Ahad, 17 Mei 2009

TERUJA ANAK-ANAK…AKHIRNYA TIBA DI BUMI ANBIYA


Melangkah kali pertama ke dalam pesawat, anak-anak saya kelihatan cukup teruja dan puas hati. Impian mereka terbang di awan biru sebenarnya dah lama disebut-sebut pada saya. “ Baba..seronoknya naik kapal terbang kan?”. Mereka asyik bertanya dan menyebut tentang kapal terbang bila melihat saya pergi atau balik menggunakan perkhidmatan itu. “Ok, Insyaallah satu hari kita naik kapal terbang”. Saya bagai memberikan harapan dan janji sedang tidak pasti bila dapat ditunaikan.



Namun, demikian ketentuan Allah. Akhirnya anak-anak saya yang seramai 7 orang itu dapat merasai pengalaman naik kapal terbang tanpa saya perlu mengeluarkan belanja yang jumlahnya memang besar itu. Bila saya mengambil keputusan membawa semua ahli keluarga bersama ke Mesir, masing-masing sudah tak sabar-sabar menanti tarikh keberangkatan.


Pesawat MAS MH 1258 berlepas jam 9.20 p.m meninggalkan tanah kelahiran saya dan anak isteri menuju KLIA selamat sampai pada jam 10.20 mengikut jadual. Anak-anak saya yang teruja sedikit pun tak menunjukkan rasa penat bila ahli rombongan terpaksa naik ke tingkat lima dan check in semula dan kemudian sekali lagi bergegas ke bawah menaiki aerotrain untuk ke terminal antarabangsa. Penat perut betis mencari gate sedangkan anak-anak sedikit pun tidak menunjukkan keletihan. Mungkin mereka cukup gembira menaiki aerotrain.


Sekitar jam satu pagi baru pesawat MS 968 Egyptair berlepas menuju Kaherah. Anak-anak sangat gembira kerana dapat menaiki kapal terbang yang besar dan luas. Masing-masing diberi bantal, selimut dan sebuah beg kecil berisi penutup mata, berus gigi dan alat dengar. Mereka dapat merasai pengalaman makan malam dan makan pagi di atas kapal terbang. Kapal terbang yang membawa saya dan anak-anak serta ahli rombongan lain singgah di Mumbai untuk transit bagi tujuan menukar kru pesawat, menurunkan penumpang dan mengambil penumpang baru yang ingin menuju ke Kaherah.

Di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah


Setelah lebih sepuluh jam di dalam pesawat, akhirnya saya dan rombongan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah dengan selamatnya. Kami disambut meriah oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah dan pimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah serta kakitangan saya di Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah walaupun dalam suasana demam peperiksaan.



Terima kasih buat semua yang berdoa untuk keselamatan…..dan terima kasih buat semua yang memberikan sambutan….Moga Allah membalas dengan rahmat, berkat yang berlipat kali ganda atas segala susah payah…..atas segala-galanya. Jazakumullah Kahairan Kathiran!

Tiada ulasan: