Ahad, 2 Mei 2010

HARI KELUARGA PERWAKILAN - HURGADA 30 APRIL - 2 MEI 2010

Bertempat di Sindbad Aqua Hotel, Hurgada salah sebuah hotel terbesar di Hurgada atau Ghardaqah sebuah bandar pelancongan Laut Merah yang terletak lebih kurang 500 km dari Kaherah, telah diadakan Hari Keluarga anjuran PERWAKILAN CAIRO atau Persatuan Wanita Kementerian Luar Negara dan  Kedutaan Besar Malaysia Kaherah bagi tahun 2010.

Awal pagi 30 April semua peserta berkumpul untuk mendengar taklimat perjalanan Hari Keluarga sambil menerima edaran buku program di samping sama-sama bersarapan pagi. Taklimat diadakan di Dewan ARMA manakala sarapan pagi secara buffet di arena ARMA. Selesai taklimat perjalanan, ahli JK Zakat Negeri Kedah Alfadhil Ustaz HJ Salleh ayahanda mertua kepada Prof Madya Dr Hasan Basri yang kebetulan sedang bercuti di sini dan ikut bersama rombongan dijemput membacakan doa selamat. 17 buah keluarga dengan menaiki 16 buah kereta berkonvoi ke Hurgada dengan diketuai Kuasa Usaha Sementara En.Saiful Anuar...











Lebih lima jam perjalanan, anak bongsu saya Ahmad dua kali muntah-muntah menyebabkan saya ketinggalan agak jauh di belakang. Apalagi, semua kenderaan yang dinaiki pegawai-pegawai lain jauh lebih besar dan laju. Mahasuci Allah melihat luasnya gurun pasir yang berlatar belakangkan bukit-bukit kecil di sepanjang perjalanan melalui Lebuhraya Muqattam - Ain Sukhnah sepanjang lebih 100km. Dari Ain Sukhnah ke Hurgada perjalanan bengkang bengkok dengan jalan agak merbahaya tetapi jalanrayanya hampir sekali dengan gigi pantai Laut Merah. Sesekali melalui kawasan yang dibangunkan untuk tujuan pelancongan. Namun kebanyakan tempat adalah kering dan tandus serta sunyi di serkup gurun batu dan sahara.
















Dari Sahara Inn, tempat perhentian melepaskan penat setelah menempuh lebih dua jam perjalanan dari Kaherah, saya kembali bergabung dengan rakan-rakan yang terpisah.  Sempat juga melepaskan sedikit rasa lelah dalam perjalanan, setelah mengisi minyak di sebuah stesen minyak di situ, saya dan lain-lain ahli rombongan meneruskan perjalanan. Masing-masing teruja melihat kecantikan pantai dan laut sepanjang perjalanan ke Hurgada dan itu sudah cukup untuk menceritakan tentang cantik dan indahnya bandar pelancongan Hurgada ini.














Saya menempah sebuah bilik dengan dua ruang, satu bilik utama dengan satu katil besar serta satu lagi bilik tambahan dengan dua katil untuk anak-anak saya. Bilik ini turut siap tersedia ruang dapur dan satu sofa besar. Juga turut disediakan dua unit tv. Seronok anak-anak yang kali pertama bermukim dua malam di hotel. Makan pagi dan makan malam disediakan pihak hotel secara percuma, manakala makan tengahari pula sendirian berhad. Selain semua begitu bersemangat dan teruja dengan pelbagai game dan pertandingan, kanak-kanak adalah kumpulan paling seronok berjumpa air dan kolam mandi. Apalagi, mengubang sakanlah anak-anak saya yang tak pernah jumpa kolam mandi setelah setahun berada di sini...
























Sebelah malam, setelah penat bertanding dan beriadhah hampir seharian..,telah diadakan majlis penutupan Hari Keluarga bertempat di gelanggang tenis milik hotel berkenaan yang disempurnakan oleh Kuasa Usaha Sementara. Sebelum En.Saiful menyampaikan ucapan, dan disusuli dengan acara penyampaian hadiah, satu majlis tazkirah diadakan. Pegawai HEP Johor Ustaz Hanif telah menyampaikan ceramah berkaitan pembinaan keluarga bahagia. Banyak kisah-kisah lucu yang sempat diceritakan beliau yang memang kaya dengan pengalaman bertugas sebagai Qadhi di 5 daerah di Johor sebelum bertukar ke sini. Kemuncak malam itu adalah acara nasyid yang disampaikan oleh semua anak-anak PERWAKILAN dari Madinat Nasr, Mohandiseen dan Zamalek.























































 
Hari terakhir di Hurgada, selesai check out jam 12 tengah hari dari hotel, saya pohon keizinan  untuk bertolak lebih awal bersama Peg HEP Johor yang kereta Toyota Picnicnya masih menggunakan plet kuning- Jumruk Iskandariah (Us Hanif telah disaman polis semasa dalam perjalanan dari Kaherah - Hurghada). Kereta plet hijau (diplomatik) punya kekebalan dan boleh sahaja lebih laju dari had kelajuan dibenarkan. Keluar hampir sejam lebih awal dari yang lain-lain menjadikan perjalanan saya dan Us. Hanif cukup selesa. Saya berkesempatan singgah di  gigi Laut Merah bergambar bersama Us Hanif dan isteri.






Alhamdulillah menjelang maghrib saya sudah sampai ke tol lebuhraya Muqattam - Ain Sukhnah dan kemudian menunggu untuk bergabung dengan Peg. HEP Pahang yang keluar lewat sejam bersama rakan-rakan yang lain. Akhirnya, saya berjaya juga mencari jalan keluar setelah ditinggalkan Peg HEP Johor yang perlu sampai ke rumah lebih awal seraya memecut keretanya lebih laju disebabkan masalah kesihatan anak kecil kesayangannya.

Tiada ulasan: