Khamis, 21 Mei 2009

BERUSAHA SEHABIS BAIK DAN BERTAWAKKALLAH

Saya sampai ke Lembah Nil ini dalam keadaan anak-anak yang menuntut di Universiti Al-Azhar ini khususnya, betul-betul di tengah gelombang peperiksaan. Aktiviti banyak yang terhenti kerana masing-masing memberikan tumpuan kepada imtihan. Kecuali terpaksa, baru mereka akan keluar dari sarang dan kemudian masuk semula setelah urusan selesai. Syukur Alhamdulillah kerana masing-masing sudah dewasa dan memahami bahawa menyesal tidak pernah berada di hadapan...bahawa menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna!

Kalau Kafetaria atau math'am rumah negeri lain masih dibuka kebanyakannya, tapi di rumah Kedah atau Asrama Darul Aman ini, kafe ditutup buat sementara kerana demam peperiksaan. Demikian kesedaran anak-anak Kedah tentang pentingnya bersiap siaga untuk peperiksaan. Namun sebagai 'orang baru' masuk dalam persekitaran ini, saya masih melihat ada yang kelihatan kurang bersedia atau macam tidak berapa kisah tentang 'yaumul imtihan'. Sebagai alumni Al-Azhar, saya teringat zaman belajar saya satu ketika dulu di sini. Bila sampai musim imtihan, kami jadi 'satu macam'....rasa macam tak cukup masa untuk ulangkaji itu ini...hafal dan ingat itu ini! Saya masih ingat, banyak juga kertas saya gunakan, lepas hafal saya tulis dan tulis lagi....Takut hilang! Akhirnya pagi peperiksaan, rasa lega bila tengok bahagian 'isi kandungan' buku atau fihris kitab, terbayang isi di dalamnya. Bila masuk pula dewan peperiksaan 'rasa banyak' nak diluahkan dan bila keluar rasa puas kerana dah buat habis baik.

Alhamdulillah saya bersyukur pada Allah kerana kat Asrama yang menempatkan rumah saya ini diadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di surau asrama hampir tiap malam pohon pertolongan dan taufiq Allah. Teringat pada ayahanda saya ketika saya menghadapi musim imtihan dulu, tiap malam peperiksaan, ayahanda, bonda dan adik-adik saya akan buat perkara yang sama. Saya yakin, bahawa hasil penat lelah dan kesungguhan berusaha yang disulami munajat berterusan dan tawakkal pada Allah, pasti akan membuahkan 'suatu yang manis' di penghujungnya!....

Kepada anak-anak Kedah yang saya tahu ramai juga menziarahi Blog saya ini, Abah ingin ambil kesempatan berharga ini untuk berpesan agar masing-masing ingat semula nawaitu kita datang ke sini...tuntut ilmu keranaNya...ingat pesan ayah bonda di kampung yang menanti kepulangan kita dengan ilmu penuh di dada...dengan kejayaan yang kita tempa di atas kesungguhan dan usaha kita! Jangan banyak buang masa percuma kerana masa yang berlalu tak akan dapat diganti lagi.! Masa itu sangat berharga!

Walaupun jumlah mereka yang kelihatan culas dan malas ini tidak ramai, namun saya merasa bimbang dan kecewa pada sebuah KEGAGALAN yang kelihatan diCARI SENDIRI! Mewakili ayah bonda di kampung yang membanting tulang perah keringat...yang kekadang peluh bercampur air mata, mencari rezeki lebih untuk dihantar pada anak-anak di sini yang diharap gigih dan sungguh-sungguh berusaha, saya rasa bertanggungjawab! Bertanggungjawab untuk mengejutkan yang lena, mengingatkan yang lupa! BANGUNLAH! BANGKITLAH untuk menjadi seorang anak yang benar-benar mengerti tanggungjawab pada orang tua dan keluarga!. Alangkah malangnya...Alangkah kecewanya...Alangkah remuknya hati mereka andai mereka tahu bahawa anakanda, abang, adik atau kakak mereka yang mereka doakan siang dan malam TAK KISAH PUN pada sebuah KEGAGALAN!

Tetapi, andai ditakdirkan kita gagal dalam imtihan ini. Namun, kita gagal setelah kita berusaha sehabis baik.....setelah kita benar-benar memberikan segala-galanya untuk sebuah KEJAYAAN yang diimpikan... diharapkan....dan didoakan, hati putih kita yang sentiasa bergantung harap dengan Allah SWT, yang beriman dengan qada' dan qadarNya, hanya akan menjadikan kita tenang menerima ketetapanNya. Kita pasti pasrah dan redha... Kita tidak akan dilanda resah dan keluh gelisah kerana kita telah melaksanakan tugas kita sebagai hambaNya! Demikian hebatnya orang yang beriman....Bila dikurniakan nikmat, dia akan bersyukur....Bila pula dia diuji, dia akan bersabar! ayah bonda kita juga pasti akan bangga...kerana mereka tahu anaknanda mereka benar-benar telah berusaha....

Yang pasti....Yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat juga tidak akan bergolek! Kalau tidak dipecahkan ruyung , manakan dapat sagunya!!!!

Tiada ulasan: