Tanggal 4hb. Mei 2009, saya melangkah kaki buat kali terakhir bertemankan isteri ke konti KFM untuk mengisi ruangan Bimbingan Fardhu Ain membicarakan Isu-Isu Keluargaan Islam dan Tip Membina Keluarga Bahagia yang sudah bertahun lamanya begitu sinonim dengan saya bila tiba jam 5.30 petang tiap Isnin.
Dengan berat hati, saya mengumumkan pemergian saya sekeluarga ke Mesir pada 9 hb akan datang dan kerana itu pengajian di KedahFM yang saya kendalikan selama ini terpaksa ditangguhkan. Sebak dan rasa terharu silih berganti kerana saya dapat rasakan hampirnya diri dengan para pendengar yang setia mengikuti rancangan ini. Ramai juga yang saya hanya kenali suara melalui telefon tapi tak punya cukup waktu untuk mengenali. Tak kurang yang menghubungi saya selama ini melalui SMS bertanya dan mendapatkan penjelasan setelah konti KFM tak dapat ditembusi.
Petang bersejarah ini, saya membuat kesimpulan tentang Keluarga Bahagia yang dicari kita semua. Bermula dengan huraian ringkas tentang suami soleh penyejuk mata hati isteri, isteri solehah yang setia di belakang suami dan berakhir dengan anak-anak soleh dan solehah yang menggembirakan hati dua ibu dan ayah di sini dan di sana nanti!
Sememangnya, yang pipih tidak pernah datang sendiri....Melayang! Yang bulat juga tidak akan datang sendiri…Bergolek!...Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya! Malah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka berusaha mengubahnya! Demikian Al-Quran tegaskan!
Petang terakhir ini, saya pohon ampun maaf pada semua yang selama ini bersama di ruang udara KedahFM yang mungkin tersentuh dan terasa…bahawa saya telah sakiti hatinya! Seingat saya, saya tak pernah sebut nama siapa2 secara khusus dalam kisah dan cerita yang saya bawa. Apa yang menjadi nawaitu saya di sebalik apa saja yang saya sebut…di tiap siri pertemuan sejak awal bicara dulu hanyalah kebahagiaan untuk semua!...Terbinanya baiti jannati…!
Petang itu…..Air mata tumpah di konti KFM! Berkaca mata Puan Siti Zaida yang menamatkan tugasnya jam 6 petang dan kak Jah (Khatijah) yang baru nak memulakan tugas ketika itu melihat sendu sayu di pertemuan yang terakhir…..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan