Hari ini Sabtu tanggal 15hb November 2008 adalah hari terakhir anak kedua saya sebagai murid tahun enam di Sekolah Rendah Islam Alor Star(SRIAS). Anak lelaki sulung saya yang saya namakan Muhammad ini , akhirnya diserahkan secara rasminya dalam satu majlis “Salam Terakhir Teristimewa- Inilah Anakku” di acara kemuncak “Perkampungan Terakhir di Sekolahku” (PTDS) yang telah dianjurkan pihak sekolah selama sepuluh hari.
Program PTDS merupakan program tahunan (SRIAS) khusus buat pelajar-pelajar tahun enam yang bakal meninggalkan sekolah setelah dididik, diasuh dan dibimbing selama enam tahun oleh para guru yang tidak pernah mengenal erti jemu.Berbagai acara disusun untuk mengisi sepuluh hari terakhir anak-anak ini. Pagi mereka dimulakan dengan solat subuh berjemaah,diikuti bacaan Ma’thurat,”hizib bahar” dan surah-surah pilihan. Di samping itu,mereka juga didedahkan dengan cabaran-cabaran yang bakal mereka tempuh di alam remaja di dalam slot “Selamat Datang Alam Remajaku”. Ada hari lawatan, ada hari sukan. Kemuncaknya ialah program yang saya hadiri tadi “Salam Terakhir Teristimewa – Inilah Anakku”.
Majlis Penyerahan Rasmi Anak Kepada Waris
Terima Kasih Cikgu Kerana Tak Jemu Mendidik Anakku
2 hari lepas,13hb November,keputusan UPSR diumumkan. Alhamdulillah, anak saya mendapat 3A2B.Jarang saya melihat dia menangis.Tapi hari itu, dia menangis teresak-esak bersama kawan-kawan lelakinya yang lain. Nyata dia kecewa kerana gagal memenuhi impian sendiri. Impian untuk seiring kakaknya yang mendapat 5A, impian untuk melengkapkan harapan ibu ayahnya, impian untuk menyambung pelajaran di sekolah idamannya. Dalam peperiksaan percubaan yang lalu, dia berjaya menggapai 4A1B. Ramai guru SRIAS menjangkakan dia akan memperolehi 5A. Demikian Allah menentukan ketika kita hanya berupaya merancang....
Sebagai bapa, saya menerima dan redha. Walau sedikit kecewa, saya syukur dan rasa bangga kerana dia menangis....Air mata lelakinya yang gugur itu membuktikan dia memahami erti kegagalan. Saya bangga, kerana apa yang disemai selama ini untuk mencintai kecemerlangan, dijiwai oleh hati kecilnya. Dia bukan tidak berjaya. Dia cuma kurang cemerlang. Dan dia menjiwai situasi itu. Saya yakin, air matanya bukan satu lakonan. Ia satu interpretasi sebuah harapan yang berkecai.
Saya memeluknya dan mengucapkan tahniah. Saya katakan padanya, yang saya bahasakan ‘abang’ itu, bahawa apa yang dihadapinya sekarang, hanya permulaan kepada satu episod perjuangan yang sangat panjang. Bagaimana nanti dia mesti berjuang menempuh transisi alam remajanya yang sarat dengan cabaran, berhadapan pula dengan deretan peperiksaan yang lebih mencabar dan berbagai bentuk dugaan hidup yang perlu didepani dengan jiwa yang kental.
Jika jiwa tidak diisi dengan ruh mencintai Allah dan RasulNya, pasti ia akan mudah mengalah pada cabaran dunia yang semakin menggila ini. Saya yakin semua ibu ayah di luar sana seperti saya,ingin melihat kesempurnaan di dalam hidup anaknya.Tapi ingatlah para sahabat sekelian..Allah Maha Mengetahui segala yang tersurat dan tersirat. Allah tahu niat kita ketika menghantar anak kita ke sekolah. Impikan dia berjaya di dalam peperiksaan? Adakah itu matlamat utama kita?
Percayalah sahabat…hidup kita akan terasa damai dengan adanya seorang anak yang soleh di sisi kita. Apa erti kecemerlangan akademiknya, tetapi sifar dari segi akhlak dan syakhsiahnya... Pada saya, yang lebih besar dan penting adalah melihat dia tahu diri sebagai "Anak Soleh" ...menampakkan ciri kehambaan dan khalifah Allah. Maka, Natijah peperiksaan itu sangat kecil berbanding perjuangan menjadikan dia "Soleh dan Mushleh"!!
"Haiyya 'ala solaah...haiyya alal falaah!!!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan