27 Mei saya ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) untuk satu mesyuarat berkaitan Asrama Darul Aman 3, asrama terbaru yang dibeli oleh kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dua tahun lalu. Pemangku TYT Duta Besar telah memanggil kontraktor atau pemajunya seorang warganegara Mesir serta peguamnya untuk saya diberikan taklimat berkaitan hak milik bangunan berkenaan yang masih lagi dalam proses. Sememangnya, antara perkara yang diminta YB Exco Kerajaan Negeri sebelum saya berangkat ke sini tempoh hari adalah menyelesaikan masalah hak milik bangunan berkaitan. Ketika saya sedang bersarapan di kantin KBMK bersama Pemangku TYT, beliau dihubungi kontraktor berkenaan yang tak dapat hadir kerana ada urusan lain di Iskandariah. Hari itu, lebih dua jam saya di bilik sahabat lama saya Ustaz Zainuddin Abdul Rahman Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK). Banyak perkara dan maklumat yang kami kongsi hingga yang kabur menjadi terang, yang sembunyi menampakkan wajah! Saya bersyukur kerana disebalik pertemuan dengan Ustaz Zainuddin, tersimpan mudahnya jalan saya di sini.... Mudah-mudahan!
Sabtu, 30 Mei 2009
MESYUARAT PERTAMA DI KEDUTAAN
27 Mei saya ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) untuk satu mesyuarat berkaitan Asrama Darul Aman 3, asrama terbaru yang dibeli oleh kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dua tahun lalu. Pemangku TYT Duta Besar telah memanggil kontraktor atau pemajunya seorang warganegara Mesir serta peguamnya untuk saya diberikan taklimat berkaitan hak milik bangunan berkenaan yang masih lagi dalam proses. Sememangnya, antara perkara yang diminta YB Exco Kerajaan Negeri sebelum saya berangkat ke sini tempoh hari adalah menyelesaikan masalah hak milik bangunan berkaitan. Ketika saya sedang bersarapan di kantin KBMK bersama Pemangku TYT, beliau dihubungi kontraktor berkenaan yang tak dapat hadir kerana ada urusan lain di Iskandariah. Hari itu, lebih dua jam saya di bilik sahabat lama saya Ustaz Zainuddin Abdul Rahman Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK). Banyak perkara dan maklumat yang kami kongsi hingga yang kabur menjadi terang, yang sembunyi menampakkan wajah! Saya bersyukur kerana disebalik pertemuan dengan Ustaz Zainuddin, tersimpan mudahnya jalan saya di sini.... Mudah-mudahan!
Jumaat, 29 Mei 2009
KE MARKAZ LUGHAH DAN SALAHUDDIN INTERNATIONAL SCHOOL
Minggu ini antara tempat saya tujui adalah Markaz Lughah An-Nil iaitu sebuah pusat pengajian bahasa. Tujuan saya ke sana adalah untuk mendaftar anak-anak saya bagi mendalami Bahasa Arab sebagai persiapan mereka memasuki persekolahan yang akan bermula September nanti. Markaz An-Nil sememangnya sudah dikenali khususnya di kalangan pelajar-pelajar luar Mesir yang menuntut di sekolah atau universiti di sekitar kota Kaherah ini. Pusat bahasa An-Nil ini sebenarnya diusahakan oleh seorang rakyat Turki di mana guru-gurunya adalah terdiri kebanyakannya dari kalangan rakyat Mesir yang cukup komited. Di Kaherah terdapat beberapa cawangan termasuk dua di Haiyyu Sabiek, Madinat Nasr selain di Dukki.
Dari maklumat yang diberi oleh Mudirnya ustaz Turghud Mohammad seorang warganegara Turki, di markaz untuk pelajar-pelajar perempuan sahaja terdapat 25 jenis warganegara yang belajar Bahasa Arab di situ. Manakala di markaz untuk pelajar lelaki pula terdapat hampir 40 jenis warganegara. Mereka termasuk dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Turki, German, Perancis, Ghana, Afrika Selatan, Uzbekistan, negara-negara bekas jajahan Soviet Union dan banyak lagi. 90 peratus pelajar adalah beragama Islam dan bakinya beragama Kristian, Budhha atau tidak beragama.
Bersama Ustaz Turgud Mohammad
Tiga anak saya terus memasuki kelas Tamhidi (asas Bahasa Arab ) iaitu Mubarak, Ziyad dan Mujahid. Manakala Muhammad berjaya ke Mustawa Satu dan kakaknya Aufa ke Mustawa Dua. Mereka berdua terlebih dahulu menduduki peperiksaan Tahdid Mustawa iaitu peperiksaan yang mengambil masa sejam setengah ke dua jam setengah untuk dihabiskan bagi tujuan melihat kemampuan pelajar dalam asas-asas Bahasa Arab.
Saya menjadi lebih kagum dengan Bangsa Turki ini apabila saya dan isteri dibawa melihat Sekolah Antarabangsa Salahuddin iaitu Sekolah Antarabangsa Turki yang pertama di Mesir. Ketika saya sampai, kerja-kerja terakhir sedang giat dijalankan dimana kebanyakan pekerjanya dibawa khas dari Turki. Pemiliknya Turki, juruteranya Turki bahkan, kebanyakan kelengkapannya juga dari Turki. Sekolah ini dilengkapi dengan peralatan-peralatan multimedia yang serba lengkap. Pelajar-pelajar di sekolah yang moden ini dipisahkan antara lelaki dan perempuan sama seperti di sekolah-sekolah agama di negara kita.
Rabu, 27 Mei 2009
BAGAIMANA HUBUNGI SAYA?
Digamit rindu bumi bertuah!!!
Sabtu, 23 Mei 2009
WARKAH BUAT ANAKANDA YANG DIKASIHI
Ke hadapan anakanda yang jauh di perantauan dengan iringan doa dan harapan semoga anakanda di sana sentiasa sihat-sihat dan dalam peliharaan Allah selalu hendaknya. Ayahanda, bonda dan keluarga di kampung, Alhamdulillah sihat seadanya.
Ayahanda pohon maaf andainya warkah ini mengganggu tumpuan anakanda menghadapi pelajaran. Ayahanda tahu anakanda sedang bergelut dengan buku-buku dan nota-nota di kala ini....Ayahanda cuma nak anakanda tahu bahawa ayahanda dan keluarga sentiasa mendoakan anakanda berjaya memiliki ilmu bermanfaat dan berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang sedang dihadapi.
Untuk pengetahuan anakanda, di musim peperiksaan ini, setiap malam peperiksaan anakanda, ayahanda dan bonda tidak akan lupa solat hajat khusus untuk anakanda. Walhal sebenarnya pun ayahanda dan bonda serta keluarga tidak pernah lekang berdoa agar Allah permudahkan segalanya untuk anakanda....Agar Allah buka dan terang hati anakanda dalam memahami apa yang dipelajari...mengingati apa yang dihafal. Semoga anakanda akan menjadi lampu yang terang bukan sahaja dalam keluarga kita, tetapi lampu yang terang dalam masyarakat kita bila pulang nanti.
Anakanda yang dikasihi...
Seperti yang anakanda maklum, kita bukan datang dari keluarga yang senang dan mewah. Tanah yang sekangkang kera yang ayahanda usahakan itu pun bukan milik kita. Alhamdulillah dalam susah payah ini, ayahanda tetap berjaya sekolahkan anakanda dan anak-anak yang lain. Walaupun kadang-kadang dapur rumah kita tidak berasap....ayahanda tetap pastikan anakanda dan anak-anak yang lain tidak cicir dalam pelajaran. Walaupun badan ayahanda sakit-sakit, tetapi ayahanda puas kerana dapat laksanakan tangungjawab ayahanda sebaik mungkin.
Hari ini...Ayahanda bersyukur kerana Allah telah pilih anakanda menyambung pelajaran di bumi ambiyak...di Universiti Al-Azhar. Apa yang ayahanda diberitahu, di sinilah ramai tokoh-tokoh ulamak tersohor dunia dilahirkan dalam sejarah. Terbayang ayahanda , anakanda pulang sebagai seorang ulamak muda yang akan menjadi tonggak memimpin keluarga dan masyarakat kita. Semoga anakanda tidak mengecewakan ayahanda dan bonda di sini. Bahkan semua orang kampung sedang menunggu-nunggu kepulangan anakanda. Mereka ingin melihat anakanda menjadi imam yang memimpin mereka dalam solat berjamaah di masjid kampung kita...membaca Al-Quran dengan baik dan sempurna....memimpin mereka sebagai khalifah tahlil dan bacaan yasin.....bahkan, anakanda akan mandikan jenazah sehingga mambaca talkin di kubur nanti....Kampung kita tentu akan semarak dengan kepulangan anakanda! Dan...Alangkah lebih bahagianya ayahanda andai nanti anakanda berkemampuan menyampaikan ilmu bukan saja di masjid kampung kita, tetapi juga di masjid-masjid di seluruh negeri kita ini....
Anakanda yang dikasihi..
Ayahanda dan bonda sesekali tidak pinta harta benda dari anakanda. Kami tidak ingin itu semua.....Apa yang kami impikan adalah seorang anak soleh yang akan mendokan kami semasa hayat kami dan selepas mati kami. Moga anakanda memahami betapa bertuahnya seorang ayah dan ibu dalam hidup di dunia sementara ini andai mereka dikurniakan seoranga anak yang soleh. Anak bertuah yang membahagiakan hati ayah bondanya di dunia dan di akhirat.
Kerana itu anakanada....Ayahanda harap anakanda tidak akan membuang masa percuma dan sia-sia. Isikanlah masa dengan penuh bijaksana. Lakukanlah perkara bermanfaat untuk dunia dan akhirat nescaya kita akan selamat. Sebenarnya anakanda, harta kita yang sebenar adalah ilmu yang kita amalkan. Dialah nanti teman sejati kita di alam kubur yang sangat sunyi itu! Ayahanda harap anakanda tidak akan jemu dengan ilmu pengetahuan....Cari dan carilah lagi!
Kiranya sampai di sini bicara ayahanda kali ini. Semoga warkah ini hanya menjadikan anakanda lebih bersemangat untuk cemerlang dan berjaya. Sampaikanlah salam ayahanda buat teman-teman seperjuangan anakanda di sana. Andainya....warkah ini adalah yang terakhir....andai ayahanda ditakdir pergi dahulu mengadap yang Esa, ayahanda harap anakanda tidak akan mempersiakan harapan ayahanda seperti yang telah ayahanda nyatakan tadi.
Salam kasih sayang dan peluk cium dari ayahanda bonda dan sanak saudara di kampung. Assalamualaikum.
Yang benar,
Ayahanda.
Kedah Darul Aman,
Malaysia.
Jumaat, 22 Mei 2009
HARI KELUARGA KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH 2009
Program yang bermula jam 3.30 petang waktu Mesir itu telah dirasmikan Pemangku Duta iaitu En. Mohd. Puzi Dahman. Kebanyakan pegawai dan kakitangan kedutaan serta Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) hadir bersama ahli keluarga masing-masing. Turut memeriahkan program ini pegawai-pegawai anak negeri yang kebanyakannya baru seperti saya di sini. Mereka juga datang dengan keluarga masing-masing.
Kesempatan bertemu dengan rakan-rakan saya gunakan sepenuhnya untuk berkenal-kenalan dan belajar apa-apa yang patut khususnya dari mereka yang sudah lama di bumi anbiyak ini. Masing-masing yang hadir nampak cukup gembira dan berpuas hati. Paling kelihatan gembira tentu saja anak-anak yang memang lebih cepat mesra dengan rakan sebaya mereka. Berbagai pertandingan disusun oleh pihak penganjur untuk mereka. Selain yang menang acara diberi hadiah, semua yang hadir dari kategori bayi sampailah kategori dewasa diberi cenderahati.
Mujahid berjaya meraih tempat ke 2.....
Program diakhiri dengan makan malam di Kafeteria Dewan Malaysia Abbasiah setelah solat Maghrib berjamaah. Objektif saya hadir tercapai iaitu untuk mempertautkan ukhuwwah menjalinkan persaudaraan dan meningkatkan persefahaman antara sesama pegawai anak negeri dan khususnya antara saya dan pegawai-pegawai dan kakitangan KBMK dan JPMK selain silaturrahim antara keluarga masing-masing dapat dieratkan.
Khamis, 21 Mei 2009
BERUSAHA SEHABIS BAIK DAN BERTAWAKKALLAH
Kalau Kafetaria atau math'am rumah negeri lain masih dibuka kebanyakannya, tapi di rumah Kedah atau Asrama Darul Aman ini, kafe ditutup buat sementara kerana demam peperiksaan. Demikian kesedaran anak-anak Kedah tentang pentingnya bersiap siaga untuk peperiksaan. Namun sebagai 'orang baru' masuk dalam persekitaran ini, saya masih melihat ada yang kelihatan kurang bersedia atau macam tidak berapa kisah tentang 'yaumul imtihan'. Sebagai alumni Al-Azhar, saya teringat zaman belajar saya satu ketika dulu di sini. Bila sampai musim imtihan, kami jadi 'satu macam'....rasa macam tak cukup masa untuk ulangkaji itu ini...hafal dan ingat itu ini! Saya masih ingat, banyak juga kertas saya gunakan, lepas hafal saya tulis dan tulis lagi....Takut hilang! Akhirnya pagi peperiksaan, rasa lega bila tengok bahagian 'isi kandungan' buku atau fihris kitab, terbayang isi di dalamnya. Bila masuk pula dewan peperiksaan 'rasa banyak' nak diluahkan dan bila keluar rasa puas kerana dah buat habis baik.
Alhamdulillah saya bersyukur pada Allah kerana kat Asrama yang menempatkan rumah saya ini diadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di surau asrama hampir tiap malam pohon pertolongan dan taufiq Allah. Teringat pada ayahanda saya ketika saya menghadapi musim imtihan dulu, tiap malam peperiksaan, ayahanda, bonda dan adik-adik saya akan buat perkara yang sama. Saya yakin, bahawa hasil penat lelah dan kesungguhan berusaha yang disulami munajat berterusan dan tawakkal pada Allah, pasti akan membuahkan 'suatu yang manis' di penghujungnya!....
Kepada anak-anak Kedah yang saya tahu ramai juga menziarahi Blog saya ini, Abah ingin ambil kesempatan berharga ini untuk berpesan agar masing-masing ingat semula nawaitu kita datang ke sini...tuntut ilmu keranaNya...ingat pesan ayah bonda di kampung yang menanti kepulangan kita dengan ilmu penuh di dada...dengan kejayaan yang kita tempa di atas kesungguhan dan usaha kita! Jangan banyak buang masa percuma kerana masa yang berlalu tak akan dapat diganti lagi.! Masa itu sangat berharga!
Walaupun jumlah mereka yang kelihatan culas dan malas ini tidak ramai, namun saya merasa bimbang dan kecewa pada sebuah KEGAGALAN yang kelihatan diCARI SENDIRI! Mewakili ayah bonda di kampung yang membanting tulang perah keringat...yang kekadang peluh bercampur air mata, mencari rezeki lebih untuk dihantar pada anak-anak di sini yang diharap gigih dan sungguh-sungguh berusaha, saya rasa bertanggungjawab! Bertanggungjawab untuk mengejutkan yang lena, mengingatkan yang lupa! BANGUNLAH! BANGKITLAH untuk menjadi seorang anak yang benar-benar mengerti tanggungjawab pada orang tua dan keluarga!. Alangkah malangnya...Alangkah kecewanya...Alangkah remuknya hati mereka andai mereka tahu bahawa anakanda, abang, adik atau kakak mereka yang mereka doakan siang dan malam TAK KISAH PUN pada sebuah KEGAGALAN!
Tetapi, andai ditakdirkan kita gagal dalam imtihan ini. Namun, kita gagal setelah kita berusaha sehabis baik.....setelah kita benar-benar memberikan segala-galanya untuk sebuah KEJAYAAN yang diimpikan... diharapkan....dan didoakan, hati putih kita yang sentiasa bergantung harap dengan Allah SWT, yang beriman dengan qada' dan qadarNya, hanya akan menjadikan kita tenang menerima ketetapanNya. Kita pasti pasrah dan redha... Kita tidak akan dilanda resah dan keluh gelisah kerana kita telah melaksanakan tugas kita sebagai hambaNya! Demikian hebatnya orang yang beriman....Bila dikurniakan nikmat, dia akan bersyukur....Bila pula dia diuji, dia akan bersabar! ayah bonda kita juga pasti akan bangga...kerana mereka tahu anaknanda mereka benar-benar telah berusaha....
Yang pasti....Yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat juga tidak akan bergolek! Kalau tidak dipecahkan ruyung , manakan dapat sagunya!!!!
Selasa, 19 Mei 2009
SELAMAT HARI GURU!
MELANGKAH KE KEDUTAAN
PadaMU ku pohon pertolongan ya Rabb!
KEPULANGAN
Bergambar kenangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah
Bersama sebahagian siswi yang mengiringi kepulangan
Isnin, 18 Mei 2009
UJIAN DAN CABARAN
Setelah seharian saya di atas katil, malam keempat saya dibawa pembantu tadbir saya di Pejabat Pegawai ke sebuah klinik 24 jam. Setelah mendapati saya telah banyak kehilangaan air, doktor mencadangkan saya ditambah air. Ketika jururawat menjerut kasar lengan saya, saya jadi rindu akan lembut dan sopannya jururawat di tempat kita!

Jururawat dan saya di wad pemerhatian
Hari keempat, sepatutnya saya mengiringi Tn. Haji Mohd Zuhdi dan ahli rombongan ke Tanta dan Iskandariah. Tetapi Allah tentukan ketika jarum masih terpacak di lengan saya kerana setiap 12 jam saya mesti dimasukkan cecair antibiotic, tiba-tiba anak saya yang paling kecil Ahmad pula terkena air panas sewaktu anak sulung saya menukar lampin. Silapnya anak perempuan sulung saya kerana tidak merasa sejuk panas air yang keluar dari kepala paip terlebih dahulu. Dia tidak sengaja mencederakan adik kesayangannya kerana masih belum cukup mengerti tentang keadaan bilik air di sini yang memang dibekalkan sakhanah air panas.
Apa pun yang berlaku, sebagai hambaNya saya tetap redha walaupun saya cukup sedih setiap kali melihat anak kecil saya menangis ketika dirawat di hospital. Saya jadi lebih teringatkan kampung halaman, teringatkan kelembutan jururawat kita di sana bila saya menyaksikan aksi kasar mereka di sini. Walaubagaimanapun, syukur Alhamdulillah kerana Ahmad semakin sembuh dengan kulit berwarna merah yang baru telah menggantikan kulitnya yang hitam terbakar mati. Semoga dia cepat sembuh sepenuhnya dan kembali berisi kerana keadaan kesihatannya menyebabkan selera makannya cukup terganggu….
Segalanya satu ketetapan!!!!!
LAWATAN KERJA PENGURUS BESAR YAYASAN ISLAM NEGERI KEDAH
Turut kelihatan Pengarah JPMK dan Pengurus Besar YINK
Tuan Haji Mohd. Zuhdi Haji Saad sedang menyampaikan ucapan
Antara mahasiswa yang hadir
Tuan Hj. Mohd. Zuhdi dalam ucaptamanya telah menjelaskan berkenaan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri MMK yang telah membuat resolusi yang antara lain memutuskan secara hitam putih bahawa pengurusan aset, bangunan dan semua yang berkaitan pelajar di Timur Tengah termasuk di Mesir adalah di bawah kendalian dan pentadbiran YINK. MMK juga membuat keputusan meletakkan Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir di bawah pentadbiran YINK sepenuhnya berbanding pegawai sebelum Ini yang diletakkan di bawah pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Dan oleh kerana pegawai sekarang adalah salah seorang Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, maka surat perkenan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan terpaksa diperolehi terlebih dahulu bagi tujuan peminjaman pegawai. Inilah di antara sebab kelewatan pegawai baru tiba bagi mengisi kekosongan yang di tinggalkan oleh ustaz Zakaria.
Jamuan makan tetamu VIP di rumah pegawai
VIP wanita yang hadir diraikan
Tuan Hj. Mohd zuhdi sangat mengharapkan agar kerjasama diberikan sepenuhnya kepada pegawai yang dilantik kerajaan. Apatah lagi pegawai lantikan kali ini adalah atas perkenan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sendiri. Beliau juga mengarahkan pegawai agar melihat dan meningkatkan aspek kebajikan pelajar termasuk yang sedang berada di Muhafazah (Cawangan). Beliau sangat menyokong aktiviti peningkatan ilmu diadakan di Dewan Asrama Darul Aman dan mengharapkan agar aktiviti sedia ada ditambah untuk manfaat anak-anak Kedah di Mesir ini. Beliau juga menyentuh tentang peranan Program Al-MuttaqinTV yang dibiayai oleh YINK untuk kemudahan semua pelajar Kedah meningkatkan kemahiran dan ilmu selain manfaat dalam medan dakwah yang menjangkau liputannya ke seluruh dunia.
Bergambar ramai dengan kakitangan YINK sebelum program ziarah
Beberapa pertemuan dengan pimpinan pelajar di Kaherah, Tanta dan Iskandariah telah juga diadakan. Selain itu ahli rombongan juga telah di bawa melawat beberapa tempat bersejarah di sekitar Kota Kaherah seperti Makam Imam Syafie, Masjid Amru Ibnu Al-Ash, Qalaah Salahuddin Al-Ayubi, Muzium Tentera Mesir, Masjid Sultan Hasan( masjid pengajian Empat Mazhab), Masjid Rifaie, Masjid Saiyyidina Hussien dan beberapa tempat bersejarah lain di Fayyum, Gizah dan Iskandariaah.
Berbincang dengan penghuni Asrama Darul Aman 2 di Haiyyu 'Aasyir
Tn. Pengurus Besar YINK melihat kesan kerosakan
Bergambar bersama sebahagian penghuni Asrama Darul Aman 2
Meninjau pejabat MKKK bersama YDP Ust. Abu Bakar
Melihat aset YINK di Studio Al-Muttaqin TV
Mendengar taklimat operasi Al-Muttaqin TV
Bersama orang kuat Al-Muttaqin TV Us.Aidil Azwal dan Us.Hadi
Hari terakhir saya telah membawa Tuan Pengurus Besar meninjau penginapan pelajar di Asrama Darul Aman 2 di Haiyyu ‘Aasyir. Setelah solat Asar bersama sebahagian besar penghuni asrama, beliau berpeluang melihat sendiri kesan kerosakan yang dilapurkan berlaku di asrama tersebut. Selain itu, beliau juga berkesempatan menjenguk bilik pentadbiran MKKK yang berada di tingkat bawah bangunan yang sama. Sebelum malam menjelang saya mengiringi beliau meninjau bilik operasi Al-MuttaqinTV yang terletak di tingkat bawah Asrama Darul Aman 1 yang terletak di Haiyyu Sabiek selain menjengah ke Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir di tingkat bawah Asrama Darul Aman 3 bagi tujuan perakuan penerimaan dokumen pentadbiran dan kewangan oleh pegawai baru..
Ahad, 17 Mei 2009
TERUJA ANAK-ANAK…AKHIRNYA TIBA DI BUMI ANBIYA
Namun, demikian ketentuan Allah. Akhirnya anak-anak saya yang seramai 7 orang itu dapat merasai pengalaman naik kapal terbang tanpa saya perlu mengeluarkan belanja yang jumlahnya memang besar itu. Bila saya mengambil keputusan membawa semua ahli keluarga bersama ke Mesir, masing-masing sudah tak sabar-sabar menanti tarikh keberangkatan.
Pesawat MAS MH 1258 berlepas jam 9.20 p.m meninggalkan tanah kelahiran saya dan anak isteri menuju KLIA selamat sampai pada jam 10.20 mengikut jadual. Anak-anak saya yang teruja sedikit pun tak menunjukkan rasa penat bila ahli rombongan terpaksa naik ke tingkat lima dan check in semula dan kemudian sekali lagi bergegas ke bawah menaiki aerotrain untuk ke terminal antarabangsa. Penat perut betis mencari gate sedangkan anak-anak sedikit pun tidak menunjukkan keletihan. Mungkin mereka cukup gembira menaiki aerotrain.
Sekitar jam satu pagi baru pesawat MS 968 Egyptair berlepas menuju Kaherah. Anak-anak sangat gembira kerana dapat menaiki kapal terbang yang besar dan luas. Masing-masing diberi bantal, selimut dan sebuah beg kecil berisi penutup mata, berus gigi dan alat dengar. Mereka dapat merasai pengalaman makan malam dan makan pagi di atas kapal terbang. Kapal terbang yang membawa saya dan anak-anak serta ahli rombongan lain singgah di Mumbai untuk transit bagi tujuan menukar kru pesawat, menurunkan penumpang dan mengambil penumpang baru yang ingin menuju ke Kaherah.
Di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah
Setelah lebih sepuluh jam di dalam pesawat, akhirnya saya dan rombongan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah dengan selamatnya. Kami disambut meriah oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah dan pimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah serta kakitangan saya di Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah walaupun dalam suasana demam peperiksaan.
BERLEPAS MENINGGALKAN TANAH AIR
Bersama sebahagian sahabat Us. Hj. Rushdan , Us. hafiz Mustafa, Sir Azman DLL
Jam lapan malam ahli-ahli rombongan dah siap menanti di Balai Berlepas lapangan terbang. Rombongan ini diketuai oleh Tuan Hj. Mohd Zuhdi Hj. Saad selaku Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah bersama enam orang kakitangan YINK dalam lawatan kerja ke Mesir. Ikut serta dalam rombongan, salah seorang anak lelaki beliau yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa .
Bersama bonda dan kaum keluarga tercinta
Ramai juga sahabat, rakan, dan pastinya kaum kerabat yang memenuhi sebahagian ruang legar lapangan terbang malam itu. Saya cukup terharu atas kesudian mereka hadir “widaa’” saya sekeluarga dan lain-lain ahli rombongan malam itu. Terima kasih kepada SS Dato’ Syeikh Uzir Baharom YDP Majlis Agama Islam Kedah, Ustaz Hafiz Mustafa Lubis YDP ABIM Kedah, Ustaz Rushdan Azizan Pen. Pengarah Kanan Jab. Pendidikan Negeri dan ramai lagi yang tak dapat saya tulis nama mereka di sini.
Saya, isteri dan anak-anak adalah antara penumpang terakhir yang masuk pesawat malam itu. Pelukan ayah siang tadi, pelukan mama, abang, kakak-kakak, adik-adik dan semua yang sempat dan sudi...., menjadikan diri kerdil ini rasa ada harga….Air mata yang tumpah dan basah menceritakan tentang erti kasih sayang, kekeluargaan, persahabatan dan persaudaraan sejati!
MENGADAP AYAHANDA....
Sebelum masuk waktu Zohor cepat- cepat saya bawa isteri dan anak-anak mengadap buat kesekian kalinya ayanhanda saya di kampung. Sebenarnya awal-awal lagi mama dah bagitau yang ayahanda tak mampu ke airport malam nanti.
Ayahanda Haji Ahmad bersama cucundanya Ahmad
Kucupan terakhir...
Moga Allah panjangkan usia Ayahanda...
Kucupan tulus seorang menantu
Kasih sayang seorang Tok Wan yang tak pernah ada penghujungnya!
Panjang umur kita jumpa lagi....Wan!
Ayahanda begitu pasrah dan redhha dengan ketetapan ini. Pelukan dan dakapan akhir ayahanda begitu erat. Air mata lelaki saya tumpah bercucuran tanpa dapat ditahan lagi....Saya biarkan dan saya rasa puas bila kucupan di dahi ayahanda yang juga guru dalam hidup saya kali ini diiringi deraian air mata.....
BICARA AKHIR kedahFM 97.5
Tanggal 4hb. Mei 2009, saya melangkah kaki buat kali terakhir bertemankan isteri ke konti KFM untuk mengisi ruangan Bimbingan Fardhu Ain membicarakan Isu-Isu Keluargaan Islam dan Tip Membina Keluarga Bahagia yang sudah bertahun lamanya begitu sinonim dengan saya bila tiba jam 5.30 petang tiap Isnin.
Dengan berat hati, saya mengumumkan pemergian saya sekeluarga ke Mesir pada 9 hb akan datang dan kerana itu pengajian di KedahFM yang saya kendalikan selama ini terpaksa ditangguhkan. Sebak dan rasa terharu silih berganti kerana saya dapat rasakan hampirnya diri dengan para pendengar yang setia mengikuti rancangan ini. Ramai juga yang saya hanya kenali suara melalui telefon tapi tak punya cukup waktu untuk mengenali. Tak kurang yang menghubungi saya selama ini melalui SMS bertanya dan mendapatkan penjelasan setelah konti KFM tak dapat ditembusi.
Petang bersejarah ini, saya membuat kesimpulan tentang Keluarga Bahagia yang dicari kita semua. Bermula dengan huraian ringkas tentang suami soleh penyejuk mata hati isteri, isteri solehah yang setia di belakang suami dan berakhir dengan anak-anak soleh dan solehah yang menggembirakan hati dua ibu dan ayah di sini dan di sana nanti!
Sememangnya, yang pipih tidak pernah datang sendiri....Melayang! Yang bulat juga tidak akan datang sendiri…Bergolek!...Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya! Malah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka berusaha mengubahnya! Demikian Al-Quran tegaskan!
Petang terakhir ini, saya pohon ampun maaf pada semua yang selama ini bersama di ruang udara KedahFM yang mungkin tersentuh dan terasa…bahawa saya telah sakiti hatinya! Seingat saya, saya tak pernah sebut nama siapa2 secara khusus dalam kisah dan cerita yang saya bawa. Apa yang menjadi nawaitu saya di sebalik apa saja yang saya sebut…di tiap siri pertemuan sejak awal bicara dulu hanyalah kebahagiaan untuk semua!...Terbinanya baiti jannati…!
Petang itu…..Air mata tumpah di konti KFM! Berkaca mata Puan Siti Zaida yang menamatkan tugasnya jam 6 petang dan kak Jah (Khatijah) yang baru nak memulakan tugas ketika itu melihat sendu sayu di pertemuan yang terakhir…..