Saya dapati kesedaran menghadiri program PMRAM di kalangan pelajar Malaysia di sini cukup tinggi. Dataran yang luas itu boleh dikatakan penuh dengan pelajar-pelajar termasuk ramai yang datang dari segenap Muhafazah (cawangan) di Mesir ini. Program bermula sejak selepas solat Jumaat lagi dengan acara gotong royong menyediakan juadah berat berbuka dan juga bubur lambuk. Majlis khatam AlQuran juga diadakan sebelum tazkirah dan Ifthor beramai-ramai.
Saya memilih menyampaikan tazkirah kali pertama saya di hadapan lautan pelajar dari pelbagai negeri yang setia dengan PMRAM itu dalam Bahasa Arab dengan harapan dapat meniup semangat kepada anak-anak Malaysia di Lembah Nil ini supaya mencintai bahasa "ahli syurga" ini. Kenyataan bahawa ramai pelajar Malaysia di sini malu menggunakan Bahasa Arab ketika berkomunikasi bukan satu rahsia lagi. Malah, dengan bilangan yang cukup ramai berkumpul di satu lokasi, memang anak-anak kita ini begitu selesa berbahasa ibunda!
Menjelaskan perihal Ramadhan dan tarbiah serta kesannya adalah fokus saya dalam tazkirah. Oleh kerana, saya difahamkan kehadiran sejumlah pelajar baru dari negeri Selangor yang baru sampai, saya beralih bercakap menggunakan Bahasa Melayu sekitar 5 minit sebelum menamatkan kalam tazkirah dengan doa Ifthar! Kesempatan akhir, saya menyeru para pelajar agar gigih menuntut ilmu di bumi barakah ini..bumi ambiyak dan auliya.. selain memberikan ingatan supaya sabar mengharung dugaan dan ujian kerana di sini juga ada Firaun, Qarun dan Haman!.
Setelah solat Maghrib berjemaah di Dataran, saya dan lain-lain tetamu dijamu makan berat di Surau Asrama Darul Aman 2 - Rumah Kedah, manakala pelajar lelaki makan di Dataran dan pelajar perempuan diberikan makanan di Rumah Selangor dan Terengganu. Seusai solat Tarawikh beramai-ramai yang meriah di Dataran, hadirin dihidangkan dengan Muhadharah bersama Profesor Dr. Rif'at Fauzi Abdul Muttalib, Pensyarah Kuliah Syariah, Darul Ulum, Universiti Kaherah.
Semoga PMRAM dan ahli-ahlinya dapat menerima saranan saya supaya memilih "wasatiah"sebagai pendekatan....bersedia mendengar, bersifat terbuka, menerima kepelbagaian, mengutamakan akademik selain sanggup berubah untuk bersama dengan JPMK, KBMK serta Pegawai-Pegawai Negeri yang dihantar kerajaan bertugas di sini. Saya sedang mengikuti perkembangan itu dengan penuh minat!....Dan, saya bersyukur kerana melihat rakan-rakan pimpinan PMRAM sedang memberikan reaksi positif...Allahumma Aaameen!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan