Tanggal 15 Mac 2010, saya membawa isteri dan semua anak-anak bersama rombongan HEWI MKKK menyusur Sungai Nil dengan sebuah feri yang disewa khas ke Qanathir. YASMIN atau Yaumul Mahabbah Linnisa' adalah program yang meliputi acara sukan seperti bola jaring, ping pong dan lain-lain yang bertujuan merapatkan hubungan antara sesama ahli "akhawat Kedah" di Perlembahan Nil ini. Manakala pengisian bersifat ilmiah pula diadakan dalam feri berhawa dingin yang memang telah siap dengan kemudahan pembesar suara.
Perjalanan menaiki feri membelah Nil yang cukup luas memang mengujakan. Pengalaman baru bagi mereka yang tidak pernah menyusuri pinggir Nil pasti cukup indah untuk dikenang. Makin jauh meninggalkan kota Kaherah, makin terserlah khazanah yang disembunyikan sungai yang dikenali juga oleh masyarakat tempatan di sini sebagai "Bahrun Nil" ini. Tanah yang subur dengan tanaman yang pelbagai terbentang luas. Sesekali berselisih sekumpulan nelayan yang bekerja menangkap ikan di sungai yang cukup berjasa itu. Mengisi perjalanan beberapa jam ke Qanathir, majlis diisi dengan bicara ilmiah. Satu kertas kerja dan Diskusi Buku yang menampilkan dua ustazah undangan cukup menceritakan usaha HEWI MKKK untuk melahirkan pendakwah wanita masa depan yang berkemampuan dalam pengucapan awam.
Sampai di Qanathir peserta rombongan diberi peluang untuk menjenguk kawasan pelancongan yang cukup lama di Mesir itu. Setelah menunaikan solat Zohor saya memberikan kebenaran kepada mereka yang begitu teringin menunggang kuda yang memang menjadi sebahagian tarikan di situ. Dengan bayaran serendah LE4 kita boleh menunggang sendiri kuda yang memang telah dilatih jinak dan patuh . Teruja sungguh anak-anak saya yang kali pertama menunggang kuda dalam hidup mereka. Selain kuda, kereta kuda, basikal, motorsikal juga ditawarkan untuk disewa dengan harga yang berpatutan.
Makan tengah hari disediakan di atas feri untuk semua peserta rehlah. Dalam perjalanan pulang, acara persembahan pula menjadi halwa telinga. Anak-anak saya juga tidak melepaskan peluang menyumbang dua buah lagu. Tiba acara penutup, saya dijemput memberikan ucapan.sebelum menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang. Turut dijemput menyampaikan hadiah adalah "oghang ghumah" yang dah selesa dipanggil Mama oleh student di sini..itu Dalam ucapan penutupan yang memang saya nanti-nanti itu, agak panjang juga saya "bersyarah" .....Demi menyuntik semangat , motivasi perjuangan bagi mencipta kejayaan buat puteri-puteri harapan bonda dan ummah itu. Betapa tak sabar rasanya melihat semua mereka pulang dengan ilmu yang sarat di dada dan kejayaan yang cemerlang....Bertuah dunia dan akhirat.
Tahniah buat pimpinan HEWI MKKK yang berjaya menganjurkan satu program yang pada saya mencapai matlamat seperti yang digariskan dalam kertas kerja mereka semasa permohonan bagi mendapatkan peruntukan dipanjangkan kepada saya. Tahniah juga buat semua banat MKKK yang lain yang telah menyokong dan memberikan komitmen. Semoga kesungguhan menjayakan sesuatu program yang dirancang akan menjadi petanda kesungguhan yang lebih hebat untuk mencipta kejayaan dalam peperiksaan nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan