Tanggal Jumaat 7 Mei 2010, saya makan tengahari lebih awal bersama Dr. Bakhir di rumah sebelum membawa beliau solat Jumaat di Masjid Tantawi mendengar khutbah yang disampaikan bekas Dekan Kuliyyah Usuluddin Universiti Al-Azhar Fadhilatus Syeikh Mu'thi Baiyumi. Saya memang selalu ke situ setiap Jumaat kalau saya tidak berada di luar Kaherah.
Seperti dijanjikan petang itu saya ke air port bersama Dr Bakhir untuk menyambut sejumlah 34 pelajar-pelajar Uni. Insaniah atau KUIN yang tiba dengan penerbangan Kuwait Airways penerbangan sama yang dinaiki Dr Bakhir sewaktu beliau tiba ke sini beberapa hari yang lalu. Setelah menunggu agak lama, akhirnya penantian saya dan Dr Bakhir pun berakhir juga....Mereka selamat sampai!! Wajah-wajah yang sudah letih kerana lama dalam penerbangan, bertukar ceria sebab akhirnya mereka dapat juga memijak bumi Anbiya' dan Auliya' yang banyak kali disebut Allah dalam AlQuran ini. Sebaik tiba di Haiyyu 'Asyir serta mengambil beberapa keping gambar kenangan dekat Rumah Pahang, pelajar-pelajar KUIN yang bertuah ini diagihkan makan tengahari yang ditaja oleh Pak Tam Syaari. Pelajar perempuan ditempatkan di Rumah Pahang manakala pelajar lelaki di Rumah Sarawak.
Hari berikutnya, saya setia membawa Dr Bakhir bertemu dengan anak-anak KUIN di Surau Rumah Pahang untuk sesi taklimat. Hampir tiga jam, taklimat dan soal-jawab bersama para peserta. Kebanyakan perkara dari proses perjalanan, pendaftaran kursus dengan pihak markaz, yuran pengajian, pengangkutan ke markaz, penginapan, keselamatan, kesihatan dan kebajikan disentuh oleh Dr Bakhir. Sebagai Pegawai HEP Kedah, saya dijemput Dr untuk memberikan ucapan dan peluang itu diambil untuk menyentuh beberapa perkara yang perlu diketahui selain mengambil peluang mengucapkan ahlan wa sahlan kepada mereka.
Hari pertama para pelajar ke Markaz Fajr, masing-masing kelihatan begitu bersemangat. sebaik sampai di markaz pelajar perempuan dibawa ke bangunan yang dikhaskan untuk "banat sahaja", manakala pelajar lelaki dipersilakan ke bangunan lelaki. Saya dan Dr Bakhir yang sebelum itu disambut Ustaz Walid kenudiannya dibawa Ustaz Ahmad Ketua Bahagian Pengajian Bahasa melawat beberapa kelas yang pembelajarannya sedang berlangsung. Kami juga dibawa melawat Markaz Fajr Lil Banat. Cuma dilarang mengambil gambar dalam kelas yang dilawati. Setelah saya menjelaskan tujuan kenapa saya mahu mengambil gambar, saya akhirnya dibenarkan hanya mengambil gambar pelajar-pelajar perempuan KUIN yang ketika itu sedang menjalani ujian tahdid mustawa dan sebahagian yang lain sedang mengisi borang kemasukan.
Saya dan Dr Bakhir juga berbincang panjang dengan Mudir Markaz iaitu Dr. Walid Al Johary yang turut mengambil kesempatan menunjukkan perkembangan markaz itu secara talian / internet melalui LCD yang dipaparkan di dinding pejabatnya. Tewas dengan pujukan Dr Bakhir, akhirnya Dr Walid memaklumkan pengurusan tertinggi markaz bersetuju yuran pengajian pelajar dikurangkan sebanyak USD800. Bermula dengan USD 6800 dan berakhir dengan persetujuan hanya USD 6000 sahaja yang mesti dibayar oleh 34 peserta / pelajar KUIN yang ikut kursus di markaz itu.
Semoga para peserta kursus Bahasa Arab KUIN di Markaz AlFajr akan benar-benar dapat menguasai Bahasa Al Quran ini apabila pulang ke Malaysia Julai nanti seperti yang diharap-harapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan