Isnin, 10 Ogos 2009

DAKAPAN SEORANG IBU, PELUKAN SEORANG AYAH

Salam rindu dari kejauhan...

Tanggal 10hb Ogos 2009 jam 9.30 pagi pesawat Singapore Airline yang berlepas jam 8.30 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan lepas pulau Pinang. Alhamdulillah saya selamat tiba di tanaah air tercinta.

Dari lapangan terbang, saya menaiki teksi ke Alor Setar dengan tambang rm185.00. Dalam perjalanan saya singgah di Masjid Seberang Jaya bertemu kakak yang kedua, Ustazah Fatimah. Beliau seorang guru di Sekolah Menengah Taman Inderawasih Butterworth. Setelah bercerita pendek dan memberikan sedikit buah tangan dari Kaherah, saya meneruskan perjalanan ke Alor Setar. Perjalanan berbelas jam dari Kaherah tamat setelah saya sampai ke Alor Setar dengan selamatnya.

Saya disambut dengan dakapan ibu yang sangat dirindui dan juga kakak sulung saya di rumahnya yang memang menjadi tempat transit ibu saya ketika ayah di rumah "ummi" isteri kedua ayah. Selepas makan tengahari yang menyelerakan dan setelah mengambil sedikit tenaga, dengan ditemani ibu tercinta saya pulang mengadap ayahanda!

Sebenarnya, kepulangan saya tidak diketahui ayah terlebih dahulu. Nyata ayah terkejut dengan kemunculan tiba-tiba saya dihadapannya. Terharu! Air mata yang saya lihat bergenang di dua kelopak mata ayah saya yang cukup saya hormati dan saya kasihi itu sudah cukup menceritakan tentang kasih sayang dan kerinduan seorang AYAH!! Lama saya membenamkan diri ini dalam pelukannya...melepaskan rindu yang terbungkam di jiwa!!!

Segala puji milik Allah jua!!!

Tiada ulasan: