Isnin, 1 Mac 2010

PERJALANAN PALING LAMA... (16 JAN - 10 FEBRUARI 2010)

Salam rindu dari kejauhan...

Manusia hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan..!

Tanpa diduga ..tanpa disangka Allah takdirkan saya pulang lagi ke tanah air dan kali ini kepulangan saya adalah bersama keluarga..isteri dan semua 7 anak saya di sini. Saya mengambil keputusan pulang sekeluarga setelah berbincang dengan bos saya Pengurus Besar YINK yang memaklumkan keadaan kesihatan Ayahanda saya yang tenat ketika itu. Alhamdulillah beliau memberikan kebenaran saya berbuat demikian. Ayahanda saya tiba-tiba diserang darah tinggi mengejut sehingga tekanan darahnya mencapai lebih 200, dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah kerana tidak berupaya menelan makanan dan minuman kesan strok yang menyebabkan Ayahanda hilang upaya menelan...Ayah sebelum ini tidak menghidapi sebarang penyakit berkaitan kardiovaskular sungguhpun usia sudah mencapai 85 tahun.

Terima kasih tidak terhingga buat semua anak-anak Kedah , MKKK khasnya penghuni Asrama Darul Aman 3 amnya yang beramai-ramai melakukan solat hajat dan bacaan Yasin memohon agar Allah kembalikan kesihatan Ayahanda. Dalam kesibukan mereka melakukan pecutan akhir sebelum menghadapi peperiksaan yang menjelang tiba, ramai juga yang datang menjenguk...membantu saya sekeluarga. Turut datang menziarahi saya Ustaz Hanif, Pegawai HEP Johor sekeluarga. Ikut menghantar saya ke Lapangan Terbang  Antarabangsa Kaherah termasuklah Pegawai HEP Pahang Ustaz Farid sekeluarga selain sejumlah  anak-anak buah saya yang turut bersusah payah ke sana. Terima kasih atas doa dan kata semangat yang diberi termasuk yang diterima dari seluruh kenalan yang sudi menghubungi termasuk melalui Facebook.

 

  

  

  

  

  

  

  



  



 


Pulang dengan deraian air mata...pulang dengan penuh pengharapan agar Allah panjangkan usia Ayahanda dan kembalikan kesihatannya. Namun, saya redha atas segala ketetapanNYA....Terus terang, saya sudah bersiap menghadapi segala kemungkinan.....Saya sekeluarga menaiki penerbangan Egyptair sehingga KLIA dan langsung ke Alor Setar dengan MAS. Sampai di KLIA saya sekeluarga disambut Kakak Siti Wardah kakak "oghang ghumah" yang ditemani anak bongsunya, Dina. Sudahlah lama menanti, Chik Dah sudi pula buat kenduri ayam Kentucky . Seghonok sakan anak-anak saya yang dapat "ayam" dan jumpa sepupu sedang hanya Allah yang tahu apa yang sedang bersarang dalam dada ini....

 
 


Sebak disambut Bonda dan keluarga di lapangan terbang dan langsung dibawa terus ke HSB....Alhamdulillah, syukur padaNYA yang memberi peluang untuk sebuah pertemuan penuh makna saya sekeluarga dengan Ayahanda tercinta. Pelukan Ayahanda menceritakan kepuasannya dapat bertemu saya, apalagi bertemu menantu dan cucu-cucunya yang lebih 8 bulan tidak ditemui.
 











Ayah bisikkan wasiatnya di telinga saya..keinginannya untuk pulang ke rumah walau apapun berlaku. Ayah beritahu saya andai kali ini dijemput pergi....Ayah ingin dimandikan di bilik tempat arwah Tok Wan saya, Tuan Guru Hj. Itam dimandikan dulu...Dalam sebak saya hanya mampu membisikkan di telinga Ayah " Baik Ayah, nanti Yusoff usahakan.." Besok pagi doktor pakar yang memeriksa Ayah maklumkan keadaan Ayah yang masih tidak stabil dengan tekanan darahnya yang masih tinggi. Namun, oleh kerana Ayah sudah bulat hati untuk pulang ke rumah, tanda tangan diturunkan sebagai perakuan sanggup menerima apa saja risiko yang mungkin berlaku kerana tidak mematuhi syor pihak HSB.

Kehendak Allah di atas segala telahan manusia. Ayah yang semasa dimasukkan ke HSB sudah tidak mampu menelan makanan maupun minuman dan terpaksa dimasukkan susu alternatif pengganti makanan pejal melalui hidungnya, tiba-tiba kembali beransur-ansur dapat menelan bubur lembut yang disediakan. Kecuali pertuturannya yang agak lambat, Ayah boleh dikatakan hampir pulih seperti biasa. Alhamdulillahi bihi tatimmus solihat...Syukur sungguh padaNYA yang kembalikan kesihatan dan panjangkan usia Ayah.

Ramai kenalan Ayah yang berkunjung menziarahi Ayah di HSB. Yang tak sempat bertemu  ikut ke rumah di kampung. Terharu saya  menerima kunjungan abang sulung "oghang ghumah" saya, Abang Anwar dan keluarga yang  balik jauh dari Shah Alam semata-mata untuk menziarahi Ayahanda saya.




Pengurus Besar YINK, Tn Hj Mohd. Zuhdi arahkan saya lapor diri masuk ofis setelah 3 hari saya bercuti. Rutin saya setiap hari bekerja, saya akan bermalam di kampung bersama Ayah tiap kali giliran  Ayah di rumah Mama saya dan pulang awal pagi ke rumah sendiri di Derga  sebelum kemudian ke pejabat. Tiga minggu sebenarnya bukanlah tempoh yang lama khususnya buat Ayahanda saya....Saya tahu, seperti yang saya rasa, jauh di sudut hati Ayah terbungkam rasa sedih kerana detik perpisahan pasti akan tiba jua...



Sebaik melaporkan diri, saya terus dipanggil Mesyuarat Kursus Pelajar Timur Tengah bersama INSPIN di bilik Pengurus Besar YINK. Manakala antara yang diarahkan Tn.Hj Mohd Zohdi termasuklah mengadap YAB Menteri Besar untuk maklumkan perkembangan pelajar selain maklumkan perkara berkaitan Kursus Pelajar Timur Tengah yang akan diadakan di Kaherah dan di Damsyik nanti. Saya sememangnya dah siap untuk mengadap YAB MB serta YB Dato' Wira Setiausaha Kerajaan Negeri serta YB Dato' Pegawai Kewangan Negeri.  Saya juga dimaklumkan pertukaran nama jawatan saya dari Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir kepada Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah.










 
Antara mesyuarat dan perbincangan penting yang saya hadiri selain pertemuan empat mata dengan YAB Dato' Seri MB, YB Dato' SS dan YB Dato' SFO termasuklah berkaitan Kursus Pelajar Timur Tengah yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman,YINK, INSPIN dengan kerjasama Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah yang akan diadakan di Kaherah pada 25-27 Mac dan di Damsyik Syria pada 1-3 April akan datang. Saya juga beberapa kali ke INSPIN selesaikan perbincangan untuk satu lagi Kursus Lepasan Timur Tengah yang akan diadakan sebelum saya berangkat pulang ke Kaherah.

Alhamdulillah, atas kurniaan Allah yang pulihkan kesihatan Ayah, saya sempat raikan bersama pegawai dan kakitangan di YINK dan juga Pusat Dakwah Islam Kedah yang turut diundang selaku kakitangan YINK. Satu kenduri kesyukuran dan doa selamat yang diadakan penuh makna kerana Tn.Hj.Mohd.Zohdi Pengurus Besar sendiri yang sudi membacanya.






Saya juga mencari ruang berjumpa Pengarah Jabatan Kerja Raya  Negeri Kedah yang baru Encik Ir. Roslan serta Ketua Penolong Pengarah Ukur Bahan JKR Puan Norhayati yang akan ke Kaherah untuk meninjau perkembangan projek baikpulih bangunan asrama pelajar Kedah di Haiyyu  'Asyir semasa ketiadaan saya di sana. Selain menjelaskan perkembangan berkaitan projek berkenaan saya juga menyerahkan gambar-gambar terkini bangunan Asrama Darul Aman 2 itu yang dibekal kontraktor atau pemaju berkenaan. Saya juga berpeluang ziarah ke Jabatan hal Ehwal Agama Islam Kedah, ofis lama saya. Seronok dapat jumpa  Ybhg. Dato' Kharuddin dan melepas rindu bertemu rakan-rakan lama khususnya teman-teman yang paling banyak membantu saya semasa bertugas sebagai Timbalan Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah.










Saya juga tak ketinggalan mencari kesempatan membawa isteri ke Maktab Mahmud Alor Setar bertemu rakan-rakan lamanya. ..."melepaskan rindu" setelah lebih 8 bulan tidak bertemu. Terharu melihat pelajar-pelajar sekolah lama saya itu yang cukup menghormati guru mereka.Walaupun saya dan oghang ghumah saya itu sudah lama keluar dari situ, tetapi sambutan mereka seolah-olah kita masih di situ. Demikian nikmatnya menjadi guru.... 

 


Di kesempatan pulang kali ini juga saya sempat menghadiri beberapa program dan memenuhi beberapa jemputan ceramah, kuliah dan khutbah Jumaat. Terubat juga rindu dapat berjumpa jemaah lama saya di Masjid Muhibuddin  Sungai Pasir, Surau Hidayah Taman Ria Jaya Sungai Petani, Surau Hidayah Kuala Kedah, Masjid Irfan Derga, Rumah Cikgu Ismail Cikgu Fathiyyah di Tandop selain di beberapa jabatan kerajaan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri, Bangunan Sultan Abdul Halim, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Wisma Persekutuan. Saya juga berpeluang menjenguk konti KedahFM dalam ruangan Bimbingan Fardhu Ain selain memimpin beberapa jam kursus kahwin rutin lama saya di Pusat Dakwah Islam Kedah, Zailany dan Kuala Nerang.




 


Hari Ahad 7 Februari, minggu terakhir sebelum berangkat balik ke Mesir, saya mengiringi Ybhg. Pengurus Besar YINK bersama Pengurus Besar INSPIN merasmikan perasmian penutup Kursus Lepasan Timur Tengah Menghadapi Kerjaya yang diadakan di Hotel Regency tengah bandar Alor Setar. Kursus sehari suntuk anjuran YINK dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah itu diurusetiakan oleh pihak INSPIN dan dihadiri 21 graduan universiti di Timur Tengah.






 
Hari Selasa 9hb.Februari, jam 1 petang, saya memandu Sorento milik YINK balik ke kampung untuk makan tengahari  terakhir bersama Ayah sebelum wida' dan langsung ke lapangan terbang dari sana. Pelukan terakhir Ayahanda  kali ini saya rasakan cukup berbeza...Saya dan Ayah sama-sama menangis teresak-esak....Lama sungguh pelukan Ayah kali ini. Hanya Allah jua Maha Mengetahui apa dalam kotak fikiran Ayah....Terasa berat sungguh kaki ini nak melangkah meninggalkan Ayah, namun apakan daya...Tanggungjawab yang terpikul dibahu ini menuntut saya pulang ke stesen kerja saya di Mesir. Semoga Allah izinkan pertemuan  antara kita Ayah...Astakzin ya buya...

 







 




 
Dua beg dan 11 buah kotak yang siap-siap diisi di rumah saya di Derga dibawa dengan van YINK terus ke airport. Ramai juga sanak saudara yang menghantar di airport..Mama, Kak Hamidah Abang Kadir sekeluarga, Adik Mohd Naim, Kak  Munirah, Kak Chik Najmiyah, Chik Aaa Bang Halim, Chu Durriyyah dan Pak Su, Adik Nurhanna dan Rizal sekeluarga dan lain-lain. Turut berkongsi sedih dan sendu perpisahan di airport petang itu, bos saya Pengurus Besar YINK Tn.Hj.Mohd.Zuhdi serta Dato' Syeikh Abdul Hamid Tahir dan isteri selain beberapa teman sekerja di YINK dan anak buah lama di Mesir seperti Hasbullah dan Nik.






Sampai di KLIA saya dan keluarga disambut Bang Cik Naim yang datang sendirian menggunakan kereta Kakak Siti Wardah. Alhamdulillah kereta Toyota Estima Aeras barunya itu luas dan dapat menampung saya sekeluarga. Malam itu, saya sekeluarga makan malam beramai-ramai di rumah Bang Cik di Kajang dengan turut disertai Abang Anwar dan  Kak Chaq, Bang Tam Kak Nasriah serta anak-anak dan juga Kakak Hilwani selain  Chik Dah dan anak gadis comelnya, Dina. Rasa tak cukup tempat nak isi sebab sebaik sampai saya dan keluarga dah dijamu kuih muih dan laksa istimewa Kak Ida dan selang dua tiga jam hidangan malam istimewa pula, siap dengan sup gearbox Bang Tam yang dibawa khas dari Bandar Tun Hussein Onn.



  
Jam 10 malam, saya sekeluarga dihantar Chik Dah ke KLIA dengan kereta yang sama.  Saya merasa cukup terharu sebab semua abang dan kakak sebelah isteri di Kuala Lumpur sanggup bersusah payah  ke KLIA termasuk adik lelaki saya Mejar Jihadi dan isteri Ustazah Mariani sekeluarga yang awal-awal lagi datang dari rumah mereka di MINDEF, Kuala Lumpur. Saya juga sempat berbual dengan mantan Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir Ustaz Zakaria Osman yang kebetulan dalam perjalanan pulang ke Kedah.




Setelah berpelukan dan bersalaman buat kali terakhir, saya dan keluarga diiring masuk sanak saudara dengan perasaan bercampur-campur.....

Saya dan keluarga menaiki penerbangan Egyptair menempuh perjalanan terus dari Kuala Lumpur ke Kaherah Mesir selama 11 jam. Alhamdulillah kerana saya sekeluarga dapat duduk setempat berbanding penerbangan pulang tempohari di mana empat anak lelaki saya duduk di bahagian hadapan  pesawat manakala saya, isteri dan dua anak perempuan saya pula di bahagian belakang. Kali ini, Ahmad pun dapat katil kecil yang comel....










Sampai pagi 10hb Februari dengan selamatnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Terkejut pegawai kastam yang menanti di pintu keluar melihat deretan kotak yang tersusun di atas tiga kereta sorong. Dicampur dengan dua kotak yang dikirim Bang Cik buat anakandanya Ahmad Khairi menjadikan 15 item kesemuanya iaitu 2 buah beg besar dan 13 buah kotak.


Sekitar jam 8 pagi saya sampai di Asrama Darul Aman 3 dengan selamatnya. Saya dikejutkan dengan kebakaran yang berlaku di tingkat 3 asrama  sewaktu saya masih dalam pesawat dari KL ke Cairo. Kebakaran yang jelas akibat kecuaian itu sangat dikesalkan apatahlagi banyak kitab-kitab pengajian Syeikh Nuruddin yang diletakkan sementara di situ turut terbakar. Walaubagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana selain tidak melibatkan kemalangan jiwa, kerosakan juga mujurlah tidak terlalu besar....






Apa yang pasti.....SEGALANYA SUATU KETETAPAN JUA!!!!




Tiada ulasan: