Selasa, 8 September 2009

LAWATAN KERJA KE ISKANDARIAH

Salam Ramadhan dari kejauhan...

Setelah beberapa kali tertangguh, akhirnya Allah SWT perkenankan juga hasrat saya untuk menjenguk anak-anak Kedah di luar Kaherah. Kota Iskandariah merupakan destinasi lawatan kerja saya yang pertama menziarahi pelajar-pelajar Kedah di luar metropolitan Kaherah. Kekangan masa dan deretan program yang berterusan dan bersambung-sambung di Rumah Kedah ini selain dua kali saya terpaksa terbang pulang ke Malaysia di samping dikehendaki ke Jordan dan Syria, menjadikan saya agak 'terlewat' menziarahi 'anak-anak' saya di sana. Saya masih mempunyai senarai yang agak panjang untuk melawat mereka di cawangan al-Azhar yang lain, seperti Shoubra, Mansourah, Tanta, Damanhur, Dumyat dan beberapa tempat lain. Insya Allah saya akan cuba usahakan untuk sampai juga ke tempat-tempat berkenaan dalam waktu terdekat ini. Moga-moga Allah permudahkan urusan untuk saya segera dapat bersama mereka, mendekati mereka..menyampaikan sepatah dua tunjuk ajar dan maklumat..mendengar aduan dan suara hati mereka..dan sedaya upaya cuba selesaikan masalah yang mereka hadapi..

Ahad 6 September 2009, lebih kurang jam 10 pagi, saya bertolak ke Iskandariah menaiki sebuah 'tramco' yang disewa khas bersama , 2 orang exco MKKK dari kalangan ikhwah, Us. Ariff Izuan (Tim. YDP) dan Us. Shohib ar-Rumi (Bendahari), serta 7 orang exco HEWI yang dikepalai ketua penasihatnya, Ustzh Balkis dan YDPah Ustzh Nadia.

Bergambar kenangan bersama HEWI dan Mandubah Iskandariah

Pada mulanya saya bercadang untuk memandu sendiri Toyota Avanza ke sana, memandangkan saya membawa bersama semua keluarga saya, yang bukan sedikit juga jumlahnya itu...Selain untuk keselesaan keluarga, terutama anak kecil saya, Ahmad, saya juga boleh memberi peluang kepada lebih ramai mereka yang ingin bersama ke sana. Tetapi kerana roadtaxnya telah tamat tempoh, dan belum diperbaharui, membuatkan saya menukar fikiran untuk menaiki tramco sahaja. Buat apa mengambil risiko...memandu kenderaan tanpa roadtax bersama keluarga untuk tempoh beberapa jam yang mempunyai pelbagai kebarangkalian itu...

Bergambar di hadapan pintu masuk

Kemudahan yang disediakan...FOC

Pelbagai jenis ikan

Landak

Llama

Spesis jarang ditemui..

Unta

Buaya

Ular sawa yang kekenyangan

Singa

Burung..."pemaging"

Burung unta

Kambing gurun

Harimau

Kerana membawa anak-anak, saya mengajak pemandu tramco, Amm Abdul Azim, singgah di 'Qaryah Asad', sebuah 'perkampungan' haiwan di pertengahan jalan. Teruja anak-anak saya melihat pelbagai spesis haiwan di situ. Yang agak uniknya perkampungan itu ialah, selain menyediakan restoran, kelihatan juga beberapa dapur tradisional membuat roti siap dengan kakitangannya menyediakan roti panas kepada pelanggan yang ingin merasa keaslian roti arab...Masuk ke Qaryah Asad adalah percuma!! Cuma...oleh kerana bulan puasa, suasana agak lengang dengan pengunjung berbanding sebelum atau selepas bulan Ramadhan.

Canai menggunakan alatan khas

Bakar roti...

Fathirah / roti canai..

Iskandariah...Kota Pelancongan

Bergambar kenangan di hadapan Kota Qatbay

Lebih kurang setengah jam di situ, saya dan rombongan meneruskan perjalanan menuju Iskandariah..sebuah bandar pelancongan di gigi pantai Lautan Maditerranean yang terletak lebih 300km dari kota Kaherah. Kami singgah untuk solat qasar dan jama' taqdim di Masjid Al Imam Al Bushoiri RA yang mengarang kitab Burdah.. Ada juga yang solat di Masjid Imam Abul Abbas Al Mursi RA yang terletak betul-betul sebelah menyebelah.


Maqam Imam Al Bushoiri..

Maqam Imam Abul Abbas Al Mursi dan anaknya

Pohon kurma yang tengah "meriah" di perkarangan masjid


Selesai menziarahi maqam para Auliaullah itu, akhirnya kami bertolak menuju ke destinasi sebenar, menjenguk anak-anak Kedah yang belajar di bandar Iskandariah ini. Sebenarnya, Universiti al-Azhar cawangan Iskandariah hanya menempatkan pelajar banat sahaja. Kalau ada pelajar lelaki, mereka itu samada yang mengambil jurusan perubatan, ataupun suami kepada pelajar perempuan yang belajar di sini. Saya difahamkan oleh mandubahnya, pelajar yang dipertanggungjawabkan menyelia pelajar Kedah di sini,Ustzh Khadijah Ahmad, pelajar Kedah di sini berjumlah lebih kurang 160 orang pelajar Pengajian Islam dan hanya sekitar 10 orang sahaja pelajar perubatan. Bertempat di Markaz PMRAM Iskandariah, anak-anak Kedah berhimpun petang itu dengan jumlah yang tidaklah seramai mana, memandangkan sebilangan besar mereka pulang bercuti ke Malaysia, sementara ada juga yang berada di Kaherah mengikuti kelas-kelas pengajian dan lain-lain.

Menyampaikan amanat dan nasihat..."sesal tak pernah berada di depan!!"

Kreatif..

Hidangan berat yang istimewa..

Sebaik selesai majlis ramah mesra dan soal jawab dengan pegawai dan juga exco persatuan, kami dihidangkan dengan juadah ringan seperti kurma, kuih-muih dan buah-buahan untuk iftar petang itu. Jamuan berat selepas solat Maghrib pula menyajikan nasi dengan lauk-pauk yang menyelerakan sekali..sambal tumis udang, sayur lemak kobis dan ubi, ikan bakar dan salatah tomato..Mmmm..pandai anak-anak abah kat Iskandariah ni masak...tak kalah dengan anak-anak abah kat Kaherah :-)

Perut sudah diisi..program sudah dipenuhi...saya dan rombongan berangkat pulang kira-kira jam 8.30 malam..dan kami selamat sampai di Rumah Kedah Darul Aman 3 lebih kurang 11.40 malam..Alhamdulillah..

Solat tarawih di sebuah masjid di Iskandariah..."penuh" sampai solat atas jalan tar

Moga ada lagi pertemuan selepas ini...dan moga ukhuwah yang terjalin atas kalimah Allah ini akan semakin kukuh dan segera meluas kepada anak-anak Kedah di cawangan-cawangan lain..Insya Allah...

Tiada ulasan: