Pagi Ahad 17hb. Mei, saya bertemankan akhi Fadhil ex YDP MKKK ke Kedutaan Besar Malaysia di Mohandisen. Saya memandu kereta Avanza yang disediakan untuk kemudahan pegawai di sini dengan hati-hati di tengah-tengah kesibukan kota Kaherah. Agak kekok juga memandu kereta dengan sterengnya di sebelah kiri sedangkan selama ini kita memandu dengan stereng di sebelah kanan. Syukur kerana saya tidak terlupa memohon lesen memandu antarabangsa tempoh hari.
Saya melalui Jambatan 6 Oktober iaitu jambatan terpanjang di Afrika yang bermula selepas makam Anuar Sadat dan merentasi Abbasiah, Ramsis, Tahrir, merentasi Sungai Nil, Jazirah dan berakhir di Gizah. Alhamdulillah akhirnya, saya sampai dengan selamatnya ke bangunan kedutaan. Tujuan saya ke Kedutaan Malaysia tidak lain untuk melapurkan diri setelah sampai seminggu yang lalu.
Saya bertemu En. Mohd. Puzi Dahman yang memangku Duta Besar Malaysia di Mesir. Saya sangat bersyukur kerana mendapat layanan dan kerjasama yang baik dari pihak Kedutaan Besar Malaysia di sini. Beberapa perkara dibincang dan dibangkitkan oleh En. Puzi dan sebagai pegawai baru yang zero, tentunya saya sangat perlukan pertolongan, tunjuk ajar dan bimbingan rakan-rakan lama di Kedutaan Besar Malaysia dan juga Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.
PadaMU ku pohon pertolongan ya Rabb!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan