Khamis, 8 April 2010

SEMINAR GERAK USAHAWAN SISWA 2010

7 APRIL 2010, 2 petang, saya menghadiri Mesyuarat Gerak Usahawan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah. Oleh kerana  Kuasa Usaha Sementara En.Saiful yang sepatutnya mempengerusikan mesyuarat dilaporkan  terlewat sampai kerana satu tugasan rasmi bersama pihak berkuasa Mesir, mesyuarat akhirnya dipengerusikan oleh Prof Dr Jamil, Pengarah JPMK dengan dihadiri kebanyakan pegawai yang bertugas di sini. Turut hadir Pengarah DMS Prof Madya Dr Hassan Basri selain Pegawai MARA, Pegawai-Pegawai HEP Negeri seperti Peg.Johor, Wilayah dan Kedah. Turut serta dalam mesyuarat itu, pegawai-pegawai KBMK dan JPMK. Peg.HEP negeri yang sedang berada di Malaysia ketika ini adalah Peg.HEP Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu. 



Seminar Gerak Usahawan Siswa 2010 peringkat Institusi Pengajian Tinggi Luar Negara - MESIR ini dianjurkan secara bersama oleh JPMK, MARA, Johor Corporation dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad, KFC Holdings (M) Berhad dan diuruskan oleh IPPJ Sdn Bhd (Syarikat Di dalam Kumpulan Johor Corporation).
Di antara objektif seminar yang dicadangkan akan diadakan pada akhir bulan Julai itu nanti adalah memupuk budaya dan pemikiran bisnes di kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi untuk menceburi bidang keusahawanan dan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan melaui Sesi Perkongsian Pengalaman. Seminar ini juga diharap dapat memberikan penjelasan berkaitan potensi bidang keusahawanan yang boleh diceburi termasuk Bisnes Halal.
Antara yang akan memberikan pencerahan dalam seminar itu nanti termasuklah Ybhg.Tan Seri Dato' Muhammad Ali Hashim Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia / Pengerusi Biro Korprat Dewan Perdagangan Islam / Presiden dan Ketua Ekskutif johor Corporation, Ybhg. Prof Dr Sidek Baba, Pensyarah UIA dan lain-lain.
Di hujung mesyuarat Kuasa Usaha Sementara KBMK En Saiful sampai bersama-sama En.Iskandar untuk menamatkan mesyuarat. Ahli mesyuarat juga dimaklumkan perkembangan terkini perkara berkaitan tertentu yang dibincangkan beliau dengan pihak berkuasa tempatan di sini.
 Semoga para mahasiswa di sini tidak melepaskan peluang untuk mencedok sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman berguna yang bakal dicurahkan para penceramah dalam seminar itunanti.

 

Tiada ulasan: