Ketika saya berada di Syria bersama rombongan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman baru-baru ini, saya telah diberitahu pembantu tadbir saya Fairuz yang telah dihubungi dari Kaherah memohon kelulusan mengadakan kuliah yang akan disampaikan Fadhilatus Syeikh Muhammad Ibrahim Alkittani ulamak yang tersohor dari Iskandariah. Fadhilatus Syeikh Jamal Farouk yang telah pun memulakan siri kuliahnya pada setiap malam Jumaat di Dewan At-Tasamuh Wal Ikha' telah berjaya mendapat persetujuan Syeikh Muhammad Ibrahim ke Rumah Kedah dua minggu sekali kerana kebetulan Syeikh Muhammad Ibrahim yang datang jauh dari Iskandariah ada kuliah maghrib di Iskan Thullab dekat sini. Kebenaran diberi demi melihat anak-anak Kedah khasnya dan Malaysia amnya mengambil istifadah sebanyak mungkin dari kehadiran para masyayikh / dakatirah ini. Kecil tapak tangan, nyiru kita tadahkan...
Tanggal 14 April 2010, saya meraikan kehadiran awal Fadhilatus Syeikh Ibrahim Alkittani yang diiringi Fadhilatus Syeikh Jamal serta beberapa pembantu di Rumah Tamu. alhamdulillah kerana jamuan makan malam yang disediakan mencukupi untuk semua ahli rombongan. Malam itu, kuliah Fadhlatus Syeikh Muhammad Ibrahim turut disertai Fadhilatus Syeikh Jamal dan juga fadhilatus Syeikh Usamah yang sampai ketika kuliah baru sahaja bermula. Saya lihat ramai anak-anak Kedah yang turun bersama para ulama yang besar ini. Terdapat juga bukan anak-anak Kedah yang turut mengambil istifadah. Kuliah Syeikh Muhammad Ibrahim diadakan sebulan dua kali iaitu pada Selasa minggu ke 2 dan ke 4.
Selain kuliah mingguan yang disampaikan Fadhilatus Syeikh Jamal pada setiap malam Jumaat selepas solat isya, sedang berlansung juga kuliah mingguan setiap Isnin selepas maghrib yang disampaikan oleh Fadhilatus Syeikh Asyraf Hasaneen dan kuliah selepas solat Isya yang disampaikan Fadhilatus Syeikh Saad Jawish. Akan berlangsung juga kuliah Fadhilatus Syeikh Dr. Ahmad Mamdouh dari Darul Ifta' pada Khamis selepas maghrib.
Selain kuliah-kuliah yang disampaikan masyayikh Arab, sedang berlangsung juga kuliah-kuliah yang disampaikan masyayikh Melayu seperti kuliah Baba Nan dan Baba Li dari silsilah ulama Patani selain kuliah Ustaz Nazrul Pemangku YDP MKKK sendiri. Selebihnya sedang berjalan dengan rancaknya juga sekarang ini, kelas-kelas tutorial yang dipimpin oleh ustaz-ustaz berpengalaman ..kelas bimbingan untuk pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan yang bakal tiba tak berapa lama lagi. "Oghang ghumah" saya juga tak ketinggalan menyumbang ilmu untuk membantu anak-anak di sini....
Syukur pada Allah dan tahniah pada semua yang telah bersatu hati menjayakan program-program pengajian yang diadakan di Rumah Kedah ini. Semoga kita terus semarak dengan majli-majlis ilmu....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan