Sabtu, 23 Mei 2009

WARKAH BUAT ANAKANDA YANG DIKASIHI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ke hadapan anakanda yang jauh di perantauan dengan iringan doa dan harapan semoga anakanda di sana sentiasa sihat-sihat dan dalam peliharaan Allah selalu hendaknya. Ayahanda, bonda dan keluarga di kampung, Alhamdulillah sihat seadanya.

Ayahanda pohon maaf andainya warkah ini mengganggu tumpuan anakanda menghadapi pelajaran. Ayahanda tahu anakanda sedang bergelut dengan buku-buku dan nota-nota di kala ini....Ayahanda cuma nak anakanda tahu bahawa ayahanda dan keluarga sentiasa mendoakan anakanda berjaya memiliki ilmu bermanfaat dan berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang sedang dihadapi.

Untuk pengetahuan anakanda, di musim peperiksaan ini, setiap malam peperiksaan anakanda, ayahanda dan bonda tidak akan lupa solat hajat khusus untuk anakanda. Walhal sebenarnya pun ayahanda dan bonda serta keluarga tidak pernah lekang berdoa agar Allah permudahkan segalanya untuk anakanda....Agar Allah buka dan terang hati anakanda dalam memahami apa yang dipelajari...mengingati apa yang dihafal. Semoga anakanda akan menjadi lampu yang terang bukan sahaja dalam keluarga kita, tetapi lampu yang terang dalam masyarakat kita bila pulang nanti.

Anakanda yang dikasihi...

Seperti yang anakanda maklum, kita bukan datang dari keluarga yang senang dan mewah. Tanah yang sekangkang kera yang ayahanda usahakan itu pun bukan milik kita. Alhamdulillah dalam susah payah ini, ayahanda tetap berjaya sekolahkan anakanda dan anak-anak yang lain. Walaupun kadang-kadang dapur rumah kita tidak berasap....ayahanda tetap pastikan anakanda dan anak-anak yang lain tidak cicir dalam pelajaran. Walaupun badan ayahanda sakit-sakit, tetapi ayahanda puas kerana dapat laksanakan tangungjawab ayahanda sebaik mungkin.

Hari ini...Ayahanda bersyukur kerana Allah telah pilih anakanda menyambung pelajaran di bumi ambiyak...di Universiti Al-Azhar. Apa yang ayahanda diberitahu, di sinilah ramai tokoh-tokoh ulamak tersohor dunia dilahirkan dalam sejarah. Terbayang ayahanda , anakanda pulang sebagai seorang ulamak muda yang akan menjadi tonggak memimpin keluarga dan masyarakat kita. Semoga anakanda tidak mengecewakan ayahanda dan bonda di sini. Bahkan semua orang kampung sedang menunggu-nunggu kepulangan anakanda. Mereka ingin melihat anakanda menjadi imam yang memimpin mereka dalam solat berjamaah di masjid kampung kita...membaca Al-Quran dengan baik dan sempurna....memimpin mereka sebagai khalifah tahlil dan bacaan yasin.....bahkan, anakanda akan mandikan jenazah sehingga mambaca talkin di kubur nanti....Kampung kita tentu akan semarak dengan kepulangan anakanda! Dan...Alangkah lebih bahagianya ayahanda andai nanti anakanda berkemampuan menyampaikan ilmu bukan saja di masjid kampung kita, tetapi juga di masjid-masjid di seluruh negeri kita ini....

Anakanda yang dikasihi..

Ayahanda dan bonda sesekali tidak pinta harta benda dari anakanda. Kami tidak ingin itu semua.....Apa yang kami impikan adalah seorang anak soleh yang akan mendokan kami semasa hayat kami dan selepas mati kami. Moga anakanda memahami betapa bertuahnya seorang ayah dan ibu dalam hidup di dunia sementara ini andai mereka dikurniakan seoranga anak yang soleh. Anak bertuah yang membahagiakan hati ayah bondanya di dunia dan di akhirat.

Kerana itu anakanada....Ayahanda harap anakanda tidak akan membuang masa percuma dan sia-sia. Isikanlah masa dengan penuh bijaksana. Lakukanlah perkara bermanfaat untuk dunia dan akhirat nescaya kita akan selamat. Sebenarnya anakanda, harta kita yang sebenar adalah ilmu yang kita amalkan. Dialah nanti teman sejati kita di alam kubur yang sangat sunyi itu! Ayahanda harap anakanda tidak akan jemu dengan ilmu pengetahuan....Cari dan carilah lagi!

Kiranya sampai di sini bicara ayahanda kali ini. Semoga warkah ini hanya menjadikan anakanda lebih bersemangat untuk cemerlang dan berjaya. Sampaikanlah salam ayahanda buat teman-teman seperjuangan anakanda di sana. Andainya....warkah ini adalah yang terakhir....andai ayahanda ditakdir pergi dahulu mengadap yang Esa, ayahanda harap anakanda tidak akan mempersiakan harapan ayahanda seperti yang telah ayahanda nyatakan tadi.

Salam kasih sayang dan peluk cium dari ayahanda bonda dan sanak saudara di kampung. Assalamualaikum.

Yang benar,

Ayahanda.
Kedah Darul Aman,
Malaysia.

1 ulasan:

penuntut ilmu berkata...

assalamualaikum...warkah ayahanda nie btul2 buat anakanda di sini insaf dan sedar tujuan sebenar anakanda ke sini...terima kasih ayahanda bonda kerana menyedarkan anakanda mu ini...