. Rushdan , Us. hafiz Mustafa, Sir Azman DLL

Jam lapan malam ahli-ahli rombongan dah siap menanti di Balai Berlepas lapangan terbang. Rombongan ini diketuai oleh Tuan Hj. Mohd Zuhdi Hj. Saad selaku Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah bersama enam orang kakitangan YINK dalam lawatan kerja ke Mesir. Ikut serta dalam rombongan, salah seorang anak lelaki beliau yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa .



Bersama bonda dan kaum keluarga tercinta

Ramai juga sahabat, rakan, dan pastinya kaum kerabat yang memenuhi sebahagian ruang legar lapangan terbang malam itu. Saya cukup terharu atas kesudian mereka hadir “widaa’” saya sekeluarga dan lain-lain ahli rombongan malam itu. Terima kasih kepada SS Dato’ Syeikh Uzir Baharom YDP Majlis Agama Islam Kedah, Ustaz Hafiz Mustafa Lubis YDP ABIM Kedah, Ustaz Rushdan Azizan Pen. Pengarah Kanan Jab. Pendidikan Negeri dan ramai lagi yang tak dapat saya tulis nama mereka di sini.


Saya, isteri dan anak-anak adalah antara penumpang terakhir yang masuk pesawat malam itu. Pelukan ayah siang tadi, pelukan mama, abang, kakak-kakak, adik-adik dan semua yang sempat dan sudi...., menjadikan diri kerdil ini rasa ada harga….Air mata yang tumpah dan basah menceritakan tentang erti kasih sayang, kekeluargaan, persahabatan dan persaudaraan sejati!


Aku berlalu jua……Demikian sebuah ketetapan!

MENGADAP AYAHANDA....

Sejak pagi tetamu silih berganti bertandang ke rumah...ziarah akhir sebelum keberangkatan saya sekeluarga. Hari ini hari yang dinanti anak-anak saya dan anak-anak di Lembah Nil....... 9hb Mei sampai jua. Antara yang sampai sahabat-sahabat rapat saya Us.Badruddin, Us.Mansor, Us.Zunnur bersama keluarga masing-masing. Tn.Syeikh Abdul Rahman juga datang bersama Us.Nawawi Hasan. Tak ketinggalan Pak Tam Us.Abdullah Hj.Din dan keluarga.

Sebelum masuk waktu Zohor cepat- cepat saya bawa isteri dan anak-anak mengadap buat kesekian kalinya ayanhanda saya di kampung. Sebenarnya awal-awal lagi mama dah bagitau yang ayahanda tak mampu ke airport malam nanti.

Ayahanda Haji Ahmad bersama cucundanya Ahmad

Kucupan terakhir...

Moga Allah panjangkan usia Ayahanda...

Kucupan tulus seorang menantu

Kasih sayang seorang Tok Wan yang tak pernah ada penghujungnya!

Panjang umur kita jumpa lagi....Wan!

Pertemuan terakhir dengan ayahanda sebelum saya dan keluarga meninggalkan kampung halaman, tanah kelahiran, apalagi dalam usia emas ayahanda yang mencapai lebih 85 tahun adalah detik yang sangat menyentuh perasaan. Saya dengan teliti mengamati tiap kata-kata dan pesanan ayahanda pada saya dan cucu-cucnya. Saya juga maklumkan pada ayahanda tentang pesan saya pada adik lelaki selepas saya yang baru pulang dari Lubnan berkenaan amanah saya andai berlaku sesuatu pada ayahanda sepanjang ketiadaan saya di tanah air....

Ayahanda begitu pasrah dan redhha dengan ketetapan ini. Pelukan dan dakapan akhir ayahanda begitu erat. Air mata lelaki saya tumpah bercucuran tanpa dapat ditahan lagi....Saya biarkan dan saya rasa puas bila kucupan di dahi ayahanda yang juga guru dalam hidup saya kali ini diiringi deraian air mata.....







BICARA AKHIR kedahFM 97.5


Tanggal 4hb. Mei 2009, saya melangkah kaki buat kali terakhir bertemankan isteri ke konti KFM untuk mengisi ruangan Bimbingan Fardhu Ain membicarakan Isu-Isu Keluargaan Islam dan Tip Membina Keluarga Bahagia yang sudah bertahun lamanya begitu sinonim dengan saya bila tiba jam 5.30 petang tiap Isnin.

Dengan berat hati, saya mengumumkan pemergian saya sekeluarga ke Mesir pada 9 hb akan datang dan kerana itu pengajian di KedahFM yang saya kendalikan selama ini terpaksa ditangguhkan. Sebak dan rasa terharu silih berganti kerana saya dapat rasakan hampirnya diri dengan para pendengar yang setia mengikuti rancangan ini. Ramai juga yang saya hanya kenali suara melalui telefon tapi tak punya cukup waktu untuk mengenali. Tak kurang yang menghubungi saya selama ini melalui SMS bertanya dan mendapatkan penjelasan setelah konti KFM tak dapat ditembusi.

Petang bersejarah ini, saya membuat kesimpulan tentang Keluarga Bahagia yang dicari kita semua. Bermula dengan huraian ringkas tentang suami soleh penyejuk mata hati isteri, isteri solehah yang setia di belakang suami dan berakhir dengan anak-anak soleh dan solehah yang menggembirakan hati dua ibu dan ayah di sini dan di sana nanti!

Sememangnya, yang pipih tidak pernah datang sendiri....Melayang! Yang bulat juga tidak akan datang sendiri…Bergolek!...Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya! Malah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka berusaha mengubahnya! Demikian Al-Quran tegaskan!

Petang terakhir ini, saya pohon ampun maaf pada semua yang selama ini bersama di ruang udara KedahFM yang mungkin tersentuh dan terasa…bahawa saya telah sakiti hatinya! Seingat saya, saya tak pernah sebut nama siapa2 secara khusus dalam kisah dan cerita yang saya bawa. Apa yang menjadi nawaitu saya di sebalik apa saja yang saya sebut…di tiap siri pertemuan sejak awal bicara dulu hanyalah kebahagiaan untuk semua!...Terbinanya baiti jannati…!

Petang itu…..Air mata tumpah di konti KFM! Berkaca mata Puan Siti Zaida yang menamatkan tugasnya jam 6 petang dan kak Jah (Khatijah) yang baru nak memulakan tugas ketika itu melihat sendu sayu di pertemuan yang terakhir…..