Minggu ini antara tempat saya tujui adalah Markaz Lughah An-Nil iaitu sebuah pusat pengajian bahasa. Tujuan saya ke sana adalah untuk mendaftar anak-anak saya bagi mendalami Bahasa Arab sebagai persiapan mereka memasuki persekolahan yang akan bermula September nanti. Markaz An-Nil sememangnya sudah dikenali khususnya di kalangan pelajar-pelajar luar Mesir yang menuntut di sekolah atau universiti di sekitar kota Kaherah ini. Pusat bahasa An-Nil ini sebenarnya diusahakan oleh seorang rakyat Turki di mana guru-gurunya adalah terdiri kebanyakannya dari kalangan rakyat Mesir yang cukup komited. Di Kaherah terdapat beberapa cawangan termasuk dua di Haiyyu Sabiek, Madinat Nasr selain di Dukki.
Dari maklumat yang diberi oleh Mudirnya ustaz Turghud Mohammad seorang warganegara Turki, di markaz untuk pelajar-pelajar perempuan sahaja terdapat 25 jenis warganegara yang belajar Bahasa Arab di situ. Manakala di markaz untuk pelajar lelaki pula terdapat hampir 40 jenis warganegara. Mereka termasuk dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Turki, German, Perancis, Ghana, Afrika Selatan, Uzbekistan, negara-negara bekas jajahan Soviet Union dan banyak lagi. 90 peratus pelajar adalah beragama Islam dan bakinya beragama Kristian, Budhha atau tidak beragama.
Bersama Ustaz Turgud Mohammad
Tiga anak saya terus memasuki kelas Tamhidi (asas Bahasa Arab ) iaitu Mubarak, Ziyad dan Mujahid. Manakala Muhammad berjaya ke Mustawa Satu dan kakaknya Aufa ke Mustawa Dua. Mereka berdua terlebih dahulu menduduki peperiksaan Tahdid Mustawa iaitu peperiksaan yang mengambil masa sejam setengah ke dua jam setengah untuk dihabiskan bagi tujuan melihat kemampuan pelajar dalam asas-asas Bahasa Arab.
Saya menjadi lebih kagum dengan Bangsa Turki ini apabila saya dan isteri dibawa melihat Sekolah Antarabangsa Salahuddin iaitu Sekolah Antarabangsa Turki yang pertama di Mesir. Ketika saya sampai, kerja-kerja terakhir sedang giat dijalankan dimana kebanyakan pekerjanya dibawa khas dari Turki. Pemiliknya Turki, juruteranya Turki bahkan, kebanyakan kelengkapannya juga dari Turki. Sekolah ini dilengkapi dengan peralatan-peralatan multimedia yang serba lengkap. Pelajar-pelajar di sekolah yang moden ini dipisahkan antara lelaki dan perempuan sama seperti di sekolah-sekolah agama di negara kita.
4 ulasan:
salam..
boleh syeikh beri maklumat tentang perbelanjaan di markaz annil itu, serta waktu pembelajarannya...
Bagaimana untuk mendaftar...
salam...
saya penuntut di malaysia,tetapi jika saya ingin menyertai markaz lughah boleh ke? bagaimana caranya?
boleh nyatakan alamat bangunan,yuran dan penginapan yg plg dekat (untuk pelajar perempuan yg bukan belajar di mesir)
Catat Ulasan