Selasa, 6 April 2010

BERSAMA "PERUBATAN CAWANGAN ZAQAZIQ" - 5 APRIL 2010

 
5 April 2010, Saya dijemput menghadiri Program Mafatihul Mahabbah 2010 yang dianjurkan PERUBATAN Cawangan Zaqaziq yang bernaung di bawah Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir. Saya telah diminta menjadi pengisi slot motivasi kecemerlangan dalam program itu.

Saya ke Zaqaziq ditemani 'oghang ghumah' dan semua anak-anak yang kebetulan bercuti sempena perayaan 'Syammun Nasim'. Salah seorang penasihat PERUBATAN Caw.Zaqaziq Saudari Najwa menjadi juru pandu menunjuk jalan, memudahkan perjalanan ke sana kerana inilah kali pertama saya memandu sendiri keluar dari kota Kaherah.  Perjalanan menggunakan lebuhraya sahrawi dari Bilbis ke Zaqaziq adalah lebih selesa dengan bilangan kenderaan yang sedikit berbanding lebuhraya ziraie yang selalunya sesak dengan kenderaan. Oleh kerana saya menggunakan kenderaan plat Diplomatik tiada tol dikenakan. Pemandangan biasa lebuhraya ini adalah padang pasir...Sesekali bertemu juga dengan kawasan yang baru dibangunkan termasuk beberapa buah kilang.







Saya meminta Najwa menunjukkan pusat bandar Zaqaziq. Oleh kerana hari itu cuti umum, banyak kedai yang ditutup. Sukanya anak-anak dapat makan ais krim kon besar yang jauh lebih murah dari Kaherah, satu cuma berharga LE 1 sahaja bersamaan 60 sen matawang kita. 'Oghang ghumah' saya sebenarnya sejak awal-awal pagi dah siapkan makan tengah hari yang pada cadangan awal nak makan kat mana-mana taman di Zaqaziq. Oleh kerana taman yang tak besar di Zaqaziq penuh dengan rakyat Mesir yang keluar sambut 'Syaun Nasim', akhirnya makan tengah hari tu dipindahkan venunya ke rumah Najwa. Terkejut melihat rumah yang besar dengan 5 bilik, satu ruang tamu besar dan dua bilik air selain ruang dapur,  hanya disewa dengan harga LE600. Kalau di Kaherah, rumah seperti itu mungkin antara LE2500 ke 3000.





 










Melihat kepada persiapan dan sambutan kepada program di kalangan pelajar perubatan di Zaqaziq, saya cukup bangga. Mereka ni bukan sahaja komited dalam pelajaran, tapi juga komited dalam menjayakan program persatuan. Dewan DPM Zaqaziq padat dan hampir tiada tempat duduk lagi. Siswa baik siswi, saya lihat masing-masing memberikan sepenuh perhatian ketika saya berkongsi pengalaman sedikit yang ada pada saya. Saya ceritakan pada mereka tentang seorang doktor di Malaysia, seorang motivator dan penulis selain pengamal perubatan yang hebat. Saya ingin mereka menjadi sepertinya, boleh berbahasa Inggeris dan boleh juga berbahasa Arab iaitu Dr.Danial Zainal Abidin bekas pelajar Fakulti Perubatan Universiti Iskandariah. Saya ungkit kisah pengorbanan ibu dan ayah yang jauh di mata....Saya fahamkan mereka cemerlang yang dituntut Islam pada kita...









Di hujung program, saya dijemput merasmikan gimik program "Exam Fever Campaign" atau "Kempen Demam Menghadapi Peperiksaan" memandangkan peperiksaan yang sudah hampir. Satu slideshow juga ditayangkan dengan kisah mengungkit rasa hati seorang ibu. Rasa sebak mengenang pengorbanan ibu...Bila saya dijemput membacakan doa, air mata ini sudah tidak dapat dibendung lagi....!





Selepas menikmati hidangan petang yang istimewa, saya melunasi janji saya pada anak-anak. Sekali lagi Najwa tunjukkan jalan ke 'Mahattah' tempat paling banyak untuk beli belah di Zaqaziq. Janji belikan kasut sekolah untuk Muhammad dan Mujahid tertunai di Zaqaziq. Beg sekolah Muhammad yang dah rosak pun saya beli di sana. Memang pada umumnya, banyak barang yang masih murah di sini berbanding Kaherah. Alhamdulillah. akhirnya saya sampai di rumah setelah Isyak dengan selamatnya...



Buat PERUBATAN Cawangan Zaqaziq, diucapkan Selamat Maju Jaya...Syabas dan tahniah dari Abah untuk semua...

Tiada ulasan: